09 Januari 2010

Insiden bakar gereja rosakkan imej Islam, Malaysia
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
Sumber : Utusan Malaysia 8 Januari 2010


 
PERKARA yang selama ini cuba kita kawal, akhirnya terjadi juga. Tetapi sebelum pergolakan antara agama ini terus merosakkan perpaduan rakyat Malaysia, elok ia ditangani secara baik dengan segera. Semalam penduduk Lembah Klang dikejutkan dengan berita Gereja Metro Tarbenacle, Taman Melawati terbakar manakala Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Chapel, Damansara dibaling bom petrol namun ia tidak meletup. Kebetulan pula pada hari yang sama iaitu selepas solat Jumaat beberapa buah masjid di ibu negara menyaksikan perhimpunan membantah penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly. Ada juga dalam perhimpunan itu mengutuk perbuatan membakar gereja yang berlaku awal pagi semalam.

Dua kejadian yang berkaitan dengan agama ini bukan sahaja menjadi berita di negara kita, tetapi sudah menjadi berita dunia. Seluruh dunia terutama masyarakat Kristian pasti mengutuk Malaysia. Pelbagai persepsi bermain dalam fikiran mereka terutama yang cemburu dengan imej Malaysia sebagai negara contoh dalam memelihara perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaumnya. Bukan mudah untuk membersihkan lumpur yang disimbah oleh penjenayah-penjenayah yang telah dan ingin membakar gereja berkenaan. Sekarang nama baik Malaysia sudah terjejas. Kemarahan sekumpulan kecil individu fanatik telah merosakkan kesucian agama Islam dengan melakukan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Jelas mereka yang terbabit dengan jenayah itu bukan sahaja merosakkan nama Malaysia malah lebih utama ialah kesucian agama Islam. Kita tidak nafikan perbuatan itu ada kemungkinan besar didorong oleh kemarahan individu berkenaan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah bukan Islam itu.

Tetapi membakar gereja bukan caranya menyelesaikan masalah atau memberi isyarat kemarahan umat Islam. Malah agama Islam melarang umatnya memusnahkan mana-mana rumah ibadat agama lain. Kita masih tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu. Tetapi akibat cara berfikiran cetek mereka itu, imej diri, agama, bangsa dan negara telah terjejas. Hakikatnya, isu-isu yang menyentuh perasaan orang Islam amat sensitif. Sebab itu banyak peringatan dikeluarkan agar semua pihak jangan bermain api dalam isu agama. Sekarang semua pihak kena ingat bahawa isu agama benar-benar mengancam keselamatan awam dan negara. Kepada rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia, semua pihak perlu bertenang dan tidak bertindak mengikut perasaan. Kerosakan gereja yang dibakar boleh dibayar ganti ruginya oleh pihak insurans. Tetapi jika tindakan ekstrem berunsur membalas dendam, ia boleh menghancurkan perpaduan kaum yang kita bina sejak negara ini merdeka.

Perbuatan menyerang dan cubaan membakar tiga gereja di ibu negara semalam memang tidak boleh dimaafkan. Tetapi jangan akibat nafsu marah dan provokasi sesetengah pihak itu dibiarkan hingga boleh memecah-belahkan kaum dan keharmonian negara. Kita percaya majoriti umat Islam di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu fanatik yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk membakar gereja. Tetapi tiada siapa berhak membuat tuduhan bahawa insiden itu dilakukan orang Islam kerana terdapat pelbagai kemungkinan dalam kejadian tersebut. Sekarang sudah bermacam-macam teori dan spekulasi dibuat. Ada mengatakan tragedi tersebut seolah-olah dirancang sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Kristian selepas solat Jumaat semalam. Ada teori bahawa serangan terhadap tiga gereja itu berkemungkinan perbuatan pihak tertentu untuk mensabotaj orang Islam dan ekonomi negara.

Namun apa yang betul ialah individu yang melakukannya adalah penjenayah di sisi undang-undang negara. Sebelum insiden ini menjadi batu loncatan kepada tragedi yang lebih buruk maka Kementerian Dalam Negeri bukan sahaja harus bertindak secara profesional tetapi juga menanganinya dengan berkesan. Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang agar dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak. Jika peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikenakan, maka laksanakannya tanpa was-was. Jika ada pihak tidak mematuhi undang-undang penerbitan, larangan penyebaran agama lain kepada orang Islam, penggunaan kata kesat dan penghinaan kepada agama lain, kenapa pihak berkuasa masih teragak-agak untuk mengambil tindakan? Satu tindakan berkesan dan mesej yang jelas terhadap pengacau keamanan negara perlu dilaksanakan. Kepada mereka yang mahu menimbulkan suasana kacau-bilau kepada negara, kerajaan dan polis harus bertindak tegas. Pendekatan mengeluarkan 'amaran' dan tolak ansur dalam situasi begini elok difikir dan dikaji semula.

JUMLAH PESAKIT MENTAL SEMAKIN BERTAMBAH DI NEGARA KITA

Pesakit mental bertambah
Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


Laporan akhbar harian Kosmo! bertarikh 27 November 2008 menyebut bahawa Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pesakit mental, diabetes dan obesiti di kalangan orang dewasa paling tinggi di negara ini. Kes terbaru yang berlaku di negeri itu adalah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Dalam kejadian penuh tragis itu, empat nyawa melayang dipercayai angkara perbuatan kejam seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga mangsa. Lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut, Rashidi Ismail, 34, akhirnya ditahan polis di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 4.05 petang, 6 Januari lalu.
Kesemua mereka yang dibunuh itu adalah bapa, adik perempuan, datuk dan nenek kepada Rashidi. Lebih menggerikan apabila kepala salah seorang mangsa dibawa ke Shah Alam untuk ditanam di tanah tinggi berdekatan sebatang parit di hujung Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Meneliti kes itu, mungkinkah ia satu kebetulan atau satu kenyataan yang mengiyakan bahawa Negeri Sembilan memiliki sejumlah pesakit mental paling ramai di negara ini? Sehingga hari ini, kita masih belum tahu sama ada Rashidi mengalami masalah gangguan mental, berada di bawah pengaruh dadah atau sebab-sebab lain. Namun daripada apa yang diceritakan oleh adiknya, Siti Mariam bahawa abangnya pernah putus tunang sebanyak dua kali dan tidak bekerja boleh menjadi sebab Rashidi diserang kemurungan sehingga mendorongnya bertindak kejam terhadap keluarga sendiri. Menurut laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, antara punca gangguan mental adalah kemurungan. Ia dijangka menjadi punca utama penyakit mental menjelang tahun 2020. Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir kesemua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah dan hilang minat untuk melakukan aktiviti yang digemarinya sebelum ini.

Pesakit yang dilanda kemurungan juga sering mengalami kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian dan mungkin juga menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga dan rakan serta cubaan membunuh diri. Kesemua faktor itu juga boleh menjurus kepada satu perlakuan yang ganas termasuk membunuh. Pakar psikiatri dari Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud berkata, seseorang yang berada dalam keadaan di luar sedar mampu melakukan perbuatan yang pelik, luar biasa, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Menurutnya, mereka yang betul-betul buat (perbuatan kejam) adalah mereka yang telah lama mengalami gangguan jiwa. Biasanya, individu terbabit sudah sampai ke peringkat teruk atau psikotik sehingga kerap mengalami halusinasi. Katanya, apabila seseorang mengalami halusinasi, mereka seolah-olah mendengar suara-suara tertentu yang sebenarnya tidak wujud.

Beliau berkata, suara-suara itu pula biasanya menyuruh mereka melakukan sesuatu yang kadangkala tidak masuk akal. "Ada suara yang menyuruh individu terbabit membunuh diri atau mencederakan atau membunuh individu tertentu yang dianggap mengancam keselamatan mereka. "Dalam hal ini, individu terdekat seperti ahli keluarga sama ada ibu, bapa, adik-beradik, sepupu, datuk, nenek atau saudara mara kerap menjadi mangsa," ujarnya. Beliau menjelaskan, suara-suara 'ghaib' itu muncul daripada kepercayaan-kepercayaan salah terhadap sesuatu perkara. Misalnya, pelaku mempercayai ada orang mahu membunuhnya dan kepercayaan itu mendorongnya membunuh individu tersebut sebelum dirinya menjadi mangsa. "Pelaku merasakan lebih baik bunuh orang itu dahulu, sebelum orang tersebut membunuh dirinya. Inilah bisikan yang sering kedengaran di telinga mereka," katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang mengalami gangguan mental kerap merawat diri sendiri dengan mengambil dadah-dadah tertentu dan ia menjadikan gangguan yang dialami bertambah teruk. "Penggunaan dadah seperti ice, syabu, heroin dan morfin akan menyebabkan mereka kerap membayangkan benda-benda pelik dan keadaan itu lebih mendorong mereka bertindak di luar kebiasaan,"tambahnya. Mengulas sebab-sebab yang mendorong seseorang melakukan perbuatan di luar kebiasaan, beliau berkata, semua jenis tekanan sama ada di tempat kerja atau di rumah boleh mendorong mereka bertindak ganas. "Lebih memburukkan keadaan jika sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan mereka pernah mengalami gangguan mental," katanya. Memandangkan kes gangguan mental dilaporkan semakin meningkat, beliau mencadangkan agar rawatan terhadap gangguan mental dimasukkan ke dalam polisi insurans. "Di negara kita, tiada perlindungan insurans untuk rawatan gangguan mental. Ini menyebabkan tidak ramai yang mahu merujuk kes mereka kepada pakar psikiatri. Saya yakin jika pihak insurans memasukkan rawatan gangguan mental di dalam polisi mereka, lebih banyak orang akan tampil mendapatkan rawatan," tambahnya.

Perunding Psikologi, Khairul Anuar Masuan berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan stres iaitu dalaman dan luaran. "Faktor dalaman menyaksikan emosi seseorang tidak kuat, misalnya takut melihat darah. Jika jiwa dia kuat, melihat darah bukanlah satu masalah kepadanya. "Faktor luaran pula melibatkan seseorang kerap memikirkan perkara yang sama berulang kali. Sehinggakan bangun tidur pada waktu pagi pun dia boleh teringatkan perkara itu. Malah, ada yang terbawa-bawa di dalam mimpi. "Keadaan itu, jika tidak dirawat boleh membawa kepada kemurungan dan kesan daripada itu, mereka boleh berhalunisasi sehingga bertindak di luar kebiasaan," ujarnya. Beliau mengakui jumlah pesakit yang mengalami gangguan mental semakin meningkat. Justeru, pelbagai pihak perlu bekerjasama menanganinya. "Saya nasihatkan cuti hujung minggu digunakan dengan bijak agar segala tekanan yang bersarang di dalam diri sepanjang minggu itu dapat dilepaskan.

"Riadah bersama keluarga atau melakukan aktiviti luar yang digemari boleh membantu mengurangkan tekanan," ujarnya. Apapun persepsi orang ramai terhadap kes terbaru yang menggemparkan itu, ia bukanlah lebih menjurus kepada siapa dan negeri mana paling banyak terlibat dalam permasalahan berkaitan kesihatan mental. Apa yang perlu dilakukan adalah masalah kesihatan terutama yang bersangkutan dengan mental hendaklah ditangani segera supaya sebarang bentuk tekanan, kemarahan, keganasan, kemurungan dan bunuh diri dapat dielakkan. Langkah yang lebih proaktif dalam menangani masalah itu juga wajar dilakukan dari sekarang memandangkan laporan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus berbanding kajian yang sama dilakukan kira-kira 10 tahun lalu.

Statistik daripada kajian itu juga mendapati kira-kira tiga juta daripada 26 juta penduduk negara kita mengalami gangguan mental. Di peringkat antarabangsa pula, kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia dikesan mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada jumlah itu, kurang daripada separuh pesakit menerima rawatan yang diperlukan. WHO juga menganggarkan menjelang tahun 2020, penyakit mental dijangka mewakili 15 peratus daripada penyakit global. Ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007. Memandangkan masalah kesihatan mental kini menjadi sebahagian daripada cabaran era moden yang berlaku dalam masyarakat hari ini, maka pelbagai pihak perlu bersatu tenaga membantu menangani penyakit tersebut. Antara pihak yang boleh bekerjasama dalam perkara itu adalah Kementerian Kesihatan, majikan, pihak pengurusan universiti dan sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen mencegah penyakit mental boleh dilakukan sepanjang tahun bukan sahaja di peringkat sekolah dan universiti, malah ia perlu melibatkan masyarakat yang tinggal di pedalaman, kampung, pinggir bandar mahupun bandar raya besar. Di peringkat majikan sama ada sektor awam atau swasta, usaha mengesan kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Janganlah sekadar kita menunggu sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun barulah kempen dan aktiviti kesihatan mental diadakan. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2009 menekankan betapa kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan di tempat kerja perlu diberi rawatan segera oleh majikan. Menurutnya, ia perlu dilakukan segera bagi menangani produktiviti golongan pekerja di negara ini, selain mengenal pasti pekerja yang mempunyai masalah berkenaan supaya rawatan dan kaunseling dapat diberikan segera. Beliau mencadangkan majikan agar memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pekerja yang berfungsi mengambil langkah-langkah pencegahan serta membantu pekerja yang menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental, tekanan dan kemurungan.

Selain itu, seorang pakar psikiatri dari Toronto, Kanada, Dr. Ted Lo berkata, kurangnya pendidikan mengenai aspek gangguan mental menjadikan mereka yang menderita gangguan tersebut enggan mengakuinya. Keengganan seseorang untuk dikaitkan dengan penyakit mental berpunca daripada stigma sosial dalam komuniti terhadap masalah berkenaan. "Faktor persekitaran dan perspektif budaya yang negatif terhadap gangguan mental telah menghalang ramai pesakit mendapatkan bantuan yang sewajarnya," katanya. Justeru, stigma dan prejudis masyarakat terhadap penyakit mental perlu dihapuskan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit menemui pakar untuk mendapatkan rawatan.

Kesimpulannya, tragedi hitam yang berlaku melibatkan kehilangan nyawa, amukan dan perbuatan membunuh diri adalah peringatan pahit dalam kehidupan kita akibat daripada penyakit yang hakikatnya boleh dirawat. Langkah-langkah menanganinya sepatutnya tidak diabaikan dalam usaha kita mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

01 Disember 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Bahang Perubahan Iklim
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

Belum pun bermulanya Sidang Kemuncak Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7-18 Disember ini di Copenhagen, Denmark, bahangnya sudah terasa di kalangan 192 negara (termasuk Malaysia) yang akan menghadirinya. Negara-negara anggota Komanwel di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir baru-baru ini telah memberikan isyarat jelas akan keinginan kuat perkumpulan itu untuk melihat persidangan perubahan iklim PBB menghasilkan satu perjanjian yang terikat daripada segi undang-undang. Mereka berpendapat bahawa jika sekadar pakatan iklim yang berasaskan ikatan politik, ia tidak memadai kerana adalah sukar untuk menentukan tahap kesungguhan di kalangan negara-negara maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu sesi perbincangan mengenai perubahan iklim berkata banyak negara anggota Komanwel terutamanya negara-negara membangun pulau kecil menjadi mangsa perubahan iklim. Dalam pencelahan mereka, sebilangan mereka menyatakan bahawa jika pemanasan global berterusan, rangkaian kepulauan mereka pasti akan terbenam. "Bagi mereka, ia bukan hanya sekadar masalah, ia adalah soal hidup dan mati," kata Najib kepada wartawan Malaysia pada hari pertama sidang kemuncak yang dirasmikan oleh Ratu England, Ratu Elizabeth II. Bahkan mesyuarat demi mesyuarat diadakan daripada rundingan perubahan iklim di Bonn, Jerman pada 1-12 Jun dan disambung semula pada 10-14 Ogos 2009, kemudian diteruskan di Bangkok, Thailand yang diadakan 28 September - 9 Oktober sehingga yang terakhir sebelum sidang kemuncak diadakan di Barcelona, Sepanyol pada 2-6 November 2009. Banyak persoalan yang timbul terutamanya isu pengurangan penggunaan bahan karbon dioksida dan komitmen negara maju. Tetapi adakah sidang ini merupakan peluang terakhir menyelamatkan bumi sebagaimana diuar-uarkan?

Laporan daripada Rangkaian Dunia Ketiga (TWN), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Pulau Pinang menyatakan rundingan terakhir anjuran PBB yang diadakan di Barcelona pada awal November lepas tidak menunjukkan sebarang kemajuan bermakna dan hanya membawa lebih banyak kebuntuan kepada isu-isu penting yang dirundingi. Peserta Persidangan Rangka Kerja PBB ke atas Perubahan Iklim (Parties to the UN Framework Convention on Climate Change atau UNFCCC) gagal merapatkan perbezaan antara negara maju dan membangun. Namun dari suatu sisi, rundingan di Barcelona membantu negara-negara anggota memperjelaskan pendirian dan membolehkan mereka membuat keputusan dalam isu-isu penting di Copenhagen nanti. Ini termasuklah menubuhkan dana yang dipertanggungjawab di bawah UNFCCC dan sebuah badan yang akan memutuskan isu pemindahan teknologi. Namun perbezaan dalam beberapa isu penting dan utama masih tidak berubah yang tidak membawa petanda positif kepada sidang kemuncak di Copenhagen.

Pertama isu Protokol Kyoto, perjanjian di bawah UNFCCC yang merupakan isu keterikatan undang-undang dalam sasaran pengurangan bahan keluaran gas rumah hijau untuk negara maju. Namun daripada media menunjukkan hampir kesemua negara maju memutuskan untuk mengabaikan Protokol Kyoto dan perkara ini dilihat dalam rundingan di Bangkok pada awal Oktober dan disahkan di Barcelona. Mereka mengelak bertanggungjawab mengikut keterikatan undang-undang seperti dalam Protokol Kyoto (KP) dan melengah-lengah masa dengan mahu menubuhkan perjanjian baru pula. Negara-negara membangun menjelaskan dalam rundingan di Bangkok bahawa mereka tidak akan menerima sebarang penubuhan perjanjian baru dan negara maju harus kekal dengan KP dan berunding dengan serius di Copenhagen ke arah komitmen kedua (yang bermula pada 2013) untuk pengurangan bahan keluaran seterusnya.

Kedua, negara maju tidak begitu komited dengan pengurang bahan keluaran. Negara membangun mahukan pengurangan agregat sekurang-kurangnya sebanyak 40 peratus menjelang 2020 berbanding dengan 1990. Angka terkini daripada data UNFCCC menunjukkan komitmen negara maju hanya berkisar antara 11-23 peratus dan 11-17 peratus (tidak termasuk Amerika Syarikat). Negara sedang membangun begitu kecewa dengan komitmen negara maju yang tidak membentuk asas kepada hasil yang memulihara alam sekitar pada sidang kemuncak di Copenhagen nanti. Ketiga, usaha-usaha yang dilakukan dalam pengurangan bahan keluaran sentiasa mempertanggungjawab negara membangun dan miskin. Ini adalah suatu perlanggaran kepada prinsip-prinsip dan peruntukan-peruntukan UMFCC dan Pelan Tindakan Bali yang diamalkan pada 2007. Negara maju di sesi rundingan di Barcelona bercadang mengaburkan perbezaan antara perbezaan tanggungjawab pengurang bahan keluaran yang terikat dengan undang-undang oleh negara maju dengan pengurangan bahan keluaran yang didukung wang dan teknologi oleh negara membangun dan miskin.

Usaha-usaha yang dilakukan termasuklah meminta negara membangun dan miskin mematuhi prosedur pengesahan dan pelaporan bahan keluaran yang sama dengan negara maju. Mereka juga inginkan negara membangun yang "maju" mematuhi sasaran pengurangan bahan keluaran yang sama. Ini adalah di antara usaha-usaha yang dilakukan negara maju dan ternyata ia tidak dipersetujui dalam sesi rundingan di Bali atau tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan UNFCC. Dalam isu berhubung dengan pemindahan teknologi, terdapat keengganan daripada pihak negara maju untuk menubuhkan sebuah badan eksekutif di bawah payung UNFCCC bagi memutuskan isu-isu berhubung teknologi dan kesan daripada pemindahan teknologi. Sebuah kumpulan penasihat yang dicadangkan negara maju masih tidak mencukupi kerana tidak banyak perkembangan mengenai pemindahan teknologi yang dicapai. Kelima, terdapat perbezaan antara "wawasan yang dikongsi" dan matlamat jangka panjang sejagat untuk pengurangan bahan keluaran. Sesetengah negara maju mengesahkan cadangan untuk pemotongan bahan keluaran sebanyak 50 peratus menjelang 2050 berbanding dengan 1990. Namun apa yang tidak dinyatakan ialah ini mengkehendaki negara membangun untuk memotong sebanyak 20 peratus dalam syarat mutlak dan 60 peratus dalam syarat per kapita.

Nampaknya beban pemotongan lebih kurang tetapi bagaimana dengan isu pemindahan teknologi dan kewangan yang membolehkan negara membangun berkembang. Tiada komitmen daripada negara maju. Jumlah bantuan dari segi kewangan haruslah dibincangkan dan diselesaikan dahulu sebelum sebarang pemotongan bahan keluaran di pihak negara membangun. Sanggupkah negara maju melaksanakan tanggungjawab ini? Perkara-perkara di atas ini adalah beberapa isu yang harus diselesaikan jika Sidang Kemuncak Copenhagen ini ingin mencapai kejayaannya. Walaupun apa pun hasil atau keputusannya sama ada perjanjian sepenuhnya antara negara maju dan membangun atau rangka kerja perjanjian atau keputusan meneruskan perundingan dengan protokol dan sidang perubahan iklim lain, aspek-aspek alam sekitar, ekuiti dan keseimbangan Utara-Selatan (negara maju dan membangun) harus diberikan perhatian sewajarnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan ini peluang untuk kita menyelamatkan bumi.

PENULIS adalah pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Persatuan belia perlu sokongan
Oleh ANUAR AHMAD

Berdasarkan statistik penduduk negara, sehingga akhir tahun 2008, jumlah penduduk Malaysia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun adalah seramai 11.2 juta orang atau 41 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 27.2 juta orang (Statistik Penduduk Malaysia, 2008). Kumpulan terbesar ini juga di istilah sebagai golongan belia, tidak syak lagi merupakan penyumbang utama di dalam sektor ekonomi, sosial dan politik negara. Rata-rata kumpulan ini belum lagi berada di peringkat pimpinan tertinggi di dalam semua sektor tetapi merupakan aktor-aktor yang akan menentukan kejayaan atau juga menggagalkan perancangan dasar negara ini. Tahun lalu kepimpinan belia telah diraikan di dalam Majlis Anugerah Belia dan Persatuan Belia Negara yang dilangsungkan di Putrajaya. Ramai yang telah berjaya menerima pelbagai anugerah sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada kegiatan belia negara. Mereka sekarang tentunya terus berbakti untuk pembangunan negara.

Bagaimanapun kejayaan ini bukanlah kejayaan mutlak kepada makna kejayaan pembangunan belia di seluruh negara. Laporan Institut Integriti Malaysia 2008 menunjukkan daripada sejumlah 11.1 juta belia di negara ini hanya dua juta sahaja atau kurang daripada 18 peratus sahaja yang belia berdaftar sebagai ahli persatuan belia. Tentulah jika diperincikan yang aktif adalah kurang separuh daripada jumlah yang mendaftar sebagai ahli persatuan. Malah laporan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) pada 2006 menunjukkan bahawa sebenarnya kurang 2.8 peratus atau 300,000 orang sahaja belia sahaja yang benar-benar aktif di dalam persatuan belia di seluruh negara. Jumlah ini sebahagian besarnya datang dari program Rakan Muda yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Mengapa kebanyakan belia kini tidak berminat untuk aktif berpersatuan berbanding belia era 1960-an dan 1970-an. Penelitian dan kajian lalu berkaitan penglibatan di dalam persatuan belia mendapati tiga punca utama kelesuan ini yang perlu diteliti secara serius oleh kepemimpinan tertinggi di peringkat Kementerian Belia dan Sukan serta kepimpinan persatuan belia. Pertama, pengaruh politik kepartian di dalam persatuan belia. Secara prinsipnya, persatuan belia seharusnya berbeza dengan ideologi politik kepartian.

Mereka harus bertindak dan beraksi sebagai sebuah organisasi sivil yang berteraskan kebajikan, sukan, keagamaan, kesukarelaan, pendidikan dan sebagainya. Bagaimanapun persatuan belia hari ini sangat terikat sepenuhnya dengan kumpulan parti politik khususnya di pihak parti pembangkang. Kesannya sangat mendalam sehingga kebanyakan belia yang tidak minat berpolitik hilang minat untuk menganggotai persatuan belia. Selain itu persatuan belia yang berpengaruh dikuasai hampir sepenuhnya oleh pengaruh ahli politik atau proksi mereka. Malah terdapat juga beberapa persatuan belia yang diterajui sendiri oleh ahli politik yang jelas mempunyai kepentingan politik apatah lagi menampakkan kecenderungan untuk beraksi seperti sebuah parti politik. Malah jika diteliti kepimpinan belia peringkat negeri dan daerah, kita boleh menyenaraikan puluhan pemimpin politik yang aktif berada di dalam persatuan belia di pelbagai peringkat. Malah apa yang mendukacitakan, kepimpinan politik di pelbagai peringkat ini menggunakan platform persatuan belia untuk memantau pemimpin muda yang dikhuatiri memberi cabaran kepada penerusan jawatan politik mereka. Mana-mana pemimpin muda atau ahli persatuan belia yang aktif pastinya akan 'dipancung' supaya mereka tidak menjadi pesaing di dalam kerjaya politik peringkat daerah, bahagian mahupun negeri.

Faktor kedua ialah kegagalan pihak berkuasa menguruskan persatuan belia dengan dasar pembangunan belia. Hal ini bermula akibat kebimbangan pihak berkuasa melihat kelesuan persatuan belia sekitar tahun 1980-an. Maka beberapa kajian ahli akademik menunjukkan semakin banyak persatuan belia tidak lagi mendapat sokongan golongan belia khususnya di kawasan bandar. Selain kepimpinan persatuan belia yang lemah, sistem pengurusan juga lemah. Begitu juga dengan laporan kewangan yang didapati tidak sempurna dan tidak memuaskan hati pihak Kementerian Belia dan Sukan walaupun kebanyakan persatuan terlibat mendapat geran tahunan kerajaan melalui KBS. Suasana ini menyebakkan bermulanya usaha kementerian untuk mengambil alih dan mengemaskinikan sistem pengurusan persatuan belia di peringkat daerah dan negeri.

Malah Gerakan Belia 4B yang satu masa dahulu pernah dianggap sebagai model persatuan belia yang berjaya juga telah lesu dan hilang taringnya. Bagi menyelesaikan masalah ini pihak Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan pelbagai program yang menelan belanja jutaan ringgit yang dipusatkan dan diuruskan terus di kementerian. Antara yang paling popular ialah Program Rakan Muda yang masih dilaksanakan sehingga hari ini. Ringkasnya, pelaksanaan program belia yang berbentuk top-down nampaknya kurang berjaya menarik minat para belia. Selain terpaksa berbelanja besar, program yang dianjurkan untuk pembangunan belia juga dilihat lebih bertujuan untuk meramaikan bilangan belia di dalam majlis semata-mata. Biasanya belia hanya dijemput atau diminta untuk menjadi peserta sesuatu program yang telah disusun lebih awal. Tindakan sebegini dilihat sebagai memperkecilkan keupayaan belia untuk diberikan pengalaman sebagai pemimpin pelapis negara pada masa akan datang. Cubalah tinjau program khidmat masyarakat yang dilaksanakan oleh jabatan berkaitan belia, biasanya akan lebih ramai pegawai yang mengurus dan menjadi urus setia, para belia dijemput untuk mengambil bahagian secara ad-hoc dan menghadiri majlis perasmian dan makan-makan sahaja.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran, IPTA dan IPTS harus lebih terbuka untuk memberikan peluang dan pengalaman kepada belia menguruskan segala hal berkaitan pembangunan belia. Kalau tidak, pasti belia akan 'lari' untuk melakukan aktiviti lain yang mereka rasa lebih rapat dengan mereka. Oleh kerana bukan belia yang menganjurkan program untuk belia, maka tidak mungkin belia akan merasa itu adalah program dan agenda mereka. Pada mereka itu adalah agenda orang lain atau agenda politik semata-mata. Faktor ketiga mengapa belia kurang berminat dengan persatuan belia ialah kegagalan pemimpin belia memahami dan meremajakan persatuan mereka dengan kehendak dan cita rasa belia masa kini. Maklumlah umur kebanyakan pemimpin belia biasanya sudah di 'ambang senja' sebagai seorang belia. Pemimpin belia rata-rata di kalangan orang yang minat berpolitik telah berumur antara 35 hingga 40 tahun. Zaman keremajaan mereka sudah tamat sedangkan ahli-ahli yang masih muda dahagakan pemikiran yang lebih remaja. Ketidakmampuan pemimpin belia menghayati perubahan ini akan menyebabkan ahli-ahli baru berundur atau menjadi ahli tidak aktif.

Malah diketahui juga ada di kalangan pimpinan belia 'berpolitik' cenderung untuk melantik kalangan kroni mereka, tapi ahli persatuan belia inginkan ketelusan dalam pengurusan persatuan belia. Ahli-ahli baru persatuan belia sekarang lebih suka kepada sukan lasak, muzik hip hop dan Indie, fesyen yang sangat berbeza dengan orang lama. Kemahiran ICT mereka juga berbeza. Pemimpin belia jika setakat hanya menguasai asas dalam komputer tidak akan digemari dan popular. Pemimpin belia harus mahir seperti juga ahli belia remaja yang mahir dengan trend blog, twitter, facebook, myspace serta berbagai bentuk inovasi baru perkomputeran. Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 telah pun dilaksanakan sepenuhnya. Akta ini antara lain bertujuan meningkatkan integriti belia bila para pemimpin yang melebihi umur 40 tahun tidak lagi layak bertanding untuk sebarang jawatan dalam persatuan belia di semua peringkat. Selain itu, melalui Akta ini juga segala urusan pentadbiran belia diharap akan menjadi semakin cekap dan tersusun. Bagaimanapun kewujudan akta ini masih belum berjaya memecahkan kelesuan di kalangan remaja untuk menjadi ahli belia. Mungkin ada benarnya imej 'Mat Skema' dan 'Mat Baju Batik' yang begitu popular sedikit masa lalu di kalangan pemimpin dan ahli persatuan belia sudah tidak diminati lagi oleh remaja hari ini.

Walaupun jumlah wang diperuntukkan telah bertambah kepada aktiviti belia berbanding dulu, wujudnya akta yang menyokong perjuangan belia serta kemudahan ICT yang semakin baik, kelesuan penglibatan generasi muda semakin terasa. Semangat belia perlu disemarakkan kembali. Konsep dan definisi perjuangan belia perlu diteliti semua. Campur tangan dan pengaruh politik dalam persatuan belia harus ditolak. Biarlah persatuan belia berjuang demi semangat pembangunan belia. Mereka ini perlu diberi peluang untuk berlatih supaya lebih bersedia untuk menjadi pemimpin satu hari nanti.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Akademik Kolej) Pusat Perkembangan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia

29 November 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

APABILA ALAM BERBICARA
Oleh Ku Seman Ku Hussain
UTUSAN MALAYSIA
29 NOVEMBER 2009


LEBIH dua dekad lalu penyanyi tersohor Indonesia, Ebiet G. Ade mencipta dan senandungkan lagu Berita Kepada Kawan. Ketika lagu ini popular tidak banyak yang dapat mengaitkan keluhan Ebiet mengenai sikap manusia kepada alam seperti kita perkatakan hari ini. Dua dekad lalu tidak ada istilah pemanasan global atau rajuk marah alam yang mengubah fenomena alam, dunia menjadi semakin panas, lautan beku mencair dan salji tiba-tiba gugur di bumi yang bukan tempatnya. Ebiet mengkritik tentang sikap manusia yang tidak bersahabat dengan alam. Ternyata Ebiet seniman yang mendampingi alam dan mampu memahami bicara alam lewat isyarat bencana yang dikirimkan kepada manusia. Tetapi tidak semua manusia seperti Ebiet, sebaliknya mereka sangat individualistik untuk memesrai alam dengan tidak melakukan tingkah yang mengubah suhunya.

Kini manusia semakin mengerti apabila alam berbicara. Bencana alam yang berlaku di sana sini, suhu dunia meningkat mendadak akibat hutan yang semakin mengecil untuk menyumbangkan oksigen, pemimpin-pemimpin dunia kini bersiap dengan usul masing-masing untuk dibentangkan di Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Conpenhagen, Denmark pada 7 hingga 18 Disember ini. Alam atau “rumah hijau” menerima kesan yang langsung daripada pemanasan global. Antara kesan pemanasan global ialah kenaikan suhu bumi, perubahan cuaca yang melampau yang mengakibatkan taufan, banjir, tanah runtuh dan peningkatan aras laut akibat pencairan glasier. Penipisan lapisan ozon menjadi semakin serius dan sidang di Conpenhagen tahun ini dianggap sangat penting untuk merangka langkah-langkah proaktif untuk menyelamatkan bumi. Ini kerana langkah fasa pertama menyelamatkan dunia menerusi Protokol Kyoto akan tamat pada 2012. Maka mulai 2013 perlu ada satu kerangka dasar baru kelangsungan Protokol Kyoto.

Peningkatan suhu panas bukan saja mencairkan bongkah ais di Artik tetapi mencetuskan mala petaka akibat perubahan cuaca yang mendadak. Tentulah antaranya ribut taufan yang ganas, gelombang yang membahayakan penghuni di kawasan pantai sekaligus membawa hujan yang luar biasa hingga mengakibatkan banjir besar. Sidang di Conpenhagen menjadi penentu sejauh manakah keseriusan pemimpin-pemimpin dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) menangani isu pemanasan global. Difahamkan Presiden AS, Barack Obama akan turut serta di Conpenhagen Disember ini bersama pemimpin-pemimpin lain yang memperlihatkan komitmen yang tinggi.

Protokol Kyoto sebenarnya tidak berjaya sepenuhnya untuk mendidik manusia menghargai dan menyayangi alam. Kerana itu isu pemanasan global yang sudah dikesan sejak tahun 1940-an lagi tidak memperlihatkan langkah-langkah drastik yang telah dilakukan. Cuma apabila laut yang dulunya beku kini mencair, gunung yang sepanjang masa diselimuti ais juga mulai cair, barulah manusia gelisah bahawa alam ini sudah tenat sebenarnya. Kalau filem 2012 boleh dijadikan rujukan tentang kesan kemusnahan akibat pemanasan global, demikianlah dahsyatnya detik cemas yang berada di hadapan kita semua. Biarpun filem arahan Roland Emmerich lakonan John Cusack, Chiwetel Ejiofor dan Amanda Peet sebuah fiksyen yang sekaligus menguji keberkesanan teknologi imej janaan komputer (CGI), 2012 berpaksi kepada rujukan yang berlaku sekarang.

Pemilihan tahun 2012 sebagai tahun bencana dalam filem ini sebagai menyindir kegagalan Protokol Kyoto yang berakhir pada 2012. Kalau kita tidak mampu membina imaginasi tentang kesan maha dahsyat apabila alam mulai memberontak, filem 2012 barangkali boleh membantu kita membayangkan sengsara akibat kecuaian manusia. Pemimpin dunia tidak hanya boleh berdoa supaya ilusi dalam filem 2012 tidak berlaku, malah mesti bertindak untuk lebih menyayangi alam dan merendahkan sedikit hambatan materialisme. Pertambahan mendadak kawasan-kawasan perindustrian yang menyumbangkan kepada penipisan ozon, penghapusan kawasan hutan yang dibangunkan untuk tujuan komersial antara yang menyumbang kepada perubahan cuaca.

Kadar kecairan ais di Artik dan Artartika berada pada tahap yang membimbangkan. Sekiranya kecairan sekarang ini terus konsisten, paras air di lautan akan bertambah lebih 80 meter. Bayangkan air setinggi lebih kurang 80 meter yang boleh menenggelamkan daratan lebih dahsyat berbanding tsunami. Kalau keadaan sekarang terus konsisten, laut akan menenggelamkan lebih 15 juta kilometer persegi daratan. Semua manusia di dunia akan menerima kesan yang buruk ini. Kecairan di dua kutub itu menyumbang kepada pertambahan paras air di lautan yang menghubungkan semua negara di dunia. Kalau paras air di laut bertambah 20 meter saja, mungkin negeri Pulau Pinang hanya akan kelihatan menara Komtar dan beberapa bangunan tinggi. Tetapi ramalan pengkaji, paras air laut akan bertambah 80 meter, dan kita hanya boleh mengingat kembali apa yang berlaku dalam filem 2012 di mana Rumah Putih tempat kediaman Obama yang dilanggar kapal dari laut.

Para pemimpin yang akan menghadiri sidang di Conpenhagen kini hanya menunggu tindakan drastik Obama untuk mengurangkan gas rumah hijau sebanyak 17 peratus hingga 2020. Ini merupakan sasaran pertama AS yang dibawa ke sidang di Conpenhagen. Maka sidang Conpenhagen Disember ini boleh dianggap sebagai antara usaha manusia untuk memahami alam yang menghantarkan isyarat bicaranya menerusi bencana demi bencana. Semua yang berlaku tercetus daripada sikap manusia yang berkurun lamanya tidak mahu memahami alam. Kemusnahan akibat pemanasan global hanya satu isyarat menunjukkan alam mulai bicara kerana tidak tertanggung dengan tingkah manusia.

17 November 2009

LELAKI SEMAKIN MUNDUR DARJAH KEKUASAANNYA, WANITA PULA SEMAKIN GHAIRAH MENGEJAR KEJAYAAN

Lelaki kini lebih ‘bergantung’ dari berdikari
Oleh Feriz Omar



SEKITAR tahun 1982, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melancarkan dasar “Ke Arah 70 Juta Penduduk”. Ketika pertemuan bulanan saya dengan beliau baru-baru ini, topik berkenaan sekali lagi diutarakannya. Dr. Mahathir menekankan bahawa objektif dasar ini adalah penting bagi meningkatkan lagi kekuatan produktiviti negara. Namun hakikatnya, dasar tersebut adalah terlalu ke hadapan dan mustahil dicapai dalam tempoh singkat. Jumlah 70 juta penduduk Malaysia itu hanya mungkin tercapai pada tahun 2100 yakni hampir 100 tahun lagi! Gara-gara itulah Malaysia terpaksa menggunakan 100 peratus jumlah penduduknya yang juga melibatkan 14 juta wanita. Kini, wanita diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dan sekali gus juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Jelas di sebalik kelembutan wanita, mereka telah berjaya melonjakkan ekonomi negara bersama-sama dengan kaum Adam.


Kaum Hawa Abad 21 Lebih Progresif

Di Kelantan misalnya, wanita dilihat penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui kegiatan perniagaan sedangkan golongan lelaki nampaknya lebih cenderung dalam aktiviti politik. Contoh paling ketara adalah di menara gading. Statistik menunjukkan bilangan penuntut dari kaum Hawa mendominasi majoriti institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Dalam sektor pertahanan pula, semakin ramai wanita mula memegang senjata dan menjadi polis serta ada yang menjadi juruterbang jet pejuang. Entah ke mana perginya adik-adik lelaki kita? Yang kita tahu, kumpulan-kumpulan belia ini bagaikan lebih gemar bersenang-lenang dan terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Kalau tidak, masakan wujud samseng jalanan yang pernah dikenali sebagai mat rempit? Jika ada yang cuba mempertikaikan perkara ini, sila semak rekod semasa dari pihak-pihak yang bertanggungjawab. Hampir 80 peratus penagih dadah juga adalah lelaki!

Fenomena semasa ini bagaikan suatu petanda bahawa kaum wanita telah dan akan lebih ramai terpelajar berbanding lelaki. Jika ini berterusan tidak mustahil suatu trend atau senario dominasi intelek boleh berlaku. Jika suatu ketika dahulu, lelaki terlalu banyak mengadu tentang isteri-isteri mereka yang kurang pendidikan, sekarang terbalik pula keadaannya. Kaum Adam pula yang lebih banyak “bergantung” kepada isteri berbanding berdikari. Sekiranya ini berlaku, jangan terkejut jika lelucon Cerekarama yang tidak pernah kita fikirkan seperti wanita menghalau suami mereka keluar rumah terjadi dan berleluasa. Ya, ketawalah sekarang tetapi jangan fikir ini terlampau mustahil kalau golongan belia lelaki terus-terusan hanyut dalam arus ketidakmatangan dan tanpa kita mengawasinya!

Kuasa Sebenarnya di Tangan Koloni Yang Bekerja Lebih Keras

Situasi yang sama sebenarnya berlaku apabila pendatang asing lebih keras bekerja daripada penduduk negara tersebut. Mereka akhirnya akan membentuk suatu koloni yang lebih kuat dan mengambil alih penguasaan negara. Sejarah telah berulang kali membuktikan apabila sesebuah negara maju dan bertamadun, rakyat akan mula malas dan menyerahkan urusan pertahanan negara kepada golongan pendatang. Senario menyerah senjata sebegini telah terbukti suatu faktor penyumbang kepada kejatuhan empayar kuno seperti Rom dan Sepanyol. Demikianlah dalam situasi ini, sekiranya lelaki tidak gigih bekerja, mereka akan kehilangan kuasa pengaruh ke atas keluarga dan masyarakat sekeliling yang dipimpinnya. Memang benar sektor korporat dan institut pengajian tinggi belum dikuasai oleh kaum Hawa sepenuhnya. Namun, jika kaum Adam selalu berfikir bahawa mereka adalah tuan atau ketua, asyik mencuri tulang dan sering menyerahkan tugas kepada orang lain, akhirnya kaum Adam akan menjadi terlalu malas untuk menghalang kaum Hawa.

Kaum Adam Pula Kenalah Gigih !

Perlu diingatkan lagi bahawa kaum lelaki mesti matang atas tanggungjawabnya di masa depan. Ada hati dan usaha pasti boleh! Lihat sahaja, kaum wanita yang dahulu pernah menjadi jaguh di dapur, kini chef-chef di dapur adalah terdiri dari kaum lelaki. Justeru, sekiranya kaum Adam bekerja lebih keras daripada kaum Hawa, KDNK secara keseluruhannya pasti akan melonjak dengan lebih baik. Namun dalam pada itu, kaum Hawa janganlah menjadi golongan terlampau sehingga hendak melanggar syariat seperti dalam isu Amina Wadud yang mengimamkan solat jemaah lelaki. Seperti Dr. Mahathir, saya juga bersetuju bahawa kaum wanita kelihatan begitu menjelikkan jika mereka mula melibatkan diri dalam sukan gusti!


FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Melayu Profesional dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

PENAJA TIDAK DIPERLUKAN UNTUK MENUNAIKAN HAJI

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Individu berjawatan tidak boleh menerima tajaan daripada mana-mana pihak untuk menunaikan haji jika langkah berkenaan akan menimbulkan fitnah dan syak wasangka. Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, individu terbabit juga perlu memastikan tajaan itu tidak dibuat semata-mata kerana mereka ada kuasa disebabkan memegang jawatan dalam kerajaan atau mana-mana organisasi. “Komen saya ini bukan berniat menyentuh mana-mana pihak, tetapi mengikut hukum syarak seseorang itu boleh ditaja untuk mengerjakan haji dengan syarat pihak yang menaja tiada kepentingan dan langkah ini tidak membawa fitnah, syak wasangka atau keraguan. “Walaupun perkara ini dibolehkan, saya berharap semua pihak sedar bahawa langkah terbaik untuk mengerjakan haji ialah menggunakan wang sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Baru-baru ini timbul kontroversi apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku beliau ditaja pihak tertentu untuk menunaikan haji dengan kos RM65,000 dan mendapat layanan bertaraf ‘VVIP’. Ekoran kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan. Disebabkan timbul pelbagai polemik, Nik Abdul Aziz membatalkan hasratnya berlepas ke Mekah pada Rabu ini. Menurut Nooh, sebaik-baiknya, individu yang ingin ditaja untuk menunaikan haji adalah daripada kalangan orang miskin yang tidak berkemampuan untuk mengeluarkan belanja bagi mengerjakan ibadat itu. “Tajaan ini sepatutnya bagi menolong orang miskin. Ia tidak boleh dilakukan bagi membantu golongan berada kerana ia tidak berfaedah, sama seperti mencurah garam ke dalam laut,” tegasnya. Dalam pada itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada masalah jika seseorang itu ingin menunaikan haji menerusi wang tajaan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur rasuah. “Tak apa dari segi syarak untuk mana-mana pihak menaja kita bagi menunaikan haji. “Tetapi kita harus memastikan tiada unsur rasuah dan pihak yang melakukan ini tidak mempunyai niat lain,” ujarnya. Mengulas isu sama, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dusuki Ahmad berkata, persoalan sama ada boleh atau tidak seseorang itu menunaikan haji dengan wang tajaan adalah bergantung kepada niat kedua-dua belah pihak. “Kita mesti mengetahui niat orang yang menerima tajaan dan juga pihak yang menaja. “Apakah tujuan penajaan ini? Jika ia bermaksud tidak baik dengan niat mencapai keuntungan keduniaan, ini sudah tentu tidak dibolehkan kerana ia bertentangan dengan tujuan sebenar ibadat haji,” katanya.

12 November 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Kurang senang kualiti kerja, penyeliaan
Oleh LEE LAM THYE



ANTARA isu yang menarik perhatian ramai ialah bagaimanakah budaya penyelenggaraan yang baik dapat dilaksanakan di Malaysia? Kita berbangga sebagai sebuah negara yang berkemampuan menyediakan prasarana bertaraf dunia. Namun bukan daripada segi penyelenggaraan yang baik. Kes kecacatan dan kerosakan bangunan baru kerajaan dan prasarana yang dibangunkan oleh kerajaan masih segar dalam ingatan. Masalah seperti ini amat memalukan dan terlalu serius untuk diabaikan. Penyelenggaraan yang buruk terhadap bangunan dan prasarana awam boleh membawa kepada kemalangan dan kecederaan. Tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai. Taman permainan kanak-kanak yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan. Sementara jalan raya dan longkang yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan banjir kilat.

Jalan berlubang yang dibiarkan berminggu-minggu membahayakan pengguna jalan raya. Kegagalan untuk memotong pokok dan dahan yang menutupi papan tanda di sepanjang jalan raya pula menyebabkan kesulitan kepada pengguna. Kekerapan kejadian hakisan tanah dan tanah runtuh serta beberapa masalah alam sekitar lain boleh mengundang bencana dan tragedi. Kejadian-kejadian yang tidak menyenangkan ini adalah imbasan kepada rasa tidak senang rakyat Malaysia terhadap kualiti kerja yang rendah, pelaksanaan yang tidak sempurna, pengurusan yang lemah, budaya penyelenggaraan yang buruk dan kurangnya etika kerja di kalangan mereka yang terlibat. Apa yang menjadi persoalan bukan sahaja isu etika kerja tetapi juga isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Kejadian bangunan runtuh adalah isu keselamatan di tempat kerja yang tidak boleh dipandang ringan.

Sudah sampai masanya bagi semua pihak untuk bertindak atau berbuat sesuatu bagi mengelak atau menyekat perkara yang tidak menyenangkan rakyat Malaysia daripada berulang. Komen yang Malaysia adalah sebuah negara yang "mempunyai prasarana kelas pertama dunia tetapi mentaliti kelas dunia ketiga" adalah tepat. Apatah lagi apabila kita bercakap mengenai budaya penyelenggaraan di negara ini. Budaya penyelenggaraan dan perkhidmatan sememangnya bukan kekuatan kita. Kita amat baik dalam menyediakan bangunan dan prasarana yang canggih, tetapi apabila tiba kepada soal penyelenggaraan dan menjaga bangunan dan prasarana tersebut, kita mempunyai banyak kelemahan dan masalah. Semua pihak berkuasa dan rakyat Malaysia perlu menanam budaya penyelenggaraan yang baik dan menjadikannya sebagai cara hidup seharian. Marilah kita mengubah sikap "prasarana kelas dunia pertama tetapi minda kelas dunia ketiga" apabila kita melakukan penyelenggaraan.

Masanya sudah sampai untuk satu era baru yang menekankan terhadap budaya penyelenggaraan dan keselamatan yang baik. Saya mencadangkan satu lagi pasukan petugas ditubuhkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri untuk melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi menamatkan perasaan tidak senang terhadap kualiti kerja yang rendah, penyeliaan yang lemah dan penyelenggaraan yang buruk oleh pihak yang berkenaan.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Diabetes ibarat bom jangka
Oleh DR. AZIZ AL-SAFI ISMAIL


BAYANGKAN pada suatu hari anda terserempak dan bersembang panjang dengan seorang rakan sekolah yang telah lama tidak berjumpa. Keadaannya amat mendukacitakan. Beliau menceritakan yang beliau telah 20 tahun menghidap diabetes. Walaupun lama, malangnya diabetes tidak terkawal dengan baik. Pelbagai komplikasi berlaku. Selain mata kabur, buah pinggang rosak, lima tahun lepas kaki kanannya terpaksa dipotong di paras bawah lutut, setelah beberapa minggu dijangkiti kuman. Lima bulan lepas, kaki kirinya pula terpaksa dipotong kerana masalah yang sama. Lebih malang lagi kini beliau turun naik mahkamah syariah kerana isterinya menuntut cerai, lantaran beliau tidak lagi mampu memberi nafkah - zahir dan batin. Itulah kisah seorang pesakit diabetes. Mungkin ada kisah pesakit yang lebih teruk daripada itu. Hakikatnya pesakit diabetes berdepan dengan pelbagai komplikasi jika diabetes tidak terkawal. Penting sekali bagi pesakit diabetes merenung sejenak keadaan mereka. Berapakah paras gula dalam darah? Adakah ia terkawal?

Tahukah anda bagi setiap 100 orang berumur 30 tahun ke atas yang anda temui di Malaysia, dianggarkan 15 daripadanya menghidap diabetes atau kencing manis. Ini merupakan satu peningkatan yang amat ketara berbanding dengan cuma lapan orang penghidap diabetes bagi setiap 100 orang dewasa pada 1998. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III yang dijalankan di seluruh Malaysia pada 2006 menunjukkan prevalens diabetes di kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas ialah 14.9 peratus. Bagi penduduk dewasa yang berjumlah 7.8 juta orang (berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000), dianggarkan seramai 1.2 juta orang menghidap diabetes. Sementara prevalens di kalangan penduduk berumur 18 tahun ke atas ialah 11.6 peratus. Negeri yang paling tinggi peratusan penghidap diabetes ialah Negeri Sembilan, diikuti oleh Melaka, Pulau Pinang dan Kedah. Negeri yang masih mengekalkan gaya hidup tradisional seperti Sabah dan Sarawak didapati rendah peratusan penghidap diabetes, berbanding dengan negeri lain.

Diabetes adalah penyakit kronik di mana paras gula dalam darah didapati berlebihan. Gula adalah pembekal tenaga yang utama kepada seseorang - ibarat petrol atau diesel bagi kereta. Apabila badan mengalami kekurangan gula, ia akan mengalami keletihan dan tidak bermaya. Tetapi sekiranya gula berlebihan dalam darah, ia bertukar menjadi racun dalam badan dan saluran darah seterusnya menjejaskan fungsi jantung, mata, saraf dan buah pinggang. Gula dalam darah seseorang akan ditukar menjadi tenaga oleh hormon insulin, yang dikeluarkan oleh kelenjar pankreas. Diabetes terjadi apabila badan kekurangan hormon insulin, ataupun insulin tidak dapat bertindak dengan berkesan oleh sebab-sebab tertentu. Akibatnya paras gula dalam darah akan tinggi sehingga menyebabkan diabetes. Bagi setiap 10 orang penghidap diabetes yang tidak terkawal, tiga daripadanya akan mengalami kerosakan organ-organ penting, yang akan berakhir dengan sakit jantung, lumpuh, buta, kerosakan buah pinggang, sesetengah anggota badan terpaksa dibuang dan masalah hubungan seksual.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III juga menunjukkan sebahagian besar daripada penghidap diabetes di Malaysia tidak terkawal. Ini dibuktikan oleh beberapa kajian lain, termasuk oleh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan kadar HbA1c pesakit yang mendapat rawatan di hospital adalah di antara 10.0 hingga 14.5 peratus, jauh melebihi paras kawalan yang dikehendaki, iaitu 6.5 peratus. Ini bermakna kita di Malaysia berdepan dengan dua masalah utama. Pertama, bilangan pesakit diabetes meningkat dengan ketara. Kedua, diabetes tidak terkawal dan berdepan dengan pelbagai komplikasi dan boleh membawa maut.

Mengapa perkara ini berlaku?

Penyebab yang paling ketara ialah perubahan gaya hidup. Dari gaya hidup yang aktif kepada gaya hidup yang tidak aktif. Kalau dulu sebahagian besar penduduk menggunakan tenaga untuk menjalankan kerja harian, sama ada kerja dalam rumah atau di luar rumah. Bermula dari memasak, membasuh pakaian, perjalanan serta pelbagai kerja harian dulunya dijalankan sendiri tanpa bantu alat atau mesin. Sekarang itu semua tidak diamalkan. Semuanya dibantu oleh pelbagai mesin. Kita tidak lagi menggunakan tenaga. Tambahan pula sebahagian besar dari penduduk Malaysia tidak aktif dan tidak melakukan senaman, terutamanya penduduk di kawasan bandar. Sedangkan jumlah makanan dan tenaga yang tercetus dari makanan adalah sama. Tenaga yang berlebihan ini terkumpul dan akhirnya akan mengakibatkan diabetes. Bagi penghidap diabetes, keadaan diabetes mereka menjadi tidak terkawal. Penyumbang kedua ialah pengambilan gula dan susu pekat manis yang berlebihan sama ada dalam minuman, kuih-muih dan makanan. Setiap kali musim perayaan kita sering kali berdepan dengan masalah kekurangan gula di pasaran. Dan kita juga antara negara yang paling banyak penggunaan gula di dunia!

Perkara yang ketiga ialah kita makan banyak! Banyak daripada segi kuantiti dan juga kekerapan. Tengok saja di musim hari raya yang kita sambut setiap tahun, rumah-rumah terbuka yang diadakan. Dan kita pula menjamukan diri kita sepuas-puasnya. Tidak dinafikan terdapat penyebab diabetes yang lain seperti faktor genetik dan keturunan, kerosakan pankreas dan akibat penggunaan ubat tertentu. Tetapi ia merupakan faktor yang kecil dan sebahagiannya dapat dielakkan. Faktor yang utama ialah amalan pemakanan dan gaya hidup yang kita amalkan

Bagaimana mencegah dan mengawal penyakit diabetes?

Ada tiga perkara asas yang harus dilakukan untuk mencegah dan mengawal diabetes iaitu amalkan gaya hidup yang aktif, kawal makan dan minum, dan yang terakhir ialah ambil ubat yang sesuai. Kalau setiap orang secara istiqamah mengamalkan tiga perkara asas ini, dipercayai mereka akan kekal sihat sepanjang hayat. Untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif adalah tidak sukar jika kita jadikan ia keutamaan dalam hidup kita. Cubalah berjalan kaki berbanding naik motor atau kereta, naik tangga berbanding naik lif, serta pelbagai amalan lain yang membolehkan kita aktif. Bagi mereka yang bekerja pejabat, peruntukkan masa untuk bersukan atau bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama setengah jam setiap kali. Kita sering memberi alasan kesuntukan masa untuk melakukan aktiviti tersebut, tetapi apabila berdepan dengan musibah seperti strok, serangan jantung, kerosakan buah pinggang, barulah kita ada masa untuk melakukan senaman dan lain-lain aktiviti. Malangnya ketika itu, ia telah terlambat.


Penulis ialah Profesor Madya
di Jabatan Perubatan Masyarakat
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Semarakkan kokurikulum
Oleh WAHID HASHIM
pengarang@utusan.com.my



APAKAH signifikannya aktiviti kokurikulum di sekolah sehingga mendorong Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu ia diberi tumpuan khusus di setiap sekolah? Jawapannya, kalau hendak melahirkan pelajar yang seimbang dan sempurna 360 darjah mengikut dimensi Falsafah Pendidikan Negara, maka kokurikulum boleh melakukannya. Memang kokurikulum ada caranya. Kokurikulum menjadikan pelajar pendiam petah bercakap, pelajar malas menjadi rajin, pelajar yang suka menyendiri menjadi jaguh dalam kumpulannya dan pelajar yang sebelum ini hanya hidup dalam dunianya, akan melihat alam semesta ini sebenarnya luas. Kokurikulum melengkapkan dimensi pendidikan seseorang pelajar. Lebih bersikap profesional dan dinamik dalam hal pengurusan masa, mengurus acara, emosi diri serta rakan-rakan dan menjadi lebih fokus. Kokurikulum juga mendidik seseorang pesertanya mempelajari cara menyelesaikan masalah dan kreatif.



Lebih penting, kokurikulum menjadikan dimensi pendidikan lebih bersifat holistik. Walaupun tidak 360 darjah tetapi lebih baik berbanding rakan lain yang pasif dan hanya seperti ulat buku mengejar sebanyak mungkin "A" dalam peperiksaan.Sebagai contoh, di Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya, perubahan kepada ciri dan kualiti pelajarnya yang mengikuti aktiviti kokurikulum iaitu Program F1 cukup ketara. Program F1 in School merupakan program Kementerian Pelajaran Malaysia yang diperkenalkan sejak 2005. Melalui program ini, sekumpulan empat pelajar akan mereka bentuk kereta lumba F1 sebesar lebih kurang telefon bimbit daripada kayu balsam yang digerakkan dengan pelepasan karbon disoksida termampat. Reka bentuk adalah menggunakan perisian khusus, yang ditentu ukur mengikut manual spesifikasi pertandingan, sebelum diukir oleh sebuah mesin. Penolong Kanan, Datin Zaliah Ismail berkata, pemantauan terhadap perubahan seseorang pelajar daripada segi sahsiah dan pembawaan lebih senang dilakukan di sekolah berasrama kawalan kerana mereka membesar bersama-sama guru yang menjadi ibu bapa dan membimbing mereka seawal usia 13 tahun.



"Jadi saya boleh nampak akan perubahan sikap pelajar yang dicorakkan oleh kegiatan kokurikulum yang mereka ceburi," ujar beliau. Demi aktiviti kokurikulum, beliau sedia memberi pelepasan masa kepada pelajarnya. Kokurikulum banyak membawa perubahan positif kepada pelajar di sekolah ini, menjadikan mereka lebih matang dan mempunyai ciri yang diperlukan selepas melalui sistem pendidikan. Malah, empat pelajar yang dipilih mengikuti program berkenaan turut merasai perubahan pada diri sendiri. Bagaimanakah program F1 in School, secara khusus boleh membentuk keperibadian dan mencanai minda pelajar? Rahsianya terletak kepada proses, kitaran, keperluan dan objektif program yang memerlukan kebijaksanaan ilmu semasa di dalam kelas - khususnya fizik, matematik dan perlumbaan. Terdapat enam kriteria yang akan menjadi asas kepada penilaian program F1 in School, iaitu pelan perniagaan, reka bentuk, analisis, pembuatan, ujian.



Selain penilaian tersebut, pemarkahan juga diambil kira berdasarkan pembentangan yang memerlukan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris, selain membentangkan program penyelidikan masing-masing dalam bentuk dokumentasi bertulis. Semangat setiakawan juga diambil kira. "Di sinilah kami mesti bekerjasama walau pun sebelum ini kami ada masalah masing-masing," kata Aina Farzana Mohd Azmi, Ketua Pelajar SMK Sri Puteri, selaku Pengurus Sumber projek F1 in School sesi 2009. Anak seorang akauntan dari Sungai Buloh itu sangat sensitif dan cerewet dengan apa yang dilakukannya, apatah lagi aktiviti kokurikulum itu amat diminatinya. Pihak sekolah telah memilih empat pelajar terbaik dari segi keputusan peperiksaan dan kedudukan jawatan di sekolah iaitu Aina Farzana (Ketua Pelajar), Hanie Farhana Hamdi (Penolong Ketua Pelajar), Kautsar Hanapai dan Nurulauni Aqilah Saniman. Keempat-empat pelajar ini memang dikenali oleh guru dan rakan sebagai pelajar pintar. Program kokurikulum yang dianggap elit itu benar-benar melatih para pelajar berkenaan untuk membina stamina bagi mengatur, mengurus dan menyiapkan tugasan pada setiap hari, bermula 4.30 petang hingga sekitar 5.30 petang. Dari segi aplikasi atau kaitan dengan apa yang dipelajari daripada buku teks, Hanie Farhana memberitahu, program F1 menuntut kreativiti pelajar untuk mengisi persoalan prinsip fizik, khususnya perkaitan kelajuan dan tekanan, serta reka bentuk aerodinamik.

"Malah kami mempunyai rasional yang kreatif untuk memberi nama kumpulan kami sebagai 'Dash' - kerana mudah sebutannya serta tepat dengan motif berkelajuan tinggi, sementara warna korporat ungu dan putih, yang melambangkan kepantasan serta kedinamikan," kata Hanie Farhana. Kokurikulum menuntut mereka bertanggungjawab, tolong menolong ketika mengatur strategi dan berkeyakinan, tambah Hanie Farhana. Semangat tolong menolong jelas terjalin apabila pelajar tingkatan lima yang pernah menjadi pasukan F1 ketika masih berada di tingkatan empat turut turun padang membantu pasukan baru itu. Seperti rakan-rakan lain, Nurulauni Aqilah, anak seorang guru sekolah rendah dari Pasir Gudang, Johor, mahir membuat kaliberasi pemotongan dan ukiran daripada perisian yang disediakan utnuk membuat acuan kereta lumba F1.

11 November 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

Minda Pengarang: Transformasi ekonomi mampu realisasikan KDNK 6 peratus setahun

PRASYARAT supaya Malaysia mencatat purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), enam peratus setahun sepanjang sedekad sehingga 2020 jika mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi bukan mudah untuk dipenuhi. Begitu juga dengan syarat meraih pendapatan perkapita kasar minimum AS$17,000 seperti yang ditetapkan mengikut syarat Bank Dunia kerana kita kini hanya berada pada paras AS$7,000. Sebenarnya usaha memenuhi syarat itu ialah cabaran utama transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan. Jika sasaran itu berjaya dicapai, maka transformasi ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi berhasil dan demikian juga kalau sebaliknya. Begitupun, untuk memastikan negara dapat terus kekal bersaing di arena antarabangsa, kita tidak mempunyai pilihan selain berusaha memastikan sasaran yang ditetapkan itu mampu dipenuhi dengan apa cara sekalipun. Menyedari cabaran besar yang dihadapi, kita harus merancang strategi terbaik untuk menjayakannya. Seperti yang pernah diperincikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kunci kepada transformasi itu ialah inovasi dan kreativiti. Jika sebelum ini kita sudah berjaya melakukan transformasi ekonomi daripada yang berasaskan pertanian kepada perindustrian, kini negara harus berganjak pula kepada model ekonomi baru yang berasaskan inovasi, kreativiti serta nilai tambah tinggi. Anjakan asas ekonomi ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi sebenarnya harus dijana usaha menyepadukan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) dalam semua aspek. Teras kepada usaha itu ialah penggunaan dan pembangunan kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem penyampaian kerajaan, perniagaan, dan kehidupan rakyat. Ia bukan setakat cuba melahirkan modal insan yang berilmu, malah mereka perlu mempunyai budaya inovasi. Dengan kata lain, ia tidak harus terhad kepada sekadar melahirkan ramai cerdik pandai dan ilmuwan tersohor saja kerana mereka mesti kreatif dan berinovasi serta tahu mencantumkan kreativiti dengan teknologi. Ini penting kerana budaya inovasi dapat membantu menyepadukan penggunaan ICT dalam semua sektor supaya lebih cekap dan produktif. Semua ini secara langsung akan menjadi platform untuk keseluruhan ekonomi lebih bersaing termasuk sektor perindustrian dan perkhidmatan yang kini menjadi enjin pertumbuhan. Menerusi pendekatan itu juga, Malaysia akan mampu melonjakkan kedudukannya dalam rantaian nilai sekali gus meraih pulangan lebih tinggi. Ini seterusnya mendorong pembentukan sistem ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan angka KDNK. Pertumbuhan itu kemudian akan menjana pertambahan pendapatan perkapita ke arah memenuhi standard yang ditetapkan Bank Dunia. Dalam keadaan semasa, mungkin angka KDNK dan pendapatan perkapita yang disyaratkan itu kelihatan tinggi, namun realitinya ia bukan mustahil dicapai. Pemulihan ekonomi global dan domestik harus dimanfaatkan dengan strategi yang berkesan bagi merealisasikan hasrat melakukan transformasi itu.