16 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN TINGGI : BUKAN SEMUA BIJAK

Oleh Ruhaiza Rusmin


Di  sebalik kemegahan masyarakat global mengiktiraf kebanyakan universiti ternama dunia, ada segelintir pihak kurang bersetuju dengan alasan wujudnya diskriminasi selain ketidakadilan dalam membuat penilaian. Antara alasan paling kukuh ialah pengiktirafan itu hanya memberi fokus pada segelintir universiti dan bukan secara keseluruhan terutama membabitkan institusi kurang terkenal, tetapi mempunyai reputasi baik. Ketidakadilan itu juga sekali gus menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahli akademik kerana bakal mewujudkan situasi kurang sihat yang memungkinkan usaha memartabatkan dunia pendidikan terganggu. Profesor pendidikan tinggi Boston College, Amerika Syarikat, Philip Altbach berkata, membuat perbandingan ibarat mempertikaikan kewibawaan institusi lain yang tidak tersenarai meskipun turut mempu-nyai pencapaian baik setanding universiti ternama. Menurutnya, dunia pendidikan perlu bersikap adil dengan memberi taraf peng-iktirafan sama berdasarkan fungsi bidang itu sendiri yang seharusnya mendokong cita-cita untuk melahirkan generasi berilmu dan berjasa.“Biarpun tidak salah memberi pengiktirafan, pandangan ahli akademik yang menganggapnya sebagai satu diskrimi-nasi tersembunyi wajar diambil kira kerana mereka juga terbabit dalam bidang sama.

Mungkin sebilangan menganggapnya sebagai satu kebanggaan. Bagaimana pula dengan institusi tidak tersenarai, padahal ia turut menyumbang sesuatu terhadap pembangunan dan kebaikan dunia pendidikan.  Bukankah tidak adil kerana pengiktirafan itu dibuat berdasarkan kriteria yang ditentukan manusia sendiri? Dunia pendidikan bukan hanya bersandarkan pengiktirafan semata-mata malah matlamat utama yang perlu dicapai adalah melahirkan manusia berguna. Penyenaraian itu ibarat budaya baru dunia pendidikan masa kini apabila universiti seluruh dunia semakin berlumba-lumba meletakkan diri pada kedudukan terbaik dengan harapan bukan saja mampu mencapai standard antarabangsa malah mendapat perhatian pelabur. Biarpun dilihat ada kepentingan dan kewajarannya namun pihak lain turut berpendapat ia mampu ‘mematahkan’ sema-ngat penyebaran ilmu di kala-ngan masyarakat kerana boleh mempersoalkan kemampuan universiti tidak tersenarai. Lebih memburukkan keadaan, kepercayaan terhadap kredibiliti dan kemampuan mereka mudah dipertikaikan. Antara pengiktirafan antarabangsa paling sinonim dan berprestij ialah The Times Higher Education Supplement (THES) yang menjadi rebutan universiti dunia sebagai penyenaraian paling diiktiraf global.

Sebagai sebuah universiti, katanya, mereka tidak boleh prejudis atau bermegah-megah kerana ia boleh mencalarkan nilai intelektual yang harus didukung dan diperjuangkan dengan penuh karisma. Ini bukan soal cemburu atau sebagainya, namun pengiktirafan itu secara tidak langsung bakal menghakis nilai kemanusiaan dan ilmu yang diperjuangkan. Salahkah jika tidak meletakkan senarai universiti? Cara itu juga seolah-olah memberitahu dunia inilah universiti terbaik. Adakah jika tidak tersenarai, maksudnya tidak bagus dan gagal melahirkan graduan bertaraf elit? Ini bukan saja menjatuhkan maruah, malah melahirkan pandangan skeptikal terhadap kemampuan intelektual yang menjadi nadi sesebuah institusi. Walaupun berhujah, penilaian itu dilakukan atas dasar profesional, adakah masyarakat tahu bagaimana ia dikendalikan?” katanya yang turut bersetuju dengan keluhan ahli akademik usaha untuk memperoleh pengiktirafan itu memberi tekanan berganda. Beliau berkata semua tahu bagi memperoleh tempat dalam penyenaraian, kriterianya sangat ketat. Ini pasti menambahkan lagi tekanan dalam memastikan misi institusi terpilih dalam kedudukan tercapai. Mereka ahli akademik, me-ngapa perlu dibebankan dengan pelbagai tanggungjawab lain hanya untuk memastikan universiti mendapat nama?

Ini tidak profesional

Meskipun pengiktirafan itu mampu membuka mata dunia, namun belum tentu hasilnya setanding. Mungkin hanya beberapa institusi yang benar-benar sudah kukuh mampu melakukannya. Beliau juga menyelar tindakan itu hanya memuaskan hati segelintir pihak yang membuat pelaburan. Mereka yang membayar terutama dalam penyelidikan sudah tentu mahukan pula-ngan. Penyenaraian itu bukan saja memberi kredit kepada universiti malah juga pelabur,” katanya. Persoalannya, bolehkah anda memberi penilaian terhadap sistem akademik kebangsaan atau institusi pendidikan seluruh dunia dengan hanya bersandarkan pada aspek tertentu yang dihantar melalui komputer? Hakikatnya, pendidikan sangat subjektif, kejayaan tidak boleh diberi penilaian dengan mudah hanya jika sudah memenuhi kriteria tertentu ditetapkan. Tiada siapa dapat mentafsir erti kejayaan sebenar. Bagaimanapun, kaunselor pendidikan University of Victoria, Kanada, Janet Sheppard, menyelar tindakan itu yang dianggap menjadi penyekat terhadap budaya persaingan sihat dan pembentukan budaya ilmuwan seperti yang dikehendaki masyarakat global.

Sangat menyedihkan apabila usaha memartabatkan kedudukan universiti menjadi yang terbaik diperlekehkan dengan tanggapan singkat dan prejudis, hanya kerana tidak terpilih dalam senarai. “Persepsi itu bukan saja boleh membunuh masa depan institusi malah menyekat budaya pembentukan ilmu di kalangan masyarakat. Pada masa kini, pendidikan bukan lagi sekadar keperluan malah kepentingan jangka panjang yang menentukan jatuh bangun sesebuah negara. “Adalah sangat menyedihkan kerana masih ada lagi pihak yang berpandangan jumud dan tertutup. Tiada salahnya memberi pengiktirafan itu kerana sekurang-kurangnya mereka bersaing secara sihat. “Itu lebih baik daripada berterusan berada di takuk lama. Pendidikan perlu berkembang selaras perubahan zaman yang semakin kompetitif dan komprehensif, usah bersusah payah mempertikaikannya,” katanya. Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya universiti yang dirasakan masih tidak setanding atau tidak disenaraikan supaya terus berusaha kerana masyarakat mempu-nyai kuasa untuk membuat penilaian. “Merungut dan tidak berpuas hati bukan penyelesaian masalah. Bergelar ahli akademik tidak semestinya bijak dalam semua aspek, jadikan peluang ini sebagai motivasi untuk mendapat pengiktirafan sama,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
12 DISEMBER 2011



ISU UMUM : SBPA MANSUH 29 000 JAWATAN, ELAK PERTINDIHAN DAN PEMBAZIRAN

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my


Tidak dinafikan kecekapan kakitangan awam asas utama kejayaan pelbagai program transformasi kerajaan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam usaha meningkatkan daya saing negara ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.  Justeru, jangan melenting apabila kerajaan memilih pendekatan meminta kakitangan awam yang gagal menunjukkan prestasi baik supaya bersara awal atau memilih kerjaya lain menerusi dasar pemisah atau exit policy kerana memang tanggungjawab kerajaan bagi membuang duri dalam daging demi memantapkan tadbir urus negara. Sepatutnya, hanya siapa yang makan cili akan berasa pedasnya dan mereka yang dimaksudkan ini wajar mencermin diri dan mempersoalkan kenapa kerajaan perlu menggaji dan terus menjaga kebajikan mereka selepas berpencen walaupun ketika bekerja, ada yang rekod perkhidmatannya buruk, sering curi tulang, melakukan penipuan, salah guna kuasa atau pelbagai jenayah lain.

Atas kesedaran itu, kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah baru-baru ini, kira-kira 15,400 kakitangan awam yang berprestasi rendah iaitu mendapat markah penilaian 69 peratus ke bawah, akan disiasat oleh panel khusus untuk tempoh enam bulan. Ini membabitkan 1.1 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara dan panel terbabit akan memberi cadangan sama ada mungkin memindahkan mereka ke jabatan lebih sesuai dengan bakatnya atau diminta bersara awal sekiranya mempunyai rekod prestasi buruk bagi tempoh yang lama. Pada masa sama, kerajaan harus melakar hala tuju lebih jelas, termasuk memperketatkan tadbir urus, wujudkan sistem memberi ganjaran dan menghukum berasaskan mutu kerja seseorang penjawat awam, menyelaras indeks produktiviti dan merangka pelan pelaksanaan memansuhkan jawatan kerajaan yang tidak lagi diperlukan.  Abu Bakar dipetik berkata, 29,000 jawatan akan dimansuhkan di bawah SBPA berdasarkan enam strategi inisiatif perkhidmatan awam iaitu kawalan saiz, kajian pertindihan fungsi, penjajaran fungsi utama, perkhidmatan boleh diserah urus, perekayasan proses kerja dan kajian semakan skim perkhidmatan.

Pada masa sama, semua kakitangan awam, termasuk semua peringkat perjawatan, harus dipantau bagi mengekang perbelanjaan yang membazir, kecuaian menilai barangan yang hendak dibeli dan salah guna dana awam, seperti didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara tempoh hari.  Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus mewajibkan kakitangan setiap jabatan dan agensi kerajaan menjalani penilaian sebelum diberi tanggungjawab tertentu dan mereka yang menunjukkan tahap prestasi tidak memuaskan wajar mengikuti kursus pengurusan dan memperbaiki prestasi dalam tempoh enam bulan. Tidak kurang juga kakitangan awam yang menghadapi masalah disiplin yang serius. Selain kerap ponteng kerja atau tidak menepati masa, ada yang melakukan jenayah, umpamanya kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa menyamun pengurup wang di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tempoh hari. Baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan dakwaan ada pegawai polis yang menyewakan senjata api mereka kepada penjenayah bagi melakukan rompakan, penculikan atau menyamun.

‘Barah’ ini bukan saja mengancam sektor perkhidmatan awam, sebaliknya sudah menular kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.  Hakikatnya, peningkatan kakitangan awam di negara ini agak tinggi kerana bertambah kepada 1.4 juta tahun ini berbanding 1.14 juta pada 2007. Justeru, pengurangan 29,000 jawatan bukan jumlah besar dan harus disegerakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain untuk berusaha menambah baik diri.  Nisbah kakitangan awam kepada kadar penduduk di Malaysia antara yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu 4.68 peratus berbanding 2.9 peratus di Singapura, Thailand (2.06 peratus), Filipina (1.81 peratus), Indonesia (1.79 peratus), Laos (1.24 peratus) dan 1.18 peratus di Kemboja.  Negara lain seperti Jepun mempunyai nisbah kakitangan awam kepada kadar penduduk 3.2 peratus, Korea Selatan (2.1 peratus) dan 3.7 peratus di Taiwan.  Di Malaysia, kerajaan membelanjakan RM45.6 bilion tahun lalu untuk membayar gaji 1.4 juta kakitangannya, tidak termasuk pencen dan ganjaran lain RM12.3 bilion.

Justeru, dengan adanya kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI), kerajaan seharusnya tidak menghadapi masalah mengenal pasti bakat, kemahiran, kecekapan, kepakaran dan keupayaan setiap kakitangannya selain mengetahui apa bidang yang mungkin memerlukan suntikan budaya kerja sektor swasta. Sejak sedekad lalu, sektor awam negara menjalani pelbagai perubahan pesat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) pada 1 November 2002 sebagai kaedah menilai prestasi penjawat awam bagi kenaikan pangkat. Kakitangan awam juga menikmati anjakan gaji antara RM15 hingga RM110, manakala pada Julai 2007, satu lagi kenaikan gaji diumum dan kini mereka bakal menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus serta imbuhan lain di bawah SBPA.

SUMBER
BERITA HARIAN
16 DISEMBER 2011


15 Disember 2011

ISU ALAM SEKITAR : PENCARIAN KEMBAR BUMI


Penyelidikan untuk membuktikan kewujudan makhluk asing seperti yang digambarkan dalam filem Hollywood seperti E.T. dan Avatar sudah lama dimulakan. Begitupun, belum ada bukti yang dapat menyokong teori itu. Malah, hidupan lain seperti bakteria dan tumbuh-tumbuhan di bulan atau planet lain juga tidak diketahui kewujudannya. Bagaimanapun, penemuan sebuah planet baharu yang mempunyai banyak persamaan dengan bumi awal minggu ini oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat memberi dimensi baru dalam penyelidikan tentang kehidupan di angkasa lepas. Diberi nama Kepler -22b, planet yang terletak di luar sistem suria bumi itu berada di dalam zon boleh dihuni. Ia mempunyai suhu selesa yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk seakan musim bunga iaitu sekitar 22 darjah Celcius. Bahkan, keadaan geofizikalnya yang mempunyai air dan tanah melengkapkan lagi potensi terbaik planet tersebut untuk menampung kehidupan. Dengan saiz 2.4 kali lebih besar berbanding bumi, planet itu ditemui melalui teleskop Kepler milik NASA yang dilancarkan pada tahun 2009 untuk mencari planet-planet baru. "Penemuan Kepler -22b adalah satu sejarah baharu manusia. "Sebelum ini pakar astronomi pernah menjumpai dua planet di dalam zon sama tetapi ia tidak mampu menampung kehidupan," ujar Profesor Astronomi di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS), Geoff Marcy.

PERSAMAAN

Geoff yang juga perintis usaha mencari planet di luar sistem suria bumi menjelaskan, penemuan planet baharu ini membuktikan penerokaan NASA untuk mencari planet serupa bumi tidak sia-sia. "Walaupun perlu meneroka jauh di luar angkasa, kita sebenarnya semakin hampir dengan matlamat itu," katanya. Selain suhu yang selesa, tanah dan air, Kepler -22b yang jaraknya dikatakan 15 peratus lebih dekat dengan bintang seakan matahari berbanding bumi. Kepler turut mengelilingi 'bintang matahari' itu dalam tempoh 290 hari setahun iaitu hampir menyamai 365 hari setahun di bumi. Sejak dilancarkan pada akhir 2009, Geoff dan Pasukan Teleskop Angkasa Lepas Kepler telah berjaya mengenal pasti 1,200 planet namun penemuan sebelum ini dikenal pasti tidak mempunyai ciri sesuai untuk dihuni. Misi yang menelan berbilion dolar itu dilancarkan untuk mencari planet seakan bumi dengan merentasi permukaan bintang asing.  Oktober lalu, NASA mendedahkan sebuah kapal angkasa miliknya telah menjumpai sistem tiga planet luar biasa yang mengandungi satu planet Super Bumi dan dua planet bersaiz Neptun mengorbit bintang seakan matahari kita. "Teleskop Angkasa Kepler menemui tiga planet di sekitar bintang Kepler-18, yang 10 peratus lebih besar daripada matahari kita dan mengandungi 97 peratus jisim matahari," ujar Bill Cochran, ketua pengkaji di Universiti Texas. Jelasnya, sistem asing juga boleh menjadi perumah kepada lebih banyak planet daripada apa yang telah ditemui setakat ini. Kesemua tiga planet yang diberikan nama Kepler-18b, c dan d itu mengorbit lebih dekat dengan bintang induknya berbanding Utarid mengelilingi matahari.

CALON PLANET

Bagaimanapun, planet Kepler-18b mengorbit lebih dekat dengan bintang induknya, iaitu mengambil hanya 3.5 hari untuk melengkapkan putarannya. "Planet yang mempunyai jisim kira-kira enam kali jisim bumi dan dua kali saiz planet kita, menjadikan planet Kepler-18b sebagai Super Bumi," jelasnya. Kepler-18c pula mengambil masa 7.6 hari untuk mengorbit bintang induknya dan 5.5 kali lebih besar daripada bumi, dan mempunyai jisim yang hampir sama dengan 17 buah bumi. Kepler-18d mengambil masa 14.9 untuk mengorbit dan kira-kira tujuh kali lebih besar daripada bumi dengan jisim 16 kali jisim bumi. Berdasarkan anggaran ini, planet c dan d adalah layak sebagai dunia 'Kelas Neptun' berketumpatan rendah. Sementara itu, menurut Ketua Penyiasat Sains Misi Kepler NASA, William Borucki, planet-planet di sekeliling Kepler-18 membantu ahli astronomi kerana aktiviti orbit antara Kepler-18c dan Kepler-18d menunjukkan bahawa mereka mestilah berada di dalam sistem planet yang sama.

"Tetapi untuk membuktikan identiti Kepler-18b sebagai Super Bumi merupakan sesuatu yang rumit," katanya. Sehingga kini, Kepler telah menemui 1,235 'calon' planet yang sedang menunggu pengesahan melalui pemerhatian susulan. Daripada jumlah itu, 54 planet dikenal pasti berada dalam zon Goldilocks. Misi utama Kepler bukanlah untuk mengenal pasti planet mana yang mempunyai hidupan namun ia sekadar petunjuk kepada ahli astronomi mengenai planet yang berpotensi untuk hidupan. Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 50 bilion planet di dalam galaksi Bima Sakti dengan lebih kurang 500 juta daripadanya terletak di zon Goldilocks yang mempunyai iklim sesuai untuk hidupan. "Satu daripada empat bintang yang serupa dengan matahari dalam galaksi Bima Sakti didapati menempatkan banyak planet bersaiz bumi sekali gus mencadangkan bahawa sistem yang menampung kehidupan seperti di bumi mungkin lebih banyak terdapat berbanding jangkaan sebelum ini," ujar Borucki.

BOLEH DIHUNI

Dia turut memberitahu, pasukan penyelidiknya telah mengenal pasti 200 bintang yang mempunyai planet dalam zon boleh didiami. Saintis mengambil masa bertahun-tahun bagi mengenal pasti terdapat 100 bilion bintang di dalam Bima Sakti. Namun, pada tahun lepas di Yale, saintis mendapati jumlah tersebut menghampiri 300 bilion bintang. Saintis Kepler, Natalie Batalha berkata, jumlah tersebut melibatkan galaksi Bima Sakti sahaja dan terdapat 100 bilion galaksi. "Pertambahan jumlah bintang yang ditemui menimbulkan persoalan adakah terdapat hidupan lain di alam semesta dan jawapannya tidak diketahui. Walaupun jarak Kepler -22b itu jauhnya 600 tahun atau 5,760 trilion kilometer dari bumi, keadaan itu bukan halangan untuk para saintis angkasa lepas mengkaji tentangnya," kata Natalie.

SUMBER
HARIAN KOSMO


ISU ANTARABANGSA : UGANDA SEMAKIN MELARAT


Seperti kebanyakan ibu-ibu lain yang tinggal di sebuah kejiranan daif, terdapat satu hari yang membuatkan Rose Awino, 23, berasa takut berbanding hari-hari lain dalam bulan itu. Ia adalah pada hari apabila dia perlu membayar AS$20 (RM62.90) untuk sewa rumah satu bilik yang diduduki bersama keluarganya. Seiring kenaikan kos sara hidup di Uganda, daripada makanan hingga harga minyak, Awino bukan sahaja resah dengan kunjungan tuan rumah, malah terhadap rutin membeli barangan keperluan dua kali seminggu di pasar. Protes telah tercetus di Kampala sejak April 2011 yang lalu apabila ketua pembangkang, Kizza Besigye melancarkan demonstrasi terhadap kenaikan kos sara hidup. Ia mencetuskan tindakan ganas polis yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang. Besigye kini ditahan di rumahnya. "Semuanya di sini menjadi semakin mahal, tetapi kehidupan menjadi semakin susah sepanjang masa," kata Awino yang tinggal di daerah Konge di pinggir ibu negara Uganda. Inflasi keseluruhan di Uganda bulan lalu meningkat kepada 30 peratus, kadar tertinggi dalam masa dua dekad. Dalam bulan yang sama, inflasi tahun ke tahun ke atas makanan meningkat sebanyak 45 peratus. "Ini menyebabkan kenaikan mendadak ke atas kos barangan asas. Standard gaya hidup penduduk Uganda telah menurun, terutama bagi penduduk lebih miskin di dalam masyarakat," kata felo sains politik dari Universiti Makerere, Frederick Golooba-Mutebi.

KEDAI TIADA PELANGGAN

Masyarakat biasa Uganda sedang berusaha mengatasi situasi itu. Awino memberitahu, dia pernah menjual tomato dan bawang kepada suri rumah tempatan melalui sebuah gerai kecil tetapi sejak harga barangan meningkat, pelanggannya semakin berkurang. Kini keluarganya bekerja keras meneruskan kehidupan dengan pendapatan kira-kira AS$40 (RM125.60) sebulan yang diperoleh dengan bekerja sebagai pencuci separuh masa. Dengan pendapatan itu, sebahagian besarnya sebenarnya digunakan untuk membayar sewa rumah. Protes jalanan antara lain tercetus akibat persepsi bahawa pemerintah elit tidak melakukan apa-apa untuk menangani inflasi. Mereka sebaliknya dikatakan mensia-siakan sumber berharga bagi memenangi semula pilihan raya yang akan diadakan pada bulan Februari tahun depan. Kerajaan gagal bertindak. Mereka menolak untuk mengurangkan tarif petrol, diesel dan beberapa komoditi asas dan ini menyebabkan kebencian awam.  Begitupun, protes awam semakin berkurangan apabila kumpulan pejuang hak memberitahu bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah represif atau bersifat menindas termasuk mengenakan perintah tahanan rumah bagi ketua pembangkang.

FAKTOR LUARAN

Kerajaan memberitahu sedikit sahaja yang dapat dilakukan bagi mengatasi inflasi dengan menyalahkan faktor luaran seperti harga petrol yang tinggi dan peningkatan permintaan makanan dari negara-negara jiran Uganda yang sedang dilanda kemarau. Jelas, kerajaan berkata benar. Sejak beberapa tahun lalu, ekonomi global berada dalam keadaan tidak stabil sekali gus turut menjejaskan Uganda, kata pengerusi parti pemerintah Jawatankuasa Ekonomi Kebangsaan di Parlimen. "Tetapi, kita masih perlu membuat banyak perkara termasuk polisi bagi menangani isu kepenggunaan dan cuba untuk meningkatkan pengeluaran," tambahnya. Bank pusat negara berkenaan baru-baru ini meningkatkan kadar faedah untuk menyokong mata wang tempatan iaitu shiling Uganda yang semakin lemah. Shiling mencecah nilai terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) September lalu. Tetapi ketika pakar ekonomi mengalu-alukan tindakan itu, mereka berkata bahawa ia tidak memberi kesan ke atas harga pengguna dalam masa terdekat. "Terdapat kesan sampingan dalam mana-mana polisi kewangan, jadi ia mengambil masa tiga bulan, enam bulan, atau mungkin setahun," kata ketua pasaran kewangan di Bank Standard Chartered di Uganda, Grace Makako yang memberi amaran mengenai waktu sukar pada tahun 2012. Bagi Awino, dia tidak tahu bagaimana dia harus terus menanggung ahli keluarganya sekiranya tiada perubahan dalam masa terdekat. "Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak lama lagi saya perlu membayar yuran persekolahan. Saya tidak tahu sama ada saya mampu atau tidak. Mungkin kami perlu mengikat perut lagi," keluhnya.

SUMBER
HARIAN KOSMO



ISU UMUM : SUSUK HANYALAH SIHIR MATA, USAH DIAMAL, USAH DIPERCAYA


Kerana mahu cantik manusia sanggup melakukan apa sahaja. Demi menghilangkan kedutan, memutihkan wajah dan melangsingkan tubuh, pengguna di Malaysia pada tahun 2010 sahaja menghabiskan sebanyak RM3.42 bilion untuk membeli produk kecantikan. Kerana mahu cantik jugalah sejak dahulu sehinggalah pada zaman moden ini susuk masih lagi kuat berlegar dalam masyarakat Melayu. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, susuk merujuk kepada jarum emas dan lain-lain logam yang dimasukkan ke dalam badan supaya seseorang itu kelihatan manis atau berseri. Jika kita lihat, susuk ini ada beberapa kategori iaitu susuk jenis logam seperti emas, perak dan raksa. Ada juga susuk jenis galian seperti berlian dan jenis organik seperti susu dan air biasa. Tapi selalunya susuk yang popular ialah susuk logam seperti susuk emas, perak dan besi. Cara pemakaian kesemua jenis susuk ini sama dengan tujuan selalunya untuk kecantikan.  Selain kecantikan seseorang itu memakai susuk untuk kekebalan, kekuatan, ilmu penunduk, keberanian malah, ada juga yang memakai susuk di kemaluan untuk kekuatan nafsu syahwat.  Walaupun ada antara kita tahu bahawa susuk dilarang dalam Islam namun, masih ada yang khilaf mengenainya kerana terlalu mengikut nafsu duniawi untuk cantik.

Lebih menyedihkan ada yang percaya susuk boleh dipakai selepas bertemu dengan bomoh yang menggunakan potongan ayat al-Quran sedangkan hakikatnya ia hanyalah untuk menutup ilmu hitam mereka. Benda-benda sebegini syirik semuanya walaupun menggunakan ayat al-Quran. Kaedah memasukkan susuk ayat ini dilakukan dengan membacakan beberapa potong ayat al-Quran beberapa ribu kali pada air kemudian dibasuhkan pada muka, ia seolah-olah memasukkan susuk tersebut ke dalam wajah. Antara ayat-ayat yang biasa digunakan untuk susuk ayat ialah Surah Yusuf, ayat 4 yang dibacakan sebanyak 4,444 kali untuk kecantikan, manakala untuk tujuan kuat atau kebal pula dibacakan Surah Al-Hadid sebanyak 1,000 kali. Semua ini amalan syaitan walaupun dengan menggunakan ayat al-Quran. Susuk diharamkan kerana dua perkara iaitu ada unsur penipuan yang dipanggil gharar dan ada unsur mengubah ciptaan Tuhan walaupun dengan mata kasar kita tidak dapat lihat fizikalnya berubah. Orang yang banyak membaca al-Quran, mukanya akan nampak berseri disebabkan amalan tersebut dan ia berbeza dengan susuk ayat kerana susuk ayat mempunyai bacaan ayat-ayat khusus untuk mencantikkan diri dan ini dilarang Islam disebabkan ada pendustaan serta gharar.

SUSUK BERUNSUR PEMUJAAN

Susuk sering dipakai di wajah, dada atau kemaluan untuk tujuan kecantikan, sedangkan hakikatnya si pemakai didampingi jin yang mengubah bentuk wajah manusia. Ditanya sama ada susuk yang dimasukkan itu sekadar material sahaja atau mempunyai 'penjaganya', Abdul Rahman memberitahu bahawa pemakaian susuk itu adalah sesuatu yang berbentuk pemujaan. Ia akan menyeru jin-jin yang akan berdamping dengan si pemakai. Jin inilah yang akan mengubah wajah secara spiritual bentuk wajah. Orang bukan tengok wajah si pemakai tetapi, melihat jin yang berada di sekitar kawasan muka si pemakai kerana jin mampu mengubah bentuk seseorang," jelasnya sambil memberitahu susuk merupakan sihir mata dan biasanya si pemakainya tergolong dalam orang yang melakukan maksiat. Menurutnya, susuk merupakan amalan sihir yang dipelopor pada zaman Firaun atau lebih tepat ia mula tercipta pada zaman kerajaan Firaun lagi. Apabila turunnya ayat sihir di Babylon, orang Yahudi mengambil ayat-ayat sihir itu untuk dijadikan amalan. Maka, amalan-amalan sihir ini dipelajari oleh orang Firaun apabila orang Israel pergi ke Mesir. Ia berlaku sejak zaman Nabi Sulaiman lagi. Jenis susuknya sama, cuma amalan susuk ini disesuaikan di setiap generasi. Contohnya, pengamalan dan bahan yang digunakan sama tetapi, disesuaikan dengan keadaan semasa serta tujuannya. Walaupun susuk dipakai untuk pelbagai tujuan namun, ia paling kerap disinonimkan dengan kecantikan atau sebagai pemikat.

PENGALAMAN 1

Lina (bukan nama sebenar), 42, mula memakai susuk emas dan berlian ketika usianya 14 tahun. "Ibu mengesyorkan saya memakai susuk sedangkan saya tidak tahu kegunaan dan untuk tujuan apa. Susuk emas diletakkan di betis, manakala susuk berlian di kening," katanya yang nekad membuang susuk kerana seringkali mengalami mimpi ngeri dan tidak boleh tidur malam. Menceritakan betapa hebatnya penangan susuk tersebut, mana-mana lelaki yang melihat betis Lina akan mengikutnya hingga ke rumah. "Kini, saya sudah insaf dan menasihatkan agar orang di luar sana terutamanya wanita supaya tidak terjebak dalam pemakaian susuk kerana kesannya akan tiba apabila meningkat usia selain berdosa," ujarnya.

PENGALAMAN 2

Seorang lagi pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, susuk dipakai oleh lelaki dan wanita tetapi selalunya menjadi amalan kaum wanita. "Ada seorang wanita mengaku memakai susuk untuk tujuan kecantikan. Dia memakainya di kening dan pipi menyebabkan ramai lelaki tergila-gilakannya walaupun rupanya tidak secantik mana pun. "Apabila sudah meningkat usia dan menopaus, sendi-sendinya mula bengkak dan dia sukar untuk tidur malam akibat gangguan," katanya. Ceritanya, ada seorang wanita berusia dalam lingkungan usia 60-an mengalami kesukaran untuk tidur selama empat tahun, sakit sendi hingga keluar ulat. Apabila ditanya, wanita tersebut mengaku bahawa dia memakai 10 susuk di seluruh bahagian badannya antaranya di kemaluan, buah dada, lengan, betis dan bibir. "Cerita wanita tersebut kepada saya, walaupun pada usia 50 tahun ramai yang tergila-gilakannya. Apabila putus haid pada usia 55 tahun, badannya mula rasa sakit-sakit dan mengalami pelbagai masalah selain kemaluannya bernanah.

"Sebaik sahaja susuk dikeluarkan mukanya mula berkedut," ujarnya. Menceritakan lebih lanjut mengenai pantang larang pemakai susuk, Shamsuri mengakui memang terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti oleh si pemakai. Kebiasaannya, mereka yang memakai susuk ini tidak boleh lalu di bawah ampaian besi bukannya ampaian tali. Selain itu, mereka juga tidak boleh memakan pisang emas, sate dan makanan bercucuk yang lain. Air zam-zam juga tidak boleh diminum oleh mereka. Jika pantang larang dilanggar muka mereka akan bernanah. Ada seorang wanita yang terlupa akan pantang larang tersebut menyebabkan kemaluannya bernanah selama dua tahun selain darah haid tidak putus-putus keluar selama empat tahun. Setiap perbuatan pasti ada akibatnya dan penggunaan susuk tidak terkecuali. Mereka yang memakai susuk berhadapan dengan saat azab sewaktu berdepan dengan sakaratulmaut malah, fizikalnya akan sakit jika melanggar pantang larang yang perlu dipatuhi.

SUMBER
HARIAN KOSMO



ISU SOSIAL : UNDANG-UNDANG RASUAH LEBIH TEGAS

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN


Perubahan status Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009 merupakan satu usaha positif kerajaan dalam usaha menjadikan agensi itu sebagai sebuah agensi yang bebas, telus dan profesional dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di negara ini. Antara inisiatif yang diambil bagi menambah baik fungsi agensi ini agar dilihat sebagai sebuah agensi yang telus, lima badan pemantau telah ditubuhkan bagi menjamin mekanisme Check and Balance dalam perlaksanaan undang-undangnya. Secara jelasnya, SPRM dipantau oleh lima badan ini iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (LPPR). Bagi setiap laporan operasi yang dijalankan oleh SPRM, ia akan dijawab terus kepada Parlimen melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz. Antara isu menarik dalam laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dibentangkan di Parlimen Malaysia 29 November lalu, soal perundangan dan pendakwaan turut diberi perhatian.

Menyentuh mengenai kes-kes rasuah, seringkali isu perundangan membabitkan kes-kes rasuah disalah tafsirkan oleh masyarakat apabila sabitan ke atas kes-kes berprofil tinggi dilihat agak kurang berbanding kes-kes lain. Perlu dingat bahawa kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa agak kompleks dan terdapat perbezaan dari sudut pembuktian dengan kes-kes jenayah am yang lain. Persoalan fakta undang-undang termasuk pembuktian bagi sesuatu kesalahan rasuah memerlukan kemahiran. Ini turut diakui oleh JKMR apabila dalam Laporan JKMR 2010 turut menyatakan tumpuannya dalam aspek pendakwaan dan perundangan. (2.2, 2.3, 2.4), cadangan JKMR (2.3.1) ada membuktikan bahawa kes-kes rasuah ini sememangnya kes yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah rumit dan kompleks. Ini kerana jenayah berbentuk begini bersifat merentasi sempadan negara dan berhubung kait dengan jenayah lain seperti jenayah bersindiket, jenayah ekonomi, kewangan, keganasan, penggubahan wang haram, penyeludupan manusia yang dibantu oleh perkembangan pesat teknologi maklumat.

Tidak dapat dinafikan, tafsiran terhadap sesuatu perlakuan rasuah dalam konteks undang-undang dan moral sering kali menyebabkan kekeliruan masyarakat, ambil saja contoh isu pemberian hadiah, bagaimana ia ditafsirkan oleh masyarakat walaupun telah dijelas berkali-kali. Bagi kes-kes berprofil tinggi sering kali isu 'ikan besar, 'ikan kecil' menjadi perdebatan utama dalam memperlihatkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah. Anggapan bahawa ikan-ikan besar sering terlepas dari disabitkan kesalahan rasuah berbanding ikan-ikan kecil seolah-olah sudah sinonim dengan persepsi masyarakat. Satu yang dilihat secara jelas dan diakui oleh JKMR sendiri ialah kekalahan kes-kes berprofil tinggi bukan disebabkan oleh SPRM tidak berkemampuan dan terikat dengan kerajaan tetapi sebaliknya disebabkan oleh kemahiran pengamal undang-undang (peguam pembela), saksi, serta salah tafsir terhadap peruntukan undang-undang berkaitan rasuah itu sendiri. Kes Datuk Norza Zakaria contohnya, bagaimana ia memperlihatkan keterangan saksi yang bercanggah berbanding keterangan ketika diberi kepada SPRM mampu membuatkan sesuatu kes itu tamat dengan keputusan yang memihak kepada tertuduh.

JKMR ada menyatakan bahawa kebanyakan kes-kes yang disiasat dan dituduh oleh pihak SPRM secara menyeluruh adalah membabitkan individu yang berprofil tinggi. Mereka ini berpengetahuan dalam cara-cara mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang atau seperti kebiasaannya mereka yang berprofil tinggi ini akan sentiasa diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman luas. Pandangan JKMR bahawa bagi kes-kes berprofil tinggi, SPRM perlu diwakili oleh beberapa Timbalan Pendakwaraya (TPR) Kanan yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mewakili SPRM bagi berhadapan peguam-peguam yang berpengalaman dan handal ini dalam kes-kes berprofil tinggi. Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah (MKR) adalah satu lagi bukti bahawa perlaksanaan undang-undang berkaitan rasuah dan penyelewengan di negara ini semakin tegas. Ini diperlihatkan daripada susulan penubuhan SPRM apabila sebanyak empat MKR mula beroperasi pada Oktober 2009 (dua di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam) bagi mengendalikan kes-kes berkaitan rasuah sepenuhnya.

Kewujudan MKR di setiap negeri ini secara tidak langsung menunjukkan peningkatan kes yang berjaya disabitkan di mahkamah rendah iaitu daripada 54 peratus pada 2009 kepada 71 peratus pada tahun 2010. Bagaimanapun, tidak dinafikan walau pun usaha awal mensabitkan pesalah rasuah telah dibuat di peringkat Mahkamah Rendah, tetapi masih banyak, yakni kira-kira 70 peratus keputusan perbicaraan kes-kes rasuah akan berakhir dengan rayuan ke Mahkamah Tinggi. Namun ia bukanlah sesuatu yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan undang-undang yang tegas dan segera. Ini kerana kebanyakan keputusan Mahkamah Tinggi akhir-akhir ini berpihak kepada pihak pendakwaan seperti kes penyelewengan bon jutaan ringgit membabitkan dua pegawai PUNB pada 5 Disember lalu. Keputusan nyata berpihak kepada pihak pendakwaan apabila hakim Mahkamah Tinggi memutuskan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen. Tidakkah ia merupakan satu titik tolak kepada perubahan pelaksanaan undang-undang rasuah yang lebih tegas di negara ini?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 DISEMBER 2011



ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : TEKNOLOGI SATELIT KRITIKAL UNTUK MALAYSIA

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Pada satu ketika Pakistan dianggap sebagai sekutu Amerika Syarikat (AS) yang boleh diharapkan walaupun tidak memulangkan bangkai helikopter Blackhawk yang terhempas di Abbottabad ketika operasi membunuh Osama Bin Laden pada Mei lepas. Sungguhpun telah diminta oleh pihak Pentagon AS, Islamabad tidak mengendahkan permintaan tersebut kerana helikopter canggih tersebut mampu menyalurkan maklumat teknikal dan perisikan yang tidak ternilai kepentingannya. Hari ini AS sekali lagi menghadapi masalah yang serupa apabila kapal terbang pengintip tanpa juruterbang (drone) RQ-170 Sentinel telah ditembak jatuh berhampiran bandar Kashmar, Iran. Walaupun telah diminta oleh Presiden Barack Obama supaya drone tersebut dikembalikan, tiada sebab mengapa Teheran perlu menuruti kehendak tersebut. Peristiwa ini jelas mempamerkan bagaimana AS menggunakan Afghanistan sebagai pangkalan untuk melaksanakan kerja intipan terhadap Iran dengan drone sebagai alat utama kutipan data. Selama ini apa yang nyata ialah AS menggunakan drone untuk memburu dan membunuh pejuang Taliban terutama sekali di sempadan Afghanistan-Pakistan. Telah terbukti bahawa Iran juga dan mungkin banyak lagi negara lain yang menjadi mangsa intipan AS.

Jika AS mampu melakukan operasi intipan menggunakan teknologi canggih, begitu juga dengan pihak yang tidak berkemampuan juga boleh melakukan intipan menggunakan teknologi sedia ada dan mudah dicapai. Google yang sinonim dengan enjin pencarian maklumat internet telah dituduh menjejaskan keselamatan AS kerana menyiarkan imej satelit berkualiti tinggi yang memberi gambaran jelas keadaan fizikal lokasi sensitif seperti pangkalan tentera. Google telah dikecam oleh Pentagon selepas pengguna awam dengan mudah dapat mencapai dan memproses imej satelit yang mempamerkan gambar lapangan terbang sulit di Tasik Yucca, Nevada, yang banyak digunakan untuk menguji drone RQ-170 seperti yang terhempas di Iran. Memang tidak boleh dinafikan imej satelit yang disediakan oleh Google boleh dicapai dengan mudah oleh semua pengguna internet. Walaupun kualiti imej tidak sehebat seperti mana yang dibekalkan oleh drone, tetapi sudah cukup untuk digunakan bagi tujuan intipan. Umpamanya telah terbukti militan di Afghanistan dan Iraq telah mengguna imej satelit Google untuk menentukan sasaran mudah diserang yang lazimnya dimiliki oleh tentera AS.

India, Korea Selatan, Thailand dan Australia adalah antara negara yang begitu lantang membantah kemudahan paparan imej satelit yang disediakan oleh Google. Peristiwa serangan Mumbai pada November 2008 yang mengorbankan lebih 188 orang dipercayai dilakukan oleh militan dari luar India yang telah menggunakan kemudahan imej satelit Google untuk mengkaji sasaran mereka. Thailand juga memberi alasan bahawa miltan terutama sekali dari selatan Thai dengan mudah dapat menyasarkan penempatan sensitif tentera dengan menggunakan kemudahan yang disediakan Google. Malaysia juga terdedah kepada ancaman seperti mana yang dihadapi oleh negara lain akibat kemudahan yang disediakan oleh Google. Paparan imej satelit pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan umpamanya dengan jelas mempamerkan kedudukan jet pejuang di landasan. Malah dengan resolusi imej sebaik 15 meter mampu membezakan antara jet pejuang MiG atau Hawk. Kawasan sensitif seperti Kementerian Pertahanan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur juga terdedah kepada ancaman kerana mereka yang mempunyai niat tidak baik dengan mudah dapat menentukan kedudukan bangunan dalam kawasan tersebut.

Keluh-kesah ancaman yang dibawa oleh Google pernah dibincangkan dalam sidang Parlimen pada tahun 2007. Ahli Parlimen dari Mambong Sarawak Datuk Dr. James Dawos Mamit telah mengemukakan soalan kepada Menteri Pertahanan mengenai langkah pencegahan terhadap ancaman pengganas menggunakan imej satelit Google yang boleh memudaratkan keselamatan negara. Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pertahanan ketika itu menjawab bahawa Malaysia tidak akan menghadkan kemudahan yang disediakan oleh Google kerana manfaat melampaui keburukan. Sama juga dengan kemudahan internet, walaupun mendedahkan pengguna kepada perkara yang tidak baik, tetapi kebaikan yang diterima jauh lebih banyak. Kemelut yang timbul akibat imej satelit Google dan juga drone RQ-170 mendedahkan bagaimana pentingnya teknologi terutama sekali yang berkaitan dengan satelit. Walaupun kemudahan Google boleh dicapai oleh semua peringkat pengguna tetapi langkah pencegahan mudah dilaksanakan oleh kerajaan kerana kualiti imej yang disediakan oleh Google adalah tidak begitu baik terutama sekali dari segi resolusi yang melebihi 20 meter dan tarikh imej yang kadang kala menjangkau sehingga 12 bulan lamanya.

Dalam hal ini perlu dihebahkan kepada rakyat bahawa Malaysia mempunyai satelit yang dinamakan RazakSat yang sedang mengelilingi dunia mengikut orbit Khatulistiwa. Satelit milik Malaysia ini telah dilancarkan pada 14 Julai 2009. Satu perkara yang paling menarik mengenai RazakSat yang tidak boleh diambil mudah ialah satelit ini merupakan satelit pertama di dunia yang berada pada orbit hampir Khatulistiwa. Keistimewaan orbit Khatulistiwa adalah RazakSat mampu membuat imbasan pada kawasan tertentu di Malaysia sebanyak 11 hingga 14 kali dalam masa satu hari dengan kemampuan resolusi sehingga 2.5 meter. Berbanding dengan Google yang hanya mampu menyediakan imej yang mungkin telah diambil berbulan-bulan lamanya sebelum ini, imej satelit RazakSat boleh dikemas kini setiap hari. Jika penggunaan imej Google sebanyak 20 meter adalah begitu terhad, maka RazakSat dengan resolusi 2.5 meter telah membuka pelbagai peluang penggunaan. Malaysia bakal melancarkan satelit yang mempunyai kemampuan lebih tinggi yang dinamakan RazakSat2. Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang sebaik-baiknya kerana jika imej satelit Google boleh memberi manfaat maka sudah pasti kedua-dua satelit RazakSat mampu memberi limpahan manfaat yang berkali ganda lebih baik terutama sekali dalam hal strategik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 DISEMBER 2011



ISU KENEGARAAN : KEAMANAN NEGARA BUKAN DATANG BERGOLEK, MEROSAKKANNYA AMAT MUDAH

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia (UUM)


Sesiapa sahaja yang menonton filem Ombak Rindu, pastinya terpesona dengan keindahan latar belakang dan pemandangan lokasi penggambaran filem tersebut. Persekitaran yang sungguh permai dengan sawah padi menghijau yang terbentang luas, air laut yang jernih serta burung-burung helang sayup-sayup berterbangan mencari mangsanya di permukaan laut. Sesekali ombak membadai lembut pantai dan batu-batuan di tepiannya. Pendek kata, bagi sesiapa yang ingin mencari ketenangan, di situlah tempat yang paling sesuai. Di manakah lokasi sebenar penggambaran filem Ombak Rindu? Tidak lain tidak bukan di negeri Kedah Darul Aman. Negeri ini menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat seluruh negara tetapi juga dunia. Baru sahaja Sabtu lalu, berakhirnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) yang menggamit pelancong tidak kira tempatan mahupun luar negara. Keindahan Langkawi semasa berlangsungnya Pameran LIMA '11 sungguh terserlah sehinggakan ramai para pelancong datang ke Langkawi sempena cuti sekolah. Maka, tidak menghairankanlah, syarikat produksi filem Ombak Rindu memilih Langkawi sebagai lokasi utama penggambaran filem tersebut.

Jika sekiranya sebelum Langkawi dibangunkan, namanya hanya dikenali dengan kisah lagenda Mahsuri. Namun, kini rezeki yang melimpah ruah dek kerana pembangunan pelancongan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan memberi impak positif kepada sosio-ekonomi penduduk Langkawi. Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi dilancarkan minggu lalu bagi meletakkan nama pulau lagenda ini di peta dunia agar sebaris dengan pulau-pulau terkemuka di dunia seperti Seychelles, Mauritius, Bali, Maldives dan Hawaii. Kelebihan Langkawi sebagai antara pulau terindah di dunia bakal menjayakan Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi. Apa yang penting di sini, semua pihak terutamanya pihak pelaksana dan penduduk Langkawi bekerja keras bagi menjayakannya. Bantuan yang diberikan oleh kerajaan patut digembleng sebaik mungkin. Kerjasama kerajaan negeri juga amat diperlukan. Di sini perbezaan fahaman politik di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadi halangan bagi meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak. Objektif utama ialah menjaga kebajikan rakyat dengan meningkatkan pendapatan mereka pada tahap yang lebih tinggi melalui sektor pelancongan. Kejayaannya bakal menjadikan negara kita sebagai destinasi utama pelancongan dunia.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan kesepuluh terbaik dari segi jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia. Tidak mustahil satu hari nanti dengan pelan perancangan pelancongan yang rapi, Malaysia berada sebaris dengan negara Perancis (berada di kedudukan pertama). Agenda melonjakkan pelancongan negara kini berada dalam 'kamus' Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA). Selepas berakhirnya LIMA '11, minggu ini sekali lagi negeri Kedah menjadi tumpuan seluruh negara dan dunia. Sultan Kedah ditabalkan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Sembah tahniah ke bawah Duli Tuanku. Semoga Malaysia di bawah pemerintahan ke bawah Duli Tuanku akan sentiasa aman sejahtera sebagaimana negeri Kedah yang selama ini sentiasa aman dan damai bertepatan dengan namanya Kedah Darul Aman. Keamanan negara bukan datang bergolek. Ia perlu diusahakan. Negara kita pernah mengalami rusuhan kaum yang merencatkan pembangunan ekonomi negara. Namun, selepas itu semua pihak bingkas bekerjasama untuk menyatukan balik rakyat Malaysia. Keamanan yang dinikmati pada masa sekarang adalah usaha semua pihak terutamanya para pemimpin terdahulu. Merosakkannya amat mudah. Sekelip mata sahaja. Tetapi membinanya memakan masa bertahun-tahun.

Dengan keamanan yang dinikmati oleh rakyat jelata. Kini, negara kita menuju ke arah negara maju. Sasaran pendapatan per kapita AS$15,000, tiga juta pekerjaan baru dan pendapatan negara kasar (PNK) RM1.7 trilion pada tahun 2020 mampu dicapai jika sekiranya keamanan negara sentiasa terjaga. Agenda memajukan negara melalui pelbagai program transformasi seiring dengan keamanan negara yang sentiasa dijaga mampu merealisasikan Wawasan 2020. Negara kita aman damai sehinggakan berjuta-juta warga negara asing berlumba-lumba untuk datang ke sini bagi mencari rezeki. Ketika pengangguran di negara-negara Barat berada pada tahap tertinggi, negara kita masih mampu menjana peluang-peluang pekerjaan yang sebahagiannya dikuasai oleh warga asing. Tiada gunanya segala transformasi dipersembahkan untuk rakyat tetapi rakyat secara keseluruhannya tidak mengambil peluang yang terhidang di depan mata. Rakyat juga perlu berusaha meningkatkan pendapatan, selain daripada usaha kerajaan membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup seharian. Sekarang terpulanglah kepada rakyat sama ada ingin 'berlari' bersama-sama dengan kerajaan untuk mencapai kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang atau selesa dengan keadaan sekarang. Semuanya terletak pada rakyat yang merupakan agen transformasi paling utama dalam memacu ekonomi negara pada tahap terbaik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 DISEMBER 2011