25 November 2025

GURU BAHARU : INSAN TERPILIH YANG DITEMPATKAN DI SEKOLAH PEDALAMAN


Dewasa ini, isu penempatan guru baharu di kawasan pedalaman sering menjadi perbincangan dalam kalangan warga pendidikan. Dalam meniti kehidupan pada marcapada, ada yang menerima surat penempatan dengan hati terbuka, namun tidak kurang juga yang bergelut dengan perasaan bimbang dan gusar. Sehubungan dengan itu, izinkan saya berkongsi titipan hati daripada pengalaman hidup seorang anak pedalaman yang pernah berada di tempat yang sama seperti anda.

Umum mengetahui bahawa apabila kita memohon menjadi guru, kita harus sedar penempatan pertama bukan pilihan kita. Semasa di temuduga pun, salah satu soalan yang ditanya, "Sanggupkah anda ditempatkan di sekolah pedalaman yang serba kekurangan?" Ramai yang menjawab sanggup kerana memohon sebab minat. Setelah ditempatkan, seseorang itu harus bersedia dan tahu cara  membawa diri di sekolah tempat kita ditempatkan. Ingatlah, menurut tokoh pendidikan terkenal, Tan Sri Dr Abdul Shukor Abdullah, “Guru cemerlang bukan dilahirkan di sekolah yang lengkap kemudahan, tetapi di sekolah yang menuntut kesungguhan.” Oleh sebab itu, jika anda ditakdirkan berbakti di kawasan pedalaman, yakinlah bahawa anda merupakan insan terpilih.

Untung menjadi pendidik di sekolah pedalaman kerana anak anak pedalaman sangat menghormati guru. Di samping itu, ibu bapa mereka juga amat menghargai kehadiran pendidik kerana mereka dahagakan ilmu dan percaya bahawa pendidikan mampu membina kehidupan yang lebih baik. Persis kata peribahasa Melayu, ilmu pelita hidup cahaya sepanjang zaman. Apabila dimarah mereka tidak melawan, apabila ditegur mereka patuh peraturan. Hati mudah tersentuh apabila melihat mereka berpakaian lusuh, namun semangat datang ke sekolah untuk belajar tidak pernah rapuh. Perasaan empati ini hanya lahir dalam kalangan guru yang benar-benar berjiwa pendidik. 

Empat puluh tahun dahulu, saya sendiri bersekolah di kawasan pedalaman di Ulu Katibas Song. Asrama tiada, ibu bapa kami bina pondok di kawasan sekolah secara bergotong royong tempat kami tinggal. Keadaan ini berlaku beberapa tahun sekitar 1980-an. Seingat saya, majoriti guru yang mengajar kami ialah guru sandaran tidak terlatih kerana Sarawak kekurangan guru ketika itu. Walaupun mereka tidak memiliki kelulusan profesional, kesungguhan dan keikhlasan mereka bagaikan cahaya dalam kegelapan. Kami berkembang dengan amat baik hasil didikan dan asuhan mereka, daripada tidak tahu membaca, kami tahu membaca, menulis, dan mengira. 

Apabila saya dan rakan-rakan memasuki alam sekolah menengah, majoriti guru kami terdiri daripada guru dari Semenanjung, terutamanya dari Kelantan dan Terengganu. Pada masa itu, tiada jalan darat ke Kapit. Sebaliknya, guru-guru tersebut  menaiki bot ekspres merentasi sungai deras semata-mata untuk menabur bakti. Menurut Albert Einstein, “It is the supreme art of the teacher to awaken joy in creative expression and knowledge.” Guru guru ini bukan sahaja mengajar kami dengan tekun, malah menyalakan semangat untuk berjaya. Mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi hingga melahirkan ramai anak-anak pedalaman seperti kami berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. 

Lebih lebih lagi, ramai daripada kami memperoleh keputusan 5A dalam STPM dan akhirnya berjaya ke universiti. Sebagai contoh, semasa cuti sekolah, ramai antara kami tidak dapat pulang ke kampung kerana jarak yang jauh dan kos yang tinggi. Pada masa yang sama, guru guru inilah yang menjaga kami, malah membawa kami pulang ke rumah mereka dan menyediakan makanan yang dimasak sendiri. Tindakan itu tidak pernah kami lupakan. Seperkara lagi, yuran peperiksaan SRP, SPM dan STPM dahulu tidak percuma. Saya sendiri pernah dibantu oleh seorang guru yang membayar yuran peperiksaan saya. Saya berasa amat bersyukur, tanpa bantuan beliau, mungkin saya telah berhenti sekolah. 

Lanjutan daripada itu, sehingga kini kami masih berhubung dengan guru-guru tersebut. Walaupun kebanyakannya telah kembali ke kampung halaman dan ada yang bersara, jasa mereka tetap hidup dalam doa kami. Pada setiap sujud, saya masih menyebut nama mereka. Tanpa mereka, saya tidak berada di sini sebagai seorang pendidik.

Secara tuntas, kepada guru baharu yang ditempatkan di kawasan pedalaman, terimalah amanah ini dengan hati yang lapang. Selagi mana anda memiliki roh guru, setiap cabaran akan menjadi kekuatan. Menurut Hellen Keller, “The only thing worse than being blind is having sight but no vision.” Maka datanglah dengan visi, berkhidmatlah dengan hati. Akhir kata, nikmat menjadi guru di pedalaman tidak dapat digambarkan dengan kata kata. Jika berada di bandar memberi keselesaan, mengajar di pedalaman memberi makna kehidupan. Sebagai penghias bicara, yakinlah bahawa anda tidak dihantar kerana tiada tempat lain, tetapi anda diutus kerana ada jiwa yang menanti sentuhan ilmu anda.

“Guru sejati tidak hanya mengajar di mana dia ditempatkan, tetapi menghidupkan jiwa tempat dia berada.”

Tiada ulasan: