15 Disember 2011

ISU UMUM : SUSUK HANYALAH SIHIR MATA, USAH DIAMAL, USAH DIPERCAYA


Kerana mahu cantik manusia sanggup melakukan apa sahaja. Demi menghilangkan kedutan, memutihkan wajah dan melangsingkan tubuh, pengguna di Malaysia pada tahun 2010 sahaja menghabiskan sebanyak RM3.42 bilion untuk membeli produk kecantikan. Kerana mahu cantik jugalah sejak dahulu sehinggalah pada zaman moden ini susuk masih lagi kuat berlegar dalam masyarakat Melayu. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, susuk merujuk kepada jarum emas dan lain-lain logam yang dimasukkan ke dalam badan supaya seseorang itu kelihatan manis atau berseri. Jika kita lihat, susuk ini ada beberapa kategori iaitu susuk jenis logam seperti emas, perak dan raksa. Ada juga susuk jenis galian seperti berlian dan jenis organik seperti susu dan air biasa. Tapi selalunya susuk yang popular ialah susuk logam seperti susuk emas, perak dan besi. Cara pemakaian kesemua jenis susuk ini sama dengan tujuan selalunya untuk kecantikan.  Selain kecantikan seseorang itu memakai susuk untuk kekebalan, kekuatan, ilmu penunduk, keberanian malah, ada juga yang memakai susuk di kemaluan untuk kekuatan nafsu syahwat.  Walaupun ada antara kita tahu bahawa susuk dilarang dalam Islam namun, masih ada yang khilaf mengenainya kerana terlalu mengikut nafsu duniawi untuk cantik.

Lebih menyedihkan ada yang percaya susuk boleh dipakai selepas bertemu dengan bomoh yang menggunakan potongan ayat al-Quran sedangkan hakikatnya ia hanyalah untuk menutup ilmu hitam mereka. Benda-benda sebegini syirik semuanya walaupun menggunakan ayat al-Quran. Kaedah memasukkan susuk ayat ini dilakukan dengan membacakan beberapa potong ayat al-Quran beberapa ribu kali pada air kemudian dibasuhkan pada muka, ia seolah-olah memasukkan susuk tersebut ke dalam wajah. Antara ayat-ayat yang biasa digunakan untuk susuk ayat ialah Surah Yusuf, ayat 4 yang dibacakan sebanyak 4,444 kali untuk kecantikan, manakala untuk tujuan kuat atau kebal pula dibacakan Surah Al-Hadid sebanyak 1,000 kali. Semua ini amalan syaitan walaupun dengan menggunakan ayat al-Quran. Susuk diharamkan kerana dua perkara iaitu ada unsur penipuan yang dipanggil gharar dan ada unsur mengubah ciptaan Tuhan walaupun dengan mata kasar kita tidak dapat lihat fizikalnya berubah. Orang yang banyak membaca al-Quran, mukanya akan nampak berseri disebabkan amalan tersebut dan ia berbeza dengan susuk ayat kerana susuk ayat mempunyai bacaan ayat-ayat khusus untuk mencantikkan diri dan ini dilarang Islam disebabkan ada pendustaan serta gharar.

SUSUK BERUNSUR PEMUJAAN

Susuk sering dipakai di wajah, dada atau kemaluan untuk tujuan kecantikan, sedangkan hakikatnya si pemakai didampingi jin yang mengubah bentuk wajah manusia. Ditanya sama ada susuk yang dimasukkan itu sekadar material sahaja atau mempunyai 'penjaganya', Abdul Rahman memberitahu bahawa pemakaian susuk itu adalah sesuatu yang berbentuk pemujaan. Ia akan menyeru jin-jin yang akan berdamping dengan si pemakai. Jin inilah yang akan mengubah wajah secara spiritual bentuk wajah. Orang bukan tengok wajah si pemakai tetapi, melihat jin yang berada di sekitar kawasan muka si pemakai kerana jin mampu mengubah bentuk seseorang," jelasnya sambil memberitahu susuk merupakan sihir mata dan biasanya si pemakainya tergolong dalam orang yang melakukan maksiat. Menurutnya, susuk merupakan amalan sihir yang dipelopor pada zaman Firaun atau lebih tepat ia mula tercipta pada zaman kerajaan Firaun lagi. Apabila turunnya ayat sihir di Babylon, orang Yahudi mengambil ayat-ayat sihir itu untuk dijadikan amalan. Maka, amalan-amalan sihir ini dipelajari oleh orang Firaun apabila orang Israel pergi ke Mesir. Ia berlaku sejak zaman Nabi Sulaiman lagi. Jenis susuknya sama, cuma amalan susuk ini disesuaikan di setiap generasi. Contohnya, pengamalan dan bahan yang digunakan sama tetapi, disesuaikan dengan keadaan semasa serta tujuannya. Walaupun susuk dipakai untuk pelbagai tujuan namun, ia paling kerap disinonimkan dengan kecantikan atau sebagai pemikat.

PENGALAMAN 1

Lina (bukan nama sebenar), 42, mula memakai susuk emas dan berlian ketika usianya 14 tahun. "Ibu mengesyorkan saya memakai susuk sedangkan saya tidak tahu kegunaan dan untuk tujuan apa. Susuk emas diletakkan di betis, manakala susuk berlian di kening," katanya yang nekad membuang susuk kerana seringkali mengalami mimpi ngeri dan tidak boleh tidur malam. Menceritakan betapa hebatnya penangan susuk tersebut, mana-mana lelaki yang melihat betis Lina akan mengikutnya hingga ke rumah. "Kini, saya sudah insaf dan menasihatkan agar orang di luar sana terutamanya wanita supaya tidak terjebak dalam pemakaian susuk kerana kesannya akan tiba apabila meningkat usia selain berdosa," ujarnya.

PENGALAMAN 2

Seorang lagi pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, susuk dipakai oleh lelaki dan wanita tetapi selalunya menjadi amalan kaum wanita. "Ada seorang wanita mengaku memakai susuk untuk tujuan kecantikan. Dia memakainya di kening dan pipi menyebabkan ramai lelaki tergila-gilakannya walaupun rupanya tidak secantik mana pun. "Apabila sudah meningkat usia dan menopaus, sendi-sendinya mula bengkak dan dia sukar untuk tidur malam akibat gangguan," katanya. Ceritanya, ada seorang wanita berusia dalam lingkungan usia 60-an mengalami kesukaran untuk tidur selama empat tahun, sakit sendi hingga keluar ulat. Apabila ditanya, wanita tersebut mengaku bahawa dia memakai 10 susuk di seluruh bahagian badannya antaranya di kemaluan, buah dada, lengan, betis dan bibir. "Cerita wanita tersebut kepada saya, walaupun pada usia 50 tahun ramai yang tergila-gilakannya. Apabila putus haid pada usia 55 tahun, badannya mula rasa sakit-sakit dan mengalami pelbagai masalah selain kemaluannya bernanah.

"Sebaik sahaja susuk dikeluarkan mukanya mula berkedut," ujarnya. Menceritakan lebih lanjut mengenai pantang larang pemakai susuk, Shamsuri mengakui memang terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti oleh si pemakai. Kebiasaannya, mereka yang memakai susuk ini tidak boleh lalu di bawah ampaian besi bukannya ampaian tali. Selain itu, mereka juga tidak boleh memakan pisang emas, sate dan makanan bercucuk yang lain. Air zam-zam juga tidak boleh diminum oleh mereka. Jika pantang larang dilanggar muka mereka akan bernanah. Ada seorang wanita yang terlupa akan pantang larang tersebut menyebabkan kemaluannya bernanah selama dua tahun selain darah haid tidak putus-putus keluar selama empat tahun. Setiap perbuatan pasti ada akibatnya dan penggunaan susuk tidak terkecuali. Mereka yang memakai susuk berhadapan dengan saat azab sewaktu berdepan dengan sakaratulmaut malah, fizikalnya akan sakit jika melanggar pantang larang yang perlu dipatuhi.

SUMBER
HARIAN KOSMO



ISU SOSIAL : UNDANG-UNDANG RASUAH LEBIH TEGAS

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN


Perubahan status Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009 merupakan satu usaha positif kerajaan dalam usaha menjadikan agensi itu sebagai sebuah agensi yang bebas, telus dan profesional dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di negara ini. Antara inisiatif yang diambil bagi menambah baik fungsi agensi ini agar dilihat sebagai sebuah agensi yang telus, lima badan pemantau telah ditubuhkan bagi menjamin mekanisme Check and Balance dalam perlaksanaan undang-undangnya. Secara jelasnya, SPRM dipantau oleh lima badan ini iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (LPPR). Bagi setiap laporan operasi yang dijalankan oleh SPRM, ia akan dijawab terus kepada Parlimen melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz. Antara isu menarik dalam laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dibentangkan di Parlimen Malaysia 29 November lalu, soal perundangan dan pendakwaan turut diberi perhatian.

Menyentuh mengenai kes-kes rasuah, seringkali isu perundangan membabitkan kes-kes rasuah disalah tafsirkan oleh masyarakat apabila sabitan ke atas kes-kes berprofil tinggi dilihat agak kurang berbanding kes-kes lain. Perlu dingat bahawa kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa agak kompleks dan terdapat perbezaan dari sudut pembuktian dengan kes-kes jenayah am yang lain. Persoalan fakta undang-undang termasuk pembuktian bagi sesuatu kesalahan rasuah memerlukan kemahiran. Ini turut diakui oleh JKMR apabila dalam Laporan JKMR 2010 turut menyatakan tumpuannya dalam aspek pendakwaan dan perundangan. (2.2, 2.3, 2.4), cadangan JKMR (2.3.1) ada membuktikan bahawa kes-kes rasuah ini sememangnya kes yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah rumit dan kompleks. Ini kerana jenayah berbentuk begini bersifat merentasi sempadan negara dan berhubung kait dengan jenayah lain seperti jenayah bersindiket, jenayah ekonomi, kewangan, keganasan, penggubahan wang haram, penyeludupan manusia yang dibantu oleh perkembangan pesat teknologi maklumat.

Tidak dapat dinafikan, tafsiran terhadap sesuatu perlakuan rasuah dalam konteks undang-undang dan moral sering kali menyebabkan kekeliruan masyarakat, ambil saja contoh isu pemberian hadiah, bagaimana ia ditafsirkan oleh masyarakat walaupun telah dijelas berkali-kali. Bagi kes-kes berprofil tinggi sering kali isu 'ikan besar, 'ikan kecil' menjadi perdebatan utama dalam memperlihatkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah. Anggapan bahawa ikan-ikan besar sering terlepas dari disabitkan kesalahan rasuah berbanding ikan-ikan kecil seolah-olah sudah sinonim dengan persepsi masyarakat. Satu yang dilihat secara jelas dan diakui oleh JKMR sendiri ialah kekalahan kes-kes berprofil tinggi bukan disebabkan oleh SPRM tidak berkemampuan dan terikat dengan kerajaan tetapi sebaliknya disebabkan oleh kemahiran pengamal undang-undang (peguam pembela), saksi, serta salah tafsir terhadap peruntukan undang-undang berkaitan rasuah itu sendiri. Kes Datuk Norza Zakaria contohnya, bagaimana ia memperlihatkan keterangan saksi yang bercanggah berbanding keterangan ketika diberi kepada SPRM mampu membuatkan sesuatu kes itu tamat dengan keputusan yang memihak kepada tertuduh.

JKMR ada menyatakan bahawa kebanyakan kes-kes yang disiasat dan dituduh oleh pihak SPRM secara menyeluruh adalah membabitkan individu yang berprofil tinggi. Mereka ini berpengetahuan dalam cara-cara mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang atau seperti kebiasaannya mereka yang berprofil tinggi ini akan sentiasa diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman luas. Pandangan JKMR bahawa bagi kes-kes berprofil tinggi, SPRM perlu diwakili oleh beberapa Timbalan Pendakwaraya (TPR) Kanan yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mewakili SPRM bagi berhadapan peguam-peguam yang berpengalaman dan handal ini dalam kes-kes berprofil tinggi. Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah (MKR) adalah satu lagi bukti bahawa perlaksanaan undang-undang berkaitan rasuah dan penyelewengan di negara ini semakin tegas. Ini diperlihatkan daripada susulan penubuhan SPRM apabila sebanyak empat MKR mula beroperasi pada Oktober 2009 (dua di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam) bagi mengendalikan kes-kes berkaitan rasuah sepenuhnya.

Kewujudan MKR di setiap negeri ini secara tidak langsung menunjukkan peningkatan kes yang berjaya disabitkan di mahkamah rendah iaitu daripada 54 peratus pada 2009 kepada 71 peratus pada tahun 2010. Bagaimanapun, tidak dinafikan walau pun usaha awal mensabitkan pesalah rasuah telah dibuat di peringkat Mahkamah Rendah, tetapi masih banyak, yakni kira-kira 70 peratus keputusan perbicaraan kes-kes rasuah akan berakhir dengan rayuan ke Mahkamah Tinggi. Namun ia bukanlah sesuatu yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan undang-undang yang tegas dan segera. Ini kerana kebanyakan keputusan Mahkamah Tinggi akhir-akhir ini berpihak kepada pihak pendakwaan seperti kes penyelewengan bon jutaan ringgit membabitkan dua pegawai PUNB pada 5 Disember lalu. Keputusan nyata berpihak kepada pihak pendakwaan apabila hakim Mahkamah Tinggi memutuskan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen. Tidakkah ia merupakan satu titik tolak kepada perubahan pelaksanaan undang-undang rasuah yang lebih tegas di negara ini?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 DISEMBER 2011



ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : TEKNOLOGI SATELIT KRITIKAL UNTUK MALAYSIA

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Pada satu ketika Pakistan dianggap sebagai sekutu Amerika Syarikat (AS) yang boleh diharapkan walaupun tidak memulangkan bangkai helikopter Blackhawk yang terhempas di Abbottabad ketika operasi membunuh Osama Bin Laden pada Mei lepas. Sungguhpun telah diminta oleh pihak Pentagon AS, Islamabad tidak mengendahkan permintaan tersebut kerana helikopter canggih tersebut mampu menyalurkan maklumat teknikal dan perisikan yang tidak ternilai kepentingannya. Hari ini AS sekali lagi menghadapi masalah yang serupa apabila kapal terbang pengintip tanpa juruterbang (drone) RQ-170 Sentinel telah ditembak jatuh berhampiran bandar Kashmar, Iran. Walaupun telah diminta oleh Presiden Barack Obama supaya drone tersebut dikembalikan, tiada sebab mengapa Teheran perlu menuruti kehendak tersebut. Peristiwa ini jelas mempamerkan bagaimana AS menggunakan Afghanistan sebagai pangkalan untuk melaksanakan kerja intipan terhadap Iran dengan drone sebagai alat utama kutipan data. Selama ini apa yang nyata ialah AS menggunakan drone untuk memburu dan membunuh pejuang Taliban terutama sekali di sempadan Afghanistan-Pakistan. Telah terbukti bahawa Iran juga dan mungkin banyak lagi negara lain yang menjadi mangsa intipan AS.

Jika AS mampu melakukan operasi intipan menggunakan teknologi canggih, begitu juga dengan pihak yang tidak berkemampuan juga boleh melakukan intipan menggunakan teknologi sedia ada dan mudah dicapai. Google yang sinonim dengan enjin pencarian maklumat internet telah dituduh menjejaskan keselamatan AS kerana menyiarkan imej satelit berkualiti tinggi yang memberi gambaran jelas keadaan fizikal lokasi sensitif seperti pangkalan tentera. Google telah dikecam oleh Pentagon selepas pengguna awam dengan mudah dapat mencapai dan memproses imej satelit yang mempamerkan gambar lapangan terbang sulit di Tasik Yucca, Nevada, yang banyak digunakan untuk menguji drone RQ-170 seperti yang terhempas di Iran. Memang tidak boleh dinafikan imej satelit yang disediakan oleh Google boleh dicapai dengan mudah oleh semua pengguna internet. Walaupun kualiti imej tidak sehebat seperti mana yang dibekalkan oleh drone, tetapi sudah cukup untuk digunakan bagi tujuan intipan. Umpamanya telah terbukti militan di Afghanistan dan Iraq telah mengguna imej satelit Google untuk menentukan sasaran mudah diserang yang lazimnya dimiliki oleh tentera AS.

India, Korea Selatan, Thailand dan Australia adalah antara negara yang begitu lantang membantah kemudahan paparan imej satelit yang disediakan oleh Google. Peristiwa serangan Mumbai pada November 2008 yang mengorbankan lebih 188 orang dipercayai dilakukan oleh militan dari luar India yang telah menggunakan kemudahan imej satelit Google untuk mengkaji sasaran mereka. Thailand juga memberi alasan bahawa miltan terutama sekali dari selatan Thai dengan mudah dapat menyasarkan penempatan sensitif tentera dengan menggunakan kemudahan yang disediakan Google. Malaysia juga terdedah kepada ancaman seperti mana yang dihadapi oleh negara lain akibat kemudahan yang disediakan oleh Google. Paparan imej satelit pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan umpamanya dengan jelas mempamerkan kedudukan jet pejuang di landasan. Malah dengan resolusi imej sebaik 15 meter mampu membezakan antara jet pejuang MiG atau Hawk. Kawasan sensitif seperti Kementerian Pertahanan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur juga terdedah kepada ancaman kerana mereka yang mempunyai niat tidak baik dengan mudah dapat menentukan kedudukan bangunan dalam kawasan tersebut.

Keluh-kesah ancaman yang dibawa oleh Google pernah dibincangkan dalam sidang Parlimen pada tahun 2007. Ahli Parlimen dari Mambong Sarawak Datuk Dr. James Dawos Mamit telah mengemukakan soalan kepada Menteri Pertahanan mengenai langkah pencegahan terhadap ancaman pengganas menggunakan imej satelit Google yang boleh memudaratkan keselamatan negara. Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pertahanan ketika itu menjawab bahawa Malaysia tidak akan menghadkan kemudahan yang disediakan oleh Google kerana manfaat melampaui keburukan. Sama juga dengan kemudahan internet, walaupun mendedahkan pengguna kepada perkara yang tidak baik, tetapi kebaikan yang diterima jauh lebih banyak. Kemelut yang timbul akibat imej satelit Google dan juga drone RQ-170 mendedahkan bagaimana pentingnya teknologi terutama sekali yang berkaitan dengan satelit. Walaupun kemudahan Google boleh dicapai oleh semua peringkat pengguna tetapi langkah pencegahan mudah dilaksanakan oleh kerajaan kerana kualiti imej yang disediakan oleh Google adalah tidak begitu baik terutama sekali dari segi resolusi yang melebihi 20 meter dan tarikh imej yang kadang kala menjangkau sehingga 12 bulan lamanya.

Dalam hal ini perlu dihebahkan kepada rakyat bahawa Malaysia mempunyai satelit yang dinamakan RazakSat yang sedang mengelilingi dunia mengikut orbit Khatulistiwa. Satelit milik Malaysia ini telah dilancarkan pada 14 Julai 2009. Satu perkara yang paling menarik mengenai RazakSat yang tidak boleh diambil mudah ialah satelit ini merupakan satelit pertama di dunia yang berada pada orbit hampir Khatulistiwa. Keistimewaan orbit Khatulistiwa adalah RazakSat mampu membuat imbasan pada kawasan tertentu di Malaysia sebanyak 11 hingga 14 kali dalam masa satu hari dengan kemampuan resolusi sehingga 2.5 meter. Berbanding dengan Google yang hanya mampu menyediakan imej yang mungkin telah diambil berbulan-bulan lamanya sebelum ini, imej satelit RazakSat boleh dikemas kini setiap hari. Jika penggunaan imej Google sebanyak 20 meter adalah begitu terhad, maka RazakSat dengan resolusi 2.5 meter telah membuka pelbagai peluang penggunaan. Malaysia bakal melancarkan satelit yang mempunyai kemampuan lebih tinggi yang dinamakan RazakSat2. Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang sebaik-baiknya kerana jika imej satelit Google boleh memberi manfaat maka sudah pasti kedua-dua satelit RazakSat mampu memberi limpahan manfaat yang berkali ganda lebih baik terutama sekali dalam hal strategik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 DISEMBER 2011



ISU KENEGARAAN : KEAMANAN NEGARA BUKAN DATANG BERGOLEK, MEROSAKKANNYA AMAT MUDAH

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia (UUM)


Sesiapa sahaja yang menonton filem Ombak Rindu, pastinya terpesona dengan keindahan latar belakang dan pemandangan lokasi penggambaran filem tersebut. Persekitaran yang sungguh permai dengan sawah padi menghijau yang terbentang luas, air laut yang jernih serta burung-burung helang sayup-sayup berterbangan mencari mangsanya di permukaan laut. Sesekali ombak membadai lembut pantai dan batu-batuan di tepiannya. Pendek kata, bagi sesiapa yang ingin mencari ketenangan, di situlah tempat yang paling sesuai. Di manakah lokasi sebenar penggambaran filem Ombak Rindu? Tidak lain tidak bukan di negeri Kedah Darul Aman. Negeri ini menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat seluruh negara tetapi juga dunia. Baru sahaja Sabtu lalu, berakhirnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) yang menggamit pelancong tidak kira tempatan mahupun luar negara. Keindahan Langkawi semasa berlangsungnya Pameran LIMA '11 sungguh terserlah sehinggakan ramai para pelancong datang ke Langkawi sempena cuti sekolah. Maka, tidak menghairankanlah, syarikat produksi filem Ombak Rindu memilih Langkawi sebagai lokasi utama penggambaran filem tersebut.

Jika sekiranya sebelum Langkawi dibangunkan, namanya hanya dikenali dengan kisah lagenda Mahsuri. Namun, kini rezeki yang melimpah ruah dek kerana pembangunan pelancongan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan memberi impak positif kepada sosio-ekonomi penduduk Langkawi. Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi dilancarkan minggu lalu bagi meletakkan nama pulau lagenda ini di peta dunia agar sebaris dengan pulau-pulau terkemuka di dunia seperti Seychelles, Mauritius, Bali, Maldives dan Hawaii. Kelebihan Langkawi sebagai antara pulau terindah di dunia bakal menjayakan Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi. Apa yang penting di sini, semua pihak terutamanya pihak pelaksana dan penduduk Langkawi bekerja keras bagi menjayakannya. Bantuan yang diberikan oleh kerajaan patut digembleng sebaik mungkin. Kerjasama kerajaan negeri juga amat diperlukan. Di sini perbezaan fahaman politik di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadi halangan bagi meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak. Objektif utama ialah menjaga kebajikan rakyat dengan meningkatkan pendapatan mereka pada tahap yang lebih tinggi melalui sektor pelancongan. Kejayaannya bakal menjadikan negara kita sebagai destinasi utama pelancongan dunia.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan kesepuluh terbaik dari segi jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia. Tidak mustahil satu hari nanti dengan pelan perancangan pelancongan yang rapi, Malaysia berada sebaris dengan negara Perancis (berada di kedudukan pertama). Agenda melonjakkan pelancongan negara kini berada dalam 'kamus' Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA). Selepas berakhirnya LIMA '11, minggu ini sekali lagi negeri Kedah menjadi tumpuan seluruh negara dan dunia. Sultan Kedah ditabalkan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Sembah tahniah ke bawah Duli Tuanku. Semoga Malaysia di bawah pemerintahan ke bawah Duli Tuanku akan sentiasa aman sejahtera sebagaimana negeri Kedah yang selama ini sentiasa aman dan damai bertepatan dengan namanya Kedah Darul Aman. Keamanan negara bukan datang bergolek. Ia perlu diusahakan. Negara kita pernah mengalami rusuhan kaum yang merencatkan pembangunan ekonomi negara. Namun, selepas itu semua pihak bingkas bekerjasama untuk menyatukan balik rakyat Malaysia. Keamanan yang dinikmati pada masa sekarang adalah usaha semua pihak terutamanya para pemimpin terdahulu. Merosakkannya amat mudah. Sekelip mata sahaja. Tetapi membinanya memakan masa bertahun-tahun.

Dengan keamanan yang dinikmati oleh rakyat jelata. Kini, negara kita menuju ke arah negara maju. Sasaran pendapatan per kapita AS$15,000, tiga juta pekerjaan baru dan pendapatan negara kasar (PNK) RM1.7 trilion pada tahun 2020 mampu dicapai jika sekiranya keamanan negara sentiasa terjaga. Agenda memajukan negara melalui pelbagai program transformasi seiring dengan keamanan negara yang sentiasa dijaga mampu merealisasikan Wawasan 2020. Negara kita aman damai sehinggakan berjuta-juta warga negara asing berlumba-lumba untuk datang ke sini bagi mencari rezeki. Ketika pengangguran di negara-negara Barat berada pada tahap tertinggi, negara kita masih mampu menjana peluang-peluang pekerjaan yang sebahagiannya dikuasai oleh warga asing. Tiada gunanya segala transformasi dipersembahkan untuk rakyat tetapi rakyat secara keseluruhannya tidak mengambil peluang yang terhidang di depan mata. Rakyat juga perlu berusaha meningkatkan pendapatan, selain daripada usaha kerajaan membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup seharian. Sekarang terpulanglah kepada rakyat sama ada ingin 'berlari' bersama-sama dengan kerajaan untuk mencapai kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang atau selesa dengan keadaan sekarang. Semuanya terletak pada rakyat yang merupakan agen transformasi paling utama dalam memacu ekonomi negara pada tahap terbaik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 DISEMBER 2011



12 Disember 2011

ISU UMUM : KELANGSUNGAN KEDAULATAN NEGARA

DATUK SERI DR. RAIS YATIM
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima cenderahati daripada pihak kerajaan yang disampaikan oleh Najib Tun Razak di Istana Negara, Jalan Duta, Sabtu lalu. Turut kelihatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Menjelang detik-detik tengah hari 12 Disember 2011 (hari ini) akan berakhirlah tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13, Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Pada tanggal itu tamatlah tempoh pemerintahan baginda selaku Raja Berperlembagaan yang dilunaskan melalui kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun…" kecuali baginda meletakkan jawatan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut. Baginda dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong akan bersama dalam suatu majlis perpisahan khas jam 8.30 pagi 12 Disember yang penuh adat-istiadat di pekarangan Parlimen dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, para pegawai tinggi dan pembesar-pembesar tempatan dan wakil-wakil luar negara sebelum berlepas ke Kompleks Bunga Raya KLIA untuk bersama-sama melibatkan diri di majlis akhiran yang diberi nama Lambaian Kasih.

Majlis di KLIA ini adalah seperti yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKKWA) lima tahun lalu. Acara kali ini, seperti yang dahulu, disulami acara-acara padat dengan intisari budaya dan ciri-ciri kebesaran Diraja Melayu lama. Sepanjang dua bulan lalu pelbagai kegiatan dan acara diadakan bagi menandakan tamat tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Bagi Persekutuan. Lawatan-lawatan rasmi, acara-acara kebajikan, konsert Diraja, Jamuan Negara dan lain-lain program Diraja mendahului acara-acara akhiran 12 Disember 2011. Sebelum jam 12 tengah hari 12 Disember, Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dengan diiringi pelbagai kumpulan termasuk seorang Menteri Kabinet dan seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam akan menaiki pesawat khas mengiringi rombongan pulang Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah menuju ke Kuala Terengganu. Keesokannya, tanggal 13 Disember 2011 dari Alor Setar pesawat penerbangan khas akan membawa Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Al-Sultan Al-Mu'tasimu Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Sultan Kedah) ke kompleks Bunga Raya, KLIA dan seterusnya akan menyempurnakan acara istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Bagi Tuanku Abdul Halim, ini adalah kali kedua baginda naik takhta bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan Malaysia. Kali pertama baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 ialah bagi tempoh 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-5. Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969. Bak kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah. Cuma dalam konteks kenegaraan, perubahan itu hanya pada "pasir di pantai", bukan pada pantai itu sendiri. Berlakunya perubahan hanyalah pada individu Diraja yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Semua kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang ada pada Yang di-Pertuan Agong itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa semenjak 1957, yakni semenjak Merdeka lagi. Pada 1963, manakala Malaysia tertubuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong itu tetap berterusan dengan beberapa ubah suai yang dipadankan dengan perkembangan semasa, termasuk peristiwa-peristiwa pra-1993 apabila beberapa artikel Perlembagaan Persekutuan dipinda. Salah satu daripada pindaan utama yang dikuatkuasakan 1993-1994 ialah seseorang Yang di-Pertuan Agong boleh disabitkan di muka pengadilan Mahkamah Khas [Per. 181(2)] jika melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau sivil dengan syarat Peguam Negara membenarkannya. Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan memikul tanggungjawab yang berat dan luas serta mempunyai implikasi mendalam sama ada terhadap rakyat atau kerajaan yang ditadbir atas nama Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara yang menduduki tangga teratas dalam hierarki pemerintahan negara. Per. 32(2) memperuntukkan bahawa isteri Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Raja Permaisuri Agong menduduki tempat kedua selepas Yang di-Pertuan Agong. Baginda Raja Permaisuri Agong dan mana-mana Sultan yang bersemayam juga menerima beberapa lindungan kekebalan perundangan walaupun tidak seperti dahulunya.

Harus diimbasi, pra-1993 pihak-pihak Diraja beroleh perlindungan kekebalan undang-undang daripada mana-mana pendakwaan atau tuntutan sivil. Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengikut kehendak Per. 33 bolehlah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong pada mana-mana tempoh yang diperlukan mengikut kehendak peruntukan tersebut dengan syarat apa-apa tugas wakilan Yang di-Pertuan Agong, seperti sakit, tidak upaya, tidak ada dalam Persekutuan yang tidak kurang daripada 15 hari atau lantaran apa-apa sebab lain. Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas rasminya melalui fungsi dan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman hendaklah menjalankannya melalui nasihat yang diberikan Kabinet atau Jemaah Menteri yang Baginda lantik termasuk lantikan Perdana Menteri di bawah Per 43. Walaupun baginda hendaklah mentadbir mengikut nasihat seperti yang disyaratkan Per. 40, baginda adalah berkuasa penuh di bawah Per 40(2) dalam memperkenankan atau sebaliknya berkaitan membubarkan Parlimen untuk tujuan Pilihan Raya Umum. Baginda adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan (Per. 41) sementara berkuasa (melalui nasihat Kabinet) bertindak sesuatu untuk Perkhidmatan Awam (Per. 132(2).

Kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan jenayah atau melegakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan juga adalah kuasa tersedia pada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan atau kuasa legislatif Persekutuan. Parlimen Malaysia, misalnya, adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tanpa Yang di-Pertuan Agong Dewan-Dewan Perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya. Semua Akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan baginda walaupun di bawah Per 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi baginda sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh. Sementara anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh rakyat, baginda (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (Per. 45). Di bawah Per. 55 Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, baginda boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan.

Di bawah artikel yang sama, kuasa mutlakbaginda sebagai ketua agama Islam juga tersedia. Per. 60 membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar. Dari segi Kehakiman atau Judisiari pula, Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa lantikan hakim-hakim mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menurut aturan yang berkuat kuasa dan dikemas kini. Seperti mana dimaklum, para Hakim Negara adalah dilantik oleh baginda setelah mendapatkan nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja. Kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah pelbagai undang-undang lain juga merupakan sebahagian daripada urusan rasmi baginda sekalipun pada masa ini banyak aspek dan tugasan eksekutif itu telah diseragamkan dengan kuasa-kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang lain. Jarang diketahui, kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Per. 153 dalam menjaga dan memelihara keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, terdapat jaminan bahawa baginda tidak boleh mengetepikan hak-hak komuniti lain seperti terkandung di dalam ayat "dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain".

Ayat ini sering ditinggalkan dalam hujah dan ucapan mengenai kuasa kerajaan dan Diraja dalam menjaga dan memelihara hak-hak rakyatnya. Aspek ini wajar diserlahkan supaya kritikan melulu tidak berterusan seolah-olah kerajaan 'tak ambil pusing' tentang kepentingan kaum-kaum di tanah air kita. Memang diakui, institusi Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian besar tugas dan fungsi ini adalah sekitar 54 tahun, yakni seusia negara kita yang merdeka. Namun di sebalik usia yang boleh dianggap 'muda' itu terkandung kelangsungan satu institusi Diraja yang amat lama. Sejak zaman Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu hinggalah ke tamadun kesultanan negeri-negeri Melayu dan Melaka seterusnya dari sana sampailah ke hari ini - Raja dalam sejarah dan tamadun orang Melayu sudah sedarah sedaging lalu menjadi integral dan sebati. Faksi masyarakat yang memandang sepi terhadap institusi Raja, walaupun kecil, harus menerima hakikat bahawa institusi itu jika baik fungsi dan perimbangannya akan membentuk tamadun yang positif. Masyarakat Cina dan India serta lain-lain mungkin telah meninggalkan tamadun beraja mereka masing-masing atas cetusan sejarah dan mobilisasi kemanusiaan mereka.

Namun di Malaysia institusi Raja Berperlembagaan ini seperti mana halnya dengan orang Inggeris, Jepun, Sweden dan Denmark dengan institusi Raja mereka, sudah menjadi kekal dan diterima rakyat. Sistem Raja Berperlembagaan mungkin ada pengkritiknya masing-masing. Tetapi bagi kita di Malaysia, walaupun dikenal sebagai negara yang paling ramai mempunyai Raja sebagai pucuk kenegaraan, telah membuktikan bahawa sistem demokrasi Malaysia telah menghasilkan suatu cara hidup kepelbagaian yang munasabah dan saling berimbangan. Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kedaulatan negara dan rakyat Malaysia. Baginda adalah unsur atau elemen perimbangan kenegaraan dan pentadbiran yang telah menghasilkan Malaysia tercinta. Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan: Menjunjung Kasih Tuanku kerana berjaya menjadi Payung Negara berjasa yang akan meneruskan persemayaman di Terengganu. Mengadap Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Sultan Abdul Halim Dirgahayu Tuanku, Rakyat menyambut dengan penuh gembira pelantikan Tuanku Kali ke-2 sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14. Hidup 1Malaysia !

Rotan saga banyak di hulu
Diikat raga di bawah persada
Walau apa pun akan berlaku
Rakyat dan Raja berpisah tiada


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011

ISU UMUM : OMBAK RINDU, HAK CIPTA DAN MEMBELA KEPENTINGAN PENGKARYA

Oleh ZULKIFLI JALIL


Kontroversi yang dicetuskan oleh penulis novel Fauziah Ashari mengenai terma perjanjian penerbitan novelnya berikutan penangan 'boom' filem Ombak Rindu, maka judul novelnya seharusnya 'membuka mata' artis mengenai pentingnya Akta Hak Cipta ditelek dan difahami sebaik-baiknya. Bukannya perkara itu baru tetapi sudah terpampang di depan mata. Fauziah dikatakan menyalahkan pihak penerbit, Alaf 21, kerana berpendapat perjanjian atau kontrak yang ditandatangani 'memakan diri' penulis atau berat sebelah. Tetapi di pihak Alaf 21, mereka ada jawapannya yang mengikut saluran undang-undang, sebagai penerbit, mereka memiliki hak untuk menguruskan naskhah novel sekiranya ia mahu diadaptasi ke pementasan teater, filem dan sebagainya. Realitinya pindaan Akta Hak Cipta 1987 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini dan bakal dikuatkuasakan sebelum Jun tahun depan bagi membela nasib penggiat seni tanah air mempunyai pelbagai manfaat dan larangan boleh atau tidak boleh yang perlu dipatuhi.

Pindaan akta ini adalah satu penyelesaian dalam menangani isu dan masalah pembuktian yang sering dihadapi oleh pemilik karya hak cipta. Sijil pendaftaran hak cipta yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) boleh dijadikan bukti pemilikan 'prima facie' seseorang pemilik karya hak cipta dan boleh dikemukakan di mahkamah. Bagaimanapun, sekiranya dicabar di atas isu pemilikan dan keaslian, pihak yang terkhilaf boleh mencabar kesahihan tersebut mengikut proses perundangan. Pewujudan sistem pendaftaran hak cipta ini juga mewujudkan satu pangkalan data karya-karya hak cipta yang telah didaftarkan di negara ini. Lebih menarik lagi, pindaan akta baru ini bukan hanya melibatkan penyanyi sahaja. Ia termasuk mereka yang terlibat dalam industri kreatif seperti pelakon, pelukis, penulis novel dan tidak kira kartun atau pencanting batik. Terdapat lima fokus utama dan yang pertama adalah berkaitan pembayaran royalti. Ia berkaitan undang-undang yang akan membenarkan pengutip royalti atau badan-badan perlesenan mengutip royalti dengan berlesen.

Sebelum ini tidak ada peraturan tentang perkara ini dan para pengutip ini tidak perlu berdaftar. Sesiapa sahaja boleh menubuhkan sebuah syarikat dan mengutip royalti. Dan kini melalui undang-undang baru ini, mereka perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan ia akan mengeluarkan lesen untuk mereka. Namun, jika mereka tidak berbuat demikian maka hukumannya maksimum denda RM500,000. Sebelum ini mereka ini boleh mengutip royalti tetapi pihak artis sendiri tidak tahu apa-apa kerana tidak ada pelantikan secara sah antara artis dan pihak pengutip. Ini membolehkan kedua-dua pihak terikat dengan terma dan syarat tertentu. Memang sebelum ini pihak kerajaan tidak boleh mencampuri isu-isu pertelingkahan berkaitan pembayaran royalti. Rintihan dan rungutan pihak karyawan tidak boleh diselesaikan secara statutori dan usaha kerajaan untuk membantu pihak karyawan hanya lebih kepada bentuk perundingan. Artis tidak tahu berapa banyak yang mereka perlu dapat, berapa banyak jumlah kutipan yang telah dibuat serta berapa jumlah yang patut diterima sama ada lima peratus, dua peratus dan sebagainya.

Mereka hanya menerima jumlah tunai mengikut berapa banyak yang diberi oleh pihak pengutip. Dengan pelaksanaan undang-undang ini akan mewujudkan satu jumlah atau harga tetap yang perlu diterima oleh artis. Menerusi pindaan akta ini juga, kementerian akan mengaktifkan semula Tribunal Hak Cipta. Memang ketika ini sudah ada tribunal tetapi agak susah untuk dibicarakan. Masalahnya, artis tidak tahu berapa jumlah sepatutnya yang perlu dibayar. Tribunal ini sudah wujud sejak 2003 tapi tidak ada kes yang dibicarakan seolah-olah ia tidak berfungsi. Kini ia akan diaktifkan semula dan akan berlaku lantikan baru ahli panel supaya semua isu yang berkaitan artis akan dibicarakan terus di tribunal. Pindaan baru turut dibuat untuk memperluaskan bidangkuasa Tribunal Hak Cipta termasuk menerima permohonan aduan dari pelaku. Dengan filem Ombak Rindu dikatakan boleh mencecah sehingga kutipan RM14 juta, maka tidak hairanlah sesiapa yang ada kaitan dengan penghasilannya bisa 'mendengus'. Namun, 'dengusan' tidak akan bermakna apa-apa tanpa memahami prosedur hak cipta.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011


11 Disember 2011

ISU UMUM : LIMA PEMANGKIN PERTAHANAN NEGARA

Oleh Azmi hassan


Bukan  menjadi rahsia lagi Singapura memperuntukkan perbelanjaan perolehan aset pertahanan yang amat besar walaupun berada dalam rantau yang agak stabil dan jarang melalui konflik ketenteraan yang ekstrem. Pulau tersebut yang hanya sebesar Perlis dan mempunyai penduduk seramai 5.2 juta dijangka akan membelanjakan hampir RM71.3 bilion untuk membeli pesawat peronda, helikopter dan peralatan tentera lain menjelang 2015. Begitu juga dengan bajet pertahanan tahunan Singapura jauh di hadapan dengan menyediakan peruntukan lebih dari RM30 bilion setiap tahun berbanding dengan Malaysia hanya RM2 bilion, satu perbezaan yang begitu ketara. Peruntukan tahunan pertahanan Singapura yang berada dalam lingkungan 5 hingga 6 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah antara yang sepuluh tertinggi di dunia. Tetapi jika dikaitkan dengan per kapita pula, maka peruntukan tersebut adalah kedua tertinggi di dunia iaitu hanya di belakang Israel. Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan negara, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan di ikuti oleh Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15.

Hakikatnya adalah segala apa jua yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem. Tetapi anehnya rakyat mereka menerima hakikat tersebut sebagai keperluan untuk melangsungkan kemajuan negara mereka. Tetapi begitu ironis sekali kerana sebilangan rakyat Malaysia tidak mempunyai persepsi pertahanan yang selari seperti mana yang dimiliki oleh rakyat Singapura. Sesetengah pihak di Malaysia begitu gemar mencampur-adukan isu pertahanan dengan politik sehinggakan mengaburi fakta semata-mata kepentingan agenda politik masing-masing. Pihak pembangkang terutama sekali DAP sering mempertikaikan keupayaan aset pertahanan terbaru kapal selam negara iaitu KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman. Begitu juga dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa (LIMA) yang dilangsungkan setiap dua tahun di Pulau Langkawi bagaikan dijadikan kambing hitam dan sumber untuk mengkritik kerajaan sebagai satu usaha yang membazir dan tidak memberi faedah kepada negara dan rakyat. Secara tersuratnya sememangnya LIMA boleh ditafsirkan sebagai pertunjukan aset pertahanan terkini dan termaju kerana itu adalah sebahagian dari objektif yang telah ditentukan. Tetapi apa yang lebih penting adalah habuan tersirat yang disumbangkan oleh LIMA tetapi sering diketepikan oleh pihak yang mengkritik.

DIUNGKITKAN

Menarik jika diungkitkan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda melakukan lawatan kerja ke LIMA beberapa hari lepas. Baginda bertitah supaya industri pertahanan negara perlu lebih peka kepada perubahan landskap keselamatan supaya ia sentiasa ke hadapan dan kekal bersaing dalam dunia yang semakin mencabar. "Sebagai tambahan terhadap aspek keselamatan, ia mempengaruhi permintaan sistem pertahanan dan kelengkapan lebih canggih dan berteknologi tinggi," tambah baginda. Pandangan Raja Muda Perlis adalah selari dengan pengasas LIMA iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan sejak pameran tersebut mula dianjurkan pada tahun 1991, ia telah berjaya mengembangkan sektor industri pertahanan tempatan khususnya yang berkaitan dengan aeroangkasa. Industri aeroangkasa negara bagaikan tidak wujud terutama sekali pada tahun 1970 dan 1980-an dan tidak begitu banyak menyumbang kepada KDNK. Bukan itu sahaja, LIMA telah dipergunakan sebaik-baiknya oleh industri aeroangkasa tempatan untuk melangsungkan kerjasama pintar dengan syarikat aeroangkasa yang lebih maju.

Industri aeroangkasa negara telah menyumbang RM12.7 bilion atau 3.6 peratus KDNK pada tahun 2002 dan dijangkakan meningkat sehingga 8 peratus menjelang tahun 2015. Malaysia sudah tentu tidak mahu ketinggalan dalam industri aeroangkasa walaupun penuh dengan cabaran tetapi memberikan pulangan yang lumayan sekali. Tetapi apa yang penting ialah industri ini dilihat bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi sesebuah negara tetapi juga dianggap sebagai faktor penting penentuan sistem pertahanan dan kedaulatan sesebuah negara. Pada ketika ini industri aeroangkasa negara diwakili oleh hampir 200 syarikat yang dianggap sebagai bilangan yang besar bagi sebuah negara yang kecil. Antara pemain utama industri aeroangkasa negara ialah Composite Technology Research Malaysia (CTRM), Airod Sdn. Bhd, Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) dan Zetro Aerospace yang masing-masing mempunyai kekuatan dalam bidang tertentu. Singapura sebaliknya tidak mempunyai industri aeroangkasa yang kuat seperti Malaysia tetapi kelemahan tersebut ditimbal balas dengan bajet pertahanan yang lumayan.

Umpamanya sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome yang dibangunkan oleh Rafael Advanced Defense System Israel adalah dipercayai dibiayai sebahagiannya oleh Singapura. Israel menghebohkan bahawa Iron Dome dibentuk untuk mempertahankan dari serangan roket Qassam and Katyusha yang berpunca dari Genting Gaza. Tetapi jika benar Singapura telah membiayai Iron Dome maka spesifikasi peluru berpandu tersebut sudah pasti mengikut kehendak republik tersebut. Sebaliknya Malaysia tidak boleh mengharapkan pengamalan strategi seperti Singapura untuk membangunkan sistem pertahanan kerana tidak mempunyai peruntukan pertahanan yang lumayan. Tidak ada cara lain selain dari mengharapkan industri pertahanan tempatan yang berkait rapat dengan bidang aeroangkasa untuk memastikan kedaulatan negara tidak diceroboh. Satu perkara yang menarik ialah Singapura telah meletakkan asas kemakmuran industri pertahanan mereka sebagai salah satu faktor utama doktrin pertahanan yang mementingkan konsep cegah rintang sebagai asas kekuatan mereka. Malah tidak keterlaluan jika diandaikan kemakmuran industri pertahanan adalah lebih penting berbanding strategi diplomasi sebagai penentu kedaulatan Singapura.

LIMA sepatutnya digunakan sebaik-baik sebagai landasan untuk melonjakkan industri pertahanan negara kerana keunikannya yang merangkumi sistem pertahanan laut, udara dan juga darat yang mampu menarik perhatian dunia. Mahu tidak mahu rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa kedaulatan negara berkait rapat dengan sistem pertahanan negara. Pilihan Malaysia agak terhad kerana tidak mampu membuat perolehan aset pertahanan mengikut kemahuan. Negara perlu bergantung kepada kekuatan industri pertahanan tempatan terutama sekali bidang aeroangkasa. Landasan LIMA adalah pemangkin terbaik dan paling optimum untuk merealisasikan hasrat tersebut. Sudah tiba masanya rakyat membuat anjakan dan perubahan daripada sikap pasif dan negatif kepada sikap lebih prihatin terhadap hal ehwal yang berkait rapat dengan isu pertahanan negara. Tidak salah untuk mempersoalkan strategi dan jumlah peruntukan pertahanan negara tetapi jangan sampai ke tahap memperlekehkan atau mempersenda apa yang dimiliki.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
11 DISEMBER 2011



ISU UMUM : KEMALANGAN TERMAHAL DI DUNIA

Oleh Hafizahril Hamid


Pada Ahad lepas berlaku satu kemalangan yang dikhabarkan sebagai kemalangan termahal di dunia. Ini kerana ia melibatkan 14 buah kenderaan dan lapan darinya adalah terdiri daripada kereta Ferrari, sebuah Lamborghini, dua buah Mercedes keluaran terbaru, sebuah kereta Nissan GTR dan Toyota Prius hibrid. Kejadian berlaku di wilayah Shimonoseki, di tenggara Jepun. Berdasarkan harga semua kenderaan mewah yang terlibat dianggarkan ia berjumlah 300 juta Yen (RM12.07 juta). Menurut pihak berkuasa, kenderaan mewah yang terlibat sedang dipandu laju melebihi 160 kilometer sejam, dua kali ganda had laju yang dibenarkan di lebuh raya Chugoku. “Keadaan ketika itu yang dilaporkan hujan gerimis telah mengakibatkan permukaan jalan agak licin tetapi kenderaan mewah tersebut yang sedang berkonvoi tidak mengendahkan keadaan tersebut dan saling memecut antara satu sama lain,” kata seorang saksi yang berjaya mengelak daripada terlibat dalam kemalangan itu. Akibatnya seorang pemandu Ferrari telah hilang kawalan dan memasuki lorong sebelah sebelum berpusing-pusing dan merempuh pembahagi jalan.


Kesemua pemandu ini merupakan ahli sebuah kelab pengumpul kenderaan mewah tetapi malangnya pemilik kereta Honda Prius Hibrid itu berada di tempat yang salah pada waktu tidak sesuai. Sepuluh orang lelaki dan seorang perempuan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun tiada di antara mereka yang cedera serius. Kesemua ahli kelab ini dalam perjalanan dari bandar Kyushu ke Hiroshima sambil memandu laju dan akhirnya terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan polis sebagai ‘satu perkumpulan anggota yang huru-hara’. Bagaimana empat anggota kelab kereta mewah itu berjaya mengelak dari kemalangan ini. Mereka dapat mengelak rempuhan serta merempuh kereta yang terlibat walaupun ketika itu sedang memandu laju. Bagaimanapun pemandu kereta yang hilang kawalan dan menjadi punca kemalangan dikenalpasti sebagai seorang ahli perniagaan dari Fukuoka berusia 60 tahun. Lelaki ini jika didapati bersalah mungkin dipenjarakan selama tiga bulan dan denda. Berikut dinyatakan antara kemalangan melibatkan kereta paling mahal yang pernah berlaku sebelum ini.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
11 DISEMBER 2011