Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
BERITA MINGGU, 13 MAC 2011
Perbincangan mengenai masa depan generasi sesuatu bangsa tidak akan berakhir. Setiap bangsa yang mengenal erti kedaulatan bangsanya akan bercakap mengenai masa depan generasi bangsa masing-masing. Generasi bangsa merekalah yang akan menjadi pewaris bangsa mereka kelak. Bangsa yang tidak membina generasi bangsanya akan lenyap dari muka bumi ini. Generasi yang lemah tidak akan dapat mengikut perubahan zaman dan akan ketinggalan. Hari ini banyak bangsa di dunia cemas dengan sikap dan gelagat generasi bangsa mereka yang terumbang-ambing dan dianggap sudah hilang kemampuan untuk meneruskan perjuangan bangsa masing-masing. Jika ada pihak mula merumuskan generasi hari ini sudah hilang jati diri, keadaan akan datang menjadi lebih parah. Sudah tentu, jika generasi hari ini hilang haluan dan pedoman, ia pasti melahirkan generasi yang sesat.
Mereka khayal dengan dunia remaja hingga lupa bahawa masyarakat mengharapkan mereka untuk memacu negara dan bangsa mereka pada masa akan datang. Di Malaysia, generasi muda yang aktif hari ini dibentuk oleh generasi yang kini berusia 50 hingga 60 tahun. Sudah tentu generasi baru ini dicorakkan mengikut acuan norma, nilai, disiplin, pemikiran dan perancangan ayah dan ibu mereka, yang juga tertakluk kepada suasana semasa ketika itu bermula pada era 1960-an. Dari segi geopolitiknya, kekentalan generasi yang dibesar pada era itu tidak begitu membimbangkan kerana mereka masih mengenal erti kuasa politik. Keadaan ini berlaku walaupun dari segi sosialnya mereka dipengaruhi kemaraan budaya Pop Yeh-Yeh. Generasi Pop Yeh-Yeh dan A Go-Go bersaing hebat dengan kemaraan pengaruh di Barat menerusi generasi The Beatles, Pearl Jam atau sebelum itu High School Musical.
Budaya popular dari Barat ketika itu dianggap budaya kuning terutama dengan kemunculan generasi Woodstock, musik underground, heavy metal dan sebagainya. Dari segi hubungan antarabangsa, sesetengah bangsa di Barat, khasnya di Amerika Syarikat, dibesarkan dalam suasana perbincangan yang mewujudkan Generasi 9/11 dan sebelum itu Generasi Perang Dingin. Pada 1980-an, negara melalui proses migrasi rakyat dari luar bandar ke bandar. Anak-anak dari kampung berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta, khasnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya. Bagi yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setakat lulus Sijil Rendah Pelajaran (kini Penilaian Menengah Rendah), mereka mengisi kekosongan di kilang yang ketika itu bagaikan cendawan tumbuh. Ketika itu, orang bercakap soal kejutan budaya.
Ibu bapa melepaskan anak ke bandar dengan rasa cemas. Pergaulan bebas menjadi-jadi, pelbagai jenis dadah mula menular di kalangan remaja. Ibu bapa di kampung tidak lelap tidur. Migrasi ketika itu tidak dapat dielakkan kerana tenaga pekerja diperlukan untuk menampung keperluan era perindustrian di negara ini. Banyak pelabur menanam modal di Malaysia kerana yakin dengan suasana politik dan ekonomi negara. Ketika itu banyak kilang antarabangsa mula beroperasi. Setelah lebih 30 tahun berlalu, generasi yang dulu berhijrah untuk mencari sesuap nasi di perantauan kini membina keluarga masing-masing. Perkahwinan hasil migrasi adalah fenominan ketara. Anak mereka adalah pewaris generasi bagi keluarga mereka, seterusnya kepada negara. Bertolak dari 1980-an hingga hari ini, anak mereka kini berusia antara 20 hingga 30 tahun. Mereka sudah mengambil alih peranan generasi muda yang hari ini popular dengan pelbagai gelaran seperti Generasi X,Y, generasi Facebook, tweeter dan sebagainya.
Dalam masyarakat pengguna pula, kumpulan millennial pula dianggap paling berpengaruh kerana mereka menjadi sasaran pasaran. Kumpulan ini dianggap begitu penting kerana mereka adalah penentu kepada ekonomi dan politik. Selain bilangan kumpulan ini agak besar, mereka adalah penentu pasaran dan kuasa politik. Apa juga ciptaan dan keluaran baru yang diusahakan oleh industri mengambil kira permintaan golongan ini. Dari segi politik, mereka adalah penentu undi yang berpengaruh. Mereka adalah golongan yang reaktif kepada produk baru, pasaran kereta, rumah dan sebagai, khasnya jika mereka tergolong dalam kumpulan kelas menengah atau golongan berpendapatan tinggi. Sudah tentu mereka juga reaktif kepada senario politik. Mengurus generasi muda yang wujud hari ini adalah tugas yang mencabar. Mereka yang dibesarkan dalam suasana dan pemikiran 1960-an yang ketika itu muda remaja kini membesarkan anak dalam suasana yang berbeza pula.
Malaysia sedar masa depan negara akan ditentukan oleh generasi millennial. Jati diri mereka dibentuk oleh suasana negara sedang menggerakkan pembangunan negara. Hari ini mereka dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ITC) dan era transformasi. Mereka mendengar dan melihat pelbagai proses transformasi. Mereka membaca dan mendengar soal transformasi di mana-mana saja. Jika generasi terdahulu membina sesuatu dengan matlamat membangunkan perindustrian negara dan sebagainya, hari ini mereka diminta supaya berubah ke satu tahap yang lebih baik. Jika generasi lalu diperkenalkan dengan gagasan Revolusi Mental dan Wawasan 2020, pada era ini mereka dicabar pula untuk melakukan transformasi. Semua ini dilakukan untuk membina sebuah generasi yang bertamadun. Dari konteks ini, Malaysia mendahului beberapa negara di dunia, memikirkan soal perubahan ke atas masyarakatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan