09 Oktober 2010

YAKINLAH BAHAWA KEJAYAAN ITU AKAN MENJADI MILIKMU


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat mengecapi hari-hari indah di hujung minggu. Cikgu Zul percaya banyak yang sibuk mengulangkaji pelajaran pada saat ini. Cikgu Zul juga tahu kebanyakan pelajar-pelajar sekalian sedar akan kepentingan pelajaran sebagai jaminan dan pelaburan untuk masa depan mereka. Namun begitu, masih ada segelintir pula yang seolah-olah hanyut di bawa arus kelalaian dan kealpaan. Mereka seolah-olah kehilangan rentak tari sewaktu menempuhi segala cubaan dan dugaan yang mereka depani. Setiap kali diadakan ujian dan peperiksaan di sekolah, markah yang diperoleh hanyalah sekadar cukup-cukup makan sahaja. Markah yang diperoleh hanya cukup untuk membeli sehelai baju. Nak beli seluar, tak cukup pula!

Anak-anak didik yang tersayang,

Jadikan kejayaan itu milik anda. Semua orang tidak berhak untuk menafikan hak anda memperoleh kejayaan. Alangkah indahnya hidup menjadi orang yang berjaya. Namun demikian, untuk memperoleh kejayaan bukannya semudah makan keropok lekor di Warung Tok Man. Kita kena berusaha dengan sedaya upaya. Jika masa dua jam tidak mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran. Gandakan menjadi 4 jam sehari. Insya-allah, berkat doa ibu ayah, guru-guru, dan usaha berganda daripada diri anda sendiri, kejayaan itu pasti akan jatuh jua ke riba anda.

Pada saat-saat akhir ini, Cikgu Zul cadangkan supaya anda semua belajar secara berkumpulan. Teknik ini amat berkesan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada. Anda juga akan lebih terpimpin dan terbimbing jika belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan yang tersayang. Jadikanlah kawan-kawan sekelas anda sebagai sahabat dan teman yang boleh membantu anda. Percayalah, jiwa anda akan lebih tenang dan keyakinan anda akan semakin bertambah berkat kerjasama yang terjalin antara anda dengan mereka.

Sekian untuk kali ini.

Selamat belajar.


PERIBAHASA MELAYU YANG MENGGUNAKAN KATA "HATI"

PERIBAHASA 1
hati tawajud
MAKSUD
Hati yang dihadapkan semata-mata kepada Tuhan.

PERIBAHASA 2
Hati bagai baling-baling
MAKSUD
Fikiran atau pendirian yang tidak tetap.

PERIBAHASA 3
Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang, telinga bagai telinga rawah.
MAKSUD
Orang yang kurang perasaan malunya.

PERIBAHASA 4
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
MAKSUD
Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung sedikit sama-sama mendapat sedikit.

PERIBAHASA 5
Hati gatal mata digaruk
MAKSUD
Perihal orang yang tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan yang dia sangat-sangat berjahat hendak melakukannya.



ISU PERGURUAN : BEKAS GURU SAMAN KERAJAAN MALAYSIA

Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 4 November 2010 untuk keputusan kes saman seorang guru terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan Malaysia kerana didakwa melakukan diskriminasi dengan memerintahkan dia dibuang kerja enam tahun lalu. Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Razak Baharudin.

Pada 4 Disember tahun lalu, Abdul Razak 51, yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan telah melakukan diskriminasi yang bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan apabila memerintahkan dia dibuang kerja berkuat kuasa 7 September 2004 mengikut peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993. Dia juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan sewajarnya memerintahkan dia ditamatkan perkhidmatan menurut Peraturan 49(3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 dan seterusnya dibersarakan mengikut seksyen 10(5) Akta Pencen 1980. Selain itu, Abdul Razak memohon dia dibayar faedah persaraan dan bayaran pencen ke atas khidmatnya.

08 Oktober 2010

ISU SOSIAL : KEMALANGAN JALAN RAYA DI MALAYSIA

Jika diteliti data kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari tahun 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling menonjol di antara tiga negara itu ialah Malaysia yang menjadi tumpuan bersama Argentina dan Kemboja. Daripada kajian melibatkan semua negara, Malaysia berada di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.  Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Ini bermakna bahawa 6.3 kematian di Malaysia bagi setiap satu nyawa penduduk UK pada tahun lalu.  Kemalangan jalan raya mengakibatkan ekonomi Malaysia kehilangan RM9 bilion tahun lalu dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Tahun lalu berlaku 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari, bermakna setiap 1 jam 20 minit seorang rakyat Malaysia terbunuh di jalan raya. Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kelajuan di jalan awam telah terbukti secara saintifik sebagai faktor utama peningkatan ketara risiko maut dan cedera bukan sahaja kepada pemandu dan penumpang tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Kira-kira 60 hingga 70 peratus kemalangan berlaku akibat kelajuan. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya. Sementara kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.

AJAR IKUT FALSAFAH PENDIDIKAN

Graduan yang bakal memulakan perkhidmatan sebagai pendidik diingatkan supaya menunaikan tanggungjawab mereka berlandaskan falsafah pendidikan kebangsaan.  Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar bertitah, mereka perlu ikhlas melaksanakan tanggungjawab tersebut bagi merealisasikan objektif dan memartabatkan sistem pendidikan negara bagi menentukan kemajuan dan kemakmuran masa depan negara. Titah baginda, pendidikan negara mampu menggarap serta membina potensi diri secara seimbang menerusi dasar, program dan usaha yang dilaksanakan warga pendidik. Matlamat ini hanya mampu dicapai jika semua pihak bersama warga pendidik membulatkan tekad memperteguhkan muafakat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara,” titah baginda pada majlis konvokesyen ke-24 Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis. Usaha melahirkan modal insan berketerampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara serta menjadi tanggungjawab warga pendidik. Matlamat itu juga hanya akan tercapai melalui sistem pendidikan yang diasuh dengan nilai kebersamaan, saling menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain.

ISU SOSIAL : MALAYSIA MODEL MASYARAKAT MAJMUK

Mufti Syria, Sheikh Ahmad Badr al-Deen Hassaoun memuji kejayaan pemimpin kerajaan dalam menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini. Sambil menyifatkannya sebagai 'bunga-bunga yang berkembang di dalam taman', beliau meletakkan harapan supaya Malaysia menjadi barisan hadapan dalam membangunkan budaya, teknologi dan ekonomi negara Islam. Malaysia adalah model dalam pembangunan sesebuah negara dan diterajui kepimpinan yang baik.



ISU EKONOMI : PENJANAAN EKONOMI DIGITAL

Pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia kini memasuki fasa ketiga bermula tahun 2011 dengan tumpuan diberikan kepada penjanaan ekonomi digital yang inovatif ke arah mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ini sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dijangka memberi sumbangan sebanyak 10.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 2015.  Pada masa ini ekonomi digital menyaksikan perkembangan menakjubkan serta pantas dengan tahun lalu sahaja menyumbang 35 peratus kepada dagangan dunia yang berjumlah AS$$17 trilion dengan perolehan e-perdagangan mencecah sehingga AS$$3.8 trilion menjelang 2020.

Bagi fasa ketiga agenda MSC Malaysia, fokusnya melonjakkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada satu tahap lebih tinggi. Sasaran kerajaan sekarang dalam menumpukan ekonomi digital inovatif ialah merangsang kreativiti manusia dengan teknologi baru, pasaran dan peluang-peluang. Ini akan menjadi pemangkin kepada inovasi dalam produk, perkhidmatan dan proses; meningkatkan produktiviti individu dan perniagaan selain melonjakkan daya saing dalam ekonomi digital global. Perancangan rapi dan penggunaan strategi digital yang berjaya adalah suatu kemestian bagi memastikan Malaysia terus dapat bersaing dan berjaya di arena antarabangsa.

KATA YANG BERUBAH MAKNA DAN TIDAK BERUBAH MAKNA SELEPAS MENERIMA IMBUHAN

KATA YANG BERUBAH MAKNA

Lukis = Kata kerja
Pelukis = Kata Nama

Malang = Kata adjektif
Kemalangan = Kata nama

KATA YANG TIDAK BERUBAH MAKNA

Wang = Kata nama
Juruwang = Kata nama

Rumah = Kata nama
Perumahan = Kata nama

PERINGATAN CIKGU ZUL
Soalan jenis ini selalu ditanya dalam BM1 STPM

KATA TUNGGAL

CIRI-CIRI

01. Tidak mengalami proses pengimbuhan
02. Tidak mengalami proses pemajmukan
03. Tidak mengalami proses penggandaan
04. Boleh terdiri daripada satu suku kata atau lebih
05. Berpotensi untuk diperluas
06. Boleh menerima imbuhan untuk membentuk kata terbitan.

JENIS-JENIS 

01. Kata tunggal satu suku kata = am, bom, cat, dam, fon
02. Kata tunggal dua suku kata = aib, bintang, carik, dengki
03. Kata tunggal tiga suku kata = amada, budaya, cerakin
04. Kata tunggal empat suku kata = anugerah, belantara
05. Kata tunggal lima suku kata = artikulasi, bumiputera
06. Kata tunggal enam suku kata = parameswara, personifikasi

PROSES PEMINJAMAN KOSA KATA BAHASA ASING

Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya proses peminjaman kosa kata bahasa asing.

01. Faktor sejarah budaya bangsa yang mempertembungkan dua budaya.

02. Pertembungan dengan bahasa berstatus tinggi.

03. Keperluan untuk mengungkapkan konsep baru.

PROSES PEMBENTUKAN ISTILAH DALAM BAHASA MELAYU

PROSES 1 :
Mencari kata dalam Bahasa Melayu yang lazim digunakan.

PROSES 2 :
Mencari kata dalam Bahasa Melayu yang jarang-jarang digunakan.

PROSES 3 :
Mencari kata dalam bahasa serumpun yang lazim digunakan.

PROSES 4 :
Mencari kata dalam bahasa serumpun yang jarang-jarang digunakan.

PROSES 5 :
Mencari kata dalam bahasa-bahasa yang bukan bahasa serumpun.


PERINGATAN CIKGU ZUL
Salah satu yang termasuk dalam skop soalan BM1 STPM