Oleh Zin MAhmud
Hari ini (27.11.2011) dunia Islam menyambut tahun baru Hijrah sempena perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang telah merubah peta politik dunia zaman purba. Kemunculan kekuasaan Islam di Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW mencabar keunggulan empayar Rom Bizantin dan Parsi pada zaman itu. Kedua-dua kuasa besar itu kemudian tumbang apabila pemerintahan Islam mengambil alih kuasa mereka dari Asia Barat hinggalah ke Afrika Utara. Malah memasuki Eropah melalui Andalusia. Cabaran kuasa Islam terhadap Rom Bizantin bermula di Syam, yang kini merupakan wilayah-wilayah Syria, Lebanon, Palestin, Israel dan Jordan. Damsyik ketika itu adalah ibu kota wilayah Syam di bawah pemerintahan Rom Bizantin yang berpusat di Constantinople, kini dikenali sebagai Istanbul. Bukan saja Syam menjadi sebahagian daripada dunia Islam, malah Damsyik dipilih sebagai ibu kota pemerintahan Islam iaitu semasa Umayah bagi menggantikan Madinah. Ibu kota pemerintahan Islam kemudiannya berpindah, dari Damsyik ke Baghdad iaitu semasa Abbasiah. Pada zaman Uthmaniah pula, ibu kota khalifah adalah Istanbul.
Selepas kejatuhan Uthmaniah dan muncul negara-negara bangsa, Kaherah di bawah kepimpinan Gamal Nasser menjadi bukan saja ibu negara Mesir tetapi juga dunia Arab. Walaupun cita-citanya untuk mewujudkan Republik Arab Bersatu yang menyatukan dunia Arab gagal tetapi Kaherah tetap dipandang sebagai ibu kota dunia Arab. Maka awal tahun Masihi 2011, dunia menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir yang memperoleh ilham dari Tunisia dengan mereka berhimpun di Dataran Tahrir. Apa yang berlaku di Mesir turut terjadi di banyak negara-negara Arab lain yang mana ia dinamakan oleh pihak Barat sebagai Arab Spring atau Musim Bunga Arab. Gugatan Dataran Tahrir berjaya menjatuhkan rejim lama pewaris Nasser iaitu Hosni Mubarak. Ketika mana Tunisia telah selamat mengadakan pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan Parti Annahdha pimpinan Raschid Gannouchi, di Mesir pula, golongan tentera masih menguasai institusi negara. Maka Jumaat lalu, satu perhimpunan besar-besaran diadakan semula di Dataran Tahrir menuntut pihak tentera melepaskan kuasa mereka supaya Mesir dapat mengamalkan demokrasi dan melaksanakan pilihan raya umum.
PERTEMBUNGAN
Pertembungan pihak tentera dan kumpulan pro-demokrasi ini akan menjadi sengit dan apa yang berlaku pada masa akan datang adalah kritikal bukan saja bagi Mesir, malah dunia Arab dan rantau Timur Tengah. Ketika dunia Islam menyambut Awal Muharam ini, Mesir pula di ambang untuk berhijrah ke sistem demokrasi tetapi mendapat halangan dari pihak tentera. Dalam pada itu, minggu lalu lawatan Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan ke Kaherah mendapat sambutan hangat di lapangan terbang. Para pengkagum beliau di kalangan aktivis Mesir menyambutnya dengan menjulang gambar-gambarnya. Ada satu poster bertulis "Turki dan Mesir adalah satu genggaman tangan". Adalah jelas mereka mahu mengikuti model pentadbiran Erdogan yang melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) melaksanakan fahaman apa yang disebut Barat sebagai "Islam sederhana beserta demokrasi sekular". Selepas Kaherah, Erdogan melawat Tripoli, Libya dan Tunis, Tunisia, dua negara yang mana rejim lama ditumbangkan.
Di Rabat, Maghribi, kelmarin pilihan rayanya menyaksikan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang juga bersefahaman dengan AKP. Dapat dikesan dari awal bahawa Amerika Syarikat (AS) menyokong kebangkitan rakyat ini. Bukan itu saja, majalah Time terbaru yang sedikit sebanyak mencerminkan sikap dasar luar AS memaparkan gambar Erdogan di kulit muka depan dengan ceritanya memuji beliau. Antara perkara yang dipaparkan ialah kebangkitan Turki sebagai kuasa berpengaruh di rantau itu. Bagi AS, sokongannya terhadap kebangkitan ini adalah mudah difahami. Walaupun ia bimbang bahawa demokrasi akan membawa kepada peningkatan pengaruh golongan politik Islam dan mencabar kedudukan Israel, tetapi menyokong mereka adalah lebih baik daripada alternatifnya. Musuh utama AS dan Israel adalah Iran pimpinan Mahmoud Ahmadinejad dan Al-Qaeda. Maka lebih baik bagi AS menerima Erdogan dan negara-negara Arab demokratik untuk berdepan dengan Iran dan Al-Qaeda.
Hanya Israel perlu mengubah suai kepada realiti baru ini. Semuanya kena berubah, Israel, Palestin, Hamas, Fatah, Hizbullah, Lebanon dan Syria. Erdogan pun sudah memberi amaran pada presiden Syria, Bashar Assad supaya menerima perubahan dunia Arab. Kalau dibandingkan dengan 1,432 tahun lalu, pusat-pusat pengaruh di Timur Tengah tidak banyak berubah, walaupun bangsa dan agama sudah berkembang menjadi pelbagai. Sebelum Hijrah Rasulullah SAW, Madinah hanyalah penempatan kecil. Di dalamnya ada suku kaum Yahudi dan suku kaum Arab. Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, suku kaum Arab ini menjadi Ansar sementara orang Mekah yang datang dipanggil Muhajirin. Ansar dan Muhajirin ini menjadi umat Islam awal. Madinah berpengaruh pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafah Rasyidin. Tetapi selepas itu kuasa Islam berpindah ke Damsyik. Kini Madinah tidak berpengaruh politik tetapi adalah kota suci untuk ziarah umat Islam. Kuasa politik bagi orang Arab berpecah-pecah: Riyadh, Kaherah, Damsyik, Baghdad dan lain-lain ibu kota Arab.
Namun Kaherah dan Damsyik mempunyai kedudukan tinggi kerana bukan saja penduduknya yang ramai tetapi dari segi budaya politik, mereka adalah penting. Kalau pada zaman nabi dahulu, Constantinople adalah kota Kristian Ortodoks dan Parsi adalah kuasa Majusi, kini Istanbul serta Teheran ialah kuasa-kuasa Islam walaupun berlainan mazhab dan fahaman politik. Kuasa paling penting di Timur Tengah ialah AS walaupun negara itu tidak terletak di situ. Sekutunya, Israel adalah kuasa tersendiri di situ. AS menghadapi tamparan hebat ketika takwim Hijrah masuk ke abad baru iaitu 30 tahun lalu semasa berlakunya Revolusi Iran. Pada masa itu, Teheran menganggap dirinya seperti Madinah yang baru muncul. Sementara AS dianggap sebagai Rom dan Kesatuan Soviet adalah Parsi. Kedua-dua dipandang sebagai kuasa yang akan tumbang. Kini Soviet sudah tiada. Sementara AS dalam keadaan terencat kerana keadaan ekonominya. Washington sering dilihat oleh pihak Barat sebagai pewaris Rom. Tetapi jika diteliti dari segi tamadun, dan bukan agamanya, pewaris Rom ialah Umayah di Damsyik dan Uthmaniah di Istanbul. Kini yang mewarisi Uthmaniah ialah Turki dan Erdogan.
Parsi diwarisi Abasiah yang pusat kotanya di Baghdad. Kini Baghdad diwarisi oleh Teheran. Kebangkitan rakyat Arab dilihat sedang berusaha menjadikan negara-negara mereka mengikut cara Ankara iaitu "Islam sederhana dan demokrasi sekular". Walaupun mereka akan mempunyai ciri-ciri Islam tersendiri, lebih daripada ketika di bawah rejim-rejim autokratik nasionalis sekular sebelum ini, tetapi dari segi hubungan antarabangsa, mereka akan bersekutu dengan AS. Seperti Turki di bawah Erdogan, mereka akan lebih berani dan kritikal terhadap Israel. Tetapi hubungan mereka dengan AS tetap terpelihara. Maka dari Maghribi ke Teluk Parsi, dunia Arab dan Turki bersahabat dengan AS. Demokrasi akan melemahkan ancaman Al-Qaeda. Juga, keadaan ini akan memberi tekanan pada Iran supaya berubah, dengan sokongan akan diberikan kepada golongan Islam pro-demokrasi bukan saja dalam Iran tetapi juga di Syria dan Lebanon, termasuk Hizbullah. Ketika mana kemungkinan dunia Arab berhijrah ke arah demokrasi, AS dan Eropah pula sedang melalui zaman dugaan ekonomi mereka yang boleh dianggap sebagai krisis kapitalisme. Melihat kembali hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, apa yang baginda lakukan ialah mewujudkan model baru berpolitik, berbeza dengan apa yang diamalkan oleh Rom dan Parsi
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan