24 Julai 2011

ISU SOSIAL : SEMAKIN RAMAI RAKYAT MALAYSIA SUKA MEMBACA


Apabila dilaporkan kajian terkini pembacaan rakyat Malaysia meningkat sebanyak lapan hingga 12 buku setahun, ramai merasakan ia sesuatu yang harus dibanggakan. Alasan mereka angka itu menunjukkan peningkatan kerana kajian 2005 mendapati hanya purata dua buah buku sahaja dibaca oleh seorang rakyat negara ini dalam setahun. Ya, dari satu sudut kajian itu menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah semakin positif. Tetapi apakah genre buku pilihan mereka? Pemilihan buku juga faktor penting dalam menyumbang kepada pelbagai perkara yang sihat. Akan tetapi, kajian sebelum ini menunjukkan sebilangan besar daripada pembaca Malaysia lebih cenderung membaca buku atau majalah bercorak 'ringan'. Apakah dengan berdampingan dengan novel, majalah fesyen dan hiburan, dikira sudah cukup untuk merangkumkannya dalam golongan pembaca? Maka, terdengarlah ungkapan: "Sekurang-kurangnya, aku baca ok". Bolehkah seseorang itu sekadar bergantung dengan membaca bahan ringan untuk menjadi bangsa berjaya, bak cogan kata "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya".

Salahkah membaca buku unsur ringan?

Kalau dilihat ruang bilik tidurnya dari jarak jauh, mungkin mengandaikan Nur Alia Kamarul Ahmad, 17, seorang yang ulat buku. Ia berdasarkan kepada longgokan buku tersusun kemas di sudut ruang bilik tidurnya. Namun koleksi bukunya terdiri daripada pelbagai novel merangkumi kisah cinta, penyiasatan dan sebagainya serta pelbagai jenis majalah ringan. Buku-buku ilmiah pula boleh dikira dengan jari sahaja, itu pun atas faktor keperluan pengajiannya di universiti. "Saya bosan baca buku-buku berbentuk pengetahuan, boleh buat saya mengantuk. Lagipun tidak salahkan kalau saya baca novel dan majalah daripada langsung tidak baca," katanya kepada Bernama. Mengulas mengenai situasi ini, bekas Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang membaca bahan berunsur ringan tetapi janganlah seratus peratus berpaut kepada genre sedemikian. "Kita bersyukur ada peningkatan pembacaan buku. Tetapi, masalahnya mereka hanya membaca buku ringan dan masih kurang membaca buku serius. "Seharusnya mereka perlu pelbagaikan bahan bacaan, ilmiah dan ringan. Ini kerana kita hendak melahirkan generasi pemikir, pemikir besar akan datang dan ini sangat penting," katanya yang juga merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional.

Buang masa baca buku tiada kepentingan

Masalah utama sesetengah masyarakat hari ini ialah mereka lebih gemar memilih bahan bacaan yang bersangkut-paut dengan pekerjaan mereka dan bergenre ringan. Bagi mereka, membaca luar daripada skop sedemikian adalah 'merugikan', 'buang masa' dan tidak berfaedah ke arah pembentukan diri. Stigma sedemikian akhirnya menyekat horizon pengetahuan mereka yang sepatutnya diisi dengan kepelbagaian ilmu, kata Mohamad Ali. "Skop pengetahuan mereka agak terhad, dunia pemikirannya dengan dunia penaklukan pemikirannya tidak luas. Kita hendakkan warganegara yang mempunyai pemikiran global, jadi kita mesti banyak baca. "Bagaimana untuk menguasainya kalau kita baca tidak meluas dan hanya baca bahan ringan sahaja? Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid ketika di sekolah menengah membaca semua bahan di perpustakaan dan pengetahuannya membolehkannya menafsir dan berdiskusi," katanya. Menganggap situasi begini ekoran daripada sistem pendidikan yang berorientasikan 'peperiksaan' berbanding 'pendidikan sepanjang hayat' menyebabkan budaya membaca belum sampai ke tahap menginsafkan, memahami dan menghayati. Wujudnya situasi ini disebabkan masih ramai menganggap budaya pembacaan sebagai satu bebanan dan tidak menyeronokkan. "Ini menyebabkan mereka hanya membaca bahan ringan dan buku ilmiah pun sekadar untuk lulus peperiksaan dan peningkatan kerjaya. Disebabkan itulah, kita belum lagi sampai tahap membaca merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan rasa kesal sekiranya tidak membaca," katanya.

Tidak boleh paksa

Tanggapan minat pembacaan buku tidak boleh dipaksa, harus disangkal kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak. Apatah lagi, anak diibaratkan seperti kain putih dan layang-layang yang harus dikemudi dengan baik dalam memupuk minat membaca generasi kecil itu sejak kecil lagi. "Saya tidak setuju kita pupuk minat membaca anak-anak dengan menjurus apa yang mereka minat. Ibu bapa harus tentukan dan pupuk minat membaca pelbagai jenis, ilmiah dan ringan. "Bukan suruh mereka baca buku ilmiah berat, tetapi yang sesuai dengan umur mereka. Bila mereka sudah biasa membaca buku ilmiah sejak kecil, budaya itu akan terus terbawa sehingga dewasa," kata Mohamad Ali. Mengakui tidak ramai yang sanggup membelanjakan wang pendapatan mereka membeli buku-buku bermutu, Mohamad Ali berkata sikap sedemikian harus diubah. "Kita tidak nampak misalnya budaya orang kita rak-rak mereka dipenuhi dengan buku bermutu. "Malah, budaya membaca majalah bulanan profesional berbentuk ilmiah untuk mengemas kini ilmu mereka pun belum nampak lagi, berbanding Barat," katanya. — BERNAMA

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 JULAI 2011


ISU TENAGA : MEMPERKASA PEMBANGUNAN SUMBER TENAGA DIPERBAHARUHI

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


Kejadian gempa bumi disusuli tsunami yang melanda Jepun awal tahun ini bukan saja meranapkan harta, malah nyawa rakyatnya. Bencana alam itu turut menjejaskan loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Minamisoma, antara loji nuklear penjana sumber tenaga elektrik di negara Matahari Terbit itu. Peristiwa ini sudah pasti membuka mata negara luar yang mempunyai hasrat untuk membina loji tenaga nuklear sebagai satu sumber tenaga alternatif. Kesan dan akibat daripada kejadian itu membuktikan ada kalanya manusia tidak akan mampu melawan kehendak alam. Tidak salah untuk mengkaji mahupun mencuba sesuatu yang baru tetapi biar apa yang ingin kita lakukan itu tidak merosakkan alam semula jadi agar ia tidak menyusahkan kita di kemudian hari. Tenaga nuklear bukan satu-satunya sumber tenaga yang boleh dijadikan penjana elektrik, malah banyak lagi sumber lain yang masih belum digunakan sepenuhnya.  Sumber tenaga diperbaharui (RE), umpamanya adalah antara sumber tenaga baru yang kian mendapat sambutan dan digunakan secara meluas terutama oleh negara membangun seperti Britain. Sejak ia mula diperkenalkan di negara ini usaha untuk mengembangkannya giat dilakukan.

RE ialah satu sumber tenaga baru dan tahap kesedaran terhadap kemampuannya untuk berkembang kian diberi perhatian terutama pihak industri pengeluaran mahupun pertanian. Ia adalah sumber tenaga kelima dalam campuran sumber tenaga negara yang terdiri daripada minyak, gas, arang batu dan hidro.  Tanggal 11 Mei 2001 melakarkan sejarah tersendiri Malaysia apabila Program Jana kuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SREP) dilancarkan sebagai tanda komitmen untuk memperkasakan pembangunan RE. Program terbabit ialah inisiatif Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang bertujuan mempromosikan penggunaan meluas sumber tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini, khususnya untuk penjanaan tenaga. Menerusi program ini, jana kuasa yang menggunakan sumber RE boleh membuat permohonan untuk menjual elektrik kepada utiliti melalui Sistem Grid Pengagihan. Program ini membenarkan semua jenis tenaga RE seperti biomass, biogas, ‘municipal waste’, solar, hidro mini dan angin untuk dibangunkan. Pembangunan RE juga adalah sebahagian sasaran untuk menjadikan negara ini bebas daripada karbon dioksida menjelang 2020 dan sejajar itu, insentif turut diberikan untuk menarik minat pelabur luar berkongsi kepakaran mengembangkan industri RE di negara ini.

Biodome Asia Sdn Bhd sebuah anak syarikat Kirk Enviromental yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mengorak langkah membuat pelaburan di negara ini dengan memperkenalkan kepakaran dalam bidang biogas. Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang mengurus dan memperkembangkan penggunaan tenaga RE mula menerokai pasaran negara ini.  Pengarah Operasi Biodome Asia, Matthew Dickinson, berkata tenaga diperbaharui ialah sumber tenaga yang kian berkembang di Britain tetapi baru di negara ini. Setakat ini terdapat lebih daripada dua kilang sawit yang menggunakan sisa buangan mereka selama 15 tahun menjana kuasa elektrik untuk kegunaan sendiri. “Industri RE mula mendapat perhatian di kalangan pengusaha kilang dan pasarannya menjadi kian meluas, apatah lagi apabila syarikat yang membangunkan tenaga terbabit dapat menjual kembali hasil tenaga kepada pembekal utama tenaga elektrik di negara ini iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), “katanya. Bertindak selaku perunding, Biodome Asia lebih menekankan faedah yang diperoleh syarikat yang berminat untuk membuat pelaburan, antaranya pendapatan yang boleh dijana hasil daripada jualan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Di samping itu, syarikat yang terbabit juga bakal menikmati sendiri tenaga elektrik yang dihasilkan, sekali gus mewujudkan suasana hijau kerana teknologi ini mengurangkan pencemaran persekitaran.

“Pemilik kilang perlu diberi kesedaran mengenai faedah yang boleh mereka peroleh daripada menghumban sisa buangan kilang ke sungai kerana sisa buangan terbabit boleh ditukar menjadi sumber tenaga yang pasti dapat mengurangkan belanja bil elektrik syarikat berkenaan. Di samping memperoleh pendapatan dengan menjual kembali sumber tenaga kepada TNB, kilang juga tidak perlu memperuntukkan dana untuk membeli semula tenaga yang mereka perlukan,” katanya.  Biodome Asia adalah satu-satunya syarikat yang memiliki kepakaran dan peralatan yang bakal dibangunkan untuk membina loji biogas yang memberi tumpuan kepada penggunaan sisa buangan sebagai sumber baru tenaga. Ia meliputi bidang reka bentuk kejuruteraan, pengeluaran, pembinaan dan pengurusan projek yang dikendalikan pakar perunding untuk setiap satu kawasan. Biodome Asia menawarkan perkhidmatan bermula daripada pembinaan loji hingga siap sepenuhnya. Kaedah yang diperkenalkan ialah dengan menghasilkan gas dari hampas biji sawit untuk dijadikan tenaga elektrik. “Peranan kami ialah membantu pihak kilang memahami keuntungan yang boleh diraih dengan melakukan pelaburan berbanding jika mereka hanya menjual tempurung kelapa sawit yang boleh dijual pada harga RM160 satu tan, sedangkan faedah yang mereka peroleh jika melabur sedikit untuk membina loji biogas membolehkan mereka menjana tenaga elektrik sendiri dan mengaut keuntungan daripadanya,” katanya.

SUMBER
BERITA HARIAN
22 JULAI 2011

ISU SOSIAL : INDIVIDU ALAMI KRISIS IDENTITI PERLU SOKONGAN SEMUA PIHAK


Kes krisis identiti membabitkan seorang lelaki yang menukar jantina, Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, sudah tentu membuka mata banyak pihak mengenai perlunya usaha dirangka, termasuk pada pihak kerajaan supaya dapat membantu mereka yang sudah menukar jantina meneruskan kelangsungan hidup. Kita percaya kes ini juga dapat menyedarkan masyarakat supaya memahami dan cuba menyelidik golongan ini, bukannya menyisihkan mereka mahupun mencemuh, mengecam atau memaki hamun. Kepada Mohd Ashraf, penolakan permohonannya untuk menukar nama dan status jantinanya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 25 Mei lalu, bukan bermakna ia sebagai penamat kepada kehidupan masa depannya. Sebaliknya, beliau tidak harus berputus asa dan menerima hakikat ketentuan Allah tidak boleh diubah. Penukaran jantina lelaki kepada wanita atau sebaliknya, adalah haram kerana seseorang yang dijadikan Allah sebagai lelaki, tidak akan berubah sifat kelakiannya, walaupun individu itu berusaha mengubahnya. Ini sudah diakui oleh pakar psikologi dan pakar bedah jantina dari dalam dan luar negara pada 1985 bahawa alat kelamin yang dibentuk daripada pembedahan tidak akan berfungsi.

Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk merangka program atau modul bimbingan bagi individu yang menghadapi krisis identiti, termasuk yang sudah menukar jantina bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa. Kita amat bersetuju dengan pendirian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim bahawa masyarakat juga hendaklah memberi ruang serta peluang kepada golongan berkenaan meluahkan perasaan mereka. Perbuatan memandang rendah dan mencemuh golongan terbabit sehingga boleh mengaibkan ahli keluarga dan meletakkan mereka dalam keadaan serba salah perlu dihentikan demi kebaikan semua pihak. Mereka yang mengalami krisis identiti ini tidak harus diherdik atau disisihkan, sebaliknya diberikan nasihat dengan baik dan berhemah agar tidak terus berputus asa sehingga sanggup melakukan tindakan di luar dugaan. Mengikut satu laporan, ada lebih 6,000 lelaki yang berpakaian dan berperwatakan seperti wanita di ibu negara pada 1980-an dan kita pasti jumlah itu semakin bertambah sekarang. Kita yakin pelaksanaan langkah berkesan oleh kerajaan dengan memperkenalkan modul bimbingan, khususnya dari aspek keagamaan dapat membantu mereka yang menukar jantina meneruskan kehidupan seharian yang diredai Allah.

SUMBER
BERITA HARIAN
22 JULAI 2011

ISU SOSIAL : MENJADI MASYARAKAT GLOBAL

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my


Global adalah suatu terminologi bahasa Inggeris yang sering digunakan untuk menggambarkan taraf dan status. Dalam konteks ini, status global adalah status dunia. Kekerapan penggunaannya menyebabkan global atau globalisasi diterima sebagai istilah baru bahasa Melayu. Ramai pihak yang diberi anugerah peringkat global berasaskan pencapaian masing-masing. Sebuah syarikat yang dapat meletakkan kedudukannya ke taraf global adalah syarikat yang berjaya. Mendengar nama syarikat atau jenama produk keluaran syarikat, semua tahu mengenainya sama ada di Malaysia, Sudan, Maldive, Afrika Selatan, Korea, Burma dan di mana-mana sekali pun.  Produk yang mencapai kedudukan seumpama itu adalah produk yang bertaraf global. Siapa tidak tahu kereta Mercedes, BMW, Honda atau Toyota atau jenama lain seperti Panasonic, Apple, Rolex, Omega, Philips, British Airways, Shell, Exxon, Tesco, Carrefour, Hilton dan banyak lagi. Jika individu, mereka tahu atau pernah mendengar nama Rupert Murdoch, Bill Gates, Tiger Woods dan siapa juga yang menempa nama dalam bidang masing-masing di persada dunia termasuklah pemain bola sepak atau selebriti ternama dunia.

Hari ini, kita mendengar seruan supaya syarikat atau individu di negara ini meningkatkan usaha dan kemampuan mereka ke peringkat global. Jika syarikat, ia perlu memikirkan bagaimana boleh berkembang hingga ke taraf dunia. Jika suatu produk, ia mesti mendapat pengiktirafan dunia. Dunia mengenali Viagra tetapi tidak ramai yang tahu khasiat mengenai tongkat ali. Boleh atau tidak gedung Mydin dilihat di New York atau di Paris. Jika membabitkan perkhidmatan, ia mestilah diketahui hingga ke seluruh dunia. Ia mestilah kemudahan yang istimewa dan menjadi buah mulut orang di seluruh dunia. Untuk berjaya dan menjadi yang terbaik, setiap individu atau organisasi mesti menempatkan diri mereka ke taraf global. Seorang jaguh sukan perlu menempatkan dirinya sebagai juara yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun, sebelum boleh dinobatkan sebagai seseorang yang boleh diiktiraf sebagai bertaraf global. Jika ahli sains atau ahli teknologi, beliau mestilah terlebih dulu dikenali di negaranya sendiri, kemudian masyarakat di wilayah atau rantau di mana negaranya berada, malah di seluruh dunia.  Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi jaguh kampung yang hanya menjadi percakapan penduduk di tempat sendiri tetapi di kampung sebelah, tidak seorang pun mengenalinya.

Seorang sarjana atau tokoh akademik perlu menempatkan diri mereka sebagai tokoh yang dikenali bukan saja di universitinya sendiri atau di kalangan masyarakat akademia di negaranya saja, tetapi seluruh dunia mengenalinya. Seorang pemikir yang mencetuskan idea inovatif dan berstatus tinggi adalah pemikir bertaraf global. Golongan seperti ini tidak memikirkan isu dan topik yang sempit, tetapi sentiasa berfikiran luas. Jika individu atau syarikat, agak mudah menentukan tanda aras kejayaan mereka. Tapi, agak sukar untuk mendapatkan tanda aras sesebuah negara yang memiliki ciri-ciri bertaraf dunia. Tidak semua apa yang ada di Amerika Syarikat itu bertaraf dunia. Ada ciri-ciri di negara berkenaan yang lebih buruk dari negara-negara dunia ketiga atau dunia keempat. Dari segi layanan kerajaan terhadap rakyat, banyak negara di Asia, umpamanya, lebih baik daripada yang dilakukan di Eropah atau negara maju yang lain. Dari segi kemudahan yang disediakan kepada rakyat, Malaysia mungkin antara yang terbaik di dunia walaupun tidak pernah diisytiharkan sebagai bertaraf global. Antara penilaian lain adalah sistem pengangkutan dan lalu-lintas, sistem komunikasi, urusan kaunter, hotel dan sebagainya.

Bagi menentukan ciri-ciri pemikiran global pula, seseorang itu mestilah berfikiran luas. Jika membabitkan perniagaan, mereka akan cuba memikirkan bagaimana mahu menembusi pasaran di mana-mana saja. Hari ini wujud pula pemikiran politik global yang cuba diterapkan khasnya di negara-negara membangun. Pemikiran politik seperti dicetuskan di Barat menerusi sistem yang diterima pakai di negara berkenaan. Masalahnya, cara pemikiran seperti ini cuba diterapkan di negara yang berbeza ideologi, budaya dan cita rasa. Maka berlakulah pertentangan budaya yang nyata. Cara pemikiran politik seperti ini agak agresif dan tidak kompromi. Jika berasakan cara yang disediakan oleh pemerintah tidak sesuai dengan mereka, mereka akan membantah dengan cara ugutan. Demonstrasi adalah satu bentuk ugutan cara baru. Cara ini menggunakan kumpulan massa untuk memaksa pihak berkuasa mendapat sesuatu. Mereka menggunakan landasan menuntut kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dicipta di negara maju, untuk mendapatkan cita-cita mereka. Inilah yang berlaku dalam tuntutan tidak demokratik yang berlaku di negara yang mengimport cara negara maju yang kononnya bertaraf dunia.

Mereka mahu rakyat di seluruh dunia berfikiran politik global bagi memudah mereka menyalurkan pemikiran Barat. Mereka menjadikan golongan muda sebagai sasaran kerana merekalah yang akan mewarisi gagasan mereka pada masa akan datang. Implikasi kepada tindak tanduk ini akan menyebabkan negara-negara yang dihinggapi penyakit pemikiran politik global sentiasa kucar kacir dan tidak tenteram sepanjang masa. Realitinya, walau siapa juga yang mentadbir negara akan mendapat tentangan pihak yang tidak berpuas hati. Umumnya, untuk menjadi masyarakat global, setiap orang perlu faham apakah sebenarnya konsep global. Yang baik, jadi ikutan, yang buruk jadikan teladan.

SUMBER
BERITA MINGGU
24 JULAI 2011

21 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : PERTEMBUNGAN KUASA DI LAUT CHINA SELATAN

Oleh Azmi Hassan



Forum serantau ASEAN (ARF) yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Pulau Bali dinilai akan menjadi begitu menarik kerana pertembungan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka akan berlaku. Menariknya pertembungan tersebut bukan kerana isu Taiwan atau Tibet yang sememangnya lama menjadi duri hubungan dua hala Washington-Beijing, tetapi kerana masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan. Washington sebelum ini tidak mengambil peduli sangat tentang apa yang berlaku di rantau Asia Tenggara kerana kepentingan strategik pada ketika itu tidak begitu ketara kepada AS. Tetapi sejak kebelakangan ini China yang dilihat begitu giat melaksanakan dasar memperluaskan pengaruh di seluruh pelosok dunia memaksa AS mengambil pendekatan mengekang cita-cita Beijing. Laut China Selatan yang dipenuhi dengan terumbu dan pulau-pulau kecil yang membentuk gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel menimbulkan masalah kerana empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam bersama-sama dengan Taiwan dan China membuat tuntutan bertindih kawasan tersebut.

Sejak beberapa minggu lepas timbul ketegangan Filipina dan Vietnam bersangkutan tuntutan itu. Lebih menjadi menarik konflik yang berlaku melibatkan China, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap masalah yang timbul mengenai tuntutan bertindih sudah pasti akan melibatkan Beijing. Tidak memeranjatkan mengapa senario sedemikian boleh berlaku kerana tuntutan China yang menyerupai bentuk lidah lembu meliputi sebahagian besar Laut China Selatan dan merangkumi keluasan 1.7 juta kilometer persegi. Paling menimbulkan masalah adalah tuntutan China juga meliputi keseluruhan Kepulauan Spratly dan Paracel. Implikasinya adalah kesemua kawasan dituntut oleh empat negara ASEAN tersebut juga dituntut China. Menteri-Menteri Luar ASEAN yang bermesyuarat sebelum ARF bermula telah mengesa supaya Deklarasi Mengenai Tatacara Pihak Berkenaan di Laut China Selatan segera dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini. Memang benar Beijing turut serta dalam deklarasi itu yang ditanda tangani bersama dengan negara ASEAN pada 2002 tetapi bolehkah China dipercayai jika diambil kira beberapa peristiwa terkini yang melibatkan tuntutan bertindih dengan beberapa negara ASEAN?

Ketegangan terbaru di antara dua negara ASEAN dan China telah mempamerkan bagaimana begitu agresif Beijing menangani isu itu. Jika tidak ditangani dengan betul, konflik yang lebih besar tidak mustahil boleh berlaku. Deklarasi Tatacara yang telah dipersetujui oleh ASEAN dan China dinilai tidak mampu menyelesaikan kemelut tuntutan bertindih kerana asasnya persetujuan tersebut berdasarkan pengekalan status-quo untuk mengelak berlakunya konflik. Tambahan pula pendirian Beijing yang hanya mahu bersemuka dengan negara ASEAN secara individu dan bukannya secara kumpulan merumitkan lagi keadaan. Jika mengambil iktibar dengan apa yang berlaku akibat pertembungan di antara tentera Thailand dan Kemboja yang berebut kawasan berdekatan dengan kuil Preah Vihear, ASEAN sukar menyelesaikan masalah tersebut sehinggakan memaksa campur tangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan penghakiman yang meredakan ketegangan tersebut. Terdapat negara ASEAN yang memberi saranan supaya masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan diselesaikan mengguna peruntukan yang terdapat dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Empat negara ASEAN tidak mempunyai masalah dengan UNCLOS kerana secara dasarnya tuntutan mereka berlandaskan kepada peruntukan 200 batu nautika Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ). Tetapi masalahnya adalah China sudah pasti tidak akan bersetuju kerana tuntutan Beijing adalah berasaskan sejarah lampau mereka. Sebab itu AS dilihat begitu agresif melibatkan diri dalam masalah tuntutan bertindih tersebut kerana negara ASEAN secara bersendirian atau kumpulan tidak mampu menangkis tingkah laku China yang begitu menghampiri menggunakan pendekatan membuli negara lebih kecil. Bibit penglibatan AS secara langsung dalam hal tersebut mula menyerlah ketika Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengeluarkan kenyataan bahawa Laut China Selatan perlu bebas daripada sebarang konflik. Lebih menarik kenyataan tersebut dikeluarkan semasa persidangan ARF yang berlangsung di Hanoi pada Julai 2010. Lebih menarik lagi, sebelum bermulanya ARF Bali hujung minggu ini di mana agenda tuntutan bertindih bakal menjadi tajuk perbincangan utama, Kongres AS mengeluarkan dua resolusi yang telah membangkitkan kemarahan Beijing. Tiga minggu lepas Dewan Senat AS telah mengeluarkan resolusi yang mengutuk tindakan China menggunakan kekerasan di Laut China Selatan dan mengesa supaya penyelesaian dibuat melalui rundingan multilateral.

Menguatkan lagi penglibatan AS apabila Dewan Perwakilan beberapa hari lepas telah meluluskan Resolusi 352 yang antara lain mengesa penyelesaian konflik diselesaikan secara rundingan kesemua pihak yang terlibat. Tidak syak lagi penglibatan AS dalam konflik Laut China Selatan adalah begitu nyata dan berlaku secara langsung dan bukannya melalui proksi negara ASEAN seperti Filipina. Memang benar kedua-dua resolusi tersebut dikeluarkan akibat dari pertembungan yang berlaku di antara Filipina-China yang memberi sokongan kepada Manila bahawa Washington akan membantu mereka. Sokongan Washington kepada Manila sebenarnya boleh ditafsirkan juga sokongan AS terhadap ASEAN. Menjadi kemusykilan adalah apakah negara ASEAN akan merelakan kemelut Laut China Selatan turut disertai oleh AS? Washington sudah pasti mempunyai agenda tersendiri dan menjadi lebih menarik lagi bolehkah ASEAN meraih keuntungan dari agenda tersirat Washington? Kesemua persoalan itu bakal terungkai dalam masa beberapa hari di persidangan ARF hujung minggu ini.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 JULAI 2011

ISU UMUM : DEMONSTRASI JALANAN MENUNTUT KORBAN

Oleh AZNAN BAKAR


Sepanjang bulan Julai 2011 terdapat beratus siri demonstrasi di seluruh dunia. Hampir semuanya mempunyai korban tersendiri. Sama ada korban dari segi kerosakan harta benda awam, kerugian perniagaan dan yang paling malang ialah kehilangan nyawa. Itu risiko yang berlaku dalam setiap demonstrasi, rusuhan, tunjuk perasaan mahupun perhimpunan haram. Tindak-tanduk liar para peserta, pertembungan dengan pihak berkuasa dan perbalahan dengan kumpulan yang menentang pasti akan meninggalkan kesan fizikal. Situasi yang berlaku di seluruh dunia memberi gambaran cukup jelas bahawa apa juga bentuk demonstrasi, perhimpunan, perarakan dan rusuhan tidak pernah meninggalkan kesan yang elok. Sama ada di negara maju yang kononnya bertamadun, di negara membangun seperti Malaysia mahupun di negara-negara miskin. Demonstrasi sentiasa datang bersama masalah. Yang membezakan sama ada ia kecil atau besar.

Pihak yang bertanggungjawab menganjurkan aktiviti seperti itu sepatutnya sedar akan kesan yang bakal berlaku. Mengambil contoh di Bahrain misalnya, sejak Februari lalu sebanyak 33 nyawa telah terkorban ekoran demonstrasi oleh puak Syiah yang menentang keluarga diraja Hamad bin Isa al-Khalifa. Di Syria pada 17 Julai lalu, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam apabila penentang dan penyokong Presiden Bashar al-Assad bertempur. Yang paling dekat dengan negara ini ialah pertempuran antara kumpulan baju merah dan baju kuning di Thailand tahun lalu yang menyebabkan aktiviti ekonomi di Bangkok dan industri pelancongan di negara itu lumpuh selain banyak nyawa terkorban. Pada April tahun lalu, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh ekoran demonstrasi antikerajaan oleh kumpulan baju merah yang menuntut supaya parlimen di bubar.

Walaupun pada tahun ini Parlimen negara itu dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan baru, namun ia tentunya tidak setimpal dengan nyawa yang melayang. Bak kata bidalan 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Itu juga yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu. Perhimpunan haram yang diketuai oleh Datuk S. Ambiga menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Kejayaan tertinggi perhimpunan haram itu ialah kematian Baharuddin Ahmad, 55, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur setelah dikatakan rebah dekat KLCC. Ambiga - bekas Presiden Majlis Peguam yang terkenal kerana 'penampilannya' dalam beberapa kes murtad - sebagai ketua perhimpunan haram yang majoritinya disertai oleh orang Melayu beragama Islam itu tentu sedar bahawa akan ada tindak balas daripada pihak berkuasa jika ia diteruskan. Tetapi kerana memikirkan publisiti yang bakal diperolehi terutama daripada media luar negara, maka hanya pertimbangan peribadi yang diambil kira.

Tidak ada pihak berkuasa di mana-mana negara pun di dunia ini yang akan hanya duduk berdiam diri memerhatikan dari jauh apabila ada kumpulan berarak secara besar-besaran menentang kerajaan. Sedang penonton bola sepak pun di kawal rapi oleh pihak polis, inikan pula perhimpunan haram yang sudah pasti akan mendatangkan lebih banyak masalah daripada kebaikan. Di United Kingdom (UK) - yang medianya menghentam cara polis Malaysia mengendalikan perhimpunan haram 9 Julai lalu itu - polisnya turut membelasah para penunjuk perasaan antikapitalis yang diadakan di ibu kota London. Sebahagian besar daripada mereka ditangkap dan dihumban dalam penjara tanpa dibicara pun. Tidak ada pula jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat tindakan polis terhadap penunjuk perasaan di negara itu. Tetapi situasi di Malaysia berbeza. Pihak yang menyertai perhimpunan haram hingga menyusahkan jutaan penduduk Kuala Lumpur, yang menyebabkan perniagaan di tutup, kenduri dan majlis kahwin terjejas serta kerosakan harta benda awam tidak bersalah.

Yang bersalah ialah polis yang mahu mengekalkan ketenteraman awam. Orang yang mencetus huru-hara, kacau bilau, yang membaling batu, yang berkumpul di tengah-tengah jalan hingga menggugat ketenteraman awam adalah wira yang perlu mendapat pembelaan. Selepas bertungkus-lumus memastikan ketenteraman dan harta benda awam terpelihara ekoran perhimpunan haram 9 Julai lalu, kini polis dibebankan pula dengan dakwaan kononnya mereka bertindak ganas terhadap kelompok peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang tersebut. Sedangkan berbulan-bulan sebelum perhimpunan itu berlangsung pelbagai amaran telah dikeluarkan supaya orang ramai tidak menyertainya. Malah polis sejak awal lagi telah melakukan sekatan supaya para penyokong perhimpunan haram itu tidak berkumpul. Tetapi semua itu tidak diendahkan. Atas nama demokrasi dan hak asasi, mereka melanggar semua amaran dan larangan tersebut.

Seolah-olah kumpulan itu sengaja meletakkan diri mereka supaya dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh para pengikut Ambiga itu seolah-olah disengajakan. Supaya ia boleh dijadikan modal untuk memburuk-burukkan pasukan polis. Kini nyata kerana yang dipersalahkan ialah polis. Polis bersalah kerana melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan peserta perhimpunan haram itu. Polis bersalah kerana menggunakan meriam air. Yang paling serius kini polis dituduh membunuh salah seorang peserta perhimpunan itu. Daripada laporan-laporan yang disiarkan di Internet memberi gambaran seolah-olah polis tidak berhak berada di ibu negara pada hari perhimpunan haram itu. Kerana 'kesalahan' yang dilakukan oleh pihak polis itu, maka terpaksa ditubuhkan enam jawatankuasa bagi menyiasat kemungkinan berlakunya keganasan dan tindakan keras.

Penemuan oleh jawatankuasa itu selepas ini kemungkinan akan menyaksikan beberapa anggota polis yang bertugas untuk mengekalkan keamanan pada hari itu dikenakan tindakan atau mungkin kehilangan kerja. Sedangkan mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram itu yang mendakwa dikasari polis enak menikmati hidangan yang disediakan di Pulapol. Inilah nasib pasukan polis di negara ini. Kerja keras mereka menjaga ketenteraman awam pada 9 Julai lalu langsung tidak dihargai. Sebaliknya mereka dikecam dan dilempar dengan pelbagai tuduhan termasuk membunuh.Perkara ini tentu tidak berlaku jika tiada perhimpunan haram yang diketuai Ambiga pada 9 Julai lalu. Ambiga dan konco-konconya tentu tersenyum puas kerana matlamat peribadi mereka telah tercapai.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
21 JULAI 2011

20 Julai 2011

ISU BAHASA : KEADILAN BAHASA MELAYU DI MAHKAMAH

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my

Institusi kehakiman 
masih ambil mudah penggunaan 
bahasa kebangsaaan


Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu antaranya berfungsi sebagai bahasa kepada entiti politik, sosial dan budaya yang bernama Malaysia. Dengan kata lain, ia adalah lambang nasional negara kita. Selaku bahasa rasmi, bahasa Melayu antaranya adalah bahasa yang digunakan dalam urusan formal negara, selain sebagai bahasa pentadbiran pemerintah. Sehubungan itu, ia ikut berfungsi dalam semua sistem kebangsaan, antaranya sebagai bahasa ilmu, bahasa penyiaran utama, dan bahasa mahkamah di negara ini. Oleh itu, ia sebetulnya hendaklah juga digunakan dalam sektor swasta. Bahasa Melayu selaku bahasa mahkamah termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971). Walau bagaimanapun, untuk kepentingan keadilan, bahasa Inggeris dibenarkan digunakan, sama ada sepenuhnya atau secara sebahagian bersama-sama dengan bahasa Melayu, khususnya dalam pembicaraan mahkamah.

Kelonggaran ini yang diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan juga Perlembagaan Persekutuan, membantut usaha untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan. Sebenarnya kelonggaran inilah yang menjadikan ikhtiar untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah, diambil enteng oleh pelbagai pihak yang berkenaan, lalu tidak dilakukan secara serius. Dengan ini, ada kalangan tertentu dalam bidang ini yang bukan saja tidak mahu berusaha ke arah merealisasikan dasar ini, tetapi enggan menggunakan bahasa Melayu dalam pembicaraan mahkamah. Isu penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah juga bergantung kepada sikap hakim selain peguam. Hal ini dapat dilihat antaranya pada majlis petisyen terima masuk dan daftar rai pelatih dalam kamar sebagai peguam cara dan peguam bela di mahkamah tinggi di negara ini. Pada kebanyakan kesnya, majlis yang seringkasnya ini pun tidak berjaya dilakukan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Untuk ini, bahasa Melayu yang digunakan itu lebih kepada mukadimah dan penutup teks yang lazim diguna pakai dalam mengemukakan petisyen sebegini. Walau bagaimanapun, lafaz penerimaan petisyen oleh hakim dilakukan dalam bahasa Melayu sepenuhnya tetapi ucapan memperkenalkan pempetisyen tidak selalunya disampaikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya, yang menjadi bahasa mahkamah.  Sesungguhnya majlis ini adalah bukan saja sekadar upacara permohonan sebagai pengamal perundangan berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia, tetapi ia juga adalah istiadat permulaan kerjaya untuk peguam baru. Selain ini, ia boleh juga diibaratkan sebagai acara perasmian ke dunia kepeguaman untuk peguam baharu ini. Ia dikendalikan dengan penuh takzim, tertib, protokol dan formaliti mahkamah, baik dari segi tingkah laku, pakaian ataupun bahasa.  Dari segi bahasa, sepatutnya bahasa Melayu hendaklah digunakan sepenuhnya dalam majlis ini, dan penggunaan bahasa Inggeris yang didapati tidak diperlukan sama sekali itu, tidak sepatutnya dibenarkan oleh hakim.

Ini antaranya majlis ini tidak membabitkan sebarang pembicaraan. Ia adalah satu majlis keraian yang dengan mudah sekali dapat dilaksanakan dalam bahasa Melayu, oleh semua pihak, baik yang mengemukakan petisyen dan juga yang mempertimbangkannya. Dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah berlaku dengan sepenuhnya, semua pihak, baik pendaftar, majistret, yang dipertua mahkamah sesyen dan hakim hendaklah bukan saja tegas. Tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka perlu yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, selain bangga terhadapnya sebagai bahasa kebangsaan kita. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah tidak boleh dipertikai lagi. Ini antaranya adalah kerana ia telah dipersetujui oleh semua pihak dalam bidang perundangan, baik peguam mahupun hakim, sebagai bahasa yang boleh digunakan di mahkamah Malaysia untuk mendukung keadilan.

Tidak dapat dinafikan bahawa matlamat utama dalam bidang perundangan adalah keadilan, yang bukan saja perlu dilindungi, tetapi diberikan kepada pihak yang menuntutnya. Dalam hal ini, semua pihak tidak sepatutnya sengaja menggunakan alasan ini untuk tidak menggunakan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi pada masa ini. Ini adalah kerana ketetapan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah utama kecuali dalam keterangan saksi saja, sudah lama dibuat, iaitu puluhan tahun yang lalu. Atas kepentingan keadilan, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menggunakan bahasa Inggeris dan juga yang lain, dalam mengendalikan kes tertentu. Penggunaan ini hendaklah dilakukan atas keperluan yang bersifat mesti, dan yang bukan sekali-kali dieksploitasi oleh mana-mana pihak, yang kurang fasih dalam bahasa Melayu, selain tidak bangga, sayang dan setia kepadanya selalu bahasa negara ini.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SUMBER
BERITA HARIAN
20 JULAI 2011

ISU ALAM SEKITAR : PEMBANGUNAN TIDAK MAPAN PUNCA IKLIM DUNIA BERUBAH

Oleh Fredolin Tangang

Kejahilan 
cetus impak negatif 
kepada kemanusiaan


Perubahan iklim adalah fenomena sejagat yang berlaku akibat daripada proses pembangunan yang tidak mapan terutama di negara maju sejak zaman perindustrian mereka bermula. Menurut laporan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perubahan iklim ialah sesuatu kejadian yang tidak dapat disangkal lagi dan ia berlaku akibat kegiatan manusia membebaskan gas rumah hijau ke atmosfera menyebabkan suhu udara meningkat. Peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama karbon dioksida, metana dan nitrus oksida di atmosfera terutama daripada pembakaran bahan api fosil seperti petrol, diesel, arang batu dan kegiatan guna tanah, memerangkap haba dan menyebabkan peningkatan suhu dan fenomena pemanasan global yang telah membawa pelbagai impak negatif kepada kehidupan manusia masa kini.  Menurut laporan panel itu suhu dunia akan terus meningkat, fenomena kemarau, banjir, peningkatan aras laut akan semakin teruk menjelang dekad akan datang jika dunia tidak berusaha mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ini.

Di Malaysia, suhu udara yang meningkat menyebabkan berlaku perubahan pola kejadian fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, peningkatan aras laut dan hakisan pantai yang serius adalah petanda impak perubahan iklim.  Kejadian banjir terburuk di Johor penghujung 2006 dan awal 2007 serta banjir teruk yang berlaku awal tahun ini juga di Johor, berkemungkinan ada kaitannya dengan perubahan iklim.  Kajian Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati 30 peratus pantai di Malaysia mengalami hakisan yang teruk dan ini dijangka menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim berterusan. Perubahan iklim membawa pelbagai impak kepada kesejahteraan penduduk, alam sekitar dan pelbagai ekosistem serta ekonomi. Dengan suhu yang meningkat, banjir dan kemarau yang semakin kerap, keupayaan negara mengeluarkan makanan mungkin akan terjejas.  Menurut laporan IPCC lagi, jika kepekatan gas rumah hijau di atmosfera terus meningkat, dijangka purata suhu dunia akan meningkat melebihi enam darjah Celsius pada penghujung abad ke-21. Ini jauh lebih tinggi berbanding peningkatan kurang dari satu darjah Celsius sejak 100 tahun yang lalu. Dunia akan berada dalam keadaan kemusnahan sekiranya ini berlaku.

Justeru, saintis mencadangkan peningkatan ini dihadkan kepada dua darjah Celsius dan menyeru semua negara mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Bagaimanapun, instrumen seperti Protokol Kyoto ternyata gagal. Data terkini menunjukkan kepekatan gas ini lebih tinggi daripada kepekatan bagi senario terburuk yang digunakan oleh IPCC. Perundingan antara negara anjuran PBB seperti Persidangan Parti (COP) mengenai konvensyen kepelbagaian biologi juga belum membuahkan sesuatu yang konkrit yang boleh dilaksanakan serta-merta.  Negara maju yang menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim akibat proses pembangunan dan perindustrian mereka sejak 100 lalu, masih gagal menunjuk-kan komitmen yang tinggi untuk menurunkan pembebasan gas rumah hijau dan membantu negara sedang membangun untuk bergerak ke arah ekonomi karbon rendah.  Keghairahan China dan India dalam pembangunannya menjadikan usaha menurunkan kepekatan gas rumah hijau semakin sukar.  Peningkatan penduduk dunia yang boleh mencapai lebih 10 bilion pertengahan abad ini daripada lebih kurang enam bilion kini juga akan menyukarkan usaha ini.

Sebilangan besar saintis tidak yakin kaedah perundingan akan menghasilkan satu perjanjian yang dipatuhi oleh semua negara untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau mereka. Kaedah manipulasi iklim dipanggil sebagai ‘geo-engineering’ berkemungkinan terpaksa dilakukan. Salah satu kaedah ialah menyembur partikel halus yang dipanggil aerosol ke stratosfera dan dengan jumlah kuantiti yang sesuai ia mampu mengurangkan kemasukan pancaran sinaran matahari dan mampu merendahkan suhu bumi. Bagaimanapun ia mempunyai kesan sampingan bersifat negatif. Satu kajian di Amerika Syarikat contohnya, menunjukkan kejadian kemarau pada dekad akan datang di Amerika boleh dikurangkan tetapi ia juga melemahkan sistem monsun di rantau Asia Tenggara dan akan menyebabkan musim kemarau yang berpanjangan. Ternyata impak positif kaedah seperti ini tidak menyeluruh dan pendekatan geo-engineering seperti ini sepatutnya hanya dilaksanakan dalam kerangka persetujuan semua negara.  Persoalannya apa jaminan negara kuasa nuklear yang mempunyai keupayaan teknologi tinggi untuk tidak bertindak memanipulasi iklim secara unilateral.

Penulis ialah Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 IPCC dan Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika, UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
20 JULAI 2011