Bersama Jurulatih Utama BM STPM negeri Melaka (Kak Ramlah), Perak (Kak Midah), Selangor (Kak Wahida) dan Johor (Kak Noraini). Semua cantik-cantik belaka.
Sepanjang melayari bahtera alam
persekolahan, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, kita akan bertemu
dengan ramai guru. Guru merupakan golongan yang banyak berjasa kepada setiap
manusia kerana merekalah arketik yang terhandal di dunia yang menjana jutaan
cendikiawan dan ilmuan pada hari ini. Saban tahun jutaan manusia dikeluarkan
dari kilang-kilang tempat guru bekerja setelah menamatkan pengajian untuk
menjawat pelbagai jawatan bagi memacu ekonomi negara dan memahat nama negara sehingga
ke persada antarabangsa. Bagi golongan pelajar yang masih menempuh alam
persekolahan, guru merupakan ibu bapa kedua mereka. Gurulah yang akan mendengar
masalah mereka. Apabila mereka sakit gurulah yang bersusah payah menelefon ibu
bapa mereka dan mengisi borang kebenaran balik ke rumah. Gurulah yang akan
menjaga mereka sehinggalah ibu bapa mereka datang. Saban hari, mulut guru
memberikan nasihat dan amanat di samping menyampaikan ilmu pelbagai cabang
kepada mereka tanpa jemu-jemu.
Guru dan pelajar ibarat irama dan
lagu, kopi dan gula, gulai dan garam. Saat suka mereka akan ketawa bersama.
Saat sedih mereka akan menangis bersama. Mereka ibarat isi dengan kuku kerana
saling memerlukan. Kehilangan pelajar akan dicari, ketiadaan guru akan
dirindui. Pemergian guru akan ditangisi, pemergian pelajar akan dikesali.
Hubungan yang terlalu dekat ini bagai cubit paha kanan, paha kiri turut terasa.
Guru selalu bercerita tentang karenah pelajar-pelajar mereka manakala pelajar
juga selalu bercerita tentang karenah guru-guru mereka. Biar apa pun cerita
yang diceritakan, baik negatif mahupun positif, itu melambangkan mereka saling
mengambil berat dan tujuannya hanya satu iaitu tanda wujudnya rasa cinta,
kasih, dan sayang. Begitulah istimewanya hubungan antara pelajar dan guru-guru
mereka.
GURU GARANG
Guru garang ini merupakan gologan guru
yang paling ditakuti oleh pelajar-pelajarnya. Apabila tiba waktu guru garang
ini masuk ke dalam kelas, tidak ada pelajar yang berani keluar ke tandas. Semua
orang akan fokus dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.
Pelajar-pelajar yang menganggu proses pengajaran dan pembelajaran akan menerima
hadiah daripada guru garang ini. Semasa zaman persekolahan saya dahulu, hadiah
yang diberikan ialah sebatan dengan rotan. Jumlah sebatan mungkin sekali, dua
kali, tiga kali atau berkali-kali, ikut darjah kemarahannya pada ketika itu. Yang
dirotan bukan sahaja kita, meja dan papan hitam pun akan dirotan bagi
melepaskan kemarahannya yang teramat sangat. Saya masih ingat, guru Matematik
saya semasa Darjah 5 yang memang garang. Kami pula amatlah lemah dalam subjek
Matematik. Jika kami gagal menyelesaikan masalah yang disoal dan subjek
Matematik itu kami akan dirotan dan disuruh memadamkan papan hitam menggunakan
hidung. Kalau zaman ini, hukuman begini sudah dikira kes dera, silap-silap guru
itu akan dihadapkan ke mahkamah.
Sambutan Tahun Baru Cina SMK Sibu Jaya, 2017
Akan tetapi, kami tidak seperti
murid-murid zaman sekarang. Kami terus belajar untuk menguasai subjek Matematik
itu. Kami tidak ceritakan hukuman yang kami terima kepada ibu bapa kami. Kalau
kami bercerita, silap-silap akan dirotan juga oleh ibu atau ayah. Pada masa
itu, semua orang tak sayang pada kanak-kanak seperti kami. Pedih dirotan
terpaksa kami rawat dan tahan kesakitannya sendiri. Kadang-kadang kesan rotan
akan meninggalkan luka dan berdarah di betis dan di buntut. Tidur malam
terpaksa menahan sedu sedan kerana kesakitan. Itulah nasib kami. Namun begitu, apabila
menginjak kaki kea lam dewasa, jauh di sudut hati saya amat berterima kasih
kepada guru garang itu kerana hasil didikannya saya tidak pernah gagal dalam
subjek Matematik. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi masih segar
diingatan saya sehingga ke hari ini.
Masa itu saya telah dilantik menjadi
pengawas sekolah. Pada suatu hari, saya dan kawan saya melaporkan kes pelajar
bergaduh semasa kami belajar petang kepada guru garang itu. Yang dirotan bukan
sahaja pelajar yang bergaduh, saya dan kawan saya juga turut dirotan kerana
tidak dapat mengawal keadaan di dalam kelas. Aduh, sakitnya! Namun begitu, dia
tidak pernah membenci kami. Dia garang dan tegas apabila kami gagal mematuhi
peraturan yang ditetapkan. Dia marah apabila kami malas dan selalu berbuat
bising di dalam kelas. Kadang-kadang pada hujung minggu, dia panggil semua
pelajar pergi ke rumahnya untuk menonton televisyen. Dia jamu kami dengan
makanan. Dia duduk diam sambil menyemak buku latihan di depan kami. Dia Nampak amat
baik sekali. Pada waktu malam, dia akan melihat kami tidur di asrama. Yang
tidak berselimut, dia selimutkan. Yang bising, memang dia akan rotan. Semua
pelajar takut pada guru itu. Dialah Guru Besar, dialah ayah, dialah ibu, dan
dialah segala-galanya buat kami.
PENGETUA TERGARANG DI DUNIA
Apabila saya masuk ke alam sekolah
menengah, saya dipertemukan dengan seorang Pengetua yang garang pula. Suaranya
garau dan amat kuat sekali. Apabila pelajar melakukan kesalahan, tangan dan kakinya
akan singgah di badan tanpa rasa simpati. Dia tak perlu melawat dari kelas ke
kelas. Dia hanya perlu menjerit dari pejabatnya, seluruh kawasan sekolah akan
senyap dan sunyi. Pada masa itu, guru-guru sendiri pun takut padanya. Saya
masih ingat, seluruh pelajar asrama tempat saya tinggal dihukum berlari di
tengah-tengah padang kerana beberapa orang pelajar bising dan bermain kejar
mengejar di waktu tengah malam. Hukumannya tidak boleh diingkari. Walau
bagaimanapun, saya lihat sebilangan pelajar nakal langsung tidak terkesan
dengan hukuman yang diberikan. Mereka tetap melakukan perbuatan tersebut. Yang
turut menjadi mangsa ialah pelajar-pelajar seperti kami. Kami terpaksa juga
menerima hukuman jika mereka dihukum.
Pengetua kami yang satu ini memanglah
garang tetapi kebajikan pelajar tidak pernah dia abaikan. Makanan kami cukup,
malahan dialah yang membina 3 buah kolam ikan di kawasan sekolah kami. Di kolam
ikan itu, dia ternak ikan patin dan tilapia. Saya masih ingat apabila ikan itu
besar, dia arahkan pelajar-pelajar senior menangkap ikan itu. Pada sebelah
malamnya pula, kami BBQ di tepi pantai. Dia nampak amat baik kepada kami. Sifat
garang dan bengisnya hilang tiba-tiba. Kini, setelah saya sendiri menjadi guru,
barulah saya faham. Pelajar-pelajar nakal tidak boleh dibiarkan terus nakal
kerana sikap membiarkan itu hanya kan menjadikan mereka sebagai ‘sampah
masyarakat’. Apabila saya ditempatkan menjadi guru di Daerah Sibu, saya bertemu
beberapa kali dengan Pengetua Tergarang Di Dunia itu. Dia masih garang.
Kegarangannya masih menjadi sebutan sehinggalah dia bersara. Namun begitu, jauh
di sudut hati saya amat menyanjunginya. Walaupun saya tidak pernah menerima
hukumannya atas kesalahan yang saya sendiri lakukan, saya masih juga berterima
kasih kerana apa yang dia lakukan terhadap kawan-kawan saya sentiasa
mengingatkan diri saya supaya jangan melakukan kesalahan itu. Saya bukanlah
pelajar yang popular di sekolah pada masa itu, saya lebih banyak pasif di luar
kelas kerana takut dirotan. Saya hanya aktif jika di dalam kelas. Kini, beliau
telah bersara. Semoga Tuhan terus melimpahkan rahmat kepada beliau. Semoga
beliau terus sihat walafiat dan bahagia di samping keluarga tersayang.
SAYA SENDIRI JADI CIKGU GARANG
Saya berasal dari sebuah keluarga yang
amat miskin. Hidup di kawasan pedalaman di Katibas, Song. Selepas menamatkan
kursus perguruan di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, saya ditempatkan di
SMK Sacred Heart, Sibu. Sekolah itu satu-satunya sekolah lelaki yang terdapat
di daerah Sibu. Pada tahun pertama, saya Cuma ditugaskan mengajar Pendidikan
Moral Tingkatan 2 dan Sejarah Tingkatan 1. Apabila mengajar pelajar-pelajar
lelaki, kita tidak boleh tidak garang. Guru-guru senior mengingatkan saya
supaya sentiasa membawa rotan ke dalam kelas. Pelajar-pelajar lelaki tidak
boleh dilayan sangat, takut mereka naik kepala. Itulah nasihat daripada
guru-guru senior. Saya bawa juga rotan tetapi rotan itu cuma saya gunakan untuk
memukul meja dan papan hitam. Saya tidak pukul pelajar. Bukan tak berani tetapi
tak sampai hati. Saya ambil pendekatan lain untuk menarik perhatian pelajar,
saya mengajar dengan bersungguh-sungguh semasa di sesi P&P. Pelajar yang
nakal yang pada mulanya berbual-bual dan berjalan-jalan mula memberikan
perhatian apabila saya dekati mereka dan sentiasa memanggil nama mereka di
dalam kelas. Saiz badan pelajar Tingkatan dua lebih besar daripada saiz badan
saya! Semuanya sihat-sihat sebab kebanyakannya anak orang berada.
Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 2 di SMK Bandar Tasik Tenggara, Johor pada bulan Ogos, 2016
Tahun kedua, saya ditugaskan mengajar
subjek Bahasa Melayu. Saya diberikan mengajar kelas pelajar-pelajar pandai.
Saya tidak tahu kenapa? Cabarannya lain, saya kena banyak menyemak dan bersedia
sebelum masuk ke dalam kelas. Pelajar-pelajar ini telah menghadiri kelas
tuisyen di luar waktu persekolahan. Mereka perlukan maklumat lain daripada yang
mereka pelajari di luar. Sewaktu menyemak buku latihan pula, saya harus
berhati-hati kerana hasil kerja saya turut dipantau oleh ibu bapa mereka. Jika
silap, mereka boleh menghubungi pihak sekolah. Pelajar-pelajar pula amat
menghormati saya. Apabila saya masuk, mereka akan tunduk memberikan hormat.
Mereka belajar dengan penuh tumpuan. Kerja yang diberikan siap pada masa yang
ditetapkan. Kelas pelajar pandai ini biasanya memiliki jumlah pelajar yang
ramai, yakni lebih daripada 40 orang. Jadi, tugas saya pada setiap hati ialah
menyemak dan menyemak sahaja. Pelajar-pelajar ini pula, apabila saya suruh
menulis satu karangan, mereka pula akan hantar tiga hingga 5 buah karangan
sebab terlajak rajin. Saban tahun saya ditugaskan untuk mengajar pelajar dalam
kategori ini sahaja. Oleh sebab itu, saya tidak pernah berhadapan dengan
pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin.
Tahun 2006, saya diarahkan mengajar di
sesi pagi. Saya diberikan kelas Tingkatan Enam dan Tingkatan 5 aliran sastera.
Kelas tingkatan 5 yang saya ajar memang kelas yang terkenal dengan sifat nakal
mereka. Namun begitu, saya memang ada pengalaman mengajar mereka semasa mereka
masih di tingkatan satu. Mereka amat menghormati saya. Mereka sentiasa
melakukan kerja yang saya suruh. Perkara yang paling menakjubkan, keputusan SPM
mereka dalam subjek Bahasa Melayu amat cemerlang. Kelas paling nakal yang
pelajarnya hanya 12 orang sahaja, hanya seorang sahaja gagal Bahasa Melayu.
Yang lain semua kredit. Tahun berikutnya, sehingga saya berpindah ke SMK Sibu
Jaya, saya diberikan mengajar kelas pelajar aliran sains dan Tingkatan enam
sahaja. Mereka tiada masalah disiplin. Jadi, saya tak garang! Saya hanya akan garang kalau saya
lihat pencapaian pelajar dalam peperiksaan tidak memuaskan atau tidak mencapai
sasaran. Saya akan kuatkan suara apabila marah. Semua pelajar akan diam dan
rasa bersalah. Saya paling pantang kalau pelajar tidak dapat menjawab perkara
yang telah saya ajar di dalam kelas. Saya paling marah kalau pelajar tidak
menjawab soalan dan membiarkan tepat itu kosong sahaja. Saya anggap mereka
menghina diri saya dan tugas mulia seorang pendidik. Saya akan tuduh mereka
berdosa kepada ibu bapa mereka. Saya akan gelar mereka pengkhianat yang tidak
tahu menghargai jasa guru dan ibu bapa. Kebanyakan pelajar-pelajar ini akan
saya panggil setiap hari untuk dinasihati sehingga mereka berubah.
Alhamdulillah, mereka berubah.
PERLUKAN JADI GURU GARANG
Guru juga manusia. Setiap manusia
mempunyai perangai yang berbeza-beza. Mereka harus menjadi diri mereka sendiri.
Walau bagaimanapun, siapa pun guru anda, mereka tetap mempunyai mimpi yang sama
iaitu bermimpi untuk melihat pelajar-pelajar mereka berjaya. Sebagai pelajar,
kita tidak boleh berdendam atau membenci guru serta ibu bapa kita. Perbuatan
sebegini merupakan suatu dosa besar kerana mereka merupakan golongan yang
paling banyak berjasa kepada kita. Jangan kata guru tak sayang apabila dia
selalu memarahi dan menegur silap kita. Dia buat begitu kerana dia sayang kepada
kita. Jangan kata guru benci apabila dia selalu mengungkit kesalahan lalu yang
kita lakukan. Dia buat begitu kerana dia tidak mahu kita mengulanginya lagi.
Silap guru kita maafkan, jangan viralkan di media sosial. Kita harus ingat,
bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga dengan
silap pelajar, guru akan simpan dan pendam dihati. Mereka tidak akan melihat
masa lalu kita andai kita berubah untuk menjadi yang lebih baik dan lebih baik
lagi.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jay
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan