JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENGURUSAN BAKAT, PERANAN MASA DEPAN IPT


Ketika Datuk Seri Najib Razak, membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, satu perkara yang disentuh ialah keperluan menyuburkan bakat bagi meningkatkan keupayaan sumber manusia menyahut cabaran Model Baru Ekonomi (MBE). Mengenal, membangun dan mengurus bakat adalah faktor kejayaan asas bagi merealisasikan hasrat pembangunan ekonomi berasaskan ilmu dan teknologi tinggi.  
Malaysia adalah negara yang baru membangun. Kita tidak memiliki tradisi penyelidikan untuk membangun industri. Sebahagian besar industri negara bergantung kepada teknologi dan kepakaran asing. Walaupun usaha menyediakan ‘asas pembangunan teknologi tempatan’ sudah bermula sejak awal 1980-an melalui galakan penyelidikan dan pertumbuhan industri kecil dan sederhana, penerapan keupayaan membina teknologi tinggi masih terbatas. Pusat penyelidikan berasaskan pembangunan industri masih belum mampu membangun teknologi tempatan berimpak tinggi. 
Ringkasnya, di Malaysia bakat dalam konteks transformasi ilmu ialah ilmuwan dan penyelidik berkaliber yang umumnya terkumpul di institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka mempunyai tugasan asas sebagai pendidik untuk pembangun sumber manusia berilmu.

Pada masa sama, mereka diperlukan untuk menjalankan penyelidikan fundamental bagi meneroka ilmu baru. Hasil penyelidikan perlu diterbitkan untuk dikongsi bersama rakan sejawat. Masyarakat juga mengharapkan mereka menjadi ‘intelek awam’ untuk menyumbangkan idea dan pandangan demi kepentingan masyarakat. 
Ramai yang berbakat di IPT masih kurang menyerlah. Di kalangan pembuat dan pelaksana dasar, mereka berasakan Malaysia ketandusan bakat. Ada yang percaya, untuk memastikan kejayaan MBE, kita perlu membawa bakat dari luar. Usaha mempelawa warga Malaysia yang berhijrah ke negara maju dan mengukir nama di sana, dikatakan cara yang terbaik untuk membawa pulang mereka yang berbakat!  
Benarkah IPT tempatan ketandusan bakat atau kita belum berjaya mengurus dan menonjolkan mereka yang berbakat? Apakah negara perlu menggubal dasar baru mengurus bakat? Persepsi ketandusan bakat di IPT perlu dihuraikan berasaskan senario berikut: 

Pertama: Kita perlu mengenali siapa ahli akademik? Mereka adalah individu yang mencapai kejayaan cemerlang dalam ijazah pertama dan mempunyai ciri berminat untuk meneroka ilmu. Keintelektualan akademik adalah prasyarat pertama menjadi ahli akademik. Berikutnya mereka perlu melakukan penyelidikan siswazah untuk memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah. Ini adalah latihan pertama untuk membangun kepakaran menyelidik dan lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun. Dalam konteks akademik, ijazah PhD adalah lesen untuk membolehkan seseorang melakukan penyelidikan tanpa bantuan penyelia. Di kebanyakan negara, ia juga menjadi lesen untuk menjadi ahli akademik.  
Kepakaran ahli akademik masih perlu diasah melalui penyelidikan dan penulisan. Ahli akademik dalam kepelbagaiannya, perlu mencari ‘nic’ akademik tersendiri. Berasaskan ‘nic’ ini, mereka perlu meneroka ilmu baru dan memperkenal dapatannya melalui penulisan ilmiah dan pengajaran. Dalam keadaan lazim, kepakaran hanya dikenali atau diiktiraf oleh rakan setarafnya. Sistem pengiktirafan dalam dunia akademik adalah melalui proses penilaian untuk menjadi profesor madya dan akhirnya untuk jawatan profesor. Apabila menjadi profesor, lazimnya pada usia antara 45 hingga 50 tahun, barulah seseorang akademik diiktiraf ‘pakar’ dalam bidang pengkhususannya. 

Kedua: Apakah bakat yang diharapkan untuk menyokong MBE bererti mereka yang dapat menjana produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan? Jika ini yang diharapkan, universiti bukan tempatnya mencari bakat dimaksudkan! Kerajaan perlu mencari pendekatan baru dan berstrategi untuk mencapai hasrat ini dan universiti boleh memainkan peranan penting menjayakannya. Universiti boleh menjadi tempat membangun dan pengasah bakat baru melalui program siswazah dan penyelidikan yang menjurus kepada pembangunan teknologi tinggi dalam bidang keutamaan negara. Tempat mengurus bakat perlu diwujudkan di luar sekitaran universiti!  
Kerajaan menerusi kerjasama universiti, badan berkanun atau swasta perlu mewujudkan lebih banyak pusat penyelidikan bersifat pembangunan produk dalam sekitaran yang bebas dan kondusif. Kerajaan perlu menganggap proses ini adalah sebahagian pembangunan asas negara. Pada peringkat awal, tumpuan perlu diberi kepada pembangunan bakat dan infrastruktur. Matlamat akhir pastinya menghasilkan produk atau perkhidmatan berteknologi tinggi atau nilai tambah tinggi. 

Dasar dan strategi pembangunan semasa sangat mengelirukan. Universiti dan ahli akademiknya dilihat sebagai sekitaran yang berupaya menghasilkan produk berteknologi tinggi. Sejumlah besar dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) disalurkan ke universiti untuk tujuan ini. Walaupun universiti masih berupaya memikul tanggungjawab berat ini, hakikatnya secara jangka panjang ia hanya membantutkan pertumbuhan universiti ke arah kecemerlangan akademik.  
Sebahagian ahli akademik perlu berubah daripada penjana ilmu kepada penjana teknologi. Akibatnya, mereka kehilangan bakat asli dan pada masa sama, belum tentu dapat mengasah bakat baru dalam sekitaran mencabar.  
Dalam menjayakan hasrat MBE dan pengurusan bakat, IPT perlu dilihat sebagai institusi yang memainkan peranan lebih luas dan bukan sekadar tempat bakat digunakan untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi. Universiti adalah gedung ilmu yang ada sekumpulan bakat besar negara yang tugasnya untuk mencetus idea baru, membimbing perubahan dasar dan hala tuju pembangunan, pembangun dan mengasah bakat baru dan menjadi sumber ilham serta aspirasi generasi muda negara. 

Penulis adalah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

BERITA HARIAN
8 JANUARI 2010

Tiada ulasan: