15 Januari 2011

ISU SOSIAL : KES BULI : APAKAH KESUDAHANNYA?


Apa silapnya?

AGAK lama kita sudah tidak dengar mengenai kes buli membabitkan pelajar sekolah sehinggalah pada Rabu lalu apabila seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Alor Setar, Mohd Syazwan Johari, dilaporkan dibelasah lima pelajar senior di asrama sekolah berkenaan. Mohd Syazwan mendakwa ditampar, ditumbuk, ditendang serta diheret sebelum dihempap rak kasut besi yang terjatuh menyebabkan tulang lutut kirinya retak dan terpaksa dibedah.  
Kejadian pada Ahad lalu itu, didakwa turut disaksikan pelajar lain, tetapi tidak ada seorang pun berani menolongnya. Mohd Syazwan mendakwa seorang pelajar senior marah kerana dia tidak ikut arahan apabila dipanggil ke bilik, tetapi kes ini kini dalam siasatan polis. Lima pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan sudah pun ditahan bagi membantu siasatan. 
Apapun puncanya, sama ada kecil atau besar dan sama ada ia kes terpencil atau tidak, kejadian ini tidak boleh dipandang remeh. Di sebalik pelbagai tindakan yang sudah diambil pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran bagi menanganinya selepas beberapa kes buli sebelum ini, kejadian seumpama itu masih juga berlaku.

Apa silapnya? Tentu ada yang tidak kena hingga menyebabkan kes itu berulang lagi. Dari sini juga timbul persoalan apakah sudah jadi dengan garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran sebelum ini? Mungkinkah juga selepas agak lama tidak berlaku kes seumpama itu menyebabkan pihak berkaitan mula leka terhadap tanggungjawab masing-masing?  Kita bukanlah hendak menyalahkan sesiapa, tetapi perkara ini jika tidak diingatkan, kita bimbang dan tidak mustahil kejadian itu boleh berlaku lagi. Sebab itu, semua pihak sama ada pelajar, ibu bapa, masyarakat, guru serta pihak pengurusan sekolah perlu sering ditegur dan diingatkan selalu supaya kes seumpama itu tidak berulang.  Memang kita akui bukan mudah untuk menangani kes buli, apa lagi untuk mengawal pelajar yang begitu ramai. Apa lagi sikap, latar belakang keluarga dan cara serta suasana pelajar itu dibesarkan pula tidak sama. Namun, bukan mustahil juga untuk kita menemui jalan penyelesaian yang lebih konkrit kalau isu ini ditangani bersama. 

Kasihan pembuli 

Dalam hubungan ini, saya tertarik dengan perbincangan mengenai isu itu yang disiarkan stesen Radio IKIM pada pagi Khamis lalu. Elok juga jika inti pati perbincangan itu saya muatkan dalam kolum ini untuk dikongsi dan menjadi renungan kita bersama. Antara topik yang disentuh ialah kasihan pembuli. Barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa perlu pembuli ini dikasihani? Bukankah mangsa buli itulah yang patut mendapat simpati. Jawapan yang diberi cukup mudah. Seorang pendengar menjelaskan memang patut kita bersimpati dengan pelajar terbabit. Mereka mungkin tidak mendapat didikan sempurna dan kasih sayang daripada keluarga.  Akibatnya, mereka juga tidak mempunyai perasaan kasih sayang terhadap orang lain. Sebab itu, amat penting ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Jika mereka dibesarkan dalam suasana yang tidak harmoni dan sentiasa dimarah, diherdik, dipukul atau sebagainya, tidak mustahil perlakuan sama akan dibawa apabila mereka berhadapan dengan orang lain, terutama yang lebih muda. Seorang lagi pendengar pula berkata, pembuli mungkin juga pernah menjadi mangsa buli. Sebab itu bila menjadi senior, mereka melakukan perbuatan sama kerana mahu membalas dendam dan sikap ini berterusan hingga menjadi tradisi. Beliau menasihatkan pelajar yang melalui pengalaman dibuli agar tidak melakukan perbuatan sama semata-mata untuk membalas dendam, sebaliknya mereka seharusnya membantu dan menunjukkan kasih sayang terhadap pelajar junior.  Itulah yang dilakukannya selepas menjadi pelajar senior, walaupun pernah dibuli ketika mula memasuki asrama. Jika perasaan kasih sayang ini turut diikuti semua pelajar, tentunya tradisi membuli pelajar junior dapat dihentikan. Barangkali inilah penawar paling mujarab bagi menangani kes buli. 

Sayang biar bertempat 

Namun, kasih sayang yang keterlaluan dan tidak bertempat juga boleh merosakkan anak. Memanglah sukar untuk ibu bapa menerima hakikat anak mereka terbabit dalam kes buli atau salah laku lain di sekolah, tetapi janganlah sampai bila anak mereka melakukan kesalahan, hendak dijentik sekalipun tidak boleh.  Malah, sudah ada guru diserang dan disaman ibu bapa apabila anak mereka mengadu dipukul, walaupun pelajar terbabit melanggar disiplin sekolah. Inilah mungkin menjadi antara sebab disiplin pelajar sekarang sukar dikawal. Apa lagi, bila guru juga sudah tawar hati dan tidak mahu ambil kisah mengenai perilaku pelajar kerana bimbang diserang atau disaman ibu bapa.  Pelajar pun sudah tidak takut dengan guru lagi kerana ibu bapa menyebelahi mereka. Tidak macam zaman dulu, jangan kata hendak mengadu, tetapi jika boleh tidak mahu ibu bapa tahu kita kena rotan dengan cikgu kerana takut kena belasah di rumah pula.  Memanglah dulu lain sekarang lain dan merotan pelajar pun sudah tidak boleh lagi, tetapi ibu bapa kenalah seimbangkan antara kasih sayang dan ketegasan supaya anak tidak terlalu dimanjakan hingga merosakkan masa depan mereka. 

Mahfar Ali

BERITA HARIAN
15 JANUARI 2011

14 Januari 2011

ISU SOSIAL : HARGA PRODUK, PERKHIDMATAN PENGARUHI RAKYAT


Hakikat rakyat berpendapatan tinggi adalah hal yang baik. Semua ingin pendapatan tinggi demi keselesaan hidup.  
Bagaimanapun, mempunyai pendapatan tinggi bukanlah senang dari segi hakikat dan pengumpulannya. Pendapatan tinggi juga harus diukur pada kuasa beli. Jika pendapatan tinggi diatasi oleh kos hidup dalam erti kata rata-rata barang keperluan harian seperti makan minum, pakaian dan tempat berteduh, pengangkutan dan perubatan menjadi mahal, maka kenaikan pendapatan tidak begitu bererti. 
Ini antara keperluan asas dalam kehidupan. Sebaliknya barang mewah, seperti rumah dan kereta mewah, jam tangan dan sebagainya, boleh dielak atau ditangguhkan. 
Tiga negara berpendapatan tinggi menurut perkapita pendapatan kasar domestik atau dalam negara (GDP) ialah Singapura, Norway dan Amerika Syarikat (AS). Perkapita masing-masing AS$40,000 setahun atau RM125,000 setahun.  
Di antara tiga negara itu, Singapura dan AS boleh berpuas hati kerana rata-rata harga produknya tidak meningkat sehingga menggugat peningkatan pendapatan rakyatnya, berbanding apa yang dialami rakyat Norway. Negara Scandinavia ini, terutama ibu kotanya, Oslo, adalah tempat termahal di dunia. 

Rakyatnya hanya menikmati kelebihan pendapatan apabila mengembara di luar negara. Disebabkan dasar cukai pendapatan negara, pada umumnya rakyat hanya menikmati setengah Krone bagi setiap 1 Krone yang didapati ( 1 Krone ialah 60 sen). Setengah Krone lagi untuk cukai pendapatan.  
Keadaan ini berlaku kerana rakyat Norway yang berpendapatan tinggi diharuskan menyumbang kepada tabungan pencen warga tua. Ini bererti pencen dinikmati pesara adalah tinggi, tidak jauh beza dengan gaji diperoleh sebelum mereka bersara.  
Sejak 1970-an, Norway mendapat durian runtuh hasil minyak Laut Utara (North Sea) di utara Lautan Atlantik. Dengan hemah kepemimpinan negara yang prihatin, Kabinet dan Parlimen – dengan restu Rajanya– membuat keputusan tegas mengagihkan kekayaan negara itu secara adil sehingga boleh dikecapi mereka di strata paling rendah. Keputusan itu dijadikan peruntukan Perlembagaan yang ti-dak boleh diganggu-gugat sebarang pertukaran kerajaan.  
Singapura bukanlah kota murah, tetapi pendapatan rakyatnya membawa pulangan nilai kerana kos hidupnya tidak mengatasi peningkatan pendapatan.  
Negara paling bermanafaat ialah AS. Walaupun tidak pada keseluruhan, dalam banyak hal berkaitan makanan, perumahan, kenderaan dan tenaga elektrik, ia lebih murah berbanding Indonesia, Singapura, Thailand, Malaysia dan Filipina.  
Negara kuasa besar itu, walaupun dibenci kerana dasar intervensinya di Iraq, Iran, Venezuela, dan beberapa negara di Afrika, Eropah Timur, Caribbean, Asia dan Arab, dasar dan amalan domestiknya adalah baik secara relatif.  
AS dinyatakan sebagai perbandingan. Satu dolar AS boleh membeli lebih banyak produk daripada seringgit di Malaysia. 

Jika minyak berharga RM10 segelen di Malaysia, di AS segelen kurang 3 dolar.  
Disebabkan rakyatnya berpendapatan tinggi, sedangkan kos rendah secara relatif, maka wang kocek yang berbaki boleh dibelanjakan kepada produk yang lebih luas. Justeru, banjaran perniagaan produk (perkhidmatan juga) lebih luas kerana peniaga terpengaruh dengan permintaan pembeli.  
Lihat saja produk AS di pasar raya dan restoran makanan segera yang bercambah di Malaysia seperti McDonald, KFC dan Starbuck. Semuanya adalah unjuran pasaran domestik di AS sendiri. Jika pasaran domestik di sana tidak mampu menampung produk itu, tidak mungkin ia boleh berkembang ke seluruh dunia.  
Memperkatakan pendapatan tinggi tidak menjadi genap jika tidak diperkatakan nilai mata wang. Sepatutnya pendapatan perkapita Malaysia yang diukur menurut nilai dolar AS adalah lebih tinggi daripada apa yang ditahapkan. Meskipun bunyinya mudah, nilai mata wang dunia yang diukur dengan harga Big Mac dan hamburger McDonald, seperti dipromosikan majalah mingguan Economist terbitan London, adalah sangat relevan.  
Apa yang berlaku sejak 10 tahun dulu, taraan mata wang dunia yang pelbagai nilainya berbanding nilai dolar AS akhirnya bergerak ke arah nilai perbezaan harga burger itu dalam nilai dolar AS. Big Mac di Malaysia berharga RM6.70 sedangkan di AS harganya US$3.75. Harganya di AS itu sama dengan RM12 di Malaysia kini, pada kadar RM3.10 untuk AS$1.  
Berdasarkan harga Big Mac itu, nilai ringgit sepatutnya lebih kurang RM1.08 dan bukan RM3.10 untuk AS$1. Oleh itu jika pendapatan perkapita kita RM40,000.00 setahun, ia bererti AS$22,200.00. Justeru untuk diklasifikasikan sebagai rakyat berpendapatan tinggi dengan perkapita AS$30,000.00 setahun bukanlah jangkauan jauh.  
Yang penting ialah kenaikan pendapatan tidak diatasi kos produk dan perkhidmatan selain dibaham cukai pendapatan, demi menguat permintaan bagi melebarkan perniagaan produk dan perkhidmatan yang terus meluas. 


Oleh Tan Sri Adam Kadir

BERITA HARIAN
14 JANUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN (UP), DIMENSI BARU PENDIDIKAN TINGGI NEGARA


Konsep Universiti Penyelidikan (UP) berteraskan keusahawanan inovasi semakin ghairah dibincangkan dalam komuniti akademik kebelakangan ini. Pada asasnya konsep ini berkaitan dengan pembangunan ilmu bersepadu, berpaksi manfaat langsung, lebih dinamik, tidak terlalu bergantung kepadSecara khususnya, konsep ini lanjutan daripada perkembangan universiti moden. Tahap pertama ialah penawaran program diploma dan ijazah sarjana muda, dan ijazah sarjana secara kerja kursus. Tahap kedua ialah penawaran pengajian peringkat pasca siswazah, disusuli tahap ketiga iaitu UP. 
Ketika ini lima universiti tempatan berstatus UP iaitu USM, UKM, UPM, UTM dan UM dengan penumpuan kepada program penyelidikan peringkat tinggi, iaitu PhD dan pasca kedoktoran.  
Tahap keempat adalah aplikasi ilmu secara praktikal menerusi pembabitan dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak di luar komuniti akademik, terutama pembuat dasar dan peneraju industri.  
Kemuncaknya, tahap kelima adalah apa yang saya ungkapkan sebagai ‘UP berteraskan keusahawanan inovasi’ sebagaimana univer-siti ternama MIT, Harvard, Stanford dan Cambridge yang bergerak seiring atau mendahului perkembangan idea, dasar negara, konsep pembangunan, harta intelek, penghasilan graduan berkualiti sehinggalah menjana nilai baru, sama ada idea, kekayaan atau perkhidmatan berkualiti. 


UP berteraskan keusahawanan inovasi perlu difahami daripada segi suasana kerja dan ekosistem intelektual menggalakkan semangat dan minda keusahawanan. Dengan kata lain, minda keusahawanan inovasi perlu difahami dalam konteks berkerja sebagai komuniti akademik untuk berkhidmat secara lebih proaktif, kreatif dan berdaya saing menggunakan seluruh sumber tanpa terlalu bergantung kepada geran atau bantuan luar.  
Ini termasuk penyediaan program akademik yang menggalakkan interaksi langsung dengan persekitaran kerja, mauduk penyelidikan yang menyediakan asas pemikiran dan penyelesaian kepada masalah semasa secara lebih inovatif. 
Dari segi pengurusan universiti pula, minda keusahawanan inovasi membabitkan perkongsian pintar untuk mendapatkan pembiayaan projek pembangunan akademik, biarpun tidak mendapat pembiayaan langsung menerusi dana awam. Keusahawanan inovasi dalam konteks kampus pula membabitkan menyediakan suasana serta kemudahan pembelajaran yang menumpu kepada budaya ilmu yang meriah, ceria dan mesra inovasi.  
Secara amnya, faktor kejayaan kritikal (CSF) untuk UP keusahawanan inovasi ialah ‘akademia baru’ iaitu kerangka baru dalam konteks universiti moden yang tidak terbelenggu dengan ‘disiplin akademik’ terlalu mengkhusus demi mempertahankan ciri ilmiah sehingga menenggelamkan keindahan dan makna ilmu. 

Akademia baru seharusnya membawa dimensi dan penyegaran kepada penghayatan ilmu, tidak menanggapi ilmu sebagai ‘komoditi’ atau ‘kaedah’ mencapai matlamat jangka pendek terutama menerusi proses pensijilan semata-mata. Ilmu seharusnya dilihat sebagai kesepaduan sehingga memungkinkan ahli ilmu mencapai tahap hikmah.  
Konsep kesepaduan ilmu ini selari dengan falsafah pendidikan negara. Itulah juga falsafah ilmu beberapa universiti awam seperti UTM dan UIAM. Kaedah penghayatan ilmu dalam akademia baru banyak kelainan, tidak lagi terikat kepada interaksi satu hala antara mahasiswa dan aktiviti dalam dewan kuliah. Minda keusahawanan inovasi dipupuk dalam semua bidang ilmu, tidak hanya dalam bidang pengajian perniagaan atau ekonomi. 
Hasil akademia baru bukan sekadar segulung sijil akademik dan kepakaran dalam sesuatu bidang. Malah menjangkau aspek aplikasi ilmu. Bagi graduan bidang kejuruteraan dan sains gunaan misalnya, hasil ilmu juga dalam bentuk model perniagaan, modal, jaringan dan budaya kerja. 
Model perniagaan diperoleh ketika menjalankan pelbagai projek ilmiah berbentuk keusahawanan inovasi yang boleh dikembangkan sehingga mampu menjana dana besar untuk dijadikan modal selepas tamat pengajian. Hal ini saya bincangkan dengan panjang lebar dalam buku terbaru berjudul Menjana Minda Kreatif dan Inovatif. 

Persoalannya, apakah komuniti akademik tempatan bersedia melakukan lonjakan minda membina akademia baru? Apakah akademia baru akan sekali lagi mengubah corak pembangunan ilmiah sebagaimana era pasca Perang Dunia Kedua supaya lebih relevan dengan persekitaran global untuk terus menyerlah dalam ekonomi inovasi? 

Oleh : DR Zaini Ujang
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian
14 JANUARI 2010

ISU SOSIAL : MANGSA DERA BANYAK LIBATKAN AHLI KELUARGA

Peristiwa kanak-kanak didera sampai mati oleh ibu tiri, bapa tiri, kekasih ibu atau disimbah asid oleh bapa sendiri yang berlaku di negara ini semakin bertambah. Sehubungan itu, kerajaan patut memperketatkan perundangan berkaitan dengan hadanah (hak penjagaan anak-anak) demi memelihara keselamatan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal. Kejadian menyayat hati ini menunjukkan struktur perkahwinan umat Islam semakin hari semakin goncang ekoran daripada kecuaian tanggungjawab terhadap ahli keluarga dan anak-anak. Ia sekali gus mengundang bertambahnya kes perceraian dalam usia muda. Mereka kurang berkebolehan dalam mengendalikan permasalahan rumah tangga lantaran terlalu memikirkan kehendak naluri dan gagal mengawal emosi apabila berada dalam dilema. Perkahwinan yang hancur juga menyebabkan semakin ramai kanak-kanak menjadi mangsa dera ahli keluarga. Sikap ibu bapa dalam mengendalikan urusan kanak-kanak apabila berlaku perceraian lebih cenderung kepada kepentingan diri daripada anak-anak. Sebagai ibu, sepatutnya mereka sering mengunjungi anak-anak di bawah jagaan bapa dengan tujuan mengetahui keselamatan dan kebahagiaan anak-anak mereka.

Peruntukan ini diberikan oleh Mahkamah Syariah kepada pasangan suami isteri yang bercerai. Begitu juga dengan bapa, mereka mempunyai tanggungjawab penuh memberi nafkah yang secukupnya kepada anak-anak dan memastikan keselamatan mereka terjamin. Ini merupakan salah satu perundangan Islam berhubung kait dengan urusan perceraian. Bapa yang diberi hak memelihara anak-anak yang masih kecil ketika berlaku perceraian sepatutnya memantau tingkah laku isteri barunya supaya sikap kejam ibu tiri tidak dihantui oleh bisikan syaitan dalam mengurus anak-anak tiri. Wanita yang ingin berkahwin dengan duda yang mempunyai anak-anak yang masih kecil pula perlu bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Jika hati nurani kurang berkemampuan untuk menjadi ibu tiri kepada kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang dan belaian, usah mengahwini duda yang mempunyai anak. Sikap begini bukan sahaja menyebabkan beliau merasai kedudukannya tergugat lantaran berkongsi kasih sayang suami dengan anak-anak tiri, malah ia juga boleh menyebabkan dirinya menjadi kejam terhadap anak tiri apabila perasaan cemburu dan kebencian yang tersemat dalam hati sukar dikawal.

Sebagai suami mereka perlu tegas mengendalikan tingkah laku isteri yang kejam terhadap anak-anak mereka kerana suami diberi kuasa untuk menceraikan isteri yang zalim. Kasih sayang yang membuta tuli menyebabkan suami akur kepada tindakan dan tingkah laku isteri yang kejam. Ibu yang diberi hak memelihara anak apabila berlaku perceraian atau kematian suami sepatutnya mengkaji latar belakang bakal suami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkahwin kerana kuasa suami dalam rumah tangga kadang-kadang boleh menyebabkan isteri terpaksa akur kepada kehendak suami. Peristiwa kanak-kanak didera oleh kekasih ibu atau bapa tiri sepatutnya dijadikan panduan kepada wanita yang bercerai atau kematian suami. Kasih sayang terhadap isteri atau suami jika tidak didasarkan kepada prinsip kehidupan Islam boleh menyebabkan lelaki atau wanita merelai anak-anak didera dan disakiti oleh pasangan masing-masing. Sikap begini wujud dalam diri pasangan tersebut akibat terlalu takut kasih sayang yang dibina atas dasar cinta buta terputus.

Apabila berlaku pelbagai penderaan kepada kanak-kanak, maka kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kekejaman tersebut dan juga pasangan mereka. Sikap pasif dan terlalu takut kepada suami atau isteri yang kejam menyebabkan kanak-kanak menderita dan tiada pembelaan. Jika perkara ini berlaku ketika bapa diberi hak untuk menjaga anak-anak, maka lelaki tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman berkaitan dengan kecuaian dan bersubahat menganiayai anak-anak kerana Islam memberi kuasa dan hak kepada suami untuk menentukan kehidupan dan keselamatan anak-anak terjamin apabila berlaku perceraian. Hati nurani wanita disulami dengan perasaan kasih sayang terhadap kanak-kanak. Jika wanita sanggup mendera kanak-kanak sehingga mati maka wanita tersebut adalah dalam kategori wanita jahat dan perlu dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya. Begitu juga jika lelaki sanggup menganiayai kanak-kanak maka kedudukan dan statusnya adalah lebih rendah daripada binatang. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak tegas supaya umat Islam memahami hukuman merupakan salah satu cara untuk menyedarkan mereka erti kehidupan sebagai manusia yang dianugerahi akal oleh Allah.

Dr. Saodah Abd. Rahman,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

UTUSAN MALAYSIA
14 JANUARI 2010

13 Januari 2011

ISU EKONOMI : EKONOMI MALAYSIA KIAN PULIH


Adakah ekonomi Malaysia sudah pulih dan keluar daripada kemelesetan global? Itulah persoalan yang sering dilontarkan oleh orang ramai yang skeptikal dengan hakikat itu, berikutan dakwaan bahawa mereka tidak menerima kesan langsung daripada pemulihan berkenaan. Bagi kakitangan kerajaan, kesan langsung itu mungkin bermakna mereka mendapat bonus tahunan berkali-kali ganda banyaknya dan bagi orang ramai, ia bererti mereka dapat membeli barangan pada harga rendah seperti kebiasaan. Bagaimanapun, jika diukur pemulihan itu berdasarkan petunjuk-petunjuk yang diguna pakar dalam menilai 'kesihatan' ekonomi sesebuah negara, nampaknya secara keseluruhan keadaan ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda untuk 'kebah' setelah sekian lama diserang 'demam panas.' Antara petunjuk itu, ramai pelabur asing kembali membeli saham di pasaran saham tempatan setelah 'berehat' beberapa ketika dek pukulan harga saham yang menjunam. Nilai mata wang kita juga semakin kukuh. Pada awal bulan ini, Indeks Komposit Bursa Malaysia meningkat melebihi 1,500 mata iaitu paras tertinggi dalam sejarah manakala nilai mata wang tempatan diniagakan pada RM3.06 berbanding sedolar Amerika Syarikat (AS) iaitu catatan nilai paling kukuh sejak 13 tahun lalu.

Perkara itu diakui oleh penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai sangat positif.
Beliau berkata, peningkatan bursa saham tempatan dan ringgit itu digalakkan oleh sentimen positif yang ditunjukkan pasaran serantau dan juga prospek pertumbuhan yang baik. ''Berdasarkan perkembangan ini, saya melihat ekonomi Malaysia telah mula menunjukkan proses pemulihan dan saya ramal prospek ekonomi pada tahun ini adalah lebih baik berbanding 2010," katanya. Bagaimanapun, Haim Hilman mengakui peningkatan Bursa Malaysia dan pengukuhan ringgit bukan satu-satunya petunjuk untuk membuat kesimpulan bahawa ekonomi negara telah pulih. Beliau berkata, pemulihan itu juga bergantung kepada sejauh mana keseriusan kerajaan untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti dijanji sebelum ini. ''Saya gembira kerana kerajaan mengotakan janji-janjinya ini dan ia terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 19 lagi projek di bawah ETP," katanya. Ketika membuat pengumuman, Perdana Menteri berkata, projek baru itu akan melibatkan pelaburan hampir RM67 bilion dan menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM36 bilion.

Antara projek berkenaan adalah pengeluaran sel tenaga solar AUO Sunpower di Melaka yang melibatkan belanja RM2.2 bilion dan membina Metropolis Kesihatan Universiti Malaya (UM) di Petaling Jaya yang menelan belanja RM1.25 bilion. Ia juga melibatkan projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan pelaburan sebanyak RM36.6 bilion. Mengulas mengenai pengumuman terbaru Perdana Menteri itu, pensyarah di Kuliah Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, ia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. ''Ia adalah sesuatu yang bagus kerana tidak hanya tertumpu di Lembah Klang dan Selangor, malah kawasan pelaksanaan menjangkaui Sabah dan Sarawak," katanya. Sementara itu, Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin turut sependapat bahawa pemulihan ekonomi bukan angan-angan kerana projek di bawah ETP khususnya membabitkan sektor minyak, gas dan tenaga mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada negara. ''Sektor bahan api tersebut berkait rapat dengan industri automotif negara, justeru pembangunan automotif negara akan turut berkembang dengan pesatnya.


''Malaysia juga akan turut menjadi pengeluar minyak dan gas yang utama sekali gus menjimatkan penggunaan kos rakyat terhadap bahan mentah ini," katanya. Berdasarkan hujah-hujah ini, kita harus mengakui bahawa ekonomi negara telah menunjukkan tanda-tanda untuk pulih. Bagaimanapun, persoalannya adakah pemulihan ini akan menguntungkan rakyat di peringkat bawahan. Kebimbangan ini nampaknya disedari oleh Najib yang secara jelas semalam menyatakan keyakinan beliau bahawa projek yang telah diumum itu akan memberikan pulangan yang ketara kepada orang ramai sedikit masa lagi. Mengulas keprihatinan Najib itu, Timbalan Dekan Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Shahwahid Othman mencadangkan supaya agensi khusus diwujudkan bagi memantau penglibatan masyarakat bawahan dalam ETP. ''Agensi ini turut berperanan memberi penerangan kepada rakyat mengenai bagaimanakah mereka boleh mengambil peluang dan mendapat manfaat daripada proses transformasi ekonomi negara yang sedang berlaku," katanya. Jelas Mohd. Shahwahid, kesan langsung yang ketara daripada projek-projek yang diumumkan itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat.

Beliau berkata, antaranya jangkaan penggunaan sehingga 130,000 tenaga pekerja pada peringkat pembinaan MRT. Jika dilihat pada keseluruhan projek-projek di bawah ETP, kira-kira 3.3 juta jawatan kosong akan diwujudkan. Bagi yang tidak berkemahiran, mereka juga tidak harus bimbang kerana Najib ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen pada Oktober lalu mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (MPGK) yang bertanggungjawab menetapkan gaji minimum untuk pekerja. Pekerja kurang berkemahiran sudah pasti tidak akan dipinggirkan kerana mereka juga akan mendapat gaji lebih tinggi seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Gaji di bawah garis kemiskinan sebanyak RM700 sebulan sekarang mungkin hanya akan tinggal kenangan sahaja. Jika fakta-fakta ini diteliti secara lebih objektif, keceriaan sebenarnya bukan sahaja akan mula terpancar pada wajah pelabur saham dan tokoh korporat yang sekian lama sugul sebelum ini, sebaliknya, rakyat di peringkat bawahan juga sudah mampu untuk tersenyum.

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

UTUSAN MALAYSIA
13 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : KITA SEMAKIN HILANG AKAL DAN BUDI


Peristiwa pembakaran buku dan gambar penulis novel Interlok menggambarkan kerendahan budi pekerti kita dalam menangani isu yang berkaitan dengan kaum di negara ini. Terasa dangkal dan ceteknya pemikiran mereka yang melakukan tindakan sedemikian tanpa memikirkan implikasi kepada pembangunan intelektual dan ketinggian budi dalam menangani isu berkenaan. Apa pun alasannya, perbuatan sedemikian sukar diterima akal yang waras, apatah lagi ia sekadar pertelingkahan tentang interpretasi dan pemahaman sejarah, keengganan untuk menerima fakta sejarah dan kekalutan dalam menjadi wira masyarakat tanpa berlandaskan pemikiran yang rasional di sebalik penulisan berkenaan. Apatah lagi bagi sebuah buku yang telah lama ditulis, yang telah lama digunakan di sekolah-sekolah dan telah lama pula berada dalam pasaran. Kenapa tidak novel itu dibantah tatkala ia mula diisytiharkan memenangi sayembara penulisan dan kemudian diterbitkan kepada umum sekian lama. Kenapa pula baru kini ia menjadi sasaran?

Melihat dari aspek yang lebih positif, tindakan sedemikian memberi peluang kepada masyarakat untuk berdebat mengenai sastera negara yang selama ini mungkin jarang mendapat tempat. Kita harap mereka yang berbincang, berdebat malah membakar buku berkenaan telah pun membaca sepenuhnya dan memahami konteks penulisan buku itu, bukan membuat tafsiran sendiri terhadap satu penulisan kreatif yang dijalin berdasarkan fakta sebenar. Mereka termasuk pihak yang memulakan isu ini, diharap telah berhujah dan mencari fakta sebenar kerana buku ini ditulis berasaskan fakta sejarah yang telah dikaji dan diteliti oleh penulisnya, bukan hanya ditulis sesuka hati. Kita juga harap ia menjadi satu permulaan yang baik untuk masyarakat negara ini turut membaca buku-buku sastera dan budaya lain yang banyak dihasilkan sekarang. Sekurang-kurangnya, ia dapat memperkayakan akal budi kita dalam membentuk masyarakat berilmu untuk masa depan negara dalam acuan sendiri, walaupun nampaknya ia semakin di kesampingkan dalam menjayakan KPI yang ada.

Semoga nanti, tidak ada lagi mereka yang akan mempertikaikan karya-karya besar lain yang dihasilkan oleh sasterawan negara, mahu pun penulis-penulis tersohor lain termasuk karya tradisional seperti Sulalatus As Salatin secara dangkal dan dari perspektif sendiri semata-mata. Melihat Hang Tuah sebagainya pahlawan kuno yang tidak masuk akal, sedangkan kita menerima dengan mudah kewujudan pelbagai hero lain termasuk Harry Potter yang membolehkan penulisnya mengaut kekayaan besar. Selagi kita memahami ia adalah hasil kreatif yang harus ditafsir dalam konteks penulisan, bukan dibuat sesuka hati, maka mereka yang belum membaca novel ini, perlu membacanya, kemudian membincang dan mengkaji pelbagai aspek karya untuk mengayakan lagi ilmu dan pemahaman kita terhadap kehidupan. Novel ini perlu dilihat dalam konteks akal budi yang jelas, bukan dengan emosi yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa depan. Ia akan membuka laluan dalam kalangan anak-anak muda kita melihat karya sastera secara terbuka sebagai sumbangan kepada pembinaan bangsa Malaysia yang terbuka, harmoni dan berakal budi.


Hakikatnya, karya sastera sedemikian harus menjadi sumber mengayakan lagi daerah pengalaman hidup kita, ia perlu dibincang, bukan dicincang. Ia perlu diteliti, bukan dibunuh mati. Ia perlu dijadikan cerminan kehidupan bukan dibakar yang hanya merugikan semua pihak dan dilihat dalam konteks apa sekali pun. Kerana itu juga, masyarakat harus kembali menghayati makna budi bahasa, budi pekerti, budi bicara dan tentunya akal budi yang tinggi untuk memastikan kita berupaya menjadi masyarakat madani, masyarakat contoh dan masyarakat yang bertamadun tinggi. Budi bahasa bermakna, kita memahami bahawa dalam kata-kata harus ada tertib. Budi bicara bermakna kita membuat pertimbangan atas kemaslahatan yang lebih utama dan jika kita melakukan tindakan, gunakan akal budi yang tinggi, bukan dilakukan sesuka hati. Ini bererti jika kita tidak bersetuju dengan kata-kata orang lain, fikir dahulu, pertimbangkan dengan penuh hemah, cari kebenarannya, cari maknanya, cari interpretasi yang betul, cari faktanya sebelum kita bertindak menentang hujah berkenaan. Jika ingin bertindak, pastikan tindakan kita tidak melukakan hati orang lain, berasas dan tidak menafikan kebenaran. Jika ingin marah, marahlah sebagai orang berilmu, berakal budi yang bukan ditujukan secara peribadi tetapi kepada pemikiran dan pendapat yang berbeza yang diutarakan orang berkenaan.

Malangnya kita makin hilang hemah. Makin hilang akal budi yang dijunjung selama ini. Sesuatu harus dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Proses pendidikan kita harus diteliti untuk membentuk pemikiran positif yang dapat menyumbang dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan tahu makna toleransi. Bijak dalam menggunakan budi bicara bicara, berbudi bahasa yang tinggi tetapi bukan sehingga dipijak orang. Berhujah, tetapi bukan menyerang peribadi. Yang penting, bersedia menerima pandangan orang lain, yang mungkin berbeza dari pandangan peribadi kita. Kita barangkali terbawa-bawa dengan cara dan kaedah yang diguna oleh sesetengah pihak dalam memperjuangkan sesuatu isu, sehingga lupa bahawa perbezaan pendapat dan pandangan bukan bermakna menjadi sebab untuk mewujudkan ketegangan sehingga menghina orang. Kita harus terima kepelbagaian yang ada secara terbuka dan bersedia membuat perubahan apabila terbukti adanya pandangan lain yang lebih tepat.

Jangan lupa sejarah dan jangan juga nafikan fakta di mana bermulanya kita. Jangan ketepikan begitu sahaja tentang apa yang menjadi permulaan kita. Jangan mudah mentafsir yang orang lain menghina kita semata-mata kerana sejarah menunjukkan bagaimana sesuatu itu bermula. Kita tidak boleh memadamkan masa lalu begitu sahaja jika benar masa lalu itu sudah sedemikian suratannya. Ilmu pengetahuan yang kita timba selama ini, di sekolah hinggalah ke universiti mahu pun pelbagai pengalaman hidup yang dilalui harus menjadikan kita lebih rasional dan berakal budi tinggi. Pelajaran yang kita kuasai harus berupaya menjadikan tindakan kita lebih bertamadun, bukannya menurunkan darjat keilmuan yang ada. Teruskan mengupas, membincang dan mengkritik karya-karya di sekeliling kita malah di mana sahaja, tetapi jangan menghina dan membakarnya hanya kerana tidak setuju dengan pandangan yang diberikan oleh penulis atau karyawan berkenaan. Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak harus terus bersedih dengan sikap mereka yang menolak karyanya. Walaupun dalam keadaan uzur, seorang sasterawan adalah manusia hebat yang sekurang-kurangnya kontroversi ini menjadikan orang ramai akan lebih mendekati Interlok, malah juga diharap akan membaca lebih banyak karya Malaysia yang kian kurang khalayaknya. Biarkanlah anak-anak muda kita berbincang secara ilmiah tentang karya sastera yang ada secara terbuka, berdebat dan memberikan pandangan terhadap idea dan pemikiran besar dalam karya sastera seperti Interlok, bukannya menghalang mereka dengan menarik balik daripada cadangan asal untuk terus diguna dalam bilik darjah.

MOHAMAD ABDULLAH
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

UTUSAN MALAYSIA
13 JANUARI 2010

ISU PENDIDIKAAN : KESELAMATANI PELAJAR SEMASA MENJALANI AKTIVITI KOKURIKULUM


Kemalangan yang melibatkan seorang pengakap dan pelajar, Goh Swee Khim dari SMK Hua Lian, Perak sehingga menemui maut ketika menyertai aktiviti kokurikulum sekolah perlu dijadikan iktibar. Mangsa meninggal dunia apabila sebiji takal jatuh menghempap kepalanya di tapak perkhemahan. Ia amat dikesali kerana sekali lagi nyawa pelajar melayang ketika mengikuti aktiviti sekolah. Ini bukan kali pertama kemalangan tragik seperti itu berlaku. Pada Oktober 2009, beberapa pelajar mati lemas ketika menyeberang jambatan gantung di tapak perkhemahan di Kuala Dipang, Kampar, Perak. Pada Januari 2010 pula, seramai lima pelajar dan seorang guru meninggal dunia ketika mengikuti latihan perlumbaan bot naga di Pulau Pinang. Menyedari tragedi terkini itu, isu keselamatan pelajar sepanjang menyertai aktiviti kokurikulum sekolah boleh dipersoalkan.

Sepatutnya, aspek keselamatan perlu diutamakan dalam apa juga bentuk kokurikulum yang dijalankan bagi mengelakkan kemalangan, kecederaan dan maut ketika pelajar menyertainya. Ia merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak sekolah yang menganjurkan aktiviti kokurikulum. Kita tidak sepatutnya menyerahkan segalanya kepada takdir dan hanya menganggap kemalangan freak telah berlaku. Masanya telah tiba bagi Kementerian Pelajaran untuk menetapkan dan melaksanakan satu polisi yang jelas kepada semua sekolah yang melibatkan penganjuran aktiviti kokurikulum. Sekolah perlu dianggap sebagai bukan sahaja tempat untuk belajar tetapi juga sebuah tempat kerja. Sehubungan itu, aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu diutamakan. Isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah itu pula mestilah merangkumi bangunan, struktur binaan lain, tandas, kantin, bilik darjah, pejabat, makmal, padang sekolah dan juga aktiviti kokurikulum sekolah yang selamat.

Kerajaan telah memperkenalkan Program Sekolah Sihat pada 1967 dan Program Sekolah Selamat pada 2002. Bagaimanapun, kedua-dua program itu hanya menitikberatkan soal meningkatkan kesihatan dan menjadikan sekolah selamat daripada masalah sosial serta pengaruh luar yang negatif seperti penagihan dadah, seks bebas, gangsterisme, jenayah dan lain-lain. Namun, pelajar juga perlukan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sekolah. Ia merangkumi satu dimensi lain serta mengambil kira sekolah sebagai tempat kerja dan selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 yang meletakkan tanggungjawab majikan untuk melindungi pekerja dan orang lain. Dalam kes sekolah, pekerja adalah guru, kakitangan pentadbiran dan sokongan. Manakala orang lain pula adalah pelajar. Pematuhan OSH 1994 oleh sekolah sebagai tempat bekerja bertujuan menjadikan sekolah selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan juga pelawat serta ibu bapa.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH)

UTUSAN MALAYSIA
13 JANUARI 2010

ISU ALAM SEKITAR : DUNIA KINI DIANCAM PELBAGAI BENCANA BESAR


Pada saat ada yang sibuk memperkatakan tentang kemusnahan kehidupan di dunia menjelang tahun 2012, dunia yang didiami hari ini nampaknya kelihatan tidak mampu lagi untuk bertahan lebih lama. Ini berikutan pelbagai musibah dan bencana yang acap kali berlaku mengingatkan semua betapa dunia sememangnya sudah uzur dan segala kehidupan di dalamnya akan musnah jua apabila tiba detik yang ditentukan. Bibit-bibit ke arah kemusnahan itu sudah mula dirasai di sana sini. Fenomena bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan ribut salji ekstrem telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada bumi dan isinya. Malah kawasan-kawasan yang jarang dilanda banjir besar seperti di Queensland Australia, Pakistan dan Arab Saudi kini terdedah kepada ancaman banjir yang mengorbankan nyawa dan kehilangan harta benda berskala besar. Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di wilayah Queensland Australia sebagai contoh telah mengubah landskap setempat sehingga menjadi seperti sebuah pulau yang dikelilingi lautan lumpur. Malah beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia juga mengalami nasib yang sama apabila hujan lebat dan berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke kawasan yang rendah.

JIka bencana alam memusnahkan bumi semakin bertambah, apa kurangnya bencana keruntuhan akhlak dan moral segelintir masyarakat. Ia turut menunjukkan peningkatan ketara. Selain kes pembuangan bayi, kes penderaan kanak-kanak juga membimbangkan. Terbaru seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia di Johor Bahru akibat didera oleh ibu tirinya. Ketamakan sebilangan pemborong dan pengedar yang menyorokkan barangan keperluan orang ramai turut membebankan pengguna dan menambah lagi bencana kesusahan yang dialami kini. Perbuatan tidak beretika itu kemungkinan bertujuan mendesak kerajaan supaya menaikkan harga barangan keperluan tertentu semacam menjadi trend yang tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Daripada krisis gula, tepung, beras dan kini isu kekurangan minyak masak pula hangat diperkatakan. Yang pasti golongan ini akan mengaut keuntungan tinggi dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah akan terus terhimpit dan tertindas menjadi mangsa keadaan.


Mungkinkah semua ini berlaku kesan pemanasan global yang melanda dunia atau disebabkan kerakusan tangan-tangan manusia menodai alam sehingga bumi seperti sudah tidak selamat lagi untuk dihuni. Ataukah mungkin ini terjadi akibat kemurkaan Allah SWT terhadap manusia yang terlibat mempersekutukannya, ingkar terhadap suruhan dan melanggar peraturannya sehingga perasaan belas dan malu lenyap dalam diri. Walau apa pun jawapannya, bencana dan huru-hara hari kiamat yang lebih dahsyat tidak boleh dipersendakan ataupun digambarkan melalui khayalan fikiran manusia dalam filem Armagedon ataupun 2012, adaptasi cerita dongeng kaum Mayan. Lebih daripada itu, umat Islam diajak bersedia dengan segala kudrat yang ada untuk menimbun amal kebaikan bagi berhadapan dengan hari perhitungan itu. Ini kerana segala kejayaan dan anugerah yang dikecapi di dunia hanya sementara dan tidak bertahan lama. Malah yang kekal adalah amal baik yang dilakukan ikhlas semata-mata mencari reda Ilahi sebagai bekalan menuju alam akhirat yang kekal abadi. Itulah hakikat kepada segala kemewahan dunia yang kadang-kadang menjadi fitnah dan ujian pula untuk pemiliknya.

Persoalan bilakah peristiwa dahsyat itu akan terjadi tidak penting untuk dibahaskan. Malah jika diteliti tiada satupun bencana dan musibah yang melanda dunia dapat diketahui secara tepat sekalipun dengan pelbagai teknologi dan peralatan canggih masa kini. Justeru itu, sebelum terlambat gunakanlah kesempatan yang ada untuk berbuat kebajikan ataupun setidak-tidaknya umur yang ada tidak dibazirkan dengan perbuatan noda yang menyumbang kepada pelbagai bencana yang tidak berkesudahan.

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, 
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

UTUSAN MALAYSIA
13 NOVEMBER 2010

ISU ICT : PENEMBUSAN JALUR LEBAR MALAYSIA MENCECAH 55.6 PERATUS


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar penembusan jalur lebar Malaysia yang kini mencecah 55.6 peratus, selepas melepasi sasaran asal 50 peratus, tidak menjamin pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya. Perdana Menteri berkata kemajuan infrastruktur komunikasi itu perlu diikuti dengan aplikasi sebenar dan konkrit yang akan meningkatkan pengeluaran produktiviti. Cara-cara baharu penyediaan aplikasi dan perkhidmatan perlu diterokai dan dirintis di seluruh sektor ekonomi. Model Baru ekonomi (MBE) yang ditambah dengan penambahbaikan yang berterusan di dalam infrastruktur komunikasi dan ICT bermatlamat mengubah ekonomi Malaysia menjadi yang berpendapatan tinggi dan pertumbuhan kualiti untuk tempoh satu dekad akan datang dengan pengetahuan dan inovasi sebagai elemen utamanya.  Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10), jelas memaparkan peranan utama ICT sebagai asas kepada usaha negara untuk melonjak ke hadapan ke dalam ekonomi berpendapatan tinggi. Kemajuan besar di dalam rancangan itu akan menyaksikan ICT mengembang, kerana ia mencakupi keseluruhan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia.