25 November 2025

GURU BAHARU: KETIKA PENEMPATAN MENJADI UJIAN, ROH PENDIDIK MENJADI KEKUATAN

 


Saya masih ingat saat seorang guru muda datang menemui saya dengan wajah resah. Di tangannya, surat penempatan yang sepatutnya membawa kegembiraan, tetapi sebaliknya menghadirkan kegusaran. “Tuan pengetua,” katanya perlahan, “saya mahu jadi guru… tetapi sekolah itu terlalu jauh, tiada kemudahan asas, rumah guru pun usang. Saya tidak pernah hidup dalam keadaan begitu.”

Saya tidak menyalahkannya. Realitinya, ramai guru baharu datang daripada latar belakang yang selesa. Tidak pernah merasa hidup tanpa kemudahan, tidak biasa berhadapan kesusahan. Apabila dimaklumkan penempatan di kawasan pedalaman,  jalan berlumpur, tiada liputan internet stabil, bekalan elektrik dan air tidak menentu, tempat tinggal guru yang tidak diselenggara bertahun-tahun, perasaan takut mula timbul. Ada yang menolak penempatan bukan kerana tidak mahu menjadi guru, tetapi kerana belum bersedia menghadapi realiti hidup sebagai pendidik di kawasan yang serba kekurangan.

Walau bagaimanapun, suka saya mengingatkan anak-anak guru baharu sekalian,  di sinilah titik mula seseorang benar-benar menjadi guru. Menjadi guru bukan sekadar menerima amanah mengajar mata pelajaran. Ia adalah keputusan untuk hadir membawa sinar kepada anak-anak yang mungkin tidak pernah berpeluang melihat dunia luar. Tugas guru bukan hanya di papan putih, tetapi pada hati dan jiwa murid. Kadang kala, murid yang paling memerlukan guru bukan berada di sekolah yang serba lengkap  tetapi di sekolah yang terpinggir dan dilupakan.

Kerjaya guru adalah kerjaya luar biasa. Kita membentuk insan, melentur akhlak, dan membina masa depan. Guru tidak sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menanam harapan. Pendidikan bukan hanya tentang peperiksaan, tetapi tentang kehidupan. Anak-anak pedalaman yang kita risaukan itu, sebenarnya setiap hari mengharungi lebih banyak cabaran daripada kita. Mereka datang ke sekolah bukan kerana keselesaan, tetapi kerana percaya pada pendidikan. Mereka menunggu kehadiran seorang guru yang mampu mengubah takdir mereka.

Hakikatnya, tugas guru tidak mudah. Beban kerja, tuntutan kurikulum, tanggungjawab sosial, semuanya datang beriringan. Akan tetapi tugas ini juga tidak susah jika kita benar-benar memiliki roh seorang pendidik. Roh guru ialah kesabaran ketika tiada yang memahami, keikhlasan ketika tiada yang melihat, dan ketabahan ketika tiada yang memuji. Guru yang memiliki roh pendidik tidak bertanya “Mengapa aku ditempatkan di sini?”, sebaliknya berkata, “Apa yang boleh aku lakukan untuk tempat ini?”

Saya pernah melihat guru yang pada mulanya mahu menolak penempatan, tetapi apabila memilih untuk menerima dengan hati yang lapang, akhirnya menjadi inspirasi. Mereka bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik sekolah, malah berjaya mengubah landskap pendidikan setempat. Dari kekurangan lahirlah kreativiti, dari kesempitan timbulnya kebijaksanaan, dan daripada cabaran lahirnya kekuatan.

Jika hari ini anda sedang memegang surat penempatan dengan hati yang berat, lihatlah ia bukan sebagai beban, tetapi sebagai peluang. Mungkin sekolah itu jauh, kemudahannya terhad, dan kedudukannya terpencil. Tetapi di sanalah ada anak-anak yang setiap hari berdoa agar hadir seorang guru yang mampu menyentuh masa depan mereka. Mungkin kerana kehadiran anda, seorang anak kampung akan menjadi doktor. Mungkin kerana ajaran anda, seorang murid akan menjadi pemimpin. Dan mungkin kerana keikhlasan anda, lahirnya seorang pendidik hebat suatu hari nanti – diri anda sendiri.

Jangan takut menghadapi kesusahan kerana kesusahan mendidik hati menjadi cekal. Jangan gentar melalui cabaran kerana cabaran membentuk jiwa menjadi kuat. Terimalah penempatan itu bukan kerana terpaksa, tetapi kerana percaya bahawa Allah mengatur perjalanan seorang guru dengan penuh hikmah.

Dan suatu hari nanti, apabila anda menoleh ke belakang, melihat sekolah yang dahulu usang kini berubah, melihat murid yang dahulu pemalu kini berjaya – anda akan tersenyum dan berkata dalam hati:

“Inilah saat aku tidak hanya bergelar guru… tetapi menjadi guru dengan jiwa.”



Tiada ulasan: