Fenomena kebakaran rumah panjang semakin
menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Mengapakah kejadian yang menyedihkan ini
terus berlaku dan berlaku walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan?
Saya sendiri pernah mengalami insiden ngeri ini apabila rumah panjang kami
telah lenyap dalam sekelip mata ditelan api semasa sambutan Hari Gawai Dayak
pada tahun 2010. Semuanya menjadi debu dalam sekelip mata. Peninggalan lama
nenek moyang semuanya hangus terbakar. Api yang marak telah membaham apa-apa
sahaja tanpa rasa simpati dan kasihan. Saya masih ingat, sambutan Hari Gawai
Dayak beberapa hari sebelum kebakaran itu amat meriah. Kami yang tinggal di
bandar, hampir 90% balik ke kampung. Kami atur pelbagai program untuk
menyerikan hari gawai. Setiap waktu yang berlalu, kami isi dengan pelbagai
perkara yang menceriakan dan menghiburkan. Maklumlah, kami bukannya selalu
bertemu kerana masing-masing membawa diri ke bandar untuk bekerja. Keterbatasan
masa dan kesukaran memohon cuti serta kos yang banyak diperlukan untuk balik
menghalang niat kami untuk kerap pulang ke kampung. Oleh sebab itu, kami cuma
pulang pada bulan Jun sahaja untuk meraikan hari gawai. Pada masa itulah kami
berjumpa dengan rakan-rakan sepermainan semasa zaman kanak-kanak dahulu. Pada
masa itulah kami berjumpa dengan kawan yang selalu bersama-sama pergi ke hutan,
bermain di tepi sungai, melastik burung, menjerat ayam hutan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, keceriaan dan kemeriahan yang berbunga di jiwa setiap
penghuni rumah panjang kami, saya sambut dengan linangan air mata sebaik sahaja
menerima panggilan telefon, rumah panjang kami sudah hangus terbakar. Ya Allah,
disitulah segala-galanya bermula. Di situlah juga saya mula menghirup nafas
duniawi.
Saban tahun malah hampir setiap bulan kita akan
membaca berita mengenai kebakaran rumah panjang di beberapa kawasan di Sarawak
berlaku. Apakah kita tidak belajar daripada kejadian yang lepas-lepas? Semakin
moden kehidupan kita, semakin moden rumah panjang kita, semakin ramai penghuni
rumah panjang yang berpendidikan, semakin kerap pula kebakaran rumah panjang
berlaku. Setiap kejadian kebakaran sesebuah rumah panjang, kerugiannya bukan
sedikit kerana insiden ngeri itu melibatkan lebih daripada 20 buah keluarga.
Bukan mendabik dada tentang kaum sendiri tetapi semua orang tahu akan
kepintaran orang Iban menghias rumah panjang mereka, semuanya mesti seragam
supaya nampak cantik. Barang-barang elektrik dan perabot dibeli mengikut
kemampuan sesebuah keluarga. Bagi keluarga yang berada dan mempunyai ramai anak
yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta, barangan yang dibeli memang
mahal dan berjenama. Semuanya dibeli secara tunai. Jarang kita dengar
masyarakat rumah panjang yang tinggal di kawasan pedalaman membeli barangan
secara ansuran. Mereka hanya akan membeli setelah wang simpanan mencukupi.
Itulah prinsipnya. Harta benda itu dikumpul tahun demi tahun, ibarat
sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Bayangkan, apabila harta yang dibeli
dengan membanting tulang empat kerat sendiri lenyap dalam sekelip mata ditelan
api yang mengila.
DIMANAKAH SILAPNYA?
Setelah hampir 60 tahun merdeka, percaya atau
tidak masih 90% rumah panjang di Sarawak tidak ada bekalan elektrik. Penghuni
rumah panjang terpaksa berdikari membeli generator sendiri baik secara
persendirian atau perkongsian seluruh penghuni rumah panjang. Walaupun ada
generator bantuan kerajaan, bantuan ini tidak menyeluruh, apabila rosak, mereka
harus beli sendiri kerana tidak ada bantuan untuk kerja baik pulih kerosakan.
Oleh itu, masyarakat rumah panjang terpaksa membuat sistem pendawaian sendiri.
Kadang kala kita yang melihat pun takut kerana pendawaian yang dibuat memang berbahaya.
Apabila berlaku litar pintas masalah kebakaran memang akan berlaku. Mereka
menyedari perkara ini tetapi terpaksa melakukannya kerana perlukan elektrik
untuk menghidupkan televisyen, peti sejuk, dan sebagainya. Jika rumah panjang
tersebut diperbuat daripada kayu, kemusnahan hanya berlaku dalam beberapa minit
sahaja bak kata pepatah api, apabila kecil menjadi kawan, setelah besar menjadi
lawan. Wayar yang disambung dengan pelbagai cara inilah penyebab utama
kebakaran di rumah panjang. Mengapakah mereka buat sebegitu? Jawapannya mudah,
mereka perlukan elektrik untuk menjadikan semua perkakas di rumah..
Satu lagi punca kebakaran rumah panjang ialah kecuaian
semasa memasak di dapur. Sesebuah bilik mempunyai ruang yang amat luas. Ruang
dapur biasanya di hujung sekali dan agak jauh. Apabila kaum ibu memasak air
atau apa-apa saja, mereka selalu melakukan kerja-kerja lain sementara menunggu
masakan tersebut. Malangnya, ramai yang leka sehingga terlupa untuk menjenguk
masakan mereka. Ada yang tertidur dan apabila sedar kebakaran telahpun berlaku.
Kecuaian sebegini walaupun amat dikesali tetapi sehingga kini sentiasa berulang
dan berulang. Mungkinkah hal ini berlaku disebabkan mereka sudah tidak sayang
kepada rumah panjang sendiri. Jika mereka sayangkan rumah panjang mereka tidak
akan tergamak membiarkan diri mereka hanya tinggal sehelai sepinggang apabila
rumah panjang habis dijilat api. Malangnya, rumah panjang itu milik bersama
bukan milik perseorangan. Jika yang terbakar satu maka kebakaran itu akan
merebak dan merebak sehingga semuanya lenyap begitu sahaja. Lebih-lebih lagi
andai kejadian itu berlaku pada waktu pagi di mana semua penghuni sedang tidur
lena dibuai mimpi-mimpi indah. Penghuni rumah panjang harus sedar akan hakikat
bahawa rumah panjang itu merupakan hak bersama. Apa-apa sahaja yang kita
lakukan kita harus fikirkan perasaan semua penghuni yang tinggal di rumah
panjang itu. Kejadian kebakaran rumah panjang ini harus dipandang serius kerana
kebakaran ini bukan perkara main-main yang boleh dipandang remeh. Rasa cintakan
rumah panjang harus ditanam kukuh dijiwa setiap penghuni. Jika bukan kita jaga
rumah panjang kita, siapa lagi? Ingatkanlah susah payah kita bekerja untuk
mendapatkan wang bagi membina sebuah rumah panjang yang indah dan bersejarah itu.
Jalan penyelesaian melalui hukuman ke atas
pihak yang cuai dan lalai tidak mampu untuk mengembalikan semua kerugian yang
ditanggung akibat kebakaran. Tuntutan ganti rugi tidak terbayar hingga ke
hujung nyawa. Pergaduhan dan perbalahan bukanlah penyelesaian terbaik kerana
semua yang kita sayang telah musnah dijilat api. Oleh itu, cara terbaik ialah
setiap penghuni harus bersatu dan berganding bahu untuk menjauhi segala
perbuatan dan tindakan yang boleh membahayakan dan memusnahkan sesebuah rumah
panjang. Rasa kasih sayang dan disiplin setiap penghuni tanpa mengira usia
mampu menyelamatkan sesebuah rumah panjang daripada insiden kebakaran berantai
seperti yang berlaku pada masa ini. Jika tidak, kita akan terus dihantui
kejadian kebakaran rumah panjang yang tidak berkesudahan. Ingatlah, setiap
kebakaran itu memang akan mengakibatkan kemusnahan. Sampai bilakah kita mahu
menanggung derita dan sengsara akibat semua ini?
RUMAH PANJANGKU,
NYAWA DAN SYURGA HIDUPKU
Secara peribadi saya melihat kejadian sebegini
berpunca daripada kurangnya nilai kasih sayang terhadap rumah panjang dalam
jiwa setiap penghuni. Kasih sayang merupakan nilai yang harus disemai dalam
diri kita. Orang yang memiliki rasa kasih dan sayang yang tinggi akan berusaha
menjaga dan memelihara hak milik mereka dengan sebaik-baiknya. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang boleh
mengkhianati rasa kasih dan cinta mereka terhadap apa-apa sahaja yang mereka
ada. Jika kita berjaya menyemai nilai kasih sayang terhadap rumah panjang ini
dalam jiwa setiap penghuni, masalah kecuaian yang mengakibatkan kebakaran ini
mungkin dapat diminimumkan. Penghuni rumah panjang yang sayangkan rumah panjang
mereka akan berusaha sedaya upaya memastikan kediaman mereka indah dan selamat
daripada sebarang ancaman. Jika semua penghuni rumah panjang berdisiplin, saya
yakin bencana kebakaran rumah panjang dapat kita atasi. Kasih sayang yang
melimpah terhadap rumah panjang sendiri mampu membangkitkan semangat dan
keinginan untuk menjaga dan memelihara serta mengeratkan lagi ikatan
silaturrahim sesama penghuni. Sesungguhnya, kaum Iban bukan sahaja dikenali
kerana tarian ngajat dan perayaan gawai dayak malahan rumah panjang merupakan
identiti kita yang harus dikekalkan.
Alangkah sedihnya hati apabila melihat
peninggalan nenek moyang kita hangus dibaham api durjana. Kita pun tahu bukan
mudah untuk mereka memperoleh semua itu. Mereka jaga dan pelihara bagaikan
menjaga nyawa mereka sendiri. Mereka sanggup mengembara ke merata-rata tempat
untuk membawa pulang harta benda yang diwarisi kepada ahli keluarga dari satu
keturunan ke satu keturunan. Akan tetapi, apabila sampai ke tangan kita
semuanya musnah begitu sahaja, yang tinggal hanya abu dan debu, yakini apabila
ditiup angin semuanya berterbangan jauh meninggalkan kita. Tiada lagi kenangan.
Tiada lagi tanda. Tiada lagi warisan. Dan, bukannya mudah untuk mencari ganti
kerana setiap ahli keluarga yang telah pergi meninggalkan kita memang memiliki
kreativiti dan keistimewaan yang tidak dapat kita tandingi. Oleh itu, saya
menyeru agar masyarakat Iban yang masih tinggal di rumah panjang,
berhati-hatilah terutama semasa melakukan kerja-kerja yang boleh membawa kepada
kebakaran. Sikap cuai dan lalai hanya akan membawa kemusnahan dan setiap
kemusnahan hanya menghadiahkan rasa sayu dan pilu yang diserikan dengan
linangan air mata kesedihan. Jangan sampai kecuaian kita membunuh ikatan
silaturrahim yang terjalin erat sesama penghuni.
Ayuh kita sama-sama menjaga dan memilihara
rumah panjang kita dengan satu hati, satu jiwa, satu nyawa kerana itulah
identiti masyarakat kita yang perlu dipertahankan. Kita bina rumah panjang kita
dengan rasa kasih sayang yang melaut luasnya. Kita jaga rumah panjang kita
dengan penuh tanggungjawab dan disiplin. Semua perbuatan yang boleh
mengakibatkan kemusnahan haruslah kita lenyapkan melalui permuafakatan dan
persepakatan yang berlandaskan rasa hormat-menghormati. Walau secantik manapun
banglo yang kita diami di bandar, hati tetap juga terpaut untuk kembali ke
rumah panjang apabila tibanya Hari Gawai Dayak.
Walau semoden manapun ruang tamu rumah kita di kota, tetap juga ingin
berehat bertemankan api pelita di rumah panjang kerana disitulah bermulanya
diri kita. Cinta pertama amat payah untuk ditinggalkan. Sejauh manapun kaki
melangkah, jiwa dan selera kita tidak pernah lupa untuk teringat kisah-kisah
indah yang kita lalui di rumah panjang. Kita tidak pernah bosan untuk kembali
ke rumah panjang walaupun masa yang diambil ada kalanya sampai berjam-jam
kerana itulah diri kita yang sebenarnya. Formula terbaik untuk mengelakkan
kebakaran rumah panjang ialah kita harus suburkan rasa kasih dan sayang dalam
jiwa setiap penghuni yang masih mendiami rumah panjang. Jangan sampai kita
menangis lagi!
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan