08 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENGURUSAN BAKAT, PERANAN MASA DEPAN IPT


Ketika Datuk Seri Najib Razak, membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, satu perkara yang disentuh ialah keperluan menyuburkan bakat bagi meningkatkan keupayaan sumber manusia menyahut cabaran Model Baru Ekonomi (MBE). Mengenal, membangun dan mengurus bakat adalah faktor kejayaan asas bagi merealisasikan hasrat pembangunan ekonomi berasaskan ilmu dan teknologi tinggi.  
Malaysia adalah negara yang baru membangun. Kita tidak memiliki tradisi penyelidikan untuk membangun industri. Sebahagian besar industri negara bergantung kepada teknologi dan kepakaran asing. Walaupun usaha menyediakan ‘asas pembangunan teknologi tempatan’ sudah bermula sejak awal 1980-an melalui galakan penyelidikan dan pertumbuhan industri kecil dan sederhana, penerapan keupayaan membina teknologi tinggi masih terbatas. Pusat penyelidikan berasaskan pembangunan industri masih belum mampu membangun teknologi tempatan berimpak tinggi. 
Ringkasnya, di Malaysia bakat dalam konteks transformasi ilmu ialah ilmuwan dan penyelidik berkaliber yang umumnya terkumpul di institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka mempunyai tugasan asas sebagai pendidik untuk pembangun sumber manusia berilmu.

Pada masa sama, mereka diperlukan untuk menjalankan penyelidikan fundamental bagi meneroka ilmu baru. Hasil penyelidikan perlu diterbitkan untuk dikongsi bersama rakan sejawat. Masyarakat juga mengharapkan mereka menjadi ‘intelek awam’ untuk menyumbangkan idea dan pandangan demi kepentingan masyarakat. 
Ramai yang berbakat di IPT masih kurang menyerlah. Di kalangan pembuat dan pelaksana dasar, mereka berasakan Malaysia ketandusan bakat. Ada yang percaya, untuk memastikan kejayaan MBE, kita perlu membawa bakat dari luar. Usaha mempelawa warga Malaysia yang berhijrah ke negara maju dan mengukir nama di sana, dikatakan cara yang terbaik untuk membawa pulang mereka yang berbakat!  
Benarkah IPT tempatan ketandusan bakat atau kita belum berjaya mengurus dan menonjolkan mereka yang berbakat? Apakah negara perlu menggubal dasar baru mengurus bakat? Persepsi ketandusan bakat di IPT perlu dihuraikan berasaskan senario berikut: 

Pertama: Kita perlu mengenali siapa ahli akademik? Mereka adalah individu yang mencapai kejayaan cemerlang dalam ijazah pertama dan mempunyai ciri berminat untuk meneroka ilmu. Keintelektualan akademik adalah prasyarat pertama menjadi ahli akademik. Berikutnya mereka perlu melakukan penyelidikan siswazah untuk memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah. Ini adalah latihan pertama untuk membangun kepakaran menyelidik dan lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun. Dalam konteks akademik, ijazah PhD adalah lesen untuk membolehkan seseorang melakukan penyelidikan tanpa bantuan penyelia. Di kebanyakan negara, ia juga menjadi lesen untuk menjadi ahli akademik.  
Kepakaran ahli akademik masih perlu diasah melalui penyelidikan dan penulisan. Ahli akademik dalam kepelbagaiannya, perlu mencari ‘nic’ akademik tersendiri. Berasaskan ‘nic’ ini, mereka perlu meneroka ilmu baru dan memperkenal dapatannya melalui penulisan ilmiah dan pengajaran. Dalam keadaan lazim, kepakaran hanya dikenali atau diiktiraf oleh rakan setarafnya. Sistem pengiktirafan dalam dunia akademik adalah melalui proses penilaian untuk menjadi profesor madya dan akhirnya untuk jawatan profesor. Apabila menjadi profesor, lazimnya pada usia antara 45 hingga 50 tahun, barulah seseorang akademik diiktiraf ‘pakar’ dalam bidang pengkhususannya. 

Kedua: Apakah bakat yang diharapkan untuk menyokong MBE bererti mereka yang dapat menjana produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan? Jika ini yang diharapkan, universiti bukan tempatnya mencari bakat dimaksudkan! Kerajaan perlu mencari pendekatan baru dan berstrategi untuk mencapai hasrat ini dan universiti boleh memainkan peranan penting menjayakannya. Universiti boleh menjadi tempat membangun dan pengasah bakat baru melalui program siswazah dan penyelidikan yang menjurus kepada pembangunan teknologi tinggi dalam bidang keutamaan negara. Tempat mengurus bakat perlu diwujudkan di luar sekitaran universiti!  
Kerajaan menerusi kerjasama universiti, badan berkanun atau swasta perlu mewujudkan lebih banyak pusat penyelidikan bersifat pembangunan produk dalam sekitaran yang bebas dan kondusif. Kerajaan perlu menganggap proses ini adalah sebahagian pembangunan asas negara. Pada peringkat awal, tumpuan perlu diberi kepada pembangunan bakat dan infrastruktur. Matlamat akhir pastinya menghasilkan produk atau perkhidmatan berteknologi tinggi atau nilai tambah tinggi. 

Dasar dan strategi pembangunan semasa sangat mengelirukan. Universiti dan ahli akademiknya dilihat sebagai sekitaran yang berupaya menghasilkan produk berteknologi tinggi. Sejumlah besar dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) disalurkan ke universiti untuk tujuan ini. Walaupun universiti masih berupaya memikul tanggungjawab berat ini, hakikatnya secara jangka panjang ia hanya membantutkan pertumbuhan universiti ke arah kecemerlangan akademik.  
Sebahagian ahli akademik perlu berubah daripada penjana ilmu kepada penjana teknologi. Akibatnya, mereka kehilangan bakat asli dan pada masa sama, belum tentu dapat mengasah bakat baru dalam sekitaran mencabar.  
Dalam menjayakan hasrat MBE dan pengurusan bakat, IPT perlu dilihat sebagai institusi yang memainkan peranan lebih luas dan bukan sekadar tempat bakat digunakan untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi. Universiti adalah gedung ilmu yang ada sekumpulan bakat besar negara yang tugasnya untuk mencetus idea baru, membimbing perubahan dasar dan hala tuju pembangunan, pembangun dan mengasah bakat baru dan menjadi sumber ilham serta aspirasi generasi muda negara. 

Penulis adalah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

BERITA HARIAN
8 JANUARI 2010

07 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : SYARAT WAJIB LULUS SEJARAH DALAM SPM PADA TAHUN 2013 BELUM MUKTAMAT


Kementerian Pelajaran masih belum membuat keputusan muktamad bagi membolehkan mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, berikutan itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menjalankan kajian berhubung perkara itu. Perkara ini tidak boleh diadakan secara terburu-buru kerana ia perlu dikaji secara menyeluruh bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat daripadanya. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

06 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : KESILAPAN PADA BUKU TEKS SEKOLAH BOLEH MENJEJASKAN PENCAPAIAN PELAJAR



Isu kesalahan tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat yang dikesan berlaku dalam buku teks Bahasa Inggeris Tahun 1 (2011) seperti dilaporkan kelmarin tidak boleh dipandang ringan dan perlu diambil tindakan segera untuk membetulkannya. Aduan mengenai kesalahan itu dimuatkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris selepas orang ramai mengesan kesilapan itu. Selepas disemak secara terperinci, Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) turut mengesahkan terdapat kesilapan yang amat ketara pada buku teks berkenaan seperti yang didakwa orang ramai. Kita harus akui masyarakat khususnya ibu bapa kini begitu peka dengan apa yang berlaku membabitkan soal pendidikan anak mereka. Keprihatinan dan kepekaan ibu bapa dalam soal pelajaran membuktikan mereka amat menitikberatkan apa yang berlaku dan dilalui oleh anak mereka di sekolah. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil ringan setiap aduan berkaitan soal pelajaran dan menerimanya secara positif termasuk teguran mengenai kesilapan dalam buku teks berkenaan. Kita tidak boleh menganggap perkara itu kecil dan sengaja ditimbulkan atau mencari kesalahan pihak lain termasuk mereka yang cuai dan menjadi punca kesilapan berkenaan. Sebaliknya jika kesalahan itu benar-benar berlaku dengan ketara, kita tidak mempunyai pilihan selain membetulkannya segera supaya murid Tahun Satu yang baru hendak membina kemahiran bahasa Inggerisnya, tidak melakukan kesalahan sama. Apa yang menghairankan kita dan menjadi persoalan ialah bagaimana kesilapan itu boleh berlaku kerana buku teks sekolah sepatutnya bebas sepenuhnya daripada sebarang kesilapan. Setahu kita, proses menyediakan buku teks sekolah disemak secara rapi dan terperinci oleh mereka yang mahir dan profesional. Sebelum dicetak oleh penerbit, manuskrip terlebih dulu harus melalui beberapa kali proses saringan oleh pakar bahasa serta ahli akademik berkaitan. 

Justeru, dalam kes buku Bahasa Inggeris Tahun 1 (2011) ini, apakah proses rutin itu dipatuhi dengan penuh beretika dan bertanggungjawab? Jika ia disaring secara profesional, bagaimana kesilapan itu boleh terlepas pandang dan tidak dapat dikesan sebelum dicetak? Kes sebegini boleh menjejaskan imej Kementerian Pelajaran walaupun proses menerbitkan buku teks itu dilakukan di bahagian tertentu. Kita bersetuju dengan tindakan pantas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, yang mengarah Bahagian Buku Teks (BBT) bertindak segera meneliti dakwaan itu dan mengambil tindakan susulan mengenainya. Beliau memberi jaminan sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran murid Tahun Satu tidak terjejas dan berjalan lancar. Kita tidak mahu kecuaian segelintir pegawai dalam penerbitan buku berkenaan akan memberi ruang kepada pihak tertentu khususnya pembangkang untuk memperlekeh dan menggembar-gemburkan kelemahan agensi kerajaan. Kecuaian itu juga menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan membuat pembetulan sama ada mencetak semula buku berkenaan atau menampal bahagian yang salah. Kesilapan begini tidak sepatutnya berulang pada masa depan dan semua pihak terbabit dalam penerbitan buku teks sekolah harus menjadikannya sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas. Adalah penting, apa juga jenis buku diterbitkan dan diedarkan untuk tatapan umum, apatah lagi buku teks sekolah yang menjadi rujukan pelajar mesti bebas sepenuhnya daripada sebarang kesalahan, sama ada dari segi fakta, ejaan, bahasa, kosa kata dan struktur bahasa. Setiap karya mesti diterbitkan dengan penuh teliti dan jaminan dari segi kualitinya supaya menepati piawaian ditetapkan.

Ruangan Minda Pengarang
Berita Harian Online
6 Januari 2010

ISU SOSIAL : MASIH RAMAI LULUSAN UNIVERSITI BERGAJI KECIL


Akhir-akhir ini kita begitu ghairah hendak melonjakkan negara dari kedudukannya sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Maka pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk mencapai matlamat ini. 
Dalam pada itu apakah realitinya kalau dilihat daripada keadaan yang wujud sekarang? Benar kerajaan berazam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mengubah nasib golongan berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,500 sebulan yang dikatakan mewakili lebih 46 peratus daripada tenaga kerja negara untuk menerima pendapatan tinggi menjelang 2020. Antara mereka yang berpendapatan rendah ini termasuk juga lulusan universiti. 

Mungkin mereka yang bernasib baik akan mendapat pekerjaan dengan syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan atau dengan kerajaan. Mereka akan menerima ganjaran setimpal dengan kelulusan. Tetapi dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan pun mereka akan hanya dapat menampung kehidupan seharian dengan membayar sewa bilik, belanja pengangkutan untuk pergi balik bekerja dan belanja makanan. Apa pun tidak juga ada maknanya berpendapatan tinggi tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau hendak membeli kereta pun terpaksa berhutang hingga tujuh tahun untuk melangsaikannya. 
Untuk menampung keadaan sekarang pinjaman kepada pembeli rumah dilonggarkan dengan tempoh bayaran balik melebihi 30 tahun, iaitu kalau sudah bersara pun rumah masih tergadai dengan bank hinggakan bank sudah pun mengadakan peraturan bayaran balik pinjaman rumah boleh diambil alih oleh anak. 


Inilah keadaan yang dihadapi rakyat. Apa yang perlu ialah menentukan rakyat biasa mampu membeli rumah mereka sendiri tanpa perlu berhutang hingga sudah bersara masih belum dapat melangsaikan piutang dengan bank. 
Maka itu apakah seorang lulusan universiti yang sudah bekerja lima tahun misalnya sudah mampu untuk membeli rumahnya sendiri? Kalau dilihat keadaan sekarang, ini tidak mungkin. Harga rumah berterusan melambung tanpa ada hadnya. Rumah teres di sesetengah tempat pun kini sudah ada yang mencecah jutaan ringgit.  
Kerajaan wajar memastikan rakyat dapat memenuhi tiga keperluan utama dalam kehidupan mereka, iaitu mampu menyara diri sendiri dan anak isteri, mampu memiliki rumah sendiri dan mampu pula berulang alik ke tempat kerja dengan mudah atau pun mampu memiliki kereta sendiri. 

Maknanya kerajaan harus menentukan adanya pelbagai skim menyediakan rumah mampu dibeli pekerja demikian ini. 
Inilah keperluan minimum setiap pekerja. Apakah menjelang 2020 nanti kita akan dapat menjamin bahawa majoriti pekerja kita boleh memenuhi kehendak ini? 
Kalau dilihat keadaan yang wujud sekarang kita sememangnya menghadapi suatu keadaan yang sungguh mencabar untuk mencapai impian ini walaupun dengan adanya pelbagai inisiatif strategik untuk menjayakan MBE yang diumumkan kerajaan hampir setahun lalu. 
Buat masa ini seorang lulusan universiti pun menghadapi pelbagai cabaran mendapatkan pekerjaan hinggakan ada di antara mereka berterusan dieksploitasi oleh banyak majikan syarikat kecil yang mengambil mereka bekerja tanpa diberikan surat pelantikan. 


Syarikat seperti agensi pengiklanan, syarikat pembikinan filem atau syarikat yang menguruskan acara peristiwa banyak mengambil lulusan universiti hanya secara lisan. Mereka tahu bahawa lulusan itu akan menerima saja pekerjaan walaupun secara lisan asalkan dapat menerima gaji yang boleh menyara kehidupan mereka di kota. 
Maka dengan itu pekerja ini tidak akan tersenarai sebagai pekerja dan tidak mempunyai apa-apa pun hak sebagai pekerja. Jadi mereka bekerja mengikut suka hati pemilik syarikat itu tanpa mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak berhak mendapat perbelanjaan rawatan kiranya jatuh sakit, tidak mempunyai sebarang cuti sakit dan kalau tidak bekerja pada hari-hari sakit gaji bulanan akan dipotong mengikut jumlah hari yang dia tidak datang bekerja. 
Demikian pula waktu bekerja juga panjang hingga ada yang perlu bekerja hingga larut malam jika dikehendaki menyiapkan sesuatu projek yang diterima majikan tanpa diberikan bayaran lebih masa. 

Mereka juga boleh diberhentikan dengan mudah hanya dengan lisan tanpa sebarang alasan munasabah. 
Inilah yang dialami seorang gadis muda lulusan bidang penyiaran dari UiTM baru-baru ini yang dipecat majikan sebuah syarikat pembikinan filem. Walaupun dia telah mewakili syarikatnya naik ke pentas menerima hadiah pada majlis Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti bahawa dia adalah pekerja syarikat produksi berkenaan. 
Kisahnya dimuatkan dalam blog ‘Sifu.Net’ yang kebetulan dikendalikan rakan majikan gadis malang itu. Blog itu menyatakan pemilik syarikat itu mewakilkan gadis berkenaan naik ke pentas menerima hadiah kerana majikannya tidak dapat hadir. Gadis itu disuruh mengenakan pakaian yang cantik.  
Ditakdirkan drama syarikat itu menang, lalu gadis berpakaian cantik dan seksi itu pun naik ke pentas untuk menerima trofi seperti juga beberapa penerima lain berpakaian seksi sehingga mereka ditegur Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana berpakaian sedemikian. 


Blog itu menambah: “Ternyata pakaian yang dipakainya tidak sesuai untuk menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Skrin yang disiarkan secara langsung dan turut dihadiri orang kenamaan. 
“Difahamkan, dia dipecat selepas insiden itu kerana majikannya malu mempunyai pekerja sepertinya sebab dia hadir ke majlis itu mewakili syarikat.” 
Gadis ini menjadi mangsa dipecat serta-merta secara lisan tanpa diberi notis atau surat, malah tidak pun dinyatakan sebab dipecat. 
Kiranya soal pokok mengenai hak sah seseorang pekerja pun kita tidak dapat memantau dan menentukan majikan tidak akan mengeksploit mereka bagaimana kita hendak melonjakkan negara ke tahap yang diidamkan itu?  
Apakah Kementerian Sumber Manusia tidak boleh menyiasat wujudnya syarikat yang mengeksploitasi rakyat sedemikian? 

Oleh : Rejal Arbee
Felo Kanan UKM

Utusan Malaysia
6 Januari 2010

05 Januari 2011

ISU BAHASA : APABILA BAHASA MELAYU DIAJAR GURU DWIBAHASA


Dasar mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan yang digubal pada 2000, yang didakwa sesetengah pihak tidak pernah dilaksanakan, kini akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2011. Dasar ini mengkehendaki mata pelajaran wajib ini diajar guru dwibahasa, iaitu mereka yang mahir dalam bahasa ibunda masing-masing dan kemudiannya baru diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu. Penguatkuasaan dasar ini mulai 2011 antaranya adalah ekoran aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular yang masih diajar guru yang tidak mengetahui berbahasa Mandarin dan Tamil. Untuk ini, Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan bahawa guru mengajar mata pelajaran ini khususnya kepada pelajar tahap satu dan dua hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh berbahasa Mandarin atau Tamil, selain bahasa Melayu. Mereka juga perlu mempunyai kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar tahap tiga sehingga enam pula hendaklah diajar guru yang bidang pengkhususannya adalah bahasa Melayu. Untuk sekolah vernakular yang mempunyai bilangan pelajar kecil, mata pelajaran ini hendaklah pula diajar guru dwibahasa berpengalaman dan mereka ini perlu memiliki kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap SPM.  
Dengan penekanan menggunakan guru dwibahasa, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini dikendalikan melalui kaedah penterjemahan. Kaedah ini adalah pendekatan tradisional dan popular pada abad ke-19. Walaupun begitu, kaedah ini adalah pendekatan dominan dalam perkaedahan pendidikan bahasa pada awal zaman moden ini.  
Namun hanya segelintir pendidik mendapatinya masih sesuai dengan keperluan pelajar dan kebahasaan semasa. Sebaliknya, ramai guru bahasa mendapati kaedah ini tidak banyak membantu pelajar menguasai bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. 


Pendidikan bahasa yang tidak menggunakan bahasa ibunda pelajar dan mereka digalakkan berfikir dalam bahasa yang sedang dipelajari itu adalah pendekatan dikenali sebagai kaedah langsung. Melalui kaedah ini, tidak ada usaha menterjemah sebarang apa diajar dan dipelajari itu. Dengan ini, pelajar diajar segala kemahiran berbahasa berdasarkan situasi bahasa berkenaan dengan serealistik yang mungkin dalam bilik darjah.  
Kaedah ini sangat diminati dan pelbagai kelainan berkembang daripada yang asal. Oleh sebab diajar oleh guru yang dilatih khas, pelajar didapati bukan saja berjaya menguasai sistem nahu bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Tetapi yang lebih penting ialah mereka didapati berjaya menguasai sebutan dan intonasi bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik.  
Semua ini kurang berjaya digarap menerusi kaedah penterjemahan. Ini antaranya kerana pemilihan guru amat bergantung kepada mereka yang cekap berbahasa ibunda, walaupun tidak dilatih khas untuk mengajar sesuatu bahasa itu. Oleh itu, mutu pendidikan bahasa yang sedang dipelajari itu, sering didapati tidak sebaik yang dikendalikan melalui kaedah langsung.  
Persoalan lebih penting mengenai dasar ini ialah bukan mengenai kaedah pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular, tetapi implikasi desakan menggunakan kaedah penterjemahan sebagai satu-satunya pendekatan berkesan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar Cina dan India yang baru memasuki alam persekolahan formal. 

Dengan penggunaan kaedah penterjemahan, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan diajar dan dipelajari sebagai bahasa asing oleh rakyat Malaysia sendiri di bumi Malaysia ini, iaitu tanah tumpah darah mereka. Perkara ini bukan saja pelik tetapi menyedihkan, selain sangat memalukan sehingga boleh menjejaskan imej negara dari segi kebahasaan di mata masyarakat luar.  
Bahasa Melayu adalah bahasa negara di Malaysia. Sebagai bahasa negara, sama ada dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi, ekologi linguistiknya cukup agam dan banyak sekali.  
Ia dituturkan di seluruh pelosok negara dan kedengaran di media elektronik pada setiap masa sepanjang hari. Dengan kata lain, bahasa Melayu adalah bahasa fungsional di negara ini, iaitu digunakan meluas, selain amat penting untuk kebanyakan tujuan.  
Dengan kepentingannya yang begitu utama sifatnya, mengapakah anak kecil ini tidak disediakan ibu bapa mereka melalui persekitaran bahasa Melayu yang begitu lawas di bumi watannya, untuk menguasai bahasa Melayu secara tidak formal, sebelum menjejak kaki ke sekolah?  
Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu gagal disanjungi banyak pihak sebagai memiliki status kudus apabila didaulatkan sebagai bahasa negara. 


Ia dianggap mereka ini sebagai bahasa etnik kaum Melayu semata-mata, yang dipaksakan penguasaan kepada kaum bukan Melayu. Tanggapan begini salah sama sekali dan perlu diperbetul segera agar penghormatan kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara itu, mendapat sanjungan yang khalis sifatnya oleh semua pihak dan tidak yang sebaliknya.  
Sehubungan ini, pada satu pihak lain, masyarakat Cina dan India tidak pun kedengaran mendesak agar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah vernakular juga diajar guru dwibahasa, seperti yang berlaku pada bahasa Melayu. Ini adalah kerana ibu bapa membuat persediaan awal secara tidak formal, agar anak mereka didedahkan kepada bahasa antarabangsa ini, melalui ekologi linguistik bahasa Inggeris yang ada di negara ini.  
Pendedahan yang kurang dan dalam sesetengah kes tiada langsung terhadap bahasa Melayu, rata-ratanya diakui sebagai sebab utama keperluan kaedah penterjemahan ini digunakan untuk pendidikan bahasa Melayu pada peringkat permulaan di sekolah vernakular.  
Sehubungan ini, apakah yang sudah berlaku kepada kurikulum pendidikan bahasa dan pergaulan secara formal antara anak bukan Melayu dengan Melayu ketika bersama-sama di institusi pendidikan prasekolah yang boleh memberi pendedahan awal itu? 

Sesungguhnya pendidikan bahasa dan pergaulan ini tidak pernah wujud secara berleluasa. Sistem pendidikan pelbagai aliran diamalkan di negara ini. Melalui sistem begini, semenjak usia muda lagi, kanak-kanak sudah dididik melalui bahasa ibunda secara dominan dan untuk bergaul sesama sendiri daripada kelompok sebangsa saja.  
Sehubungan ini, pergaulan secara tidak formal antara kanak-kanak daripada pelbagai bangsa dalam kejiranan sama juga tidak wujud di kebanyakan tempat. Tidak dapat dinafikan pergaulan semasa pada peringkat prasekolah dan dalam kejiranan sama, selain dapat memupuk semangat muhibah yang penting untuk menjalin perpaduan, sudah tentu penting dalam memberi pendedahan awal itu, selain membantu anak bukan Melayu menguasai bahasa Melayu secara tidak formal. 


Teo Kok Seong

Felo Penyelidik Utama,
Institut Alam dan Tamadun Melayu, 
UKM

SEKADAR MENULIS DARI HATI : RAMAI TERLANJUR BERZINA KERANA TIADA BUDAYA TEGUR-MENEGUR


Fenomena zina dan pembuangan bayi dalam kalangan remaja semakin membimbangkan masyarakat Malaysia. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui Muzakarah Pakar Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah telah menekankan bahawa gejala ini perlu ditangani secara menyeluruh. Antara aspek yang dibincangkan ialah peranan media, pendidikan, institusi agama, dan keluarga dalam membendung salah laku remaja.

Media sebagai Pedang Bermata Dua

Media sering dipersalahkan kerana memaparkan kandungan yang tidak sesuai, termasuk adegan cinta bebas dan intim antara pasangan bukan muhrim. Menurut Yahya Mohamed Yusof, Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, budaya ini seolah-olah dihalalkan apabila digambarkan dalam drama dan filem arus perdana. Hal ini menormalisasikan perlakuan yang bercanggah dengan norma masyarakat. Kajian oleh Mustaffa et al. (2020) turut mendapati bahawa paparan media yang sarat dengan elemen seksual boleh meningkatkan keinginan remaja untuk mencuba tingkah laku berisiko.

Namun begitu, kuasa media juga boleh digunakan secara positif. Lagu Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet misalnya, membawa mesej tentang batas-batas perhubungan yang sihat. Jika lebih banyak drama, filem, dan muzik mengangkat nilai agama dan budaya, masyarakat, khususnya remaja, boleh diasuh dengan cara yang lebih berkesan.

Kewaja dan Realiti Remaja Hamil

Rumah perlindungan Kewaja yang diasaskan sejak 1988 pada asalnya menempatkan remaja bermasalah disiplin dan penagihan dadah. Namun, sejak 1996, ia mula menerima gadis hamil luar nikah. Rekod menunjukkan seramai 2,500 remaja dan wanita hamil telah dibantu. Kes termuda melibatkan seorang remaja berusia 11 tahun, manakala yang tertua 43 tahun. Realiti ini mencerminkan betapa seriusnya isu zina dalam masyarakat.

Menurut pengalaman Yahya, kebanyakan kes bukan sekadar “terlanjur” tetapi dirancang, terutama oleh lelaki yang mengambil kesempatan. Jawapan standard remaja seperti “ingin mencuba” menunjukkan tahap kejahilan yang tinggi mengenai konsep dosa. Ini selaras dengan kajian oleh Hamid dan Rahim (2019) yang mendapati ramai remaja di Malaysia tidak mempunyai kefahaman mendalam mengenai akibat moral dan agama berkaitan seks bebas.

Pendekatan Kaunseling dan Kerohanian

Kewaja mengamalkan pendekatan holistik termasuk kaunseling psikologi serta pengisian kerohanian seperti bacaan surah Yasin selepas solat. Pendekatan ini selari dengan teori perkembangan moral Kohlberg (1981) yang menekankan bahawa perubahan tingkah laku perlu dipandu oleh kesedaran nilai. Bagi remaja Muslim, penekanan terhadap ajaran agama adalah penting untuk memulihkan kesedaran tentang dosa dan pahala.

Budaya Menegur dalam Masyarakat

Yahya juga menegaskan kepentingan budaya teguran sosial. Tradisi menegur yang kian hilang perlu dihidupkan kembali agar masyarakat tidak membiarkan perbuatan salah berlaku di depan mata. Kajian oleh Nor & Yusof (2018) mendapati bahawa pengawasan sosial daripada jiran dan komuniti berfungsi sebagai mekanisme kawalan yang berkesan dalam membendung salah laku remaja.

Kempen kesedaran juga boleh dilaksanakan dengan menekankan kepentingan menegur secara berhikmah. Walaupun mencabar kerana ada pihak yang mungkin tidak menerima teguran, sikap ambil peduli ini mampu mencegah remaja daripada terus hanyut dalam gejala sosial.

Kesimpulan

Isu zina dan pembuangan bayi bukanlah masalah individu semata-mata, tetapi gejala sosial yang memerlukan penyelesaian kolektif. Media, walaupun sering dipersalahkan, boleh menjadi alat berkesan untuk mendidik masyarakat jika digunakan dengan bijak. Institusi pendidikan, rumah perlindungan seperti Kewaja, dan komuniti perlu berganding bahu dalam memberi bimbingan moral dan sokongan emosi kepada remaja.

Paling penting, nilai kasih sayang, pendidikan agama, dan budaya menegur harus diperkukuhkan semula dalam masyarakat. Jika pendekatan ini dijalankan secara konsisten, cita-cita untuk melihat sifar zina dan sifar pembuangan bayi tidak mustahil untuk dicapai.


Rujukan

  • Hamid, Z. A., & Rahim, S. A. (2019). Religious Understanding and Sexual Behaviour among Malaysian Adolescents. Journal of Islamic Social Sciences, 10(2), 45–58.

  • Kohlberg, L. (1981). The Philosophy of Moral Development. San Francisco: Harper & Row.

  • Mustaffa, N., Ibrahim, F., & Mahmud, W. (2020). Media Exposure and Adolescent Sexual Behaviour in Malaysia. Asian Journal of Communication, 30(3), 256–272.

  • Nor, M. Y., & Yusof, R. (2018). Community Social Control in Preventing Juvenile Delinquency in Malaysia. International Journal of Social Science Research, 6(1), 89–101.

ISU SOSIAL : HUKUMAN TAK MAMPU CEGAH REMAJA TANGANI GEJALA SOSIAL


Akibat panik apabila mengetahui diri hamil disebabkan salah laku, maka langkah diambil ialah melakukan pengguguran. Jika selamat tidak mengapa, tetapi bagaimana jika sebaliknya seperti berlaku pendarahan, jangkitan atau kesan jangka panjang menyebabkan tidak boleh hamil.  
Pegawai Perubatan, Bahagian Reproduktif Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Hamizah Mohd Hassan, berkata pemikiran tidak cukup matang menyebabkan remaja lemah membuat keputusan yang menjurus kepada risiko. 
Oleh itu, apabila berhadapan masalah, mereka cenderung mengambil jalan singkat tanpa memikirkan kesan jangka panjang menyebabkan berlaku jenayah tidak terancang seperti pengguguran dan pembuangan bayi yang berlaku kini. Pemikiran tidak cukup ini juga kita boleh lihat apabila remaja itu beritahu mereka mengadakan hubungan seks tanpa dirancang walaupun untuk kali yang kelima atau keenam. Mereka kata, tujuan pergi rumah teman lelaki hanya untuk berjumpa dan tak tahu bagaimana boleh adakah hubungan seks. 

“Saya sendiri kena ada muka selamba mendengar cerita mereka. Ada yang mengaku ‘beromen’ di tangga kecemasan kompleks beli-belah,” katanya pada Muzakarah Pakar Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).  
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dasar dan Polisi: Apakah yang Telah Dilakukan bagi Menangani Zina dan Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah’ berkata, sukar mencari penyelesaian mudah kerana membabitkan banyak pihak.  
Katanya, dasar dan polisi sudah dibangunkan kerajaan melalui kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke arah meningkatkan kefahaman serta membentuk remaja lebih bertanggungjawab, tetapi nampaknya masih belum mampu membebaskan mereka daripada terjebak gejala sosial.  
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (MPFS) 2004 mendapati 2.4 peratus remaja terbabit hubungan seks luar nikah sementara kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2005 mendedahkan 50 peratus pelajar dari empat universiti terbabit hubungan seks luar nikah.  
Kajian MPFS juga mendapati 21.2 peratus remaja mengenali rakan hamil luar nikah di mana 10 peratus darinya menggugurkan kandungan dan 13.6 peratus mengetahui lokasi pusat pengguguran.  
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan 214,000 anak tak sah taraf didaftar sepanjang 2004 hingga 2009. 


Faktor dikenal pasti menyumbang kepada salah laku seksual termasuk persepsi remaja bahawa perbuatan itu tidak menyebabkan kehamilan, tidak mendatangkan penyakit, bukti cinta dan rakan lain juga melakukannya.  
Faktor keluarga menjurus kepada kurang kawalan, tidak mendapat perhatian, kurang sokongan, keluarga berpecah belah, sementara pengaruh persekitaran merujuk bahan pornografi, teknologi baru seperti internet, kamera video, tempat hiburan dan tempat sunyi.  
Justeru, Hamizah menyarankan lima penyelesaian menyeluruh perlu diambil keluarga, sekolah, komuniti dan agensi berkaitan dimulakan dengan pencegahan, intervensi, sokongan, rehabilitasi dan perundangan.  
Katanya, kerajaan perlu mengkaji semula polisi, penggubalan undang-undang dan penguatkuasaan serta menyokong agensi atau pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit dalam program berkaitan pembangunan remaja.  
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Undang-Undang Islam Universiti Islam Antarabangsa, Datin Dr Paizah Ismail, berkata undang-undang yang cukup berkesan diperlukan untuk menghadapi realiti kes perzinaan dan pembuangan anak sekarang ini.  
Beliau berkata, walaupun agak janggal untuk mengatakan undang-undang jenayah syariah di Malaysia tidak cukup mampu berperanan sebagai satu faktor pencegah gejala berkenaan daripada berleluasa, tetapi itulah hakikatnya.  

“Bidang kuasa yang sedikit dan tradisi mahkamah yang kurang mantap, tidak banyak boleh diharap daripada undang-undang syariah untuk menyelesaikan masalah zina serta buang bayi. Peruntukan yang ada tidak mampu memberi kejutan kepada remaja yang terbabit perlakuan itu,” katanya.  
Kertas kerja beliau yang mengupas perspektif undang-undang jenayah syariah dalam kes zina dan buang bayi dalam kalangan pelajar sekolah turut membangkitkan sikap prejudis masyarakat hingga meletakkan undang-undang syariah pada kedudukan serba salah.  
Contoh sikap prejudis itu ialah pandangan serong sesetengah pihak terhadap hukuman rotan dikenakan kepada peminum arak perempuan yang pastinya akan menimbulkan reaksi sama jika undang-undang sama dikenakan kepada perempuan melahirkan anak di luar ikatan pernikahan.  
Katanya, akan ada golongan yang mencemuh undang-undang Islam dengan mengatakan ia berat sebelah dan kurang bertamadun kerana menghukum perempuan saja sedangkan lelaki yang menyebabkan perempuan mengandung tidak dikenakan tindakan.  
“Realiti ini meletakkan undang-undang syariah hanya peranan kecil yang bersifat pinggiran atau sebagai faktor pembantu usaha mendidik dan mengawal masyarakat saja. Hakikatnya, undang-undang Islam mempunyai hukuman komprehensif bagi menghadapi gejala seperti itu,” katanya.  
Katanya, undang-undang syariah di negara ini mempunyai peruntukan mengenai kesalahan berzina dan walaupun kesalahan membuang bayi tidak diperuntukkan secara khusus, tetapi hukuman melahirkan anak luar nikah boleh diguna pakai.  


Kesimpulannya, banyak kajian dan program dianjurkan ke arah mengurangkan pembabitan remaja dan belia dalam aktiviti menjurus kepada jenayah sosial, namun harapan melihat perubahan positif masih tinggal harapan.  
Bagaimanapun, itu bukan alasan membiarkan kudis yang masih bernanah terus merebak sebaliknya penawar yang ada perlu digunakan dan pada masa sama, berusaha mencipta antidot baru yang kesannya lebih kuat supaya penyakit ini bukan saja dapat disembuhkan, tetapi dihalang daripada dijangkiti. 

Berita Harian Online
5 Januari 2010