13 Mac 2011

ISU BENCANA ALAM : CERITA DUKA MANGSA BENCANA YANG TIDAK DIDUGA


Jam dinding di pejabat akhbar Wall Street Journal yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan di bandar Tokyo menunjukkan pukul 6.57 pagi. Wartawan akhbar itu, Yuka Hayashi bersama rakan-rakannya baru sahaja ingin memulakan rutin harian mereka apabila bilik berita yang menempatkan mereka mengalami gegaran kuat. Beberapa saat selepas itu, satu laporan diterima mengatakan timur laut Jepun dilanda gempa bumi yang besar. Untuk beberapa ketika, kami semua terpaku sehinggalah keadaan di pejabat kami bertukar kelam-kabut. "Gegaran yang semakin kuat mengakibatkan ramai di antara kami tidak mampu berdiri sehingga terpaksa berpaut pada kerusi dan meja. Ada juga yang menyorok di bawah meja. "Apa yang dapat diperhatikan dari tingkap pejabat yang terletak di tingkat 19, bangunan-bangunan tinggi yang berada di tengah-tengah pusat perniagaan Tokyo semuanya bergegar kuat dan ia berlangsung selama beberapa minit.

"Ada yang cuba untuk keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan, ada juga yang mencapai topi keledar keselamatan dan menangis kerana terlalu terkejut. "Lebih membimbangkan, cubaan untuk menghubungi keluarga gagal. Mujur juga e-mel masih boleh dikemas kini. "Untuk mendapat perkembangan terkini, kami hanya bergantung kepada laman portal akhbar Jepun yang memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian gempa dan tsunami," cerita Hayashi di dalam blog Japan Real Time-WSJ. Gempa dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer (km) itu turut menghasilkan gelombang tsunami pada kelajuan 1,000 kilometer sejam. Sendai terletak 400 km dari Tokyo. Puluhan bandar dan kawasan penempatan di sepanjang 2,100 km di pantai timur Sendai turut merasai gegaran gempa yang paling kuat sejak 140 tahun lalu itu.

Lebih menyedihkan, ombak panjang setinggi 10 meter yang mengganas itu bukan sahaja menggoncang plat bumi Jepun, malah turut menjadi pencetus kepada beberapa siri tanah runtuh dan kebakaran besar yang menyebabkan bekalan elektrik serta telekomunikasi terputus. Di beberapa kawasan lain seperti di Isago, Yokohama, asap hitam menyelubungi sebahagian besar kawasan perindustrian tersebut sementara di bandar lain di utara Jepun seperti di Kamaichi dan Kensennuma, kapal-kapal, trak, kereta dan kenderaan ringan dihanyutkan air hitam yang dipenuhi sampah sarap. Selain puluhan ribu penduduk terutama di bahagian utara Jepun terpaksa berdepan dengan kemusnahan tempat tinggal, ribuan pekerja di loji nuklear di Dai-ichi, Fukushima pula terpaksa berdepan dengan risiko gas radioaktif dari kawasan kilang yang rosak teruk akibat bencana yang sangat dahsyat itu. Lewat petang semalam, stesen televisyen Jepun melaporkan empat pekerja loji nuklear cedera parah dalam kejadian letupan di salah satu bangunan reaktor yang rosak teruk.

Sehingga semalam, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan statistik rasmi di mana 413 mayat telah ditemui, 784 masih hilang manakala 1,128 mangsa dilaporkan cedera. Angka tersebut dijangka bertambah memandangkan gempa skala besar itu masih baru dan misi menyelamat baru sahaja dimulakan. Kedudukan Jepun yang terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik meletakkan ia sebagai negara yang paling aktif menerima gempa bumi. Lantaran itu, tidak mustahil jika Jepun diiktiraf sebagai negara yang mempunyai teknologi mengurangkan impak bencana alam dan kecekapan dalam sistem pengurusan bencana terbaik di dunia. "Agensi Meteorologi Jepun mampu menyebarkan maklumat mengenai bencana tsunami dalam masa tiga minit," kata Dekan Fakulti Pengurusan Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Kiyoshi Kobayashi. Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia.

Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun. Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu. Gempa pesisiran pantai pada tahun 1707 dikatakan menyebabkan Pulau Shikoku ditenggelami ombak tsunami dan membunuh beribu-ribu penduduk. Sebelum itu pada abad ke-15, ombak gergasi telah memusnahkan sebuah dewan yang menempatkan Daibutsu iaitu sebuah patung Buddha gangsa yang besar di Kamakura, sebuah pekan di selatan Tokyo. Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun. Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang. 72 tahun kemudian, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur.

Jepun mempunyai sejarah panjang kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami. Dikatakan satu daripada lima buah bangunan di Kobe musnah sama sekali. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera. Api marak di seluruh bandar itu. Kerajaan Jepun telah memberi perhatian serius kepada bencana tsunami dan gempa bumi. Apabila berlaku gempa, data yang mengandungi magnitud dan lokasi serta-merta disiarkan oleh stesen televisyen kebangsaan NHK. Mesej itu turut memuatkan sama ada amaran tsunami telah dikeluarkan. Di kebanyakan pekan dan bandar, sistem pembesar suara boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk. Di kawasan luar bandar, penduduk juga memiliki radio yang diagihkan oleh kerajaan tempatan di mana arahan berpindah boleh didengar. Kanak-kanak dilatih menyorok di bawah meja semasa gempa. Semua orang dewasa diberitahu di mana pusat penempatan sementara terdekat dengan kediaman mereka sama ada di padang atau taman.


Pemeriksaan infrastruktur tidak dilupakan. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar-bandar utama direka supaya boleh bergoyang mengikut gegaran gempa, menjadikannya lebih selamat. Sesetengah kawasan pantai mempunyai tempat perlindungan tsunami, sementara yang lain membina pintu banjir untuk bertahan daripada ombak itu. Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu pula, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.

ISU BENCANA ALAM : TSUNAMI DI JEPUN BAKAL GUGAT EKONOMI DUNIA

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
BERITA MINGGU, 13 MAC 2011


Memori ngeri 2004 yang menghantui seluruh dunia kembali apabila Jepun pula ranap dilanda tsunami, kali ini dilaporkan bencana terburuk dalam tempoh 140 tahun. Tujuh tahun selepas Acheh dan beberapa negara lagi, termasuk tanah air kita sendiri berdepan tragedi tsunami, apa yang berlaku di negara Matahari Terbit itu dikhuatiri memberi kesan lebih serius lagi, bukan setakat aspek sosial atau dari segi psikologi, tetapi juga ekonomi. Dengan gegaran berukuran 8.9 pada skala Richter, kawasan timur laut Jepun berubah wajah ibarat dilanda garuda. Apa tidaknya, hempasan tsunami mencecah ketinggian 10 meter menyapu bersih apa saja yang berada dalam laluannya. Pakar ekonomi antarabangsa meramalkan bencana itu akan memberi kesan kepada kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia itu yang kini perlu merangka semula pembangunan ekonominya secara meluas.

Tahun 2011 yang baru masuk bulan ketiga, nyata tidak banyak membawa berita gembira. Pergolakan dan perang saudara di Libya memburukkan suasana, ditambah pula perkembangan terbaru di Jepun. Rasa khuatir pasti berganda jika mengambil kira ramalan pakar ekonomi kita, Prof Dr Barjoyai Bardai yang tidak pun berselindung untuk mengakui apa yang berlaku di Asia Barat dan utara Afrika pasti mengundang kesan negatif.  “Ketika krisis di Asia Barat, ramai yang bimbang. Kekacauan di Libya menyebabkan harga minyak naik dan kesannya akan turut menyebabkan kos sara hidup meningkat. Kini berlaku pula bencana di Jepun, sudah tentu kesan besar akan dirasai ekonomi dunia dan tempiasnya juga akan turut dirasai negara kita.  

“Fenomena itu mampu meningkatkan kadar inflasi serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.  Jangkaan itu berikutan status Jepun antara pengeluar terbesar produk elektronik dan pada masa sama, ia juga antara gergasi dalam industri automotif. “Kita belum tahu berapa besar kesan tsunami kepada ekonomi Jepun dan juga dunia kerana bencana itu berlaku petang Jumaat (kelmarin). Kita akan dapat tahu keputusannya dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya. Dr Barjoyai menyifatkan keadaan ekonomi global sebenarnya sedia ada dalam keadaan ‘cemas’ dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga dijangka mula merosot menjelang akhir tahun ini disebabkan pelbagai faktor semasa dunia. “Jika ini berterusan, ia juga dijangka memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dan mungkin memperlahankan pertumbuhan ekonomi kita tahun depan. 

Dunia masih bergantung kepada mata wang AS, tetapi ia pula semakin lemah dan boleh memberi kesan serius kepada ekonomi global,” tambahnya.  Kelmarin, harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan penurunan mendadak pada akhir dagangan berikutan tekanan jualan berlarutan yang dicetuskan kebimbangan pelabur berhubung krisis di Libya dan gempa bumi di Jepun. Pelabur juga mengambil sikap berhati-hati sambil memantau perkembangan di Arab Saudi yang mana aktivis dijangka mengadakan tunjuk perasaan dengan risikonya mampu mendorong kejatuhan harga saham.  Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan Malaysia akan turut terkena tempias dari segi ekonomi berikutan bencana di Jepun kerana negara itu rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini.  

Seorang lagi pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid yang turut bersetuju dengan pendapat Dr Barjoyai, berkata keadaan di Libya dan Jepun ketika ini memang akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi Malaysia dan dunia.  Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu membuat perancangan pelaburan strategik bagi memastikan ekonomi negara sentiasa mencatatkan perkembangan positif.   Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, dilaporkan berkata harga saham di Bursa Malaysia mungkin didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan kerana pelabur mengambil sikap berhati-hati ekoran kebimbangan terhadap krisis Libya dan jangkaan kemelesetan ekonomi susulan bencana di Jepun.  “Kesan tsunami di Jepun dengan Yen dan Nikkei susut ke paras rendah dalam masa dua minggu serta ketidaktentuan harga minyak di Arab Saudi dengan minyak mentah mencecah paras tinggi dalam masa 27 bulan pada AS$120, bersedia membawa kepada penurunan itu,” katanya.




ISU REMAJA : MEMBINA GENERASI TRANSFORMASI

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
BERITA MINGGU, 13 MAC 2011


Perbincangan mengenai masa depan generasi sesuatu bangsa tidak akan berakhir. Setiap bangsa yang mengenal erti kedaulatan bangsanya akan bercakap mengenai masa depan generasi bangsa masing-masing. Generasi bangsa merekalah yang akan menjadi pewaris bangsa mereka kelak. Bangsa yang tidak membina generasi bangsanya akan lenyap dari muka bumi ini. Generasi yang lemah tidak akan dapat mengikut perubahan zaman dan akan ketinggalan. Hari ini banyak bangsa di dunia cemas dengan sikap dan gelagat generasi bangsa mereka yang terumbang-ambing dan dianggap sudah hilang kemampuan untuk meneruskan perjuangan bangsa masing-masing. Jika ada pihak mula merumuskan generasi hari ini sudah hilang jati diri, keadaan akan datang menjadi lebih parah. Sudah tentu, jika generasi hari ini hilang haluan dan pedoman, ia pasti melahirkan generasi yang sesat.

Mereka khayal dengan dunia remaja hingga lupa bahawa masyarakat mengharapkan mereka untuk memacu negara dan bangsa mereka pada masa akan datang. Di Malaysia, generasi muda yang aktif hari ini dibentuk oleh generasi yang kini berusia 50 hingga 60 tahun. Sudah tentu generasi baru ini dicorakkan mengikut acuan norma, nilai, disiplin, pemikiran dan perancangan ayah dan ibu mereka, yang juga tertakluk kepada suasana semasa ketika itu bermula pada era 1960-an.  Dari segi geopolitiknya, kekentalan generasi yang dibesar pada era itu tidak begitu membimbangkan kerana mereka masih mengenal erti kuasa politik. Keadaan ini berlaku walaupun dari segi sosialnya mereka dipengaruhi kemaraan budaya Pop Yeh-Yeh. Generasi Pop Yeh-Yeh dan A Go-Go bersaing hebat dengan kemaraan pengaruh di Barat menerusi generasi The Beatles, Pearl Jam atau sebelum itu High School Musical.

Budaya popular dari Barat ketika itu dianggap budaya kuning terutama dengan kemunculan generasi Woodstock, musik underground, heavy metal dan sebagainya.  Dari segi hubungan antarabangsa, sesetengah bangsa di Barat, khasnya di Amerika Syarikat, dibesarkan dalam suasana perbincangan yang mewujudkan Generasi 9/11 dan sebelum itu Generasi Perang Dingin. Pada 1980-an, negara melalui proses migrasi rakyat dari luar bandar ke bandar. Anak-anak dari kampung berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta, khasnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya. Bagi yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setakat lulus Sijil Rendah Pelajaran (kini Penilaian Menengah Rendah), mereka mengisi kekosongan di kilang yang ketika itu bagaikan cendawan tumbuh. Ketika itu, orang bercakap soal kejutan budaya.

Ibu bapa melepaskan anak ke bandar dengan rasa cemas. Pergaulan bebas menjadi-jadi, pelbagai jenis dadah mula menular di kalangan remaja. Ibu bapa di kampung tidak lelap tidur.  Migrasi ketika itu tidak dapat dielakkan kerana tenaga pekerja diperlukan untuk menampung keperluan era perindustrian di negara ini. Banyak pelabur menanam modal di Malaysia kerana yakin dengan suasana politik dan ekonomi negara. Ketika itu banyak kilang antarabangsa mula beroperasi. Setelah lebih 30 tahun berlalu, generasi yang dulu berhijrah untuk mencari sesuap nasi di perantauan kini membina keluarga masing-masing. Perkahwinan hasil migrasi adalah fenominan ketara. Anak mereka adalah pewaris generasi bagi keluarga mereka, seterusnya kepada negara. Bertolak dari 1980-an hingga hari ini, anak mereka kini berusia antara 20 hingga 30 tahun.  Mereka sudah mengambil alih peranan generasi muda yang hari ini popular dengan pelbagai gelaran seperti Generasi X,Y, generasi Facebook, tweeter dan sebagainya.

Dalam masyarakat pengguna pula, kumpulan millennial pula dianggap paling berpengaruh kerana mereka menjadi sasaran pasaran. Kumpulan ini dianggap begitu penting kerana mereka adalah penentu kepada ekonomi dan politik. Selain bilangan kumpulan ini agak besar, mereka adalah penentu pasaran dan kuasa politik. Apa juga ciptaan dan keluaran baru yang diusahakan oleh industri mengambil kira permintaan golongan ini. Dari segi politik, mereka adalah penentu undi yang berpengaruh. Mereka adalah golongan yang reaktif kepada produk baru, pasaran kereta, rumah dan sebagai, khasnya jika mereka tergolong dalam kumpulan kelas menengah atau golongan berpendapatan tinggi. Sudah tentu mereka juga reaktif kepada senario politik.  Mengurus generasi muda yang wujud hari ini adalah tugas yang mencabar. Mereka yang dibesarkan dalam suasana dan pemikiran 1960-an yang ketika itu muda remaja kini membesarkan anak dalam suasana yang berbeza pula.

Malaysia sedar masa depan negara akan ditentukan oleh generasi millennial. Jati diri mereka dibentuk oleh suasana negara sedang menggerakkan pembangunan negara. Hari ini mereka dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ITC) dan era transformasi.  Mereka mendengar dan melihat pelbagai proses transformasi. Mereka membaca dan mendengar soal transformasi di mana-mana saja. Jika generasi terdahulu membina sesuatu dengan matlamat membangunkan perindustrian negara dan sebagainya, hari ini mereka diminta supaya berubah ke satu tahap yang lebih baik. Jika generasi lalu diperkenalkan dengan gagasan Revolusi Mental dan Wawasan 2020, pada era ini mereka dicabar pula untuk melakukan transformasi. Semua ini dilakukan untuk membina sebuah generasi yang bertamadun. Dari konteks ini, Malaysia mendahului beberapa negara di dunia, memikirkan soal perubahan ke atas masyarakatnya.

12 Mac 2011

ULASAN BUKU : A DOCTOR IN THE HOUSE KARYA TUN DR MAHATHIR - NEGARAWAN ULUNG MALAYSIA ABAD KE-21

Oleh Jamhariah Jaafar
BERITA HARIAN, 12 MAC 2011


Beliau diberi pelbagai nama dan label – diktator, Melayu ultra, rasis, keras kepala – namun pemimpin ini yang naiknya penuh dengan cabaran, perjalanan politiknya amat berliku dan turunnya penuh dengan kejutan diiringi dengan air mata, sebelum disisih sekali lagi dan kini masih memerhati dengan serius setiap gerak pembangunan negara. Terkenal di seluruh dunia – bukan sebagai ‘pak turut’ tetapi sebagai pemimpin lantang, tidak gentar meluahkan pandangan, berani mengubah dasar antarabangsa negara, tegas apabila berhadapan dengan pemimpin besar dunia kelas pertama dan paling penting meletakkan Malaysia serta bangsa Melayu di persada yang luar biasa hebatnya. Itulah Tun Dr Mahathir Mohamad – perjalanan hidupnya penuh dengan cerita. Setiap langkah diambil mengambil kira kemajuan anak bangsa dan negara. Beliau pernah dipecat daripada parti (UMNO) tetapi keberanian dan ketegasannya dihormati ramai, dipuji hebat, dikritik dan dikutuk dengan amat sadis namun setiap kali hampir tersungkur dia akan bangun dengan lebih gah daripada sebelumnya.

Ramai tidak faham kebanyakan tindakan dan keputusan. Ramai tertanya-tanya mengapa Dr Mahathir berbuat itu dan ini sepanjang pentadbiran selama 22 tahun, terutama mengapa beliau kelihatan mempunyai begitu banyak musuh daripada Tunku Abdul Rahman, Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan paling kritis, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Semua soalan akhirnya menerima jawapan. Penyokong, peminat dan musuh akhirnya mengetahui isi hati pemimpin paling kontroversi dan paling gah dalam sejarah Malaysia melalui buku yang ditulisnya sendiri A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.  Buku setebal 843 muka surat ini bukan saja menceritakan kisah hidupnya, bahkan menjelaskan segala persoalan mengenai pelbagai isu, kes dan peristiwa, termasuk asal usul sejarah yang berkaitan.  Membuka tirai bab pertama ‘Menjadi Perdana Menteri’ (Becoming Prime Minister), Dr Mahathir menggarapkan pelbagai peristiwa pahit manis sejak beliau mula menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981.

Itu hanya pembuka kata, kerana cerita lebih mendalam berada dalam bab seterusnya. Selepas menjadi wartawan yang mengikuti beliau selama lebih 10 tahun, gaya penulisannya yang direct to the point, ringkas dan tidak membuang masa, membuat ramai teringat ucapannya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.  Seperti ucapannya – padat, memberi penjelasan, jelas dan tidak berbelit-belit – begitu jugalah penulisannya di dalam buku ini. Setiap isu, kes dan peristiwa memang diketahui ramai, cuma menerusi buku ini baru rakyat mengetahui cerita sebenar dari sudut pandang beliau.  Walaupun memulakan dengan bab Menjadi Perdana Menteri, tetapi cerita sebenar bermula dari zaman kecilnya dan yang bagi biasa mendengarnya penuh dengan nilai kekeluargaan – cara pembesaran ayah dan ibu, adat anak bangsa, membesar dalam suasana kampung Melayu yang miskin dan ketinggalan dari arus pembangunan pekan yang dikuasai bangsa asing.  

Bab ‘I am A Malay’ (Saya Seorang Melayu) membuatkan mata berkaca, kerana sudah agak lama tidak mendengar negarawan ini berucap – membakar semangat sebagai anak Melayu yang tidak gentar untuk menghadapi apa juga cabaran dan halangan.  Dr Mahathir menyentuh mengenai Tanah Melayu yang dijajah selama 450 tahun membuatkan bangsa Melayu tidak pernah menjadi tuan di negara sendiri, pengenalan Malayan Union oleh British adalah kes pertama di mana bangsa Melayu bangkit menentang secara lantang.  Penceritaannya di dalam setiap bab amat mengagumkan. Mungkin ada nama yang disebut tidak setuju dengan penjelasan diberi, namun setiap pihak mesti tahu ini adalah luahan daripada persepsi Dr Mahathir.  Semua kes dan isu, termasuk membabitkan permusuhannya dengan Tunku Abdul Rahman, hubungan dengan pemimpin UMNO, tragedi yang memecah belahkan UMNO pada 1987, kes membabitkan pemecatan Ketua Hakim Negara, Ops Lalang, Perwaja, malahan cerita mengenai Anwar Ibrahim – dari zaman pelajar, memasuki UMNO sehingga beliau dipecat – ditulis dengan jelas.

Setiap tindakan, keputusan dan sikap yang selama ini tidak difahami ramai orang, dijawab dengan jelas melalui buku ini. Bagi mereka yang tidak mengenali Perdana Menteri Malaysia keempat ini, yang menganggap beliau diktator, Melayu ultra atau rasis, juga sudah pasti mengenai pemimpin yang mempunyai impian dan harapan yang cukup tinggi bagi membangunkan anak bangsa dan negaranya. Dr Mahathir melahirkan segala impian dan harapannya dengan lantang di dalam buku ini. Segala tindakannya baik di pentadbiran negara, mahu pun dalam hubungan dengan dunia luar – mengambil kira kedudukan Melayu sebagai pewaris bumi bertuah ini dan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, dengan tidak membelakangkan bangsa lain.  Seperti ucapannya, tulisannya juga perlu dibaca dari awal hingga akhir. Setiap cubaan untuk sekadar memandang sekali lalu tidak berkesan, kerana akan ada penjelasan yang tidak diketahui.

Walaupun ada kenyataan dan cerita yang nampak berulang, namun ia tidak mencacatkan buku ini kerana ia adalah cara Dr Mahathir untuk memastikan setiap pembaca tahu apa yang dimaksudkan.  Jika membaca dengan ikhlas, ramai dapat melihat Dr Mahathir juga adalah seorang manusia biasa yang penuh dengan angan-angan, impian, kebimbangan dan disulami dengan kasih sayang sebagai seorang pemimpin, bapa dan suami.  A Doctor In The House adalah sebuah memori yang wajib dimiliki setiap rakyat Malaysia. Ia bukan saja buku yang menceritakan pemikiran seorang pemimpin agung negara, bahkan mengandungi sejarah yang selama ini hanya sekadar cakap dengar (hearsay).

SEBAGAI PENDIDIK AKU JUA SERING TERTANYA-TANYA, MAMPUKAH DAN DAPATKAH AKU MELAHIRKAN SEORANG PELAJAR YANG BOLEH MENJADI PEMIMPIN SEPERTI TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD.

PERCAYALAH, DIA SENTIASA DI HADAPAN DAN DIA SENTIASA BERSAMA KITA DENGAN JIWANYA YANG SENTIASA MEMBARA UNTUK MALAYSIA YANG TERCINTA. KATALAH APA SAHAJA PADANYA DIA MASIH TEGUH DI PERSADA. SEMOGA ALLAH TERUS 
MEMBERKATINYA ...


ISU SOSIAL : BELIA KRITIS, PRODUKTIF ACUAN PEMBANGUNAN NEGARA

Oleh Mohd Ayop Abd Razid
BERITA HARIAN, 12 MAC 2011


Belia aset penting untuk negara. Golongan ini amat penting kerana mereka pelapis dan pewaris kepemimpinan negara masa depan. Mereka penyumbang besar tenaga kerja negara.  Siapakah belia? Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 25 tahun, manakala pertubuhan Komanwel pula meletakkan umur 15 hingga 29 tahun sebagai belia. Di negara kita, definisi belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun. Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) mentakrifkan belia sebagai individu yang berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 40 tahun. Husain Mohamed (1977) mentakrifkan belia sebagai ‘orang muda’ yang bertenaga dan lebih produktif serta menguntungkan dari segi tenaga kerja (modal insan). Menurut Husain, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki kecenderungan menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat.

Implikasi buruk boleh tercetus mereka bersifat antisosial dan radikal. Justeru, belia adalah golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya.  Di negara kita, belia membentuk lebih daripada 40 peratus daripada populasi penduduk. Justeru, dasar pembangunan belia secara holistik mesti diberi fokus supaya mereka dapat memainkan peranan dalam proses pembangunan negara terutama menjadikan negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.  Pengabaian terhadap golongan ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif kepada aspek pembangunan sosioekonomi negara. Amnya belia di negara ini dibangunkan melalui sistem pendidikan. Namun, secara khususnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai tanggungjawab besar dalam soal pembangunan mereka.  Selain itu, peranan badan bukan kerajaan (NGO) juga sentiasa didambakan membantu membangun dan memajukan belia.

Ada pihak membuat komentar bahawa KBS kini lebih banyak memberi tumpuan kepada pembangunan belia dalam bidang sukan sedangkan pembangunan aspek lain kurang diberi perhatian. Sejauh mana benarnya komentar itu harus dijawab KBS secara berfakta dan tuntas.  Umumnya, belia masa kini harus diberi peranan lebih dalam proses membuat keputusan. Ini harus ditekankan dalam usaha mengisi ruang peranan belia secara dinamik dalam proses pembangunan negara. Soalnya, bagaimana proses membuat keputusan beliau ini boleh dimainkan secara berkesan? Pada hemat saya, cara terbaik ialah menerusi persatuan belia di mana tenaga dan idea mereka boleh digarap serta dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti. 

Persatuan belia harus diberi kebebasan membuat keputusan dalam melaksanakan aktiviti bermula peringkat perancangan sehingga kepada pelaksanaan projek atau program. KBS mungkin boleh berperanan sebagai fasilitator, penasihat, pembimbing dan membantu dari segi kewangan. Mereka juga mesti diberi ruang dan peluang dalam proses pembuatan keputusan dalam Dasar Belia Negara.  Persatuan belia yang diterajui kepemimpinan yang dinamik penting dalam menggerakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Persatuan belia juga mesti mempunyai komitmen memperjuangkan perkara berkaitan hak asasi dan demokrasi. Tidak ada maknanya jika negara mempunyai banyak persatuan belia tetapi pasif dan hanya bergantung pada kerajaan untuk menggerakkan aktiviti. 

Pada 2005, terdapat 8,000 persatuan belia dengan 2.8 juta ahli.  Saya yakin jika persatuan belia dapat memainkan peranan aktif maka belia akan melalui sosialisasi politik yang bermakna dalam kehidupan mereka. Ia sekali gus membina potensi kepemimpinan sebagai pewaris negara pada masa depan. Kajian Indeks Belia 2006 menunjukkan sosialisasi politik belia di negara ini pada tahap sederhana dan perlu dipertingkatkan. Jika diambil kira kelayakan umur mengundi di negara ini, belia mempunyai pengaruh besar dalam kejayaan sesebuah parti politik bertanding dalam pilihan raya. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pernah mengeluarkan statistik menunjukkan sehingga Disember 2007, terdapat 15.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun layak mendaftar sebagai pemilih. Namun, lebih 4.6 juta belum berbuat demikian. 

Dalam konteks perhubungan kaum, belia yang hidup dalam kepelbagaian sama ada dari segi etnik, bahasa, budaya dan agama harus memiliki kemampuan berkomunikasi secara efektif serta bersifat persuasif dengan rakan pelbagai keturunan. Dalam berinteraksi, belia harus memiliki ‘moral reasoning’ dengan pegangan prinsip dan etika jelas supaya gagasan 1Malaysia yang bermatlamat mengukuhkan perpaduan, dapat dicapai sepenuhnya. Persatuan belia harus mampu melihat sesuatu dari perspektif sendiri supaya sikap dan pemikiran dapat dibentuk secara terarah serta dimanfaatkan untuk proses pembangunan negara. Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang diwakili pelbagai pertubuhan belia juga harus digembleng.  MPBN boleh diibaratkan sebagai ‘Parlimen Belia’ dan mempunyai peranan penting membantu kerajaan membangun dan memajukan beliau. Justeru, persatuan belia bernaung di bawah MPBN wajar mengambil peluang memperjuangkan dasar, idea serta hasrat belia pada hari ini.  

Belia dan kerajaan mesti membina komunikasi efektif supaya segala dasar, perancangan dan aktiviti belia dilaksanakan dengan baik dan berkesan demi kepentingan bangsa serta negara. Persatuan belia harus membantu kerajaan dalam menangani isu berkaitan belia.  Setakat ini, belum terserlah persatuan belia mengambil inisiatif menganjur seminar bagi membahaskan isu belia serta menyediakan perancangan tuntas bagi membantu kerajaan menanganinya. Dalam konteks ini, persatuan itu harus mengenal pasti dan mendefinisikan masalah dengan jelas supaya dapat mengemukakan sebanyak mungkin penyelesaian dengan pelbagai metodologi. Ia memerlukan belia berfikir secara kritikal menggunakan ‘inferens’ dan ‘reasoning’ yang baik supaya mampu memilih alternatif yang tepat dan berkesan.

Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

ISU ALAM SEKITAR : TOKYO REBAH MUSNAH DILANDA TSUNAMI

BERITA 1 : TSUNAMI MELANDA JEPUN



Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan melanda Jepun, meragut beribu-ribu nyawa penduduk ketika ia menghentam bot, kereta dan kediaman manakala kebakaran meletus tanpa kawalan. Amaran tsunami dikeluarkan ke seluruh Pasifik, sehingga sejauh Amerika Selatan, Kanada, Alaska dan seluruh pantai barat Amerika Syarikat. Menurut polis Jepun, dianggarkan antara 200 hingga 300 mayat ditemui di kawasan perairan Sendai, bandar paling dekat dengan pusat gempa bumi. Polis berkata, setakat ini 88 orang disahkan terbunuh dan 359 orang masih dilaporkan hilang. Angka kematian dijangka terus meningkat berdasarkan skala bencana alam berkenaan. Orang ramai diberi amaran untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. Siaran televisyen turut memaparkan kebakaran dan kepulan asap hitam sekitar bangunan di Odaiba, pinggir bandar Tokyo dan perkhidmatan kereta api laju ke arah utara terpaksa dihentikan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan bot, kereta dan trak terapung di atas air selepas tsunami kecil melanda bandar Kamaichi yang terletak di utara Jepun. Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan berkata, kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat. Gempa bumi ini mengakibatkan kemusnahan besar di bahagian utara Jepun. Kerajaan akan menjalankan semua usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat dan meminimumkan kerosakan. Agensi berita Kyodo melaporkan, beberapa kebakaran turut berlaku di bandar Sendai, yang menyaksikan ombak besar menghanyutkan kenderaan di landasan lapangan terbang. Di wilayah Wakayama, 20,000 penduduk diarahkan berpindah selepas amaran tsunami dikeluarkan dan beberapa gegaran susulan melanda. Menurut wartawan Reuters, Mariko Katsumura, penumpang kereta api bawah tanah menjerit dan memegang tangan penumpang lain. Gegaran yang terlalu kuat membuatkan mereka sukar untuk berdiri.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum ini mengesahkan gempa bumi tersebut berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer. Pasaran saham Tokyo turut mengalami kerugian selepas gempa bumi itu diumumkan. Menurut bank pusat, mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kewangan kembali stabil.

BERITA 2 : PULAU BESAR BOLEH DITENGGELAMKAN




Tsunami besar yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di Jepun hari ini mencecah paras yang boleh menenggelamkan sesetengah pulau di kawasan Pasifik. Negara membangun menghadapi risiko lebih besar daripada tsunami itu berbanding Jepun, meskipun kebanyakannya telah memantapkan sistem amaran awal dan pelan pemindahan sejak tsunami 2004, menurut Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) hari ini. Paling membimbangkan kami ialah rantau Asia Pasifik, di mana negara membangun jauh lebih terdedah kepada bencana seumpama ini dan tsunami itu menimbulkan ancaman besar. Buat masa ini parasnya lebih tinggi daripada sesetengah pulau dan pulau itu boleh tenggelam, satu senario yang tidak mahu dilihat oleh sesiapa pun, kata jurucakap IFRC, Paul Conneally di Geneva hari ini.

 IFRC menggunakan sistem amaran awalnya di negara-negara Asia Pasifik hari ini dalam usaha untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat selepas amaran tsunami dikeluarkan. Masih ada masa tetapi tidak banyak dan laporan disebarkan. Perkara utama ialah keselamatan, kata jurucakap IFRC dari habnya di Kuala Lumpur, Patrick Fuller menerusi telefon. Lebih 226,000 penduduk di 11 negara Asia terkorban dalam tsunami 2004. Gempa bumi terbesar yang melanda Jepun dalam tempoh 140 tahun menggegarkan pantai timur lautnya hari ini, mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter. Semua Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah kebangsaan di rantau ini termasuk di Filipina, Papua New Guinea dan Pulau-Pulau Pasifik dikerahkan untuk membantu penduduk masing-masing, menurut IFRC, rangkaian bantuan bencana terbesar di dunia.

BERITA 3 : BERJUTA-JUTA PENDUDUK TOKYO TERKANDAS



Berjuta penduduk di bandaraya Tokyo terkandas jauh dari rumah mereka petang semalam berikutan gempa bumi kuat melanda Jepun sekali gus mencatatkan rekod melumpuhkan sistem keretapi bawah tanah di ibu negara berkenaan. Siren kedengaran di Tokyo, helikopter rangkaian televisyen berlegar di ruang udara manakala penduduk kelihatan bergegas ke kedai runcit 24 jam di bandaraya itu untuk mendapatkan bekalan sandwich dan mi cawan segera. Kebanyakan penduduk yang sebelum itu melarikan diri dari bangunan pejabat mendapati diri mereka terkandas jauh dari keluarga malah tidak dapat menghubungi mereka disebabkan sistem telefon bimbit tidak dapat menampung panggilan yang banyak. “Saya tidak tahu bagaimana untuk pulang ke rumah,” kata seorang wanita berusia 18 tahun di luar stesen keretapi bawah tanah Ginza. Beliau menerangkan bagaimana tanah liat bertaburan di sekelilingnya di sebuah pusat beli belah apabila gempa bumi kuat melanda pada waktu tengah hari.

Kerajaan menggunakan pembesar suara dan siaran televisyen untuk menggesa penduduk supaya terus berada di tempat kerja mereka berbanding mengambil risiko untuk berjalan pulang berikutan lebuh raya menuju ke tengah bandaraya terputus manakala hotel mendapat tempahan penuh.  “Tolong jangan paksa diri anda untuk pulang ke rumah kerana tiada pengangkutan tetapi terus berada di pejabat atau tempat lain yang selamat,” kata satu nasihat kecemasan yang disiarkan penyiar awam, NHK. “Hari sudah malam,” kata penyiar NHK berikutan suasana gelap yang sejuk melanda seluruh negara. “Jika penduduk yang tinggal jauh cuba untuk melintasi sempadan wilayah dengan berjalan kaki pada waktu malam, mereka mungkin menjadi mangsa kepada kemalangan kedua.” Wilayah Tokyo yang membabitkan Yokohama dan kawasan sekitar Kanto adalah kawasan kediaman bandar terbesar di dunia dengan lebih 30 juta penduduk, kebanyakan mereka berulang alik beberapa jam setiap hari.

Landasan keretapi Sistem Metro Tokyo dan Japan Railway masih lagi ditutup selepas beberapa jam gempa bumi kuat menggegarkan bangunan di seluruh bandar raya terbabit. Jepun berada dalam Lingkaran Api Pasifik manakala Tokyo terletak dalam satu daripada kawasan yang amat berbahaya. Bandar raya itu berada di antara persimpangan tiga pentas benua Eurasian, Pasifik dan Laut Filipina yang bertentangan antara satu sama lain, mewujudkan tekanan seismik paling besar. Jawatankuasa Penyelidikan Gempa Bumi kerajaan memberi amaran bahawa peluang sebanyak 70 peratus bagi gempa bumi dengan kekuatan 8 pada skala Richter akan melanda dalam masa 30 tahun di Kanto. 

INGATLAH WAHAI MANUSIA, DUNIA SEMAKIN PENAT, DUNIA SEMAKIN TUA, DUNIA SEMAKIN MENGHAMPIRI PENGHUJUNGNYA

11 Mac 2011

ISU UMUM : MELAYU LUPA KEBERKATAN ?

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Nampaknya  orang Melayu Islam telah lupa mengenai pentingnya keberkatan dalam hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memainkan peranan penting dalam hidup. Oleh itu, mereka akan memastikan segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam mulut adalah halal berikutan ia akan menjadi darah daging mereka. Muslim sedemikian, akan memastikan mereka tidak melakukan penipuan dan menerima rasuah bagi mengkhianati kaum sendiri kerana mereka tahu wang yang diperoleh secara tidak halal akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalam hati. Apabila hati telah mati dan menjadi keras, orang Melayu akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak kaum mereka untuk bekerja atau berniaga diketepikan. Itulah rintihan yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat kepada wartawan Utusan Malaysia dalam satu pertemuan lebih dua jam pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Apa yang disebut oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu adalah masalah besar yang kini menghimpit orang Melayu khususnya para peniaga kerana mereka tidak lagi dibantu oleh kaum sendiri. Menurut beliau, ahli-ahli politik Melayu kini hanya sibuk bergaduh sesama sendiri bagi merebut kuasa dan agama Islam yang masing-masing anuti gagal untuk menyatukan mereka. Dalam masa sama, agensi dan jabatan kerajaan yang sepatutnya menolong orang Melayu lebih mementingkan keuntungan dan melupakan agenda sebenar untuk mengembalikan hak dan maruah kaum itu. Beliau memberi contoh restoran di sebuah kompleks beli-belah ternama di Kuala Lumpur yang menjadi tempat temu bual kami yang sehingga kini gagal untuk mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan. Jelas beliau, pengusaha terbabit wajar dibantu kerana dia telah menjalankan tanggungjawab murni untuk mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan kecil Melayu di premisnya.

''Restoran ini adalah segelintir premis yang diusaha peniaga Melayu di sini dan saudara dapat lihat ia dihimpit oleh banyak gerai lain yang dipunyai bukan kaum kita. ''Ada agensi kerajaan yang pernah menjanjikan bantuan RM5,000 tetapi setelah tiga tahun, pengusaha restoran ini masih menunggu janji ini ditunaikan," ujarnya. Menurut Nadzim, beliau turut menerima aduan daripada seorang usahawan penternakan yang mendakwa beliau ditekan sebuah agensi kerajaan supaya berpindah dari ladangnya. ''Ternakan beliau telah diracun pihak tertentu sehingga rugi berjuta-juta ringgit. Taktik ini digunakan supaya beliau keluar dari situ kerana kawasan berkenaan akan dimajukan sebagai padang golf oleh usahawan dari negara jiran. ''Masalah ini berlaku kerana ada sesetengah agensi kerajaan kita diketuai oleh Napoleon Kecil yang hanya mementingkan keuntungan termasuk komisen yang diterima, bukannya agenda utama untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau menyifatkan Napoleon Kecil itu sebagai sangat berkuasa dan cukup angkuh kerana mereka tidak menghiraukan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang dibawa oleh usahawan itu yang mengarahkan isu berkenaan diselesaikan segera secara baik. Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa sikap mengabaikan keberkatan dalam hidup turut menular di kalangan syarikat yang dimiliki parti politik Melayu. ''Jangan terkejut jika saya beritahu saudara bahawa syarikat terbabit telah memesan berpuluh ribu kuih yang dihasilkan usahawan Cina. Mungkin alasan yang diberikan adalah kerana harga yang murah dan servis lebih baik. ''Saya tidak menyalahkan usahawan Cina terbabit kerana dia pandai, tetapi saya menyalahkan orang Melayu seperti ini yang tidak sedar diri," katanya. Bagaimanapun, tegas beliau, komen itu bukan bererti beliau mempertikaikan ajaran Islam sebagai agama yang cintakan keamanan dan kedamaian di antara kaum.

''Islam tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan kaum atau bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang. ''Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim. ''Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita berniaga dengan bukan Islam. Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka berniaga dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim," ujarnya kesal. Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kehairanan dengan sikap menteri-menteri Melayu yang amat payah untuk membantu kaum sendiri. ''Ada menteri kita kata, saya tidak boleh nak tolong, kerana saya ikut buku. Kalau ikut buku, kita tidak perlu menteri lagilah kerana kita boleh berurusan terus dengan pegawai-pegawai.

''Kita berjumpa menteri kerana mengharapkan mereka dapat menggunakan kuasa budi-bicara termasuk yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Menteri kita nampaknya macam tidak jelas agenda masing-masing, hendak tolong pun susah. ''Menteri ini tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu membantu dan mereka kena belajar dengan menteri Cina, bagaimana mereka menolong orang Cina," katanya. Tambah beliau, di seluruh dunia budaya bending backwards (melentikkan badan ke belakang) untuk menolong adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti China, Jepun dan Yahudi. ''Kita patut belajar daripada Datuk Seri S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) kerana beliau pernah menelefon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memaklumkan permohonan sebuah syarikat kaum India untuk mendapatkan sijil halal. Kita mana ada menteri nak buat kerja macam ini,'' ujar beliau.

Tegas beliau, lebih banyak bantuan harus diberikan kepada orang Melayu berikutan kedudukan kaum itu yang masih tidak sama rata dengan kaum lain. ''Kalau kita yang tidak tahu ikat tali sarung tangan tinju pun disuruh berlawan dengan bekas juara dunia, Mike Tyson, ini tentu tidak boleh. Jika ini dibiarkan, kita akan terikat dengan undang-undang dunia iaitu yang kuat akan menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba. ''Saya harap saudara tulis perkara ini, bagi menyedarkan semua pihak bahawa kedudukan orang Melayu kini cukup hina kerana kita lemah dalam segenap segi termasuk sosial, ekonomi dan pendidikan,'' katanya. Walaupun situasi sekarang tidak memihak kepada orang Melayu, ujarnya, beliau yakin mereka boleh menjadi kaum yang kuat, jika sedar diri dan sanggup berubah dari sekarang untuk menolong kaum sendiri.

UTUSAN MALAYSIA, 11 MAC 2011