13 Oktober 2010

PERUBAHAN BENTUK IMBUHAN BAHASA MELAYU KUNO KEPADA BAHASA MELAYU MODEN

IMBUHAN AWALAN

Bahasa Melayu Kuno : mar-
Bahasa Melayu Moden : ber-

Bahasa Melayu Kuno : ni -
Bahasa Melayu Moden : di -

Bahasa Melayu Kuno : ma -
Bahasa Melayu Moden : mem-

Bahasa Melayu Kuno : mang -
Bahasa Melayu Moden : meng -

AWALAN RANGKAP

Bahasa Melayu Kuno : nipar -
Bahasa Melayu Moden : diper -

IMBUHAN APITAN

Bahasa Melayu Kuno : par-...-an
Bahasa Melayu Moden : per-...-an

KATA KERJA SEBAGAI KATA SENDI NAMA

Sesetengah kata kerja transitif dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Kata kerja transitif ini sering bertukar ganti dengan kata sendi nama dalam ayat.

CONTOH

1. Dia memberikan cadangan mengenai (tentang) projek itu.
2. Berita nahas kapal terbang itu disiarkan melalui (dalam) televisyen.
3. Surat itu dihantar menerusi (dengan) pos laju.
4. Mengikut (pada) pandangan saya, projek itu tidak mendatangkan manfaat.

PERINGATAN

Walaupun kata kerja transitif dapat berfungsi sebagai kata adjektif dan kata sendi nama, kata-kata itu tetap tergolong dalam golongan kata kerja.

ISU SOSIAL : PINDAAN AKTA MAMPU CEGAH REMAJA TERJEBAK KEGIATAN TIDAK BERMORAL

Dewan Rakyat yang meluluskan Pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) kelmarin, memperlihatkan kesungguhan kerajaan melindungi remaja perempuan berusia bawah 18 tahun daripada diperalat pihak tidak bertanggungjawab. Selain itu, kerajaan mahu memastikan remaja tidak terus dieksploitasi pihak berkenaan sehingga menjejaskan pendidikan, kesihatan serta keselamatan mereka. Apabila akta itu dikuatkuasakan, mereka tidak lagi dibenar bekerja di premis perniagaan seperti hotel, bar, restoran, rumah penginapan atau kelab malam, kecuali premis itu milik keluarga atau penjaga mereka. Kita yakin langkah menguatkuasakan akta berkenaan bertujuan memastikan remaja perempuan dalam lingkungan usia itu tidak terdedah atau terbabit dengan gejala tidak sihat. Kita tidak boleh menafikan remaja pada usia itu terlalu mentah untuk melakukan pekerjaan di tempat seumpama itu. Remaja seusia itu masih memerlukan pengawasan ibu bapa dan bimbingan dari aspek akhlak bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif.
 
Adalah tidak wajar remaja terdedah atau terbabit dengan perbuatan tidak bermoral seperti mengambil minuman keras serta pergaulan bebas yang cukup sinonim dengan persekitaran bar, hotel atau kelab malam. Kita yakin pindaan akta itu mampu melindungi remaja daripada kegiatan tidak bermoral atau mengancam keselamatan mereka. Bagaimanapun semua usaha ini tidak akan memberi kesan jika tiada kerjasama semua pihak, terutama majikan dan pemilik premis perniagaan. Dengan melarang remaja bekerja di premis sosial itu, kita berharap tiada lagi kes remaja perempuan dieksploitasi pihak tertentu untuk melakukan pekerjaan yang tidak bersesuaian. Akta ini juga dapat mengekang sindiket atau majikan yang mahu mengaut keuntungan besar dengan mengeksploitasi remaja bawah umur.  Justeru, hukuman baru terhadap mereka yang melanggar akta berkenaan iaitu penjara sehingga setahun dan denda RM5,000 yang kemudian digandakan bagi kesalahan kedua seperti ditetapkan melalui pindaan itu, diharapkan dapat memberi kesedaran kepada pihak yang cuba mengeksploitasi golongan berkenaan.
 
Di sebalik penguatkusaan akta itu, wujud kelonggaran bagi membolehkan remaja perempuan bawah 18 tahun bekerja di premis perniagaan terbabit dengan syarat ia dimiliki keluarga sendiri atau mereka perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Bagaimanapun kita masih khuatir kerana kelonggaran ini boleh disalahgunakan, termasuk remaja itu sendiri. Jika ini berlaku, pindaan akta tidak memberi sebarang makna. Lagipun kita tidak nampak sebarang jaminan atau perlindungan meskipun mereka bekerja di bar atau kelab yang dimiliki keluarga. Risiko terhadap keselamatan dan terdedah kepada pengaruh negatif tetap ada. Kerajaan juga sepatutnya turut menjelaskan mengenai had umur remaja lelaki yang tidak dijelaskan dalam pindaan akta berkenaan. Perkara itu perlu dikaji supaya remaja lelaki juga mendapat perlindungan sama dari segi undang-undang. Sama ada gadis atau remaja lelaki, mereka tetap terdedah kepada pelbagai eksploitasi majikan yang mahu memperalatkan mereka untuk meraih keuntungan. Lebih wajar jika mana-mana perlindungan dan larangan membabitkan remaja bawah 18 tahun diselaraskan di bawah satu akta bagi mengelak kekeliruan.


ISU BAHASA : RAMAI PEMIMPIN POLITIK TIDAK BERBANGGA MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU

Masih ramai pegawai tinggi kerajaan dan swasta serta pemimpin politik tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan ia tuntutan Perlembagaan yang wajib dalam konteksnya memartabatkan bahasa kebangsaan. Menurut Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Aziz Deraman, biarpun penggunaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dibenarkan, penggunaan bahasa Melayu tidak harus dicampuradukkan, bagi memelihara martabatnya sebagai bahasa rasmi. Di Malaysia kadangkala orang keliru, termasuk ahli politik yang cuba melihat perbezaan perspektif dan persepsi. Apabila kita kata bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, maknanya faktor bahasa itu sebagai tuntutan perlembagaan harus berada dalam konteksnya sebenar sebagai bahasa rasmi. Semasa mesyuarat jabatan kerajaan, kementerian, harus meletakkan kembali kedudukan bahasa Melayu ke tempat sepatutnya. Kadangkala pimpinan mesyuarat tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris.

Walaupun semua yang hadir mungkin ahli politik, pegawai tinggi kerajaan, tetapi penyampaiannya dalam bahasa Inggeris. Sikap megah dan bangga terhadap bahasa ibunda itu tidak ada. Apabila kita bercakap mengenai kesatuan, satu negara, agama, bangsa, ketua, dasar dan rukun negara, bahasa juga harus satu iaitu bahasa Melayu. Kalau orang faham itu, nescaya kita tidak menimbulkan kekeliruan dan pada masa sama bahasa etnik, daerah dan sukuan masih boleh dipakai. Peneguhan sikap terhadap bahasa Melayu termasuk cara menyebut dan menggunakannya dengan betul serta lengkap sopan dan santunnya membolehkan transformasi negara seperti digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan dalam semua aspek dan bukan fizikal semata-mata. Kalau ini dapat dilakukan semula (memartabatkan bahasa Melayu), maknanya transformasi yang diminta Perdana Menteri akan berlaku dalam semua bidang, bukan saja dalam institusi, tetapi kehidupan. Sementara itu, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan harus memberi perhatian serius terhadap papan tanda dan mengenakan tindakan kepada yang ingkar.


ISU SOSIAL : MASALAH KEMISKINAN


Kerajaan berjaya mengurangkan kadar miskin tegar sebanyak 49 peratus dalam tempoh kurang dua tahun sejak 2008 dengan hanya 22,198 isi rumah masih berada dalam kelompok itu sehingga akhir September 2010. Menurut Datuk Seri Najib Razak , berbanding sejumlah 44,643 isi rumah miskin tegar yang berpendapatan kurang RM440 pada Disember 2008, kerajaan berjaya mengurangkan hampir separuh jumlah golongan itu sehingga September 2010, sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan memerangi kemiskinan rakyat di negara ini.  Kerajaan berazam terus mengurangkan jumlah itu menjelang akhir tahun 2010. Secara keseluruhan, kerajaan berjaya mengurangkan kadar golongan miskin daripada 58.7 peratus pada 1970 kepada 7.1 peratus pada 2007 sebelum menjadi 3.8 peratus pada tahun lalu, manakala kadar miskin tegar menurun daripada 5.2 peratus pada 1990 kepada 1.4 peratus pada 2007.  Dalam konteks berkaitan, rekod kerajaan melaksanakan pelbagai program penting dan projek pembangunan untuk membela nasib masyarakat luar bandar berkemungkinan yang terbaik di dunia, walaupun berbanding dengan negara maju.

ISU SOSIAL : SIKAP BURUK PEMANDU 'PELESET' PUNCA KEMALANGAN NGERI

Kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara-Selatan berulang lagi. Kali ini amat menyayat hati dengan 12 nyawa melayang dan berpuluh-puluh lagi cedera termasuk parah. Bas Ekspres Delima dari arah Melaka menuju ke Kuala Lumpur melayang dan menerjah ke laluan bertentangan. Bas itu melambung dan menghempap tiga buah kereta dan sebuah van yang sedang menuju ke arah selatan. Gambar-gambar kemalangan yang dipaparkan sungguh mengerikan. Badan bas ekspres yang menghempap sebuah kereta terburai sama sekali. Mayat 12 mangsa yang berjaya dikeluarkan pula disusun sementara menunggu untuk dihantar ke hospital. Punca kemalangan sebenar mungkin belum diketahui. Tetapi semua orang sudah tahu, kelajuan adalah puncanya. Kelajuanlah yang meragut 12 nyawa yang tidak berdosa itu.

Menurut saksi, yakni penumpang bas yang terselamat, kelajuan bas tersebut menjadikan mereka di dalamnya tidak ubah seperti 'kacang dalam botol yang digoncang! Kisah pemandu bas ekspres yang memandu bagai pelesit pula bukan cerita baru. Sudah banyak kes mereka didakwa di mahkamah kerana memandu secara bahaya dan cuai sehingga mengakibatkan kematian. Walaupun sebahagian sudah menerima hukuman penjara tetapi pelesit jalan raya ini tidak pernah serik. Akhbar Utusan Malaysia pernah mendedahkan kisah pemandu pelesit bas ekspres dalam satu laporan khas tidak lama dahulu. Para pemandu yang ditemui mengakui punca mereka membawa laju adalah kerana mahu mengejar 'trip', selain berasa tidak selesa memandu perlahan sebuah bas moden yang canggih. Alasan seperti ini tidak boleh diterima sama sekali.

Masih banyak lagi syarikat-syarikat bas ekspres lain yang berjaya menyediakan perjalanan selesa dan selamat. Walau dekat sekalipun satu-satu sektor atau jarak perjalanan itu, soal keselamatan penumpang tidak boleh diabaikan sama sekali. Tetapi tidak bagi para pemandu 'pelesit' ini. Mereka tidak mempedulikan itu semua. Nyawa penumpang dipertaruhkan demi kepentingan diri sendiri. Pada masa yang sama, ada juga pihak-pihak tertentu menyalahkan aspek keselamatan lebuh raya di negara ini. Kononnya, besi pembahagi jalan tidak cukup kuat untuk menahan bas ekspres tersebut daripada menerjah ke laluan bertentangan di lebuh raya. Jawapannya walau tembok keluli sekalipun dipasang sebagai pembahagi jalan, kemalangan ngeri tiga hari lalu tetap akan berulang selagi ada pemandu bersikap sedemikian.

Kerajaan sendiri sudah melakukan pelbagai usaha bagi tujuan ini. Peraturan dan undang- undang sedia ada sudah diperketatkan. Kempen kesedaran keselamatan jalan raya juga sepanjang tahun diadakan. Tragedi menyayat hati ini tidak mustahil akan terus berulang, berulang dan berulang lagi selagi para pemandu pelesit ini tidak insaf dan tidak mahu mengubah sikap buruk mereka itu.

KATA GANDA

PENANDA JAMAK

1. buku-buku
2. pesara-pesara
3. pandangan-pandangan

PENANDA NAMA HAIWAN

1. angkut-angkut
2. anai-anai
3. kura-kura
4. labi-labi

PENANDA KESAMAAN ATAU KESERUPAAN

1. lelangit
2. orang-orang
3. siku-siku

PENANDA KEPELBAGAIAN JENIS

1. kuih-muih
2. lauk-pauk
3. sayur-mayur

PENANDA TIDAK TENTU

1. mana-mana
2. apa-apa
3. siapa-siapa
4. sesiapa

KATA GANDA

PERBUATAN BERULANG-ULANG

1. Bertalu-talu
2. Menarik-narik
3. Terangguk-angguk

PERBUATAN BERPANJANGAN

1. Berangan-angan
2. Teringat-ingat
3. Tertunggu-tunggu

PERBUATAN BERSUNGGUH-SUNGGUH

1. Bercerai-berai
2. Bertungkus-lumus
3. Mengharu-birukan

PERBUATAN SALING BERBALAS

1. Berdakap-dakapan
2. Siku-menyiku
3. Tolak-menolak

12 Oktober 2010

ISU PEKERJA : USIA PERSARAAN KAKITANGAN AWAM KEKAL 58 TAHUN

Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun sehingga 60 tahun buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Ada beberapa pertimbangan penting yang perlu diambil kira bagi lanjutan usia persaraan. Kesan lanjutan umur persaraan ke atas pasaran buruh negara, termasuk peluang kerja generasi lepasan sekolah, kolej dan universiti ketika ini. Keperluan sumber manusia sektor tertentu di dalam perkhidmatan awam, yang semestinya berbeza antara jenis perkhidmatan dari semasa ke semasa. Kesan lanjutan umur persaraan wajib di atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar kalau pun tidak mengecilkan perkhidmatan awam demi mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa menjejaskan perkhidmatan untuk rakyat. Tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutamanya menjelang umur persaraan 58 tahun, khususnya sama ada mereka mampu untuk terus bekerja atau tidak. Kali terakhir usia persaraan wajib dinaikkan ialah pada 1 Julai 2008, iaitu daripada 56 kepada 58 tahun. Persaraan wajib di peringkat umur 58 tahun hanya bermula pada 1 Julai 2010. Adalah wajar kerajaan mengambil sedikit masa, misalnya enam bulan untuk melihat dan mengkaji kesan peningkatan umur persaraan wajib yang lalu.

ISU SOSIAL : MENANGANI ISU PEMBANTU RUMAH

Bulan lalu, Indonesia melarang calon pembantu rumah negara berkenaan untuk bekerja di Malaysia sehingga kerajaan Indonesia mampu memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka. Larangan berkenaan dikeluarkan ekoran laporan terbaru mengenai penganiayaan pembantu rumah Indonesia, Win Faidaa di Malaysia pada 13 September lepas. Indonesia menganggap kejadian berkenaan sebagai bukti bahawa calon pembantu rumah Indonesia menanggung risiko tinggi jika bekerja di Malaysia tanpa dokumen rasmi yang lengkap. Selain Malaysia, dua negara lain yang perlu dielakkan oleh calon-calon pembantu rumah republik tersebut sehingga ada kepastian perlindungan terhadap mereka ialah Kuwait dan Jordan.

Sebelum ini, Jakarta pernah mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan. Memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung penghantaran pembantu rumah republik tersebut masih menemui jalan buntu kerana kedua-dua negara belum mencapai kesepakatan dalam beberapa isu pokok. Isu penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia kembali hangat ekoran kes penderaan seorang warganegara republik itu, Win Faidaa, 26 bulan lalu dan sekali lagi mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) republik tersebut. Ketika ini, kira-kira 80 peratus daripada 280,000 pembantu rumah asing yang bekerja di Malaysia adalah warga Indonesia.

Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara Asia lain selain Indonesia bagi mengurangkan pergantungan terhadap amah dari republik itu. Antara negara yang dikenal pasti adalah Thailand, Kemboja, India, Sri Lanka, Filipina dan Myanmar. Selama ini Malaysia hanya memberi keutamaan terhadap pengambilan pembantu rumah dari Indonesia walaupun amah dari negara lain seperti Thailand dan Kemboja turut diambil. Bagaimanapun, pembantu rumah dari Thailand dan Kemboja tidak sepopular pembantu rumah Indonesia. Kini negara alternatif perlu dicari kerana kebergantungan kepada satu-satu negara adakalanya akan menimbulkan kekangan dan masalah sekiranya berlaku sesuatu isu. Selain negara alternatif, usaha meningkatkan pembantu rumah sebagai satu kerjaya profesional seiring dengan kemajuan negara perlu diambil kira.

Sebelum ini pernah ada cadangan untuk mewujudkan kerjaya pengurus rumah tangga yang akan datang ke rumah setiap hari pada waktu bekerja bagi membantu pasangan bekerja membersihkan rumah, membeli barangan keperluan rumah dan membayar bil tetapi tidak ada susulan terhadap cadangan tersebut. Khidmat syarikat-syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan membersihkan rumah juga boleh dikaji jika ia boleh mengurangkan pergantungan kepada pembantu rumah asing.  Profesor Hubungan Industri dan Dekan UTM Perdana School Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Durrishah Idrus ketika dihubungi berkata, masalah pembantu rumah di Malaysia memerlukan perhatian serius dan pilihan perlu disediakan kepada golongan wanita kerjaya jika kerajaan serius dalam menghargai sumbangan wanita dalam pembangunan negara.

''Jika tidak dalam jangka panjang akan ada kesan terhadap kesediaan dan komitmen golongan wanita untuk menceburi dunia kerjaya kerana institusi keluarga berisiko goyah apabila tidak ada sistem sokongan yang kukuh. ''Isu ini sebenarnya lebih besar dari sekadar isu amah Indonesia yang menjadi mangsa dera majikan dan sering menyebabkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia menjadi tegang. Majikan Malaysia sanggup membayar harga yang tinggi jika hasil kerja seseorang pembantu berbaloi. "Antara ciri-ciri yang diharapkan oleh majikan ialah pembantu rumah yang benar-benar boleh diharap, pandai bekerja, amanah, tidak pernah lari, curi tulang dan bebas daripada segala gejala maksiat," katanya.  Tambah beliau, rakyat Malaysia yang mempunyai kerjaya memerlukan khidmat pembantu kerana dalam kesibukan bekerja, mereka perlu meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak masing-masing.

''Khidmat pembantu rumah untuk meringankan beban wanita bekerja dalam menguruskan rumah tangga mampu memberikan ketenangan fikiran kepada golongan wanita tersebut. Malah khidmat pembantu sedikit sebanyak menjadi pemangkin dalam meningkatkan sumbangan golongan wanita kepada negara.  ''Justeru, isu ini perlu ditangani segera secara bijaksana dan bersungguh-sungguh melalui dasar atau polisi yang jelas.  "Jika tidak ia akan sentiasa berulang seperti sekarang dan menjadi isu yang boleh diperbesar-besarkan dan diambil kesempatan oleh pihak yang gemar menangguk di air keruh," jelas Durrishah. Tambah beliau, antara langkah-langkah yang boleh dikaji kerajaan dalam menangani isu pembantu rumah ialah:

1. Meneliti dasar semasa dalam mencari menyelesaikan isu pembantu rumah untuk jangka panjang. Perkara ini perlu dilihat dari sudut keperluan, undang-undang, hubungan dengan negara pembekal, peruntukan Akta Kerja dan lain-lain. Perubahan dasar perlu dilakukan setelah mendengar daripada pelbagai pihak.

2. Keputusan sementara juga boleh dikaji kerana ia dapat membantu kerajaan dalam menggubal keputusan untuk tempoh jangka panjang.

3. Kemahiran amah perlu ditetapkan dengan kesesuaian dan keperluan majikan. Bagi keluarga Islam, mungkin faktor agama dititikberatkan namun keluarga lain mungkin mementingan aspek lain.

4. Kerajaan perlu wajibkan majikan-majikan di Malaysia menyediakan sistem sokongan kepada pekerja masing-masing seperti pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi meringankan beban pasangan bekerja. Ada rakyat Malaysia yang lebih gemar membayar pusat asuhan daripada menangani kerenah amah.

5. Iktiraf pembantu rumah sebagai satu profesion penuh dan separuh masa bagi warga tempatan. Gariskan undang-undang untuk memelihara kepentingan pembantu rumah dan majikan serta wujudkan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan pembantu rumah memiliki jaminan masa depan.


Oleh ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
12 Oktober 2010

ISU BAHASA : MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN DENGAN RELA

Seruan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai penggunaan bahasa Melayu perlu diberi perhatian sewajarnya adalah satu peringatan kepada semua lapisan masyarakat termasuk menteri, ahli politik, pembuat polisi dan rakyat. Seperti semua maklum, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipersoalkan lagi. Ia amat jelas terpahat dalam Perkara 152. Oleh itu, usaha memartabatkan bahasa Melayu seperti kedudukannya dalam Perlembagaan mesti sentiasa berterusan. Kerajaan seharusnya mempunyai perancangan yang jelas mengenai kedudukan bahasa kebangsaan ini. Bahasa memainkan peranan penting dalam membina semangat dan jati diri berkaitan kenegaraan. Ia adalah sebahagian kaedah untuk mengukuhkan semangat patriotisme. Bahasa adalah juga simbolik kepada perpaduan di kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang bahasa dan budaya.

Walaupun negara kita mengiktiraf bahasa vernakular dan dialek kerana sifat budaya serta sejarahnya, kewujudan bahasa kebangsaan juga boleh menjadikan hubungan yang lebih ‘romantik’ antara rakyat yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa. Ia simbol hubungan yang kuat, erat dan rapat. Bahasa kebangsaan juga menjadi sebahagian daripada khazanah perbendaharaan bagi negara ini. Ia menjadi sumber kekayaan negara kerana dapat menyatukan fabrik masyarakat yang pelbagai. Penggunaan bahasa Melayu sebagai medium dalam sistem pendidikan bagaimanapun berubah-ubah mengikut kesediaan pemimpin dan ahli politik. Adakalanya keadaan ini menimbulkan persoalan tertentu dan ada kala melahirkan kekeliruan. Sebagai medium di dalam pendidikan, penggunaan bahasa Melayu di ketengahkan pada akhir 1960-an di sekolah. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu berkembang ke peringkat pengajian tinggi. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, ditubuhkan dengan misi ‘mendaulatkan Bahasa Melayu’.

Dasar bahasa dalam sistem pendidikan berubah lagi dalam 2002 apabila kerajaan mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Perubahan ini melahirkan persoalan berkaitan kedudukan bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa Melayu secara sebenarnya. Ia mengundang banyak kontroversi dan seterusnya menyaksikan kerajaan terpaksa berundur daripada polisi terbabit. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah juga memerlukan perhatian. Umumnya sehingga ke hari ini penggunaan bahasa Melayu di mahkamah tidak begitu menyerlah, walaupun sudah ada beberapa peningkatan. Secara purata, masih ramai peguam dan hakim sendiri yang berasa lebih mudah dan selesa untuk berbahasa Inggeris, sama ada untuk berkomunikasi atau menulis penghakiman. Mungkin kekurangan bahan rujukan dan istilah undang-undang yang tertentu di dalam bahasa Melayu menyumbang kepada keadaan ini. Kekurangan ini berlaku mungkin kerana kalangan akademik tidak begitu ghairah menulis dalam bahasa Melayu.

Mereka tidak menulis dalam bahasa Melayu kerana faktor merit untuk kenaikan pangkat di universiti tempatan yang mahu terbitan dibuat dalam pelbagai jurnal antarabangsa (jurnal scorpus, citation index dan seumpamanya) yang sudah tentu tidak menerima tulisan bahasa Melayu. Saya pernah mendengar rungutan rakan akademik mengenai perkara ini. Malah, ramai kalangan ahli akademik yang masih was-was untuk menulis dan mengutarakan pandangan dalam bahasa Melayu kerana sudah terbiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris. Saya sendiri pernah ‘dinasihatkan’ oleh beberapa orang rakan akademik untuk menulis dalam bahasa Inggeris kerana polisi universiti berkaitan kenaikan pangkat.  Maka, episod ‘bangau oh bangau’ bermula. Mencari helah. Keadaan ini tidak akan membawa kebaikan kepada bahasa kebangsaan.

Era globalisasi juga dijadikan alasan. Sesetengah ahli sosiolinguistik berpendapat bahawa polisi bahasa di sesetengah negara berubah kerana proses globalisasi. Penulis buku Language Policy, Culture and Identity in Asian Contexts, Tsui dan Tollefson, bagaimana pun menyifatkan keadaan ini sebagai dialektikal. Ia boleh diselesaikan dengan menguraikan secara sistematik kehendak atau keperluan domestik dan antarabangsa. Apa yang saya faham daripada maksud penulis ini ialah kedua-dua bahasa ini (bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris) adalah penting. Namun kita harus menyedari keperluan dan kepentingan kedua-duanya mengikut kehendak semasa. Kita perlu menyeimbangkan keperluan bahasa ini mengikut keadaan. Penggunaan bahasa Melayu mungkin lebih menyerlah jika setiap warga negara memahami dan mengambil perhatian mengenai tanggungjawab asasnya terhadap negara dengan memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi terhadap penggunaan bahasa kebangsaan. Keadaan ini seterusnya dapat membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu dan memperkenalkan identiti atau jati diri warga negara Malaysia.

Dalam menjadikan penggunaan bahasa Melayu lebih berkesan, perancangan mengenai bahasa (language planning) perlu diambil perhatian pemimpin. Perancangan ini lebih kepada pentadbiran dan juga politik. Kejayaan dalam penggunaan bahasa kebangsaan tidak dapat dikecapi tanpa perancangan yang sempurna dalam kedua-dua aspek ini. Contoh, kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pengiklanan dalam projek Pengesahan Bahasa Kebangsaan dalam Iklan untuk menentukan Prosedur Kendalian Standard, harus dipuji dan dijadikan contoh yang baik mengenai perancangan pentadbiran. Pemerintah dan ahli politik pula harus mengelak daripada membuat keputusan berkaitan bahasa kebangsaan secara terburu-buru. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan amat bergantung kepada kesedaran hakiki dalam sanubari setiap ahli masyarakat kerana kasih mereka terhadap negara walau siapa pun mereka. Menghormati, mengguna dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan mesti dilakukan setiap individu tanpa menunggu sebarang bentuk paksaan atau menanti sebarang bentuk pulangan. Ia adalah tanggungjawab hakiki setiap individu terhadap negaranya.



Oleh Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor Kuliyyah Ahmad Ibrahim
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
BERITA HARIAN
12 OKTOBER 2010