Pada
7 Mac 2012, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
telah menganjurkan suatu panel perbincangan berkenaan "Diskriminasi dan
Keganasan berdasarkan Orientasi Seksual dan Identiti Gender" yang
berlangsung sebagai sebahagian acara tahunan sesi ke 19 Majlis Hak Asasi
Manusia di Geneva, Switzerland. Panel
tersebut telah mendapat bantahan daripada Kumpulan Negara OIC bagi Hak Asasi Manusia,
yang telah mengirim sepucuk surat kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB,
Laura Dupuy Lasserre bagi menyatakan kebimbangan negara-negara OIC terhadap
usaha untuk memperkenalkan di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia
(UDHR) terma-terma serta standard-standard berkenaan Orientasi Seksual dan
identiti Gender (SOGI) yang asing di dalam "bahasa" dan
"penerimaan nilai-nilai sejagat" berkenaan hak Lesbian, Gay,
Biseksual dan Transeksual, serta dengan jelas menolak sebarang usaha untuk
menjadikan orientasi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) sebagai
nilai yang sepatutnya diterima semua negara anggota PBB sebagai sebahagian dari
hak-hak asasi manusia sejagat.
Percubaan
panel tersebut banyak mendapat inspirasi awal dari Prinsip-prinsip Yogjakarta
(Yogyakarta Principles), yang merupakan satu set prinsip berhubung orientasi seksual dan
identiti jantina yang diwujudkan dengan hasrat untuk memohon
piawaian undang-undang hak asasi manusia antarabangsa bagi menangani penyalahgunaan kuasa hak asasi manusia golongan LGBT, dan isu-isu
antara seks (intersexuality). Prinsip-prinsip tersebut telah dihasilkan pada satu mesyuarat antara Suruhanjaya Juri Antarabangsa ,
Perkhidmatan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia dan pakar-pakar hak asasi manusia dari seluruh dunia di Universiti Mada di Pulau Jawa pada 6 hingga
9 November 2006. Dokumen penutup
"mengandungi 29 prinsip yang didakwa diterima dengan sebulat suara oleh
pakar-pakar bersama dengan cadangan
kepada kerajaan, institusi-institusi
antara kerajaan daerah, masyarakat
awam dan PBB sendiri" dinamakan sempena Yogyakarta, wilayah
paling kecil Indonesia (tidak
termasuk Jakarta) yang terletak
di pulau Pulau Jawa.
Prinsip-prinsip ini belum diterima oleh negara-negara dalam satu perjanjian, maka secara kendiri, ia bukan bahagian
undang-undang hak asasi manusia
antarabangsa yang mengikat secara sah, walaupun prinsip-prinsip tersebut bertujuan bertindak
sebagai bantuan penafsiran terhadap perjanjian
hak asasi manusia.
Antara
29 penandatangan prinsip-prinsip adalah Mary Robinson, Manfred Nowak, Martin Scheinin, Elizabeth Evatt, Philip Alston, Edwin Cameron, Asma Jahangir, yang kesemuanya
berhasrat supaya prinsip-prinsip Yogyakarta harus diterima sebagai standard
sejagat, mengesahkan standard undang-undang antarabangsa yang mengikat yang
mana semua negara mesti patuhi. Walaubagaimanapun, beberapa negara anggota
khususnya negara-negara OIC telah menyatakan keraguan mereka terhadap pandangan
tersebut. Prinsip-prinsip tersebut, selain dari mencetuskan Resolusi 17/19 PBB
berhubung hak-hak LGBT, telah menjadi sebahagian perkara yang dinyatakan di
dalam Laporan Gabungan NGO Malaysia (COMANGO) bertarikh 11 Mac 2013 yang
dijadikan asas semakan rekod Hak Asasi Manusia Malaysia pada 24 Oktober 2013
yang lalu. COMANGO telah secara khusus menuntut supaya seksyen 377A Kanun
Keseksaan dihapuskan, selain mengesyorkan Malaysia menurut prinsip-prinsip
Yogyakarta. Kesan jangka panjang tuntutan ini, yang berselindung di sebalik
istilah 'diskriminasi minoriti', ialah untuk membolehkan perkahwinan sesama
jenis dijalankan di Malaysia tanpa sebarang halangan undang-undang atau kawalan
moral.
Berselindung
Ternyata
prinsip-prinsip Yogyakarta ini merupakan satu agenda bahaya yang secara
berterusan menjadi usaha yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia
sejagat. Bagi negara-negara OIC khususnya, bantahan yang dinyatakan melalui
surat bertarikh 14 Februari 2012 tersebut menggambarkan kegusaran yang mendalam
terhadap usaha-usaha agresif untuk mengiktiraf secara terbuka hak-hak yang
berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Hal ini demikian oleh kerana
negara-negara Islam sedar bahawa tuntutan terhadap hak-hak sedemikian melampaui
garis normal kemanusiaan yang akhirnya akan membawa pada kebinasaan tamadun
manusia. Amaran Qurani yang sangat jelas seperti pembalasan yang dikenakan
terhadap kaum Nabi Luth a.s yang mengingkari panduan hubungan manusia secara
sejahtera menjadi peringatan yang tetap relevan hingga ke akhir zaman.
Melalui
Kumpulan Negara-negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, Malaysia telah pun
menyatakan undian bantahan terhadap Resolusi 17/19 berkenaan hak-hak LGBT.
Malaysia sendiri menghadapi arus kempen yang kuat di dalam negara yang
menunjukkan bibit-bibit sokongan terhadap hak-hak LGBT ini telah pun dipengaruhi
prinsip-prinsip Yogyakarta. Sebagai contoh, susulan pengaruh prinsip-prinsip
Yogyakarta tersebut juga, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang berpengaruh
di Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW) berhujah undang-undang anti-liwat
yang berkuatkuasa di Malaysia sudah ketinggalan zaman (archaic) kerana
bertentangan dengan hak asasi manusia. Oleh itu, badan hak asasi antarabangsa
itu menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat yang kononnya
melanggar hak privasi dan berbentuk diskriminasi serta perlu diganti dengan
undang-undang baru yang membenarkan aktiviti liwat. Menurutnya, undang-undang
baru itu mestilah selaras dengan prinsip-prinsip Yogyakarta, laporan
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia.
Bangsa-Bangsa
Bersatu dan Deklarasi Vienna yang mengiktiraf hak-hak asasi manusia termasuk
melakukan aktiviti seks luar tabie atas dasar suka sama suka. Prinsip-prinsip
tersebut juga telah mula mendapat tempat dalam kalangan segelintir NGO Hak
Asasi Manusia dan beberapa parti politik di Malaysia. Penganjuran Seksualiti
Merdeka misalnya, jelas mendapat inspirasi dari usaha-usaha di peringkat global
untuk mendapatkan "hak dan pengiktirafan" bagi golongan LGBT, atas
dasar kononnya teguran atau tindakan untuk memandu golongan ini disifatkan
sebagai "diskriminasi" dan "tekanan sosial' terhadap mereka.
Mereka juga merasakan sepatutnya dibenarkan untuk bebas memilih orientasi seks,
meskipun orientasi tersebut berlawanan dengan fitrah keagamaan dan kacamata
ketamadunan manusia.
Malaysia
seharusnya memimpin usaha menentang perkembangan yang sangat berbahaya ini.
Sehingga kini, sebanyak 14 negara di dunia yang telah mengiktiraf dan mempunyai
undang-undang perkahwinan sejenis. Seperti yang dilaporkan agensi Reuters, 13
November baru-baru ini menyaksikan Hawaii menjadi negeri terkini di dalam
Amerika Syarikat yang mengiktiraf perkahwinan sejenis apabila gabenornya Neil
Abercrombie menandatangani rang undang-undang untuk mengesahkan keizinan
tersebut. Ternyata Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan masalah yang
sangat serius yang bakal menghancurkan sisa-sisa kemanusiaan yang masih ada
padanya.
Sebagai
sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, Malaysia perlu
terus mengekalkan kedaulatannya dengan tidak tunduk terhadap tekanan
antarabangsa melalui penerimaan terhadap prinsip-prinsip Yogyakarta dan
lain-lain instrumen yang digunakan untuk menerbitkan hak-hak songsang mereka
yang berjuang di sebalik gagasan hak asasi manusia sejagat. Peranan Islam sebagai
agama negara dan tugas Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam berdasarkan
sumpah jawatan pada Jadual Keempat, Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan,
ditambah dengan penerimaan prinsip-prinsip Rukun Negara yang jauh sekali
menerima hak dan aktiviti songsang seperti yang dituntut golongan LGBT ini,
sepatutnya menzahirkan keunikan dan kemampuan Malaysia untuk mematuhi prinsip
hak asasi manusia sejagat tanpa mengorbankan nilai agama, budaya setempat dan
realiti negara. Malah hal ini adalah seperti mana yang telah dipersetujui
bersama melalui Persidangan Hak Asasi Manusia 1993 di Vienna berkenaan
kepentingan mengambil kira faktor-faktor tersebut di dalam menuntut sesebuah
negara untuk patuh dengan hak-hak asasi manusia sejagat.
Secara
khususnya, pada bulan Mac depan, kerajaan Malaysia perlu tegas menolak beberapa
syor negara-negara seperti Jerman, Belanda dan Austria yang mahukan Malaysia
menghapuskan undang-undang anti-liwat dan mengiktiraf hak-hak LGBT, sebagaimana
yang dizahirkan di antara 232 syor-syor pada sesi UPR baru-baru ini. Malaysia
perlu meneruskan sikap dan pendirian konsisten menolak pengiktirafan hak-hak
LGBT sebagaimana yang telah ditegaskan ketika menolak Resolusi 17/19 PBB dan
ketika menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada November tahun
lepas. Selain itu, wujud keperluan segera untuk Malaysia memulakan gerakan
menghapuskan prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang sangat berbahaya terhadap
kelangsungan tamadun kemanusiaan. Malah, gerakan ini sangat mendesak oleh
kerana prinsip sedemikian, tanpa ramai yang menyedari, telah dimaktubkan di
negara Islam terbesar di dunia, Indonesia yang juga merupakan jiran terdekat
rumpun melayu-Islam dan negara anggota OIC.
SUMBER
MINGGUAN
MALAYSIA
TARIKH
: 17 NOVEMBER 2013
HARI
: AHAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan