JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Julai 2017

CATATAN CIKGU ZUL : BUDAYA SERBU TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH, BUKAN BUDAYA TETAPI MERENDAHKAN MARTABAT KITA.


Seketika waktu dahulu, kita digemparkan dengan tindakan sekelompok masyarakat kita yang berkampung di tempat pembuangan sayap ayam sehingga mencetuskan pelbagai polimek dalam kalangan masyarakat. Kebanyakannya mencaci dan mengeji tindakan tersebut kerana tindakan mengambil balik “sayap ayam” yang telah dibuang (tanpa diketahui puncanya) itu kelihatan amat jijik dan meloyakan. Bagi mereka yang terlibat tindakan mereka itu mungkin tidak berniat apa-apa, tujuan mereka mungkin didorong oleh beberapa perkara yang mendatangkan kemaslahatan kepada mereka. “Sayap Ayam” yang digali itu boleh dijual semula di pasaran atau dijadikan hidangan santapan keluarga. Persoalannya, adakah tindakan tersebut logik terutama sekali apabila mereka menjual “sayap ayam” tersebut kepada orang yang tidak tahu dari manakah “sayap ayam” itu diperoleh? Pada pandangan saya, apabila sesuatu benda itu dibuang di tapak pelupusan sampah atau ditimbus dengan tanah oleh pihak tertentu, maknanya jika yang dibuang itu ialah makanan, kita harus ingat bahawa makanan itu tidak boleh dimakan. Kita tidak diberitahu sebab musabab makanan tersebut dibuang atau ditimbus sebegitu. Janganlah pula kita sampai hati gali balik semata-mata kerana rasa sayang. Terdesak sangatkah kita sehingga tergamak memalukan diri apabila tindakan tersebut diviralkan dan menjadi tular di media sosial.

Hari ini, kes sebegini berulang lagi, pesta mengutip buah epal beramai-ramai di tapak pelupusan sampah mula menjadi viral dan tular di media sosial. Satu lagi tindakan yang boleh dianggap memalukan bagi warga Sarawak. Jumlah mereka yang terlibat mungkin tidak sampai 20 orang tetapi perbuatan mereka itu boleh menjatuhkan maruah berjuta-juta orang yang tinggal di tanah bertuah ini. Apakah tujuan mereka berbuat demikian? Seyogianya saya ingin mengingatkan bahawa sampah tetap sampah dan jika boleh sampah berbentuk makanan dan minuman yang telah dibuang ini janganlah kita tergamak mengambil dan menjualnya kepada orang lain. Apatah lagi menjamu keluarga dengan makanan sebegitu. Walaupun telah dibersihkan atau diproses dalam bentuk lain, amatlah tidak elok kerana tindakan kita itu menggambarkan seolah-olah kita mengalami krisis bekalan makanan. Kita mungkin beranggapan tindakan kita mengambil balik makanan yang telah dibuang itu baik tetapi bagi orang lain yang tidak berada di tempat tersebut mereka beranggapan yang bukan-bukan sehingga komen-komen yang diberikan boleh menaikan kemarahan. Hal ini dikatakan demikian kerana kecenderungan individu kurang cerdik apabila melontarkan pandangan di ruangan komen di Facebook biasanya mengaitkan tindakan sebegitu dengan kaum, agama, bangsa, dan negeri (wilayah). Komen-komen sebegini boleh mencetuskan perbalahan sehingga mengaitkan pelbagai isu-isu yang memalukan dan menyuburkan geram dalam kalangan pembaca.


ADUHAI KAKI VIRAL

Orang yang bertanggungjawab menviralkan perbuatan sebegini seharusnya berfikiran lebih matang dan rasional sebelum berbuat demikian. Perkara-perkara sebegini bukannya elok diviralkan kerana tindakan kita itu ibarat menelanjangi diri kita sendiri juga. Sewajarnya, sebagai golongan yang berpendidikan dan berilmu kita dapat memikirkan impak positif dan negatif sekiranya kita memviralkan sesuatu kepada umum. Jika niat kita hanya untuk menambah “like” atau seronok membaca cacian dan umpatan daripada masyarakat terhadap gambar atau video yang diviralkan itu, lebih baik jangan. Saya merayu kepada kaki viral ini supaya viralkan perkara-perkara yang mendatangkan kemaslahatan bersama kepada masyarakat. Janganlah tergamak memviralkan perkara-perkara sebegini. Janganlah mengambil kesempatan untuk memalukan orang lain dengan melakukan perkara-perkara sebegini kerana satu jari yang kita tundingkan kepada orang lain itu tanpa sengaja empat jari pula ditundingkan kepada diri kita sendiri. Kita mungkin mendabik dada kerana kita anggap diri kita “Juara Viral” tetapi apakah maknanya semua itu jika apa yang kita viralkan itu tidak membawa impak positif kepada masyarakat. Silap-silap kita sendiri yang menanggung dosa kerana keghairahan memviralkan kedaifan orang lain. Saya percaya, orang yang memviralkan hal-hal sebegini niatnya hanya untuk memalukan pihak yang diviralkan itu. Adakah kebaikan yang diperoleh daripada memviralkan peristiwa sebegini? Tepuk dada tanya selera.

KOMEN GUNA MINDA

Gambar atau video yang sebegini memang mendapat sambutan dalam kalangan kaki komen di media sosial. Golongan ini akan memberikan komen berdasarkan persepsi mereka sendiri tanpa pertimbangan akal yang waras. Komen-komen yang dilontarkan biasanya berbentuk kutukan atau cacian yang disulami dengan pelbagai istilah baharu seperti “sila meninggal” dan sebagainya. Golongan kaki komen seperti juga golongan kaki viral kerana bagi saya mereka ini sama-sama dahagakan kontroversi dan “like”. Mereka langsung tidak memikirkan perasaan dan maruah seseorang kerana niat mereka adalah untuk kepentingan diri. Kebanyakannya, hanya dengan melihat gambar atau video, komen-komen dihamburkan tanpa mengetahu hujung pangkal sesuatu perkara. Satu lagi jenis kaki komen ini ialah mereka yang sengaja memberikan komen semata-mata untuk mengajak orang bergaduh di alam maya. Mereka sengaja menulis komen-komen yang kontroversi untu menarik untuk mendapat perhatian. Saya sifatkan golongan ini merupakan insan-insan yang kurang kasih sayang dan pemerhatian. Mereka jarang bergaul dengan kawan-kawan kerana masa dihabiskan dengan melayari internet. Golongan yang antisosial ini hanya gah apabila mengulas atau memberikan komen di Internet sahaja. Apabila diajak bersemuka, mereka bukanlah seperti kata-kata mereka di laman sosial. Mereka kelihatan bagai lembu dicucuk hidung.


BUANG BEGITU SAHAJA?

Ada kalanya saya tertanya-tanya, kenapakah makanan itu dibuang sebegitu sahaja? Mengapakah tidak dihancurkan atau dimusnahkan dalam bentuk yang lain sebelum dibuang? Buah epal itu akan pecah jika digelek dengan jentolak. Sayap ayam yang banyak itu bukankah lebih baik dibuang ke laut untuk dijadikan santapan sang bedal? Mengapa mesti dibuang di tempat terbuka? Seharusnya, selepas kejadian pertama kita telah belajar tentang cara-cara untuk mengatasi masalah sebegini agar tidak berulang lagi. Kita boleh fikirkan cara lain yang lebih rasional dan bijak dalam hal-hal sebegini. Jika makanan itu masih baik, tidak perlu dibuang atau ditimbus, kita bagi sahaja kepada percuma kepada masyarakat yang memerlukan supaya mereka tidak perlu bersusah payah berebut-rebut mengali semua makanan yang telah ditimbus. Jika makanan itu sudah basi, buruk, beracun, atau berbahaya pada kesihatan,  kita umumkan kepada semua supaya tidak mengambil makanan itu untuk dijual atau dijadikan hidangan makan keluarga atau tetamu. Mungkinkah kita terikat dengan undang-undang sehingga tergamak membuang makanan dengan cara sebegitu? Akan tetapi, kita harus ingat, undang-undang dibuat oleh manusia dan manusialah yang bertanggungjawab untuk memindanya dan menyesuaikannya mengikut peredaran zaman.

DIBIARKAN BEGITU SAHAJA

Mengapakah mereka tidak dilarang? Mengapakah mereka dibiarkan begitu? Semua orang nampak tindakan mereka  tetapi tiada yang melaporkan atau mengambil tindakan ke atas mereka. Sewajarnya, tempat sebegitu dijaga oleh pihak yang bertanggungjawab. Mereka yang mengali, mengutip, mengumpul, dan menjual semula makanan yang telah dibuang itu wajar ditangkap dan dikenakan tindakan supaya penyakit kutip balik sampah ini tidak berulang lagi. Janganlah kita biarkan fenomena sebegini mewarnai dunia media sosial. Bagi segelintir orang perkara sebegini agak melucukan tetapi sebenarnya perkara sebegini amat memalukan kerana boleh menjatuhkan maruah dan kedaulatan diri kita. Isu sebegini bukanlah isu remeh yang hanya dipandang dengan sebelah mata sebaliknya perlu ditangani dengan bijaksana dan kewarasan akal. Kita selalu lupa akan hal-hal yang kecil sebegini disebabkan banyak perkara-perkara besar yang perlu kita selesaikan dalam masa terdekat. Kita alpa, hal-hal yang kecil boleh manjadi besar jika terus berulang tanpa diambil tindakan yang sewajarnya.


Sampah yang boleh diambil semula setelah dibuang hanyalah sampah yang boleh dikitar semula kerana boleh mendatangkan banyak kebaikan. Barang-barang kitar semula boleh membantu menjana pendapatan jika kita serius dalam hal-hal sebegini. Akan tetapi, masyarakat nampaknya tidak berminat dengan aktiviti mencari sampah untuk dikitar semula ini? Kita harus berfikir secara waras dan rasional, jika ada makanan yang dibuang dan ditanam dalam kuantiti yang banyak, maknanya ada masalah  dan makanan tersebut tidak boleh dimakan. Jika boleh dimakan pihak yang berkaitan sudah tentu akan memberikannya secara percuma kepada kita. Janganlah bersusah payah membawa cangkul, baldi, dan khemah ke tapak pembuangan sampah semata-mata untuk mengutip semula makanan yang telah dibuang itu. Mungkin kita tidak sakit pada hari ini, minggu depan, atau tahun depan selepas memakan makanan tersebut tetapi kita hidup di dunia ini masih lama, impaknya ke atas kesihatan kita tidaklah terlalu cepat. Berkemungkinan mengambil masa bertahun-tahun juga. Ingatlah, perbuatan sebegini bukan budaya kita. Jangan diulangi lagi.

Cetusan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu, Sarawak. 

Tiada ulasan: