Kerana mahu cantik manusia sanggup melakukan apa sahaja. Demi menghilangkan kedutan, memutihkan wajah dan melangsingkan tubuh, pengguna di Malaysia pada tahun 2010 sahaja menghabiskan sebanyak RM3.42 bilion untuk membeli produk kecantikan. Kerana mahu cantik jugalah sejak dahulu sehinggalah pada zaman moden ini susuk masih lagi kuat berlegar dalam masyarakat Melayu. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, susuk merujuk kepada jarum emas dan lain-lain logam yang dimasukkan ke dalam badan supaya seseorang itu kelihatan manis atau berseri. Jika kita lihat, susuk ini ada beberapa kategori iaitu susuk jenis logam seperti emas, perak dan raksa. Ada juga susuk jenis galian seperti berlian dan jenis organik seperti susu dan air biasa. Tapi selalunya susuk yang popular ialah susuk logam seperti susuk emas, perak dan besi. Cara pemakaian kesemua jenis susuk ini sama dengan tujuan selalunya untuk kecantikan. Selain kecantikan seseorang itu memakai susuk untuk kekebalan, kekuatan, ilmu penunduk, keberanian malah, ada juga yang memakai susuk di kemaluan untuk kekuatan nafsu syahwat. Walaupun ada antara kita tahu bahawa susuk dilarang dalam Islam namun, masih ada yang khilaf mengenainya kerana terlalu mengikut nafsu duniawi untuk cantik.
Lebih menyedihkan ada yang percaya susuk boleh dipakai selepas bertemu dengan bomoh yang menggunakan potongan ayat al-Quran sedangkan hakikatnya ia hanyalah untuk menutup ilmu hitam mereka. Benda-benda sebegini syirik semuanya walaupun menggunakan ayat al-Quran. Kaedah memasukkan susuk ayat ini dilakukan dengan membacakan beberapa potong ayat al-Quran beberapa ribu kali pada air kemudian dibasuhkan pada muka, ia seolah-olah memasukkan susuk tersebut ke dalam wajah. Antara ayat-ayat yang biasa digunakan untuk susuk ayat ialah Surah Yusuf, ayat 4 yang dibacakan sebanyak 4,444 kali untuk kecantikan, manakala untuk tujuan kuat atau kebal pula dibacakan Surah Al-Hadid sebanyak 1,000 kali. Semua ini amalan syaitan walaupun dengan menggunakan ayat al-Quran. Susuk diharamkan kerana dua perkara iaitu ada unsur penipuan yang dipanggil gharar dan ada unsur mengubah ciptaan Tuhan walaupun dengan mata kasar kita tidak dapat lihat fizikalnya berubah. Orang yang banyak membaca al-Quran, mukanya akan nampak berseri disebabkan amalan tersebut dan ia berbeza dengan susuk ayat kerana susuk ayat mempunyai bacaan ayat-ayat khusus untuk mencantikkan diri dan ini dilarang Islam disebabkan ada pendustaan serta gharar.
SUSUK BERUNSUR PEMUJAAN
Susuk sering dipakai di wajah, dada atau kemaluan untuk tujuan kecantikan, sedangkan hakikatnya si pemakai didampingi jin yang mengubah bentuk wajah manusia. Ditanya sama ada susuk yang dimasukkan itu sekadar material sahaja atau mempunyai 'penjaganya', Abdul Rahman memberitahu bahawa pemakaian susuk itu adalah sesuatu yang berbentuk pemujaan. Ia akan menyeru jin-jin yang akan berdamping dengan si pemakai. Jin inilah yang akan mengubah wajah secara spiritual bentuk wajah. Orang bukan tengok wajah si pemakai tetapi, melihat jin yang berada di sekitar kawasan muka si pemakai kerana jin mampu mengubah bentuk seseorang," jelasnya sambil memberitahu susuk merupakan sihir mata dan biasanya si pemakainya tergolong dalam orang yang melakukan maksiat. Menurutnya, susuk merupakan amalan sihir yang dipelopor pada zaman Firaun atau lebih tepat ia mula tercipta pada zaman kerajaan Firaun lagi. Apabila turunnya ayat sihir di Babylon, orang Yahudi mengambil ayat-ayat sihir itu untuk dijadikan amalan. Maka, amalan-amalan sihir ini dipelajari oleh orang Firaun apabila orang Israel pergi ke Mesir. Ia berlaku sejak zaman Nabi Sulaiman lagi. Jenis susuknya sama, cuma amalan susuk ini disesuaikan di setiap generasi. Contohnya, pengamalan dan bahan yang digunakan sama tetapi, disesuaikan dengan keadaan semasa serta tujuannya. Walaupun susuk dipakai untuk pelbagai tujuan namun, ia paling kerap disinonimkan dengan kecantikan atau sebagai pemikat.
PENGALAMAN 1
Lina (bukan nama sebenar), 42, mula memakai susuk emas dan berlian ketika usianya 14 tahun. "Ibu mengesyorkan saya memakai susuk sedangkan saya tidak tahu kegunaan dan untuk tujuan apa. Susuk emas diletakkan di betis, manakala susuk berlian di kening," katanya yang nekad membuang susuk kerana seringkali mengalami mimpi ngeri dan tidak boleh tidur malam. Menceritakan betapa hebatnya penangan susuk tersebut, mana-mana lelaki yang melihat betis Lina akan mengikutnya hingga ke rumah. "Kini, saya sudah insaf dan menasihatkan agar orang di luar sana terutamanya wanita supaya tidak terjebak dalam pemakaian susuk kerana kesannya akan tiba apabila meningkat usia selain berdosa," ujarnya.
PENGALAMAN 2
Seorang lagi pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, susuk dipakai oleh lelaki dan wanita tetapi selalunya menjadi amalan kaum wanita. "Ada seorang wanita mengaku memakai susuk untuk tujuan kecantikan. Dia memakainya di kening dan pipi menyebabkan ramai lelaki tergila-gilakannya walaupun rupanya tidak secantik mana pun. "Apabila sudah meningkat usia dan menopaus, sendi-sendinya mula bengkak dan dia sukar untuk tidur malam akibat gangguan," katanya. Ceritanya, ada seorang wanita berusia dalam lingkungan usia 60-an mengalami kesukaran untuk tidur selama empat tahun, sakit sendi hingga keluar ulat. Apabila ditanya, wanita tersebut mengaku bahawa dia memakai 10 susuk di seluruh bahagian badannya antaranya di kemaluan, buah dada, lengan, betis dan bibir. "Cerita wanita tersebut kepada saya, walaupun pada usia 50 tahun ramai yang tergila-gilakannya. Apabila putus haid pada usia 55 tahun, badannya mula rasa sakit-sakit dan mengalami pelbagai masalah selain kemaluannya bernanah.
"Sebaik sahaja susuk dikeluarkan mukanya mula berkedut," ujarnya. Menceritakan lebih lanjut mengenai pantang larang pemakai susuk, Shamsuri mengakui memang terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti oleh si pemakai. Kebiasaannya, mereka yang memakai susuk ini tidak boleh lalu di bawah ampaian besi bukannya ampaian tali. Selain itu, mereka juga tidak boleh memakan pisang emas, sate dan makanan bercucuk yang lain. Air zam-zam juga tidak boleh diminum oleh mereka. Jika pantang larang dilanggar muka mereka akan bernanah. Ada seorang wanita yang terlupa akan pantang larang tersebut menyebabkan kemaluannya bernanah selama dua tahun selain darah haid tidak putus-putus keluar selama empat tahun. Setiap perbuatan pasti ada akibatnya dan penggunaan susuk tidak terkecuali. Mereka yang memakai susuk berhadapan dengan saat azab sewaktu berdepan dengan sakaratulmaut malah, fizikalnya akan sakit jika melanggar pantang larang yang perlu dipatuhi.
SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan