12 November 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Kurang senang kualiti kerja, penyeliaan
Oleh LEE LAM THYE



ANTARA isu yang menarik perhatian ramai ialah bagaimanakah budaya penyelenggaraan yang baik dapat dilaksanakan di Malaysia? Kita berbangga sebagai sebuah negara yang berkemampuan menyediakan prasarana bertaraf dunia. Namun bukan daripada segi penyelenggaraan yang baik. Kes kecacatan dan kerosakan bangunan baru kerajaan dan prasarana yang dibangunkan oleh kerajaan masih segar dalam ingatan. Masalah seperti ini amat memalukan dan terlalu serius untuk diabaikan. Penyelenggaraan yang buruk terhadap bangunan dan prasarana awam boleh membawa kepada kemalangan dan kecederaan. Tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai. Taman permainan kanak-kanak yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan. Sementara jalan raya dan longkang yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan banjir kilat.

Jalan berlubang yang dibiarkan berminggu-minggu membahayakan pengguna jalan raya. Kegagalan untuk memotong pokok dan dahan yang menutupi papan tanda di sepanjang jalan raya pula menyebabkan kesulitan kepada pengguna. Kekerapan kejadian hakisan tanah dan tanah runtuh serta beberapa masalah alam sekitar lain boleh mengundang bencana dan tragedi. Kejadian-kejadian yang tidak menyenangkan ini adalah imbasan kepada rasa tidak senang rakyat Malaysia terhadap kualiti kerja yang rendah, pelaksanaan yang tidak sempurna, pengurusan yang lemah, budaya penyelenggaraan yang buruk dan kurangnya etika kerja di kalangan mereka yang terlibat. Apa yang menjadi persoalan bukan sahaja isu etika kerja tetapi juga isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Kejadian bangunan runtuh adalah isu keselamatan di tempat kerja yang tidak boleh dipandang ringan.

Sudah sampai masanya bagi semua pihak untuk bertindak atau berbuat sesuatu bagi mengelak atau menyekat perkara yang tidak menyenangkan rakyat Malaysia daripada berulang. Komen yang Malaysia adalah sebuah negara yang "mempunyai prasarana kelas pertama dunia tetapi mentaliti kelas dunia ketiga" adalah tepat. Apatah lagi apabila kita bercakap mengenai budaya penyelenggaraan di negara ini. Budaya penyelenggaraan dan perkhidmatan sememangnya bukan kekuatan kita. Kita amat baik dalam menyediakan bangunan dan prasarana yang canggih, tetapi apabila tiba kepada soal penyelenggaraan dan menjaga bangunan dan prasarana tersebut, kita mempunyai banyak kelemahan dan masalah. Semua pihak berkuasa dan rakyat Malaysia perlu menanam budaya penyelenggaraan yang baik dan menjadikannya sebagai cara hidup seharian. Marilah kita mengubah sikap "prasarana kelas dunia pertama tetapi minda kelas dunia ketiga" apabila kita melakukan penyelenggaraan.

Masanya sudah sampai untuk satu era baru yang menekankan terhadap budaya penyelenggaraan dan keselamatan yang baik. Saya mencadangkan satu lagi pasukan petugas ditubuhkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri untuk melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi menamatkan perasaan tidak senang terhadap kualiti kerja yang rendah, penyeliaan yang lemah dan penyelenggaraan yang buruk oleh pihak yang berkenaan.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Diabetes ibarat bom jangka
Oleh DR. AZIZ AL-SAFI ISMAIL


BAYANGKAN pada suatu hari anda terserempak dan bersembang panjang dengan seorang rakan sekolah yang telah lama tidak berjumpa. Keadaannya amat mendukacitakan. Beliau menceritakan yang beliau telah 20 tahun menghidap diabetes. Walaupun lama, malangnya diabetes tidak terkawal dengan baik. Pelbagai komplikasi berlaku. Selain mata kabur, buah pinggang rosak, lima tahun lepas kaki kanannya terpaksa dipotong di paras bawah lutut, setelah beberapa minggu dijangkiti kuman. Lima bulan lepas, kaki kirinya pula terpaksa dipotong kerana masalah yang sama. Lebih malang lagi kini beliau turun naik mahkamah syariah kerana isterinya menuntut cerai, lantaran beliau tidak lagi mampu memberi nafkah - zahir dan batin. Itulah kisah seorang pesakit diabetes. Mungkin ada kisah pesakit yang lebih teruk daripada itu. Hakikatnya pesakit diabetes berdepan dengan pelbagai komplikasi jika diabetes tidak terkawal. Penting sekali bagi pesakit diabetes merenung sejenak keadaan mereka. Berapakah paras gula dalam darah? Adakah ia terkawal?

Tahukah anda bagi setiap 100 orang berumur 30 tahun ke atas yang anda temui di Malaysia, dianggarkan 15 daripadanya menghidap diabetes atau kencing manis. Ini merupakan satu peningkatan yang amat ketara berbanding dengan cuma lapan orang penghidap diabetes bagi setiap 100 orang dewasa pada 1998. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III yang dijalankan di seluruh Malaysia pada 2006 menunjukkan prevalens diabetes di kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas ialah 14.9 peratus. Bagi penduduk dewasa yang berjumlah 7.8 juta orang (berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000), dianggarkan seramai 1.2 juta orang menghidap diabetes. Sementara prevalens di kalangan penduduk berumur 18 tahun ke atas ialah 11.6 peratus. Negeri yang paling tinggi peratusan penghidap diabetes ialah Negeri Sembilan, diikuti oleh Melaka, Pulau Pinang dan Kedah. Negeri yang masih mengekalkan gaya hidup tradisional seperti Sabah dan Sarawak didapati rendah peratusan penghidap diabetes, berbanding dengan negeri lain.

Diabetes adalah penyakit kronik di mana paras gula dalam darah didapati berlebihan. Gula adalah pembekal tenaga yang utama kepada seseorang - ibarat petrol atau diesel bagi kereta. Apabila badan mengalami kekurangan gula, ia akan mengalami keletihan dan tidak bermaya. Tetapi sekiranya gula berlebihan dalam darah, ia bertukar menjadi racun dalam badan dan saluran darah seterusnya menjejaskan fungsi jantung, mata, saraf dan buah pinggang. Gula dalam darah seseorang akan ditukar menjadi tenaga oleh hormon insulin, yang dikeluarkan oleh kelenjar pankreas. Diabetes terjadi apabila badan kekurangan hormon insulin, ataupun insulin tidak dapat bertindak dengan berkesan oleh sebab-sebab tertentu. Akibatnya paras gula dalam darah akan tinggi sehingga menyebabkan diabetes. Bagi setiap 10 orang penghidap diabetes yang tidak terkawal, tiga daripadanya akan mengalami kerosakan organ-organ penting, yang akan berakhir dengan sakit jantung, lumpuh, buta, kerosakan buah pinggang, sesetengah anggota badan terpaksa dibuang dan masalah hubungan seksual.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III juga menunjukkan sebahagian besar daripada penghidap diabetes di Malaysia tidak terkawal. Ini dibuktikan oleh beberapa kajian lain, termasuk oleh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan kadar HbA1c pesakit yang mendapat rawatan di hospital adalah di antara 10.0 hingga 14.5 peratus, jauh melebihi paras kawalan yang dikehendaki, iaitu 6.5 peratus. Ini bermakna kita di Malaysia berdepan dengan dua masalah utama. Pertama, bilangan pesakit diabetes meningkat dengan ketara. Kedua, diabetes tidak terkawal dan berdepan dengan pelbagai komplikasi dan boleh membawa maut.

Mengapa perkara ini berlaku?

Penyebab yang paling ketara ialah perubahan gaya hidup. Dari gaya hidup yang aktif kepada gaya hidup yang tidak aktif. Kalau dulu sebahagian besar penduduk menggunakan tenaga untuk menjalankan kerja harian, sama ada kerja dalam rumah atau di luar rumah. Bermula dari memasak, membasuh pakaian, perjalanan serta pelbagai kerja harian dulunya dijalankan sendiri tanpa bantu alat atau mesin. Sekarang itu semua tidak diamalkan. Semuanya dibantu oleh pelbagai mesin. Kita tidak lagi menggunakan tenaga. Tambahan pula sebahagian besar dari penduduk Malaysia tidak aktif dan tidak melakukan senaman, terutamanya penduduk di kawasan bandar. Sedangkan jumlah makanan dan tenaga yang tercetus dari makanan adalah sama. Tenaga yang berlebihan ini terkumpul dan akhirnya akan mengakibatkan diabetes. Bagi penghidap diabetes, keadaan diabetes mereka menjadi tidak terkawal. Penyumbang kedua ialah pengambilan gula dan susu pekat manis yang berlebihan sama ada dalam minuman, kuih-muih dan makanan. Setiap kali musim perayaan kita sering kali berdepan dengan masalah kekurangan gula di pasaran. Dan kita juga antara negara yang paling banyak penggunaan gula di dunia!

Perkara yang ketiga ialah kita makan banyak! Banyak daripada segi kuantiti dan juga kekerapan. Tengok saja di musim hari raya yang kita sambut setiap tahun, rumah-rumah terbuka yang diadakan. Dan kita pula menjamukan diri kita sepuas-puasnya. Tidak dinafikan terdapat penyebab diabetes yang lain seperti faktor genetik dan keturunan, kerosakan pankreas dan akibat penggunaan ubat tertentu. Tetapi ia merupakan faktor yang kecil dan sebahagiannya dapat dielakkan. Faktor yang utama ialah amalan pemakanan dan gaya hidup yang kita amalkan

Bagaimana mencegah dan mengawal penyakit diabetes?

Ada tiga perkara asas yang harus dilakukan untuk mencegah dan mengawal diabetes iaitu amalkan gaya hidup yang aktif, kawal makan dan minum, dan yang terakhir ialah ambil ubat yang sesuai. Kalau setiap orang secara istiqamah mengamalkan tiga perkara asas ini, dipercayai mereka akan kekal sihat sepanjang hayat. Untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif adalah tidak sukar jika kita jadikan ia keutamaan dalam hidup kita. Cubalah berjalan kaki berbanding naik motor atau kereta, naik tangga berbanding naik lif, serta pelbagai amalan lain yang membolehkan kita aktif. Bagi mereka yang bekerja pejabat, peruntukkan masa untuk bersukan atau bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama setengah jam setiap kali. Kita sering memberi alasan kesuntukan masa untuk melakukan aktiviti tersebut, tetapi apabila berdepan dengan musibah seperti strok, serangan jantung, kerosakan buah pinggang, barulah kita ada masa untuk melakukan senaman dan lain-lain aktiviti. Malangnya ketika itu, ia telah terlambat.


Penulis ialah Profesor Madya
di Jabatan Perubatan Masyarakat
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Semarakkan kokurikulum
Oleh WAHID HASHIM
pengarang@utusan.com.my



APAKAH signifikannya aktiviti kokurikulum di sekolah sehingga mendorong Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu ia diberi tumpuan khusus di setiap sekolah? Jawapannya, kalau hendak melahirkan pelajar yang seimbang dan sempurna 360 darjah mengikut dimensi Falsafah Pendidikan Negara, maka kokurikulum boleh melakukannya. Memang kokurikulum ada caranya. Kokurikulum menjadikan pelajar pendiam petah bercakap, pelajar malas menjadi rajin, pelajar yang suka menyendiri menjadi jaguh dalam kumpulannya dan pelajar yang sebelum ini hanya hidup dalam dunianya, akan melihat alam semesta ini sebenarnya luas. Kokurikulum melengkapkan dimensi pendidikan seseorang pelajar. Lebih bersikap profesional dan dinamik dalam hal pengurusan masa, mengurus acara, emosi diri serta rakan-rakan dan menjadi lebih fokus. Kokurikulum juga mendidik seseorang pesertanya mempelajari cara menyelesaikan masalah dan kreatif.



Lebih penting, kokurikulum menjadikan dimensi pendidikan lebih bersifat holistik. Walaupun tidak 360 darjah tetapi lebih baik berbanding rakan lain yang pasif dan hanya seperti ulat buku mengejar sebanyak mungkin "A" dalam peperiksaan.Sebagai contoh, di Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya, perubahan kepada ciri dan kualiti pelajarnya yang mengikuti aktiviti kokurikulum iaitu Program F1 cukup ketara. Program F1 in School merupakan program Kementerian Pelajaran Malaysia yang diperkenalkan sejak 2005. Melalui program ini, sekumpulan empat pelajar akan mereka bentuk kereta lumba F1 sebesar lebih kurang telefon bimbit daripada kayu balsam yang digerakkan dengan pelepasan karbon disoksida termampat. Reka bentuk adalah menggunakan perisian khusus, yang ditentu ukur mengikut manual spesifikasi pertandingan, sebelum diukir oleh sebuah mesin. Penolong Kanan, Datin Zaliah Ismail berkata, pemantauan terhadap perubahan seseorang pelajar daripada segi sahsiah dan pembawaan lebih senang dilakukan di sekolah berasrama kawalan kerana mereka membesar bersama-sama guru yang menjadi ibu bapa dan membimbing mereka seawal usia 13 tahun.



"Jadi saya boleh nampak akan perubahan sikap pelajar yang dicorakkan oleh kegiatan kokurikulum yang mereka ceburi," ujar beliau. Demi aktiviti kokurikulum, beliau sedia memberi pelepasan masa kepada pelajarnya. Kokurikulum banyak membawa perubahan positif kepada pelajar di sekolah ini, menjadikan mereka lebih matang dan mempunyai ciri yang diperlukan selepas melalui sistem pendidikan. Malah, empat pelajar yang dipilih mengikuti program berkenaan turut merasai perubahan pada diri sendiri. Bagaimanakah program F1 in School, secara khusus boleh membentuk keperibadian dan mencanai minda pelajar? Rahsianya terletak kepada proses, kitaran, keperluan dan objektif program yang memerlukan kebijaksanaan ilmu semasa di dalam kelas - khususnya fizik, matematik dan perlumbaan. Terdapat enam kriteria yang akan menjadi asas kepada penilaian program F1 in School, iaitu pelan perniagaan, reka bentuk, analisis, pembuatan, ujian.



Selain penilaian tersebut, pemarkahan juga diambil kira berdasarkan pembentangan yang memerlukan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris, selain membentangkan program penyelidikan masing-masing dalam bentuk dokumentasi bertulis. Semangat setiakawan juga diambil kira. "Di sinilah kami mesti bekerjasama walau pun sebelum ini kami ada masalah masing-masing," kata Aina Farzana Mohd Azmi, Ketua Pelajar SMK Sri Puteri, selaku Pengurus Sumber projek F1 in School sesi 2009. Anak seorang akauntan dari Sungai Buloh itu sangat sensitif dan cerewet dengan apa yang dilakukannya, apatah lagi aktiviti kokurikulum itu amat diminatinya. Pihak sekolah telah memilih empat pelajar terbaik dari segi keputusan peperiksaan dan kedudukan jawatan di sekolah iaitu Aina Farzana (Ketua Pelajar), Hanie Farhana Hamdi (Penolong Ketua Pelajar), Kautsar Hanapai dan Nurulauni Aqilah Saniman. Keempat-empat pelajar ini memang dikenali oleh guru dan rakan sebagai pelajar pintar. Program kokurikulum yang dianggap elit itu benar-benar melatih para pelajar berkenaan untuk membina stamina bagi mengatur, mengurus dan menyiapkan tugasan pada setiap hari, bermula 4.30 petang hingga sekitar 5.30 petang. Dari segi aplikasi atau kaitan dengan apa yang dipelajari daripada buku teks, Hanie Farhana memberitahu, program F1 menuntut kreativiti pelajar untuk mengisi persoalan prinsip fizik, khususnya perkaitan kelajuan dan tekanan, serta reka bentuk aerodinamik.

"Malah kami mempunyai rasional yang kreatif untuk memberi nama kumpulan kami sebagai 'Dash' - kerana mudah sebutannya serta tepat dengan motif berkelajuan tinggi, sementara warna korporat ungu dan putih, yang melambangkan kepantasan serta kedinamikan," kata Hanie Farhana. Kokurikulum menuntut mereka bertanggungjawab, tolong menolong ketika mengatur strategi dan berkeyakinan, tambah Hanie Farhana. Semangat tolong menolong jelas terjalin apabila pelajar tingkatan lima yang pernah menjadi pasukan F1 ketika masih berada di tingkatan empat turut turun padang membantu pasukan baru itu. Seperti rakan-rakan lain, Nurulauni Aqilah, anak seorang guru sekolah rendah dari Pasir Gudang, Johor, mahir membuat kaliberasi pemotongan dan ukiran daripada perisian yang disediakan utnuk membuat acuan kereta lumba F1.

11 November 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

Minda Pengarang: Transformasi ekonomi mampu realisasikan KDNK 6 peratus setahun

PRASYARAT supaya Malaysia mencatat purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), enam peratus setahun sepanjang sedekad sehingga 2020 jika mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi bukan mudah untuk dipenuhi. Begitu juga dengan syarat meraih pendapatan perkapita kasar minimum AS$17,000 seperti yang ditetapkan mengikut syarat Bank Dunia kerana kita kini hanya berada pada paras AS$7,000. Sebenarnya usaha memenuhi syarat itu ialah cabaran utama transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan. Jika sasaran itu berjaya dicapai, maka transformasi ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi berhasil dan demikian juga kalau sebaliknya. Begitupun, untuk memastikan negara dapat terus kekal bersaing di arena antarabangsa, kita tidak mempunyai pilihan selain berusaha memastikan sasaran yang ditetapkan itu mampu dipenuhi dengan apa cara sekalipun. Menyedari cabaran besar yang dihadapi, kita harus merancang strategi terbaik untuk menjayakannya. Seperti yang pernah diperincikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kunci kepada transformasi itu ialah inovasi dan kreativiti. Jika sebelum ini kita sudah berjaya melakukan transformasi ekonomi daripada yang berasaskan pertanian kepada perindustrian, kini negara harus berganjak pula kepada model ekonomi baru yang berasaskan inovasi, kreativiti serta nilai tambah tinggi. Anjakan asas ekonomi ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi sebenarnya harus dijana usaha menyepadukan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) dalam semua aspek. Teras kepada usaha itu ialah penggunaan dan pembangunan kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem penyampaian kerajaan, perniagaan, dan kehidupan rakyat. Ia bukan setakat cuba melahirkan modal insan yang berilmu, malah mereka perlu mempunyai budaya inovasi. Dengan kata lain, ia tidak harus terhad kepada sekadar melahirkan ramai cerdik pandai dan ilmuwan tersohor saja kerana mereka mesti kreatif dan berinovasi serta tahu mencantumkan kreativiti dengan teknologi. Ini penting kerana budaya inovasi dapat membantu menyepadukan penggunaan ICT dalam semua sektor supaya lebih cekap dan produktif. Semua ini secara langsung akan menjadi platform untuk keseluruhan ekonomi lebih bersaing termasuk sektor perindustrian dan perkhidmatan yang kini menjadi enjin pertumbuhan. Menerusi pendekatan itu juga, Malaysia akan mampu melonjakkan kedudukannya dalam rantaian nilai sekali gus meraih pulangan lebih tinggi. Ini seterusnya mendorong pembentukan sistem ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan angka KDNK. Pertumbuhan itu kemudian akan menjana pertambahan pendapatan perkapita ke arah memenuhi standard yang ditetapkan Bank Dunia. Dalam keadaan semasa, mungkin angka KDNK dan pendapatan perkapita yang disyaratkan itu kelihatan tinggi, namun realitinya ia bukan mustahil dicapai. Pemulihan ekonomi global dan domestik harus dimanfaatkan dengan strategi yang berkesan bagi merealisasikan hasrat melakukan transformasi itu.

24 Oktober 2009

MESYUARAT PEMBINAAN MODUL PENGAJARAN KOMPONEN SASTERA DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA DI HOTEL OLYMPIC KUALA LUMPUR PADA 06 - 09 OKTOBER 2009

Wakil Sarawak
Cikgu Zulkarnain Farihin Philip
SMK Sacred Heart, Sibu


Wakil Sarawak
Cikgu Suraini Binti Junaidi
SMK Bako










Kami dipanggil berkumpul di Hotel Olympic Kuala Lumpur untuk menggubal Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dan juga menyediakan Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Perkembangan Kurikulum yang memberi penghormatan kepada kami semua. Sesungguhnya, sebagai wakil Negeri Sarawak saya berbangga kerana banyak pengalaman baru diperoleh dari guru-guru berpengalaman dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. Walaupun masa amat singkat namun kemaslahatannya kepada kita tidak terhingga banyaknya.

22 Oktober 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

Tajuk : 1Malaysia dari sudut keikhlasan, persahabatan mahasiswa


MENYAKSIKAN keriuhan para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) daripada pelbagai kaum menyambut tiga rakan mereka, Chew Kuan Khoon, 23; Steven Lim, 24 dan Seah Tiong Chai, 23 pulang dari London, kelmarin, membuatkan saya terfikir konsep 1Malaysia bukan omong kosong. Ketiga-tiga anak muda itu menjadi kebanggaan apabila menang lima anugerah utama pada pameran terbesar di United Kingdom – Invention, Innovation & Technology Show, The 9th British Invention Show. Gelagat mereka memberi keyakinan bahawa slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” menerusi 1Malaysia adalah gagasan yang betul. Acara sambutan itu diatur oleh para pelajar terutamanya dari kampus kejuruteraan di Nibong Tebal dengan bantuan Bahagian HalEhwal dan Pembangunan Pelajar.
Orang ramai yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kelmarin tentunya dapat melihat keakraban para pelajar tersebut. Mereka bersorak riang ketika ketiga-tiga anak muda yang mewakili USM itu keluar dari Bilik Kenamaan di lapangan terbang itu. Sambutan tersebut seperti meneruskan citra pembangunan negara yang baru-baru ini menyaksikan perhimpunan lebih 2,500 pelajar dari seluruh negara dalam Perkampungan 1Siswa 1Malaysia di sini. Ia membuktikan anak-anak muda kita hidup bersepakat dan tidak ada tembok pemisah, khususnya dalam dunia pendidikan. Pihak yang selama ini ‘bising’ tentang masalah polarisasi dan kebimbangan terhadap perpaduan di kalangan anak-anak muda kita, patut melihat sendiri peristiwa itu. Anak-anak muda itu ke London bersama pensyarah mereka yang juga Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Prof. Abdul Latiff Ahmad dengan satu tekad.
Mereka mahu mengharumkan nama USM dan pastinya juga Malaysia. Hal ini sebenarnya bukanlah perkara luar biasa. Tradisi pelajar berlainan etnik tinggal sebilik di asrama telah dilakukan seawal penubuhan universiti ini. Pendekatan desasiswa yang menggabungkan antara desa dengan kehidupan mahasiswa selama ini menjadi teras untuk proses perpaduan yang berjaya mengurangkan sebarang jurang yang mungkin ada. Bukan sahaja di kalangan kaum tetapi juga daerah dan negeri. Malah dalam aktiviti akademik di dewan kuliah dan makmal mahu pun aktiviti berpersatuan, semangat 1Malaysia telah lama diterapkan. Apa yang merisaukan ialah apabila pandangan dari luar. Pihak inilah yang sering ‘mengusik’ dan menganggapnya sebagai satu masalah. Bagaimanapun sejak 40 tahun penubuhan USM, tidak pernah timbul hal-hal yang boleh menggugat semangat perpaduan.
Perhimpunan 1Siswa 1Malaysia di Pulau Pinang baru-baru ini yang menyaksikan sambutan cahaya dan persembahan pelbagai kaum serta sambutan kepulangan pelajar dari London itu meneruskan tradisi perpaduan yang kental di kalangan anak-anak muda, para mahasiswa mahu pun di kalangan ahli-ahli akademik. Anak-anak muda itu telah menterjemahkan makna “Pencapaian Diutamakan” melalui usaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara. Mereka juga menyambut kemenangan itu dengan semangat 1Malaysia tanpa mengira etnik ataupun agama. Sepatutnya semangat yang dibawa oleh anak-anak muda ini menjadi ikutan rakyat Malaysia. Terjemahkan erti perpaduan dengan penuh ikhlas.

KARANGAN PELAJAR TERPILIH : KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KEWUJUDAN BLOG


SOALAN


Fenomena blog semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini di negara kita. Pelbagai jenis blog wujud di alam maya, ada blog yang cenderung kepada kebaikan dan tidak kurang pula yang membawa keburukan. Bincangkan kebaikan dan keburukan kewujudan blog dalam konteks negara kita Malaysia.

JAWAPAN LENGKAP


Blog boleh ditakrifkan sebagai satu situs atau portal maya yang mencatat pandangan penulis blog dalam bentuk jurnal. Fenomena blog semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini selepas kejayaan para “blogger” mengubah pendirian masyarakat dalam Pilihan Raya Umum tahun 2008. Blog kini sudah menjadi media alternatif yang memberi pandangan tentang sesuatu isu daripada sudut yang berbeza. Blog juga dapat berfungsi sebagai sumber rujukan kepada masyarakat. Kita haruslah bijak dalam menilai pandangan penulis blog kerana ada maklumat yang disampaikan hanya untuk menjaga kepentingan orang yang tertentu sahaja. Jadi, kita harus membicarakan tentang kebaikan dan keburukan blog dalam konteks negara Malaysia.


Pada hemat saya, blog dapat menjadi sumber rujukan bagi sesuatu perkara. Penulis blog dapat mengutarakan pelbagai jenis isu. Kita ambil contoh blog yang berkaitan dengan kesihatan. Blog ini menerangkan tentang tip-tip dan petua untuk menjaga kesihatan daripada segi permakanan, senaman dan gaya hidup. Jadi pembaca blog tersebut dapat mengetahui cara yang betul dalam menjaga kesihatan mereka. Selain itu, blog yang bertemakan penulisan dapat menerangkan cara penulisan yang betul terutamanya kepada pelajat yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Tuntasnya, fungsi blog sebagai sumber rujukan tidak dapat disangsikan lagi.

Blog juga berfungsi sebagai medium untuk bertukar-tukar pendapat. Penulis blog megutarakan isu yang akan beliau bahaskan. Penulis blog yang lain juga akan memberi pandangan mereka tentang isu tersebut. Hal ini akan mengalakkan penulis blog untuk berfikir dengan kritis dan kreatif. Kesannya, kita dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Perkara ini selaras dengan seruan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 untuk melahirkan lebih ramai lagi modal insan yang berminda kelas pertama bagi menwujudkan masyarakat yang progresif. Jelaslah bahawa pertukaran pendapat para “blogger” dapat membentuk masyarakat yang memiliki tahap intelektual yang tinggi.

Blog dapat mengalakan rakyat Malaysia untuk membaca. Tabiat membaca sangat penting dalam proses permatangan pemikiran masyarakat Malaysia amnya. Individu yang rajin membaca akan memperolehi pelbagai jenis informasi. Jadi mereka dapat menggunakan ilmu yang ada untuk dijadikan panduan hidup. Hal ini kerana penulis blog yang kreatif dapat menarik minat pembaca untuk membaca blog beliau. Kita sudah sedia maklum bahawa masyarakat yang membaca dapat melahirkan golongan intelektual yang ramai kerana membaca adalah nadi ilmu. Sudah terang lagi bersuluh, blog dapat menwujudkan masyarakat yang rajin membaca.

Pada pandangan saya, blog juga mempunyai keburukannya juga. Blog dapat memberi maklumat yang bias tentang sesuatu isu. Kita ambil contoh peperangan siber antara Malaysia dan Indonesia. Penulis blog yang tidak beretika akan menghasut rakyat di kedua-dua buah negara ini untuk membenci sesama sendiri. Kesannya, lebih ramai masyarakat yang mempunyai sentimen perkauman yang tinggi diwujudkan. Hal tersebut dapat mengeruhkan lagi ikatan silaturahim masyarakat dua serumpun ini. Situasi ini dapat digambar sebagai pisau yang ada di dapur, jika digunakan dengan niat yang elok maka hidangan yang lazat dapat disajikan. Jika niat penggunanya jahat maka binasalah jawabnya. Sesungguhnya, penulisan yang tidak beretika dapat membentuk masyarakat yang memiliki nilai yang negatif.

Blog juga dapat melahirkan masyarakat yang baling batu, sembunyi tangan. Fenomena ini sering berlaku jika penulis blog tersebut memiliki niat yang bruk terhadap orang lain. Mereka akan menggunakan nama samaran untuk menjatuhkan imej seseorang. Mereka akan menyebarkan fitnah bahawa individu tersebut telah melakukan perkara yang terkutuk dan menjijikan. Kes ini sering berlaku untuk menjatuhkan imej artis atau ahli politik yang tertentu. Perkara seperti ini akan menjerat pembaca yang kurang matang dalam menilai sesuatu penulisan. Mereka akan percaya bahawa fitnah tersebut adalah nyata. Tegasnya, sikap baling batu, sembunyi tangan “blogger” yang tidak beretika dapat menjatuhkan imej individu lain.

Pembaca blog akan membazirkan masa mereka dengan membaca blog picisan. Hal ini akan menyebabkan mereka akan lupa tentang tugasan dan tanggungjawab. Jadi kerja mereka kan berlambak dan ini akan mengganggu produktiviti mereka khusunya pekerja yang membaca blog pada waktu pejabat. Impaknya, sikap yang suka bertangguh akan membantutkan operasi sesebuah organisasi. Kita sudah sedia maklum bahawa masa itu emas. Jadi pembaca blog seharusnya bijak dalam menilai apa yang lebih penting untuk dilakukan pada masa yang tertentu. Terbuktilah bahawa pembaca blog akan membazirkan masa jika membaca pada waktu dan tempat yang tidak sesuai.

Konklusinya, blog merupakan serampang dua mata yang memiliki kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Kita haruslah bijak dalam menilai sesuatu isu yang dibangkitkan dalam blog. Hal ini kerana tidak semua blog mempunyai penulis yang beretika. Hal ini kerana banyak garam, banyak udangnya, banyak orang, pelbagai ragamnya. Perkara ini selari dengan seruan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 tentang gagasan Satu Malaysia yang bercogankan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Saya berharap fenomena blog dapat melahirkan individu yang berfikiran kreatif dan kritis untuk membina Negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
KARANGAN INI DIHASILKAN OLEH :
Mackartny Jampong Anak Ata, Tingkatan U6A1
JAWAPAN UNTUK SOALAN 1
PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2
STPM 2009

21 Oktober 2009

PPSMI MUNGKIN DIMANSUHKAN LEBIH AWAL IAITU 2011

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu. "Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI. Keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan. Komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

TAJUK : MENJADIKAN BAHASA MELAYU BAHASA DUNIA
PENULIS : SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

PERSIDANGAN Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru selama tiga hari dan berakhir Rabu lalu, menyemarakkan lagi keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti. Pada masa ini terdapat lebih kurang 6,000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu. Jika dicampur pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura serta di negara lain maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (1 bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur) dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

Namun begitu, bukanlah bilangan jumlah penutur semata-mata yang sepatutnya dijadikan ukuran sebaliknya terdapat ciri-ciri lain yang perlu dipenuhi untuk melayakkannya dipanggil bahasa dunia. Apatah lagi, bahasa Melayu tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran, hambatan dan krisis keyakinan hingga pada satu tahap ia cuba diperkecil dan dipinggirkan akibat putaran ganas politik, sosial dan ekonomi. Tokoh bahasa dan budaya, Datuk Dr. Hassan Ahmad memberi pandangan cukup menarik terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa dunia kerana jumlah penutur bahasa tidak begitu penting tetapi apa yang penting ialah pengaruh bahasa itu untuk memajukan sesuatu bangsa. Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah zaman dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ia termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa. Mengambil iktibar dalam aspek ini, kerajaan yang menjadi pemerintah kini perlu memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk muncul sebagai bahasa utama dunia dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi jika semua pihak bersungguh-sungguh memastikan impian itu menjadi kenyataan.


20 Oktober 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

TAJUK : PERLUNYA DIDIKAN AGAMA DIBERI KEUTAMAAN
PENULIS : DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah kita memberikan masa yang setimpal kepada pengajian agama jika dibandingkan dengan masa yang kita berikan kepada pelajaran biasa. Misalnya enam tahun untuk sekolah rendah, ditambah dengan lima tahun sekolah menengah, dicampur dengan dua tahun tingkatan enam dan tiga atau empat tahun untuk ijazah sarjana muda, dua tahun untuk sarjana dan mungkin empat tahun untuk ijazah kedoktoran. Antara 21 hingga 23 tahun tempoh masa dikhaskan untuk sekolah dan universiti. Sedikit sangat terdapat dalam 21 tahun itu dimasukkan pengajian agama kecuali kalau seseorang itu mencari sendiri guru yang boleh membimbing sehingga betul-betul memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Masalahnya bermula dengan ibu bapa yang mungkin tidak mengambil berat tentang perlunya anak-anak mendapat pengajian agama yang lengkap bukan setakat pandai membaca al-Quran sahaja. Kalau ada pun kelas sebelah petang untuk sekolah agama selalunya hanyalah setakat sekolah rendah sahaja. Daripada keadaan dan suasana yang tidak memberikan keutamaan kepada pengajian agama yang betul inilah timbul bermacam-macam fahaman dan muncul pelbagai jenis orang seperti Ayah Pin dan Rasul Melayu yang mempunyai pengikut tapi baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa. Mereka yang menjadi pengikut ini bukannya terdiri orang tidak berpelajaran tetapi mereka yang mempunyai ijazah dan sarjana. Misalnya sebelumnya al-Arqam diharamkan, ramai pengikutnya yang terdiri daripada golongan terpelajar yang sudah terpengaruh dengan pelbagai tuntutan ketuanya termasuk dikatakan dilantik oleh Nabi Muhammad.

Pernah juga terdengar penceramah daripada luar negara yang berceramah hanya untuk golongan ahli-ahli korporat dan mereka memberikan sumbangan berjuta ringgit kepada penceramah yang kononnya begitu mendalam ilmu agamanya. Mudahnya orang kita terpengaruh disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama. Kebanyakannya asas keagamaan mereka begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang mampu mempengaruhi dengan ilmu songsang. Mereka yang menjadi pengikut ini tidak mempunyai ilmu untuk menangkis fahaman yang tidak betul. Ekoran daripada sikap "tidak takut Tuhan" inilah berlaku macam-macam penyelewengan, penipuan, jenayah dan seribu satu macam kesongsangan tabiat yang dilakukan oleh orang yang berpelajaran tinggi. Ada juga yang mengaji tidak tamat, tetapi dengan sedikit ilmu menggunakannya untuk tujuan yang menyimpang.

Hari ini kita terbaca tentang "siang hari pakai tudung, malam jadi kupu-kupu malam" di kalangan pelajar kita yang tidak malu lagi menggadai tubuh mereka. Begitu juga kelab-kelab gay dan lesbian. Kesemua ini adalah ketidakmampuan mereka untuk menangkis pengaruh Barat yang mereka baca dan saksikan melalui televisyen, internet, majalah dan surat khabar. Desakan kehidupan juga menyebabkan ibu bapa tiada masa untuk mendidik anak-anak dalam bidang agama kerana kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan kehidupan.
Ramai anak-anak yang ditinggalkan di rumah jagaan kanak-kanak atau dijaga oleh pembantu rumah yang kebanyakannya orang asing seperti rakyat Indonesia dan Filipina. Jarang sekali bagi mereka yang sedar perlunya ilmu agama membawa guru ke rumah atau menyuruh anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas agama.

Di sinilah jabatan-jabatan agama sama ada berbentuk kerajaan atau badan-badan bebas yang disahkan untuk mengambil tindakan daripada peringkat kampung, daerah, bandar dan negeri bagi memastikan pengajian agama ini diberikan suatu keutamaan sama seperti yang diberikan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi dan politik. Tidak kurang juga masa yang terluang bagi ibu bapa ditumpukan kepada politik, baik di peringkat cawangan, bahagian. Kalau peringkat negeri, maka lagi kuranglah masa untuk anak-anak. Ini juga boleh menimbulkan macam-macam perkara yang kurang sihat seperti rebutan kedudukan, jawatan, dengki mendengki walaupun mempunyai pelajaran tinggi. Ini dapat kita saksikan sedang berlaku hari ini.

Kalaulah ilmu agama yang betul dapat diberikan secara percuma dalam pelbagai bidang dan peringkat, misalnya yang ingin tahu pasal belajar perkara yang asas, yang ingin mendalam misalnya dalam bidang tasawuf boleh mengikuti bidangnya. Kita sedia maklum memang ada ceramah agama lepas-lepas sembahyang di masjid-masjid tetapi ini tidak mencukupi kerana kadang-kadang mereka yang betul-betul berminat mencari guru boleh tersalah pilih. Kita perlu ingat bahawa ilmu yang pertama dituntut untuk kita pelajari ialah ilmu mengenal diri sebelum kita mengenali Allah.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010. Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.

Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis. Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan.Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.