28 Julai 2019

ISU HANGAT : PELAJAR SEKOLAH HISAP ROKOK ELETRONIK DAN VAPE




Isu menghisap vape dan rokok elektronik kembali hangat diperkatakan setelah dilihat ia menular dalam kalangan pelajar termasuk murid sekolah rendah hingga menimbulkan keresahan masyarakat termasuk ibu bapa dan guru-guru. Perkara yang lebih membimbangkan ialah pelajar-pelajar dan murid-murid perempuan turut terpengaruh menghisap vape dan bilangan mereka dilihat semakin meningkat, memandangkan peralatan vape atau peranti rokok elektronik itu boleh didapati dengan mudah di pasaran. Kini, pelbagai bentuk peranti rokok elektronik yang menarik ditawarkan oleh penjual, sama ada dijual secara terbuka di kedai-kedai atau secara dalam talian, menyebabkan para pelajar mudah terjebak dalam aktiviti menghisap vape ini, sehingga ia menjadi trend, terutama selepas waktu persekolahan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan tegas dan bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan perlu diambil bagi mengatasi isu ini kerana ia tidak boleh ditangani secara bersendirian. Menurut beliau, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan penjualan vape kepada kanak-kanak manakala pihak sekolah pula perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape terhadap kesihatan. Selain itu, ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terlibat dengan aktiviti menghisap vape.

Tan Sri Lee Lam Thye turut menyatakan ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan aspek penguatkuasaan sukar dilakukan hingga penjualan vape dilihat berleluasa meskipun ia tidak dihalang dalam kalangan golongan dewasa. Oleh itu, beliau amat berharap agar rang undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini. Sementara menunggu undang-undang baharu diperkenalkan, beliau turut menggesa semua pihak bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya menghisap vape serta melarang ia diambil di kawasan sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu ini, berdasarkan pemantauan yang dibuat, KPM mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah. Oleh itu, pihak-pihak lain juga perlu membantu usaha membanteras penggunaan vape ini. Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang N.V Subbarow mencadangkan supaya mengharamkan penggunaan pelbagai jenis rokok elektronik supaya dapat membantu menangani masalah itu selain tidak meluluskan lesen kedai atau perniagaan yang menjual rokok elektronik. Sekiranya kita tidak bertindak sekarang, kita tidak akan mempunyai belia yang sihat dalam tempoh 10 tahun akan datang. Sekiranya kerajaan terus menangguhkan sebarang tindakan, jumlah pengguna muda rokok elektronik akan meningkat pada masa depan sekali gus akan mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan.

Dapatan daripada  Penyelidik Utama National E-Cigarette Survey (NECS) Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), nikotin di dalam rokok elektronik cenderung untuk memberi ketenangan dan keseronokan dalam kalangan belia berbanding orang dewasa dan ini boleh menjadi antara sebab ramai pelajar menghisap rokok elektronik. Kajian menunjukkan remaja lebih sensitif terhadap kesan 'baik' rangsangan nikotin seperti keseronokan, mood lebih baik dan ketenangan. Perkara yang amat membimbangkan ialah pendedahan kepada nikotin lebih awal boleh mendorong kepada penyalahgunaan bahan seperti alkohol, kokain dan meth (methamphetamine). Pelajar tidak begitu sedar dengan bahaya rokok elektronik kerana mereka memikirkannya selamat disebabkan tiada kesan tembakau di dalam kandungannya. Rokok elektronik hanya untuk keseronokan. Mereka terdorong untuk menghisap rokok elektronik dan vape apabila melihat rakan-rakan mereka merokok dan memberitahu mereka bahawa ia lebih selamat daripada rokok biasa. Mereka juga mempunyai idea salah bahawa rokok elektronik dan vape tidak mempunyai tembakau di dalamnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra pula menyuarakan isu ini boleh ditangani dari rumah dengan penglibatan ibu bapa supaya mereka bertegas dengan anak-anak terutama daripada segi pergaulan. Ibu bapa perlu memastikan dengan siapa anak mereka berkawan dan tahu cara untuk mendidik anak mereka bahawa vape juga sama bahaya seperti merokok. Ibu bapa juga harus menunjukkan teladan yang sebaiknya dan bersifat terbuka serta berpengetahuan untuk mendidik anak-anak.

16 Disember 2018

YANG SALAH DAN YANG BETUL

YANG SALAH
Ada berbagai barang di kedai itu.
YANG BETUL
Ada berbagai-bagai barang di kedai itu.
Ada pelbagai barang di kedai itu.

YANG SALAH
Ada pelbagai barang-barang di kedai itu
YANG BETUL
Ada pelbagai barang di kedai itu.

YANG SALAH
Farihin dihadiahkan sebuah buku harian.
YANG BETUL
Farihin dihadiahi sebuah buku harian.
Sebuah buku harian dihadiahkan kepada Farihin.

YANG SALAH
Farihin menghadiahkan Zulkarnain sebuah kereta.
YANG BETUL
Farihin menghadiahi Zulkarnain sebuah kereta.
Farihin menghadiahkan sebuah kereta kepada Zulkarnain.

YANG SALAH
Mustakim menghadiahi baju kepada Muslim.
YANG BETUL
Mustakim menghadiahkan baju kepada Muslim.

YANG SALAH
Buku itu dihadiahi kepada Zulkarnain.
YANG BETUL
Buku itu dihadiahkan kepada Zulkarnain.

YANG SALAH
David Beckham merindukan anaknya.
YANG BETUL
David Beckham merindui anaknya.

YANG SALAH
Hakim menjatuhkan pembunuh itu hukuman gantung.
YANG BETUL
Hakim menjatuhi pembunuh itu hukuman gantung.

YANG SALAH
Hakim telah menjatuhi hukuman gantung kepada pembunuh itu.
YANG BETUL
Pembunuh itu dijatuhi hukuman gantung

YANG SALAH
Bola itu ditendang oleh Christino Ronaldo.
YANG BETUL
Bola itu Christino Ronaldo tendang.

YANG SALAH
Dalam bilik itu ada banyak nyamuk.
YANG BETUL
Di dalam bilik itu ada banyak nyamuk.

13 Disember 2018

DAUN KETUM MEMPUNYAI NILAI KOMERSIAL?



Ketum atau nama saintifiknya ‘mitragyna speciosa’ sering menjadi tajuk perbualan, seiring dengan konflik yang membelenggu tanaman kontroversi itu, sama ada ia benar-benar membawa manfaat atau mencetus mudarat. Bagi majoriti penduduk, khususnya di sekitar utara Semenanjung, ketum atau lebih dikenali sebagai biak sudah sebati dengan kehidupan mereka sejak turun-temurun. Namun begitu, penyalahgunaan ketum sehingga membawa kepada ketagihan untuk meminumnya mencetus kebimbangan. Cadangan kerajaan untuk mengharamkan penanaman ketum bagi mengelak penyalahgunaan berleluasa, antara langkah yang wajar disahut.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kewujudan lebih 32 hektar ladang ketum di negeri Kedah yang menjadi sumber bekalan utama pengedaran di negara ini dan Thailand telah membawa pulangan keseluruhan yang dijana dianggarkan di antara RM500,000 hingga RM1 juta sebulan. Itu baru di Kedah, belum lagi di Perlis dan Perak. Persoalannya, mengapa begitu banyak ketum ditanam sehingga berskala ladang seolah-olah, mahu dijadikan komoditi untuk eksport dan tidak menghairankan apabila banyak kes daun ketum dirampas di sempadan negara oleh pihak berkuasa. Isu pengharaman ketum sudah lama disuarakan dan ramai bersetuju kesan mudarat akibat ketagihannya yang mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, timbul gesaan supaya ketum disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaris pokok ganja, kanabis, popi dan koka, malah pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 juga pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Sehingga kini, tiada keputusan konkrit mengenai pengharaman ketum dan ia terus menjadi polemik dari semasa ke semasa. Satu fakta menarik perlu diambil kira iaitu apabila menanam pokok ketum tidak dikira sebagai kesalahan, melainkan saat daunnya dipetik. Seksyen 30 Akta Racun 1952 menetapkan kesalahan bagi aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, menjual dan memiliki bahan psikotropik termasuk ketum, namun tiada soal penanaman disenaraikan.

Ruang lompong sebegini membuka ruang kepada pekebun untuk beralih mengusahakan ketum, beranggapan memiliki status ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh pihak berkuasa. Kelonggaran ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan pengharaman ketum. Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk merampas tanah yang dijadikan ladang ketum boleh dilihat semula walaupun ia tidak sempat dilaksanakan atas sebab tertentu. Malah, Jabatan Perhutanan di Kedah dan Perak pernah mengambil tindakan memusnahkan ladang ketum yang diusahakan secara haram di atas tanah rizab kerajaan atau dalam kawasan hutan simpan.

Apapun keputusan yang akan dibuat, manfaat ketum dari segi komersial dan perubatan perlu diberikan perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah mengharamkannya secara total diambil.

SIAPAKAH JAMAL KHASHOGGI?


Kisah kehilangan dan kematian Jamal Khashoggi, seorang wartawan kelahiran Arab Saudi mendapat liputan meluas dalam berita dunia. Beliau dilaporkan hilang sejak 2 Oktober lalu selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki dan Jamal sebelum ini memilih untuk hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) selepas meninggalkan Arab Saudi pada tahun lalu. Pihak berkuasa Turki menegaskan bahawa Jamal dibunuh dalam konsulat tersebut dan Riyadh pula mengakui bahawa Jamal meninggal dunia akibat bergaduh dalam bangunan itu biarpun sebelum ini negara berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

Berikut adalah beberapa perkara mengenai Jamal:

KENAPAKAH JAMAL PALING MENONJOL?

Jamal dilahirkan pada 13 Oktober 1958 di Arab Saudi dan kariernya sebagai wartawan sering mengkritik barisan kepemimpinan kerajaan Riyadh ketika ini dan beliau berkongsi pandangannya menerusi ruang kolumnis dalam akhbar Washington Post sejak setahun lalu. Kariernya juga menyaksikan Jamal pernah membuat laporan mengenai kumpulan militan al-Qaeda di Afghanistan termasuk kebangkitan pemimpinnya, Osama Laden pada tahun 1980-an. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarang di akhbar Arab News pada 2001 dan insiden serangan pengganas pada 11 September menjadikan Jamal sebagai ‘sumber paling berharga’ kepada media asing untuk mengetahui serta memahami situasi sebenar dalam serangan tersebut. Jamal sebelum ini pernah dipecat sebanyak dua kali sebagai Ketua Pengarang akhbar Saudi Al-Watan kerana berita yang dipaparkan sering mengkritik golongan pelampau dan pelaksanaan nilai agama di Arab Saudi.

KENAPAKAH BELIAU AMAT DIKENALI DI LUAR ARAB SAUDI?

Ketika berkhidmat dengan Saudi Al-Watan, Jamal juga merupakan penasihat kepada Duta Arab Saudi ke London iaitu Putera Turki Al-Faisal. Pada 2005, apabila Putera Turki dilantik pula sebagai Duta Arab Saudi ke AS, Jamal menjadi pembantu medianya dan kebanyakan masa Jamal bertugas sebagai kolumnis dan pengulas sebelum meninggalkan negara itu dan pindah ke AS pada Jun 2017.


KENAPAKAH JAMAL HIDUP DALAM BUANGAN?

Jamal memberitahu rakan dan wartawan bahawa ruang kebebasan bersuara di bawah pimpinan Putera Mahkota Arab Saudi iaitu Putera Mohammed Salman semakin mengecil dan beliau bimbang akan keselamatannya. Dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera TV pada Mac lalu, Jamal memaklumkan bahawa dia akan meninggalkan Riyadh kerana enggan ditahan pihak berkuasa negara itu. Beliau juga menceritakan bagaimana dia dipecat sebanyak dua kali kerana mendesak reformasi dilakukan di Arab Saudi.

APAKAH YANG DITULIS OLEH JAMAL?

Jamal tidak menganggap dirinya sebagai seorang pengkhianat negara, sebaliknya sebagai seorang penulis yang melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mohammed yang berusia 33 tahun. Penulisan pertamanya dalam Washington Post pada 18 September 2017 menceritakan tentang keputusannya meninggalkan Arab Saudi. “Saya sudah tinggalkan rumah, keluarga, kerja saya. Untuk melakukan perkara sebaliknya akan mengkhianati pihak yang telah dipenjarakan. Saya ingin anda tahu bahawa Arab Saudi tidak seperti yang anda lihat ketika ini. Rak­yat negara itu berhak untuk dapat yang terbaik,” tulisnya.

Pada Februari lalu, Jamal menulis bahawa Putera Mohammed perlu belajar daripada kerabat diraja Britain bagaimana untuk mendapatkan kedudukan, kepercayaan, penghormatan dan kejayaan dengan bersikap rendah diri. “Jika Putera Mohammed bo­leh menerima segala kritikan rakyat, saya yakin beliau boleh tingkatkan kuasa serta pentadbirannya,” tulis Jamal. Selain itu, beliau juga menyamakan Putera Mohammed seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin. Menerusi kolum terakhir sebelum beliau dilaporkan hilang, Jamal menggesa Putera Mohammed menamatkan perang terhadap Yemen yang dimulakan sejak lebih tiga tahun lalu.

KENAPAKAH JAMAL MEMASUKI KONSULAT ARAB SAUDI?

Jamal pergi ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mengambil dokumen peribadi sebelum berkahwin dengan de­ngan tunangnya, Hatice Cengiz yang merupakan pelajar doktor falsafah warga Turki dan berusia 36 tahun. Beliau juga dilaporkan membeli sebuah rumah di Istanbul sebagai persiapan selepas berkahwin dengan Hatice.

APAKAH PANDANGAN ARAB SAUDI MENGENAI JAMAL?

Pihak berkuasa Arab Saudi sehingga kini tidak membuat sebarang kenyataan kritikal mengenai Jamal sejak kehilangannya. Putera Mohammed dalam temu bual bersama Bloomberg sebelum ini hanya memaklumkan bahawa Jamal merupakan warga Arab Saudi dan ingin tahu apa yang terjadi kepada wartawan tersebut. Putera Khalid Salman yng kini merupakan Duta Arab Saudi ke AS pula menyifatkan Jamal sebagai seorang rakan dan memuji beliau atas sumbangannya terhadap negara.

PERSON OF THE YEAR


Wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul dinamakan sebagai 'Person of the Year' oleh majalah Time pada 11 Disember 2018. Beliau turut berkongsi gelaran itu bersama beberapa wartawan lain yang digelar sebagai 'penjaga' kebenaran seperti Maria Ressa dan Wa Lon serta Kyaw Soe Oo yang kini dipenjarakan di Myanmar.