Kisah guru yang menghukum pelajar apabila
didedahkan di akhbar memang laku bagaikan pisang goreng panas yang menjadi
rebutan di Warung Mak Kiah di Kuala Krai. Warga yang sentiasa dahagakan sesuatu
kisah yang sensasi di media sosial akan berlumba-lumba meninggalkan komen yang
menghentam, memaki, menghina, dan menyalahkan guru tersebut wahal kes itu masih
dalam siasatan dan guru yang dituduh itu belum tentu bersalah. Apabila membaca
satu persatu komen-komen yang dilontarkan saya berasa amat sedih dengan
pandangan masyarakat mengenai guru. Mereka sentiasa mencari peluang dan ruang
untuk menghentam dan memperlekeh warga guru keseluruhannya sehingga mereka
terlupa tanpa pengorbanan, asuhan, dan didikan guru mereka akan “buta” untuk menikmati indahnya
duniawi. Sewaktu menghayati dan meneliti setiap komen yang diberikan hati
menjadi sayu dan pilu kerana segelintir daripada yang memberikan komen itu
merupakan golongan dewasa yang berjawatan dan “berkarisma”. Namun begitu,
sayang seribu kali sayang di gelanggang media sosial mereka nampak terlalu
nazak dan terdesak untuk menjadi hero mengutuk dan mencaci.
LAPORAN “NASI TAMBAH”
Kebanyakan kes yang disensasikan di suratkhabar
ini hanyalah menurut pandangan satu pihak sahaja. Komen daripada pihak polis hanyalah
mengesahkan laporan yang dibuat itu sambil memaklumkan bahawa kes tersebut
masih dalam siasatan. Frasa “kes masih dalam siasatan” bermaksud yang dituduh
bersalah tidak semestinya bersalah. Semua cerita yang disampaikan oleh wartawan
yang menulis hanyalah berdasarkan cerita daripada yang melaporkan kes.
Biasanya, wartawan itu langsung tidak menyampaikan berita yang keluar sendiri
daripada mulut guru yang terbabit. Ibu bapa atau penjaga yang melaporkan kes
itu pun tidak berada dalam kejadian tetapi susunan kata-kata apabila
menceritakan kejadian amat indah dan menarik, yang salah guru, yang tidak salah
hanyalah anak mereka sahaja. Persoalannya, daripada siapakah mereka mendapat
berita yang dilaporkan itu? Sudah tentu tukang cerita ialah anak mereka sendiri
dan rakan-rakannya (mungkin). Bolehkah berita itu dipercayai? Tepuk dada tanya
selera. Kebanyakan murid apabila bercerita sesuatu insiden sebegini kepada ibu
bapa mereka akan sepakat menyalahkan guru kerana rasa marah dihukum. Ibu bapa
pula terlalu mempercayai anak sehingga tergamak membuat keputusan yang akhirnya
tidak menyebelahi mereka.
Kes sebegini kebanyakannya disensasikan dengan
menokok tambah cerita supaya guru nampak amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Golongan ini sanggup berdrama dengan mencipta skrip agar berita yang
dikeluarkan di akhbar itu benar-benar menunjukkan bahawa mereka merupakan pihak
yang teraniaya dan guru yang terbabit adalah jahat. Apabila berita tersebut
menjadi tular, masyarakat pula tanpa berfikir panjang akan terikut-ikut dengan
tindakan si tukang cerita sehingga sanggup melontarkan pelbagai komen yang
berbentuk cacian dan makian terhadap guru tersebut dan profesion perguruan
keseluruhannya. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana saya
melihat sesuatu berlandaskan akal yang rasional. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tepuk
sebelah tangan tak akan berbunyi’, maknanya tanpa adanya sebab dan alasan yang
munasabah hanya orang yang tidak ada akal sahaja yang akan bertindak tidak
waras. Guru merupakan manusia dan cara mereka bekerja juga dikawal oleh
pelbagai peraturan. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendidik memang
ada yang tersasar tetapi saya yakin pihak pentadbir sekolah tidak akan
membiarkan guru itu terlepas daripada hukuman. Walau bagaimanapun, ada kalanya
hati dan jiwa guru remuk dan luluh dikerjakan dengan karenah biadab sebilangan
pelajar yang memang tidak dapat dilentur dan dibentuk.
Kes yang sudah diselesaikan di sekolah dengan
rundingan dan perdamaian, disebabkan rasa tidak puas hati serta didorong oleh
rasa riak mencipta kontroversi demi meraih simpati masyarakat, sebilangan ibu
bapa sanggup membuat laporan polis. Tindakan ini bukan suatu kesalahan malahan
amat digalakkan jika pihak yang melaporkan kes itu benar-benar berdiri di atas
lantai kebenaran. Akan tetapi, segelintir pihak yang terbabit sanggup melakukan
ulang tayang kes seolah-olah tindakan itu dilakukan oleh guru wahal bukan. Drama
mengada-adakan apa yang tiada ini ditayangkan tanpa mengira dosa. Dengan niat
untuk meremehkan martabat guru dan memusnahkan masa depan guru terbabit, rasa
insaf dan memaafkan sanggup diketepikan. Sumbangan guru dalam melakukan
kebaikan dan berkorban dalam mendidik dan mengasuh anak mereka sengaja
dipadamkan dari mata fikir dan mata hati mereka. Yang mereka mahu biarlah guru
itu ditamatkan perkhidmatannya. Oleh sebab itulah, mereka sanggup
memperbanyakan ramuan fitnah dalam laporan yang dibuat. Itulah cerita yang
masyarakat selalu alpa apabila membaca kes yang melibatkan guru di media sosial
atau di akhbar.
GURU ITU BERSALAH?
Cerita guru rotan pelajar hingga berdarah, guru
tampar pelajar hingga bengkak, guru tendang pelajar, guru maki pelajar, guru
tumbuk pelajar yang dipaparkan di akhbar memang mengundang rasa marah di hati
kita apabila membacanya. Jika diturutkan hati, mahu sahaja rasanya kita
ringankan tangan dan kaki untuk membalas balik perbuatan guru itu. Akan tetapi,
kita jangan lupa bahawa berita yang kita baca dan gambar yang kita lihat itu
tidak semestinya benar. Wartawan yang mengatur indah bahasa laras laporannya
itu, tidak berada di tempat kejadian. Ibu bapa yang rancak bercerita dan petah
berbicara itu juga tiada di tempat kejadian. Yang ada di tempat kejadian itu
hanyalah murid dan guru dan di atas sana yang melihat perbuatan mereka tanpa
jemu ialah Tuhan Yang Maha Esa. Untuk pengetahuan, kebanyakan kes sebegini
pihak yang selalu menang ialah guru. Akan tetapi, kenapakah wartawan tidak
menulis berita itu? Hal ini disebabkan wartawan-wartawan ini cuma menunggu
berita jatuh ke riba dan kemudian pergi ke balai polis untuk mengesahkan
kejadian. Selepas berita itu keluar dan mendapat perhatian mereka berasa puas
kerana tugas telah disempurnakan dengan jayanya. Pernahkah mereka berjumpa
sendiri dengan guru yang dituduh? Pernahkah mereka bertanya terlebih dahulu
kepada kepala sekolah? Pernahkah mereka fikirkan kesahihan sesuatu berita
sebelum menjajanya di media? Jawapannya, hanya mereka sahaja yang tahu.
Kemenangan selalunya berpihak kepada guru.
Kasihan guru, mereka sanggup menelan segala cacian, makian, umpatan, dan hinaan
masyarakat tetapi tugas hakiki tidak sesekali mereka ketepikan. Rasa pedih dan
sakit yang menghiris sembilu hati terpaksa dilupakan apabila mengenangkan tugas
wajib diri adalah untuk menyampaikan ilmu. Setiap kesalahan murid dan ibu bapa
mereka guru maafkan tanpa rasa dendam. Guru tidak tergamak melakukan sidang
media, mencari wartawan, atau membuat laporan polis akibat kesilapan ibu bapa
dan pelajar sendiri. Semuanya tersimpan rapi di hati dan disusun baik dalam
lipatan memori. Mungkin kita tertanya-tanya? Jika tidak bersalah, kenapakah
guru tersebut tidak menyaman pihak yang membuat laporan itu? Biar saya
lanjutkan perkongsian ini, bayangkan jika guru menyaman pihak yang terbabit? Berapa
banyak masakah yang akan terbazir? Mampukah yang melaporkan itu membayar saman
atau menanggung segala kos turun naik mahkamah? Sebenarnya, saya segan mahu
menceritakan latar belakang keluar pelajar yang selalu melakukan tindakan
sebegini. Rata-ratanya mereka merupakan golongan bependapatan rendah dan sederhana.
Jiwa mereka amat sensitif sehingga perkara kecil pun sanggup diperbesar.
Lantaran itu, bagi golongan guru yang memahami, mereka sanggup menyelesaikan
kes sebegini di meja rundingan. Biarlah mereka dipandang serong. Biarlah diri
mereka dimaki. Biarlah kerjaya mereka dihina. Tidak mengapa, suatu masa yang
betul itu akan terselak juga.
AKAL BIAR BERAKAL
Masyarakat yang ketagihan berita dan suka
melontarkan pandangan serta komen di media sosial harus rasional dengan setiap
kata yang ditulis kerana semua orang akan membaca komen-komen tersebut. Kita
mungkin sempurna pada penilaian diri kita sendiri tetapi di mata orang lain kesempurnaan
itu tiada. Sebelum kita menghukum, menghina, dan mencaci orang lain kita harus
cermin diri kita terlebih dahulu, apakah kita cukup bagus untuk memperlakukan
orang lain sebegitu? Jangan terlalu ghairah untuk mendapatkan perhatian
sehingga kita menghadam fitnah lantas menyemarakkan rasa amarah melulu. Kita
jangan lupa setiap kata yang kita tulis mencerminkan keperbadian diri kita yang
sebenarnya. Setiap fitnah yang kita tabur juga akan ada balasannya. Dunia
mungkin mengiktiraf kemenangan kita ke atas pihak yang teraniaya tetapi di
akhirat nanti kita perlu menjawab setiap kemungkaran yang telah kita lakukan
itu. Semua masalah ada jalan penyelesaian dan setiap penyelesaian itu
kadang-kadang melukakan tetapi andai kita terima dengan keikhlasan, insyallah
semuanya akan menjadi indah dan manis. Sebelum kita sakiti hati orang lain,
kita sakiti hati kita sendiri dahulu. Jika kita rasa kesakitan itu menyakitkan
maka kita jangan lakukannya ke atas orang lain.
Budaya membenci golongan guru atau pendidik
yang kian bercambah di jiwa masyarakat kita harus dikikis. Golongan guru kian
matang dalam melaksanakan tanggungjawab. Jika segelintir guru melakukan
kesalahan, percayalah mereka akan berhadapan dengan tindakan tatatertib dan
akan diberikan hukuman yang setimpal dengan silap yang mereka lakukan. Jika
kita membaca sesuatu berita tular baik berkaitan dengan guru atau apa-apa
sahaja, sekiranya kita tidak tahu duduk perkara sebenar, kita jangan terlalu
mudah merenjiskan kata-kata yang berbentuk cacian atau penghinaan kerana terlajak
perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Hidup ini mudah untuk
dilayari. Jika kita menghormati orang maka kita akan dapat penghormatan yang
setimpal. Jika kita memuliakan semua manusia tanpa mengira darjat, keturunan,
kelakuan, dan latar belakang maka kita akan mendapat keberkatan. Sejahat-jahat
manapun insan, hatinya akan lembut jika disirami dengan kasih sayang sesama
insan. Guru banyak berbakti kepada setiap insan. Mereka memberikan kita asuhan
dan didikan sehingga kita menjadi seperti hari ini. Salah macam manapun
seseorang guru, ingatlah jasa dan pengorbanannya tetap mengatasi kesilapan yang
dilakukannya itu. Semuanya akan jadi indah jika kita saling memaafi dan
menyanjungi.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan