JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : PERTEMBUNGAN KUASA DI LAUT CHINA SELATAN

Oleh Azmi Hassan



Forum serantau ASEAN (ARF) yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Pulau Bali dinilai akan menjadi begitu menarik kerana pertembungan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka akan berlaku. Menariknya pertembungan tersebut bukan kerana isu Taiwan atau Tibet yang sememangnya lama menjadi duri hubungan dua hala Washington-Beijing, tetapi kerana masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan. Washington sebelum ini tidak mengambil peduli sangat tentang apa yang berlaku di rantau Asia Tenggara kerana kepentingan strategik pada ketika itu tidak begitu ketara kepada AS. Tetapi sejak kebelakangan ini China yang dilihat begitu giat melaksanakan dasar memperluaskan pengaruh di seluruh pelosok dunia memaksa AS mengambil pendekatan mengekang cita-cita Beijing. Laut China Selatan yang dipenuhi dengan terumbu dan pulau-pulau kecil yang membentuk gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel menimbulkan masalah kerana empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam bersama-sama dengan Taiwan dan China membuat tuntutan bertindih kawasan tersebut.

Sejak beberapa minggu lepas timbul ketegangan Filipina dan Vietnam bersangkutan tuntutan itu. Lebih menjadi menarik konflik yang berlaku melibatkan China, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap masalah yang timbul mengenai tuntutan bertindih sudah pasti akan melibatkan Beijing. Tidak memeranjatkan mengapa senario sedemikian boleh berlaku kerana tuntutan China yang menyerupai bentuk lidah lembu meliputi sebahagian besar Laut China Selatan dan merangkumi keluasan 1.7 juta kilometer persegi. Paling menimbulkan masalah adalah tuntutan China juga meliputi keseluruhan Kepulauan Spratly dan Paracel. Implikasinya adalah kesemua kawasan dituntut oleh empat negara ASEAN tersebut juga dituntut China. Menteri-Menteri Luar ASEAN yang bermesyuarat sebelum ARF bermula telah mengesa supaya Deklarasi Mengenai Tatacara Pihak Berkenaan di Laut China Selatan segera dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini. Memang benar Beijing turut serta dalam deklarasi itu yang ditanda tangani bersama dengan negara ASEAN pada 2002 tetapi bolehkah China dipercayai jika diambil kira beberapa peristiwa terkini yang melibatkan tuntutan bertindih dengan beberapa negara ASEAN?

Ketegangan terbaru di antara dua negara ASEAN dan China telah mempamerkan bagaimana begitu agresif Beijing menangani isu itu. Jika tidak ditangani dengan betul, konflik yang lebih besar tidak mustahil boleh berlaku. Deklarasi Tatacara yang telah dipersetujui oleh ASEAN dan China dinilai tidak mampu menyelesaikan kemelut tuntutan bertindih kerana asasnya persetujuan tersebut berdasarkan pengekalan status-quo untuk mengelak berlakunya konflik. Tambahan pula pendirian Beijing yang hanya mahu bersemuka dengan negara ASEAN secara individu dan bukannya secara kumpulan merumitkan lagi keadaan. Jika mengambil iktibar dengan apa yang berlaku akibat pertembungan di antara tentera Thailand dan Kemboja yang berebut kawasan berdekatan dengan kuil Preah Vihear, ASEAN sukar menyelesaikan masalah tersebut sehinggakan memaksa campur tangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan penghakiman yang meredakan ketegangan tersebut. Terdapat negara ASEAN yang memberi saranan supaya masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan diselesaikan mengguna peruntukan yang terdapat dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Empat negara ASEAN tidak mempunyai masalah dengan UNCLOS kerana secara dasarnya tuntutan mereka berlandaskan kepada peruntukan 200 batu nautika Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ). Tetapi masalahnya adalah China sudah pasti tidak akan bersetuju kerana tuntutan Beijing adalah berasaskan sejarah lampau mereka. Sebab itu AS dilihat begitu agresif melibatkan diri dalam masalah tuntutan bertindih tersebut kerana negara ASEAN secara bersendirian atau kumpulan tidak mampu menangkis tingkah laku China yang begitu menghampiri menggunakan pendekatan membuli negara lebih kecil. Bibit penglibatan AS secara langsung dalam hal tersebut mula menyerlah ketika Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengeluarkan kenyataan bahawa Laut China Selatan perlu bebas daripada sebarang konflik. Lebih menarik kenyataan tersebut dikeluarkan semasa persidangan ARF yang berlangsung di Hanoi pada Julai 2010. Lebih menarik lagi, sebelum bermulanya ARF Bali hujung minggu ini di mana agenda tuntutan bertindih bakal menjadi tajuk perbincangan utama, Kongres AS mengeluarkan dua resolusi yang telah membangkitkan kemarahan Beijing. Tiga minggu lepas Dewan Senat AS telah mengeluarkan resolusi yang mengutuk tindakan China menggunakan kekerasan di Laut China Selatan dan mengesa supaya penyelesaian dibuat melalui rundingan multilateral.

Menguatkan lagi penglibatan AS apabila Dewan Perwakilan beberapa hari lepas telah meluluskan Resolusi 352 yang antara lain mengesa penyelesaian konflik diselesaikan secara rundingan kesemua pihak yang terlibat. Tidak syak lagi penglibatan AS dalam konflik Laut China Selatan adalah begitu nyata dan berlaku secara langsung dan bukannya melalui proksi negara ASEAN seperti Filipina. Memang benar kedua-dua resolusi tersebut dikeluarkan akibat dari pertembungan yang berlaku di antara Filipina-China yang memberi sokongan kepada Manila bahawa Washington akan membantu mereka. Sokongan Washington kepada Manila sebenarnya boleh ditafsirkan juga sokongan AS terhadap ASEAN. Menjadi kemusykilan adalah apakah negara ASEAN akan merelakan kemelut Laut China Selatan turut disertai oleh AS? Washington sudah pasti mempunyai agenda tersendiri dan menjadi lebih menarik lagi bolehkah ASEAN meraih keuntungan dari agenda tersirat Washington? Kesemua persoalan itu bakal terungkai dalam masa beberapa hari di persidangan ARF hujung minggu ini.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 JULAI 2011

Tiada ulasan: