Rencana ini ditulis
oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains
Malaysia
Sambutan Kemerdekaan
Ke-55 negara ini sepatutnya membuka mata kita untuk bersikap lebih matang dalam
tindakan. Tema 'Janji Ditepati' walaupun tidak disenangi sesetengah pihak
sewajarnya menjadi sumber muhasabah diri dalam menilai kematangan diri dan
kesediaan kita untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai apa jua yang
dicita-citakan. Muhasabah diri hanya boleh dilakukan jika kita berupaya keluar
dari sikap taksub yang keterlaluan terhadap banyak perkara yang berlaku di
sekeliling kita. Sikap taksub atau sesetengah orang menganggap sebagai
kepercayaan ekstrem menyebabkan kita gagal membuka mata hati dalam membuat
penilaian sewajarnya.
Dalam soal pendidikan
misalnya, ketaksuban terhadap apa yang dianggap hebat oleh orang lain,
menyebabkan kita gagal membuka mata kepada kejayaan yang kita capai selama ini.
Kita hanya menganggap apa yang kita capai itu hebat, hanya apabila pihak lain
mengatakan yang kita hebat. Kerana itulah, apabila universiti kita tidak
ditarafkan sebagai antara yang terbaik maka kita menganggap sistem pendidikan
apatah pengajian tinggi kita bukan yang terbaik. Sedangkan hakikatnya negara
kita membangunkan dalam tempoh 55 tahun ini sebahagian besarnya dilahirkan
daripada cerdik pandai kita, sama ada yang mendapat pendidikan dari dalam mahu
pun dari luar negara.
Mereka yang banyak
mengkritik pengajian dan pendidikan kita pun sebenarnya lahir dari sistem
pendidikan negara yang memberi peluang dan ruang yang amat jelas dalam
memberikan kebebasan untuk menerokai segala yang kita ada dalam acuan dan dunia
kita sendiri tanpa mengetepikan dunia luar dan proses globalisasi yang membawa
kepada pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini. Dalam tempoh 55
tahun ini juga, banyak pencapaian besar yang hanya boleh diakui jika kita tidak
taksub kepada apa yang kita percayai semata-mata, atau taksub kepada perspektif
yang berteraskan kepada kumpulan atau mazhab yang kita anuti.
Kemerdekaan sebenar
adalah apabila kita berupaya bersikap lebih terbuka, bersedia menerima
pandangan orang lain dan pada masa sama mempertahankan nilai-nilai yang kita
miliki dan yakini sebagai teras pembangunan negara bangsa yang bersifat mandiri
dan mempunyai kedaulatannya yang tersendiri. Kita patut bersyukur, kerana dalam
tempoh 55 tahun ini, banyak janji yang dilakarkan sejak 1957, kemudiannya
diperbaharui melalui pelbagai dasar utama negara dari Rancangan Malaysia
Pertama membawa kepada Wawasan 2020 dan teras Rukun Negara yang mencari citra
bangsa yang berdaulat dan merdeka, jelas berupaya menjadikan kita satu bangsa
progresif, berbudaya dan memandang jauh ke hadapan.
Walaupun pada asasnya
bumiputera diberikan keutamaan dalam pembangunan negara, namun hakikatnya
kaum-kaum lain tidak pernah diketepikan. Malah, dalam tempoh 55 tahun ini,
tidak juga menunjukkan orang Melayu atau mana-mana bumiputera yang berada pada
kedudukan tertinggi dalam senarai mereka yang terkaya, namun ini tidak pula
bermakna yang terdapat kumpulan tertentu yang disisihkan. Oleh sedemikian
janji-janji yang diberikan oleh mana-mana pihak yang kerap pula bijak
menaburkannya, haruslah dilihat dengan realistik. Dalam masyarakat majmuk
seperti Malaysia, janji-janji manis mudah ditaburkan untuk memenangi hati orang
ramai, golongan muda dan pihak-pihak tertentu, namun hakikatnya, apa yang kita
capai selama ini tidak harus dikorbankan hanya kerana mengejar pelangi yang
tidak tercapai tangan.
Sikap taksub yang
keterlaluan kerap menutup pandangan mata kita terhadap erti sebenar kejayaan
dan pencapaian. Sikap taksub juga boleh merosakkan pembangunan negara
disebabkan oleh sikap mengikut dan percaya secara buta tuli malah juga akan
menjahanamkan satu bangsa dan mewujudkan penjajahan baru yang lebih berbahaya.
Apatah lagi jika pihak atau individu yang diikut mempunyai kepentingan diri dan
didalangi pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Kita telah pun melihat
banyak negara yang hancur hanya kerana kesilapan yang dibuat akibat percayakan
pihak tertentu. Walaupun pemimpin negara dijatuhkan disebabkan oleh pelbagai
alasan, namun yang menderita akhirnya ialah rakyat apabila negara menjadi kucar
kacir.
Tidak salah untuk
membuat teguran terhadap kelemahan sesuatu sistem, namun teguran yang dibuat
biarlah berhemah dan bersikap objektif tanpa dipengaruhi oleh sesuatu pihak
yang mempunyai kepentingan tertentu. Rakyat dan masyarakat berhak melakukan
perubahan dalam sesuatu sistem dan proses kerja yang ternyata perlu dilakukan
penambahbaikan berterusan. Tetapi ia tidak wajar dilakukan atas kepentingan
tertentu yang di luar batas agama, moral dan etika yang ada. Anak-anak muda
kita pula tidak mudah dipengaruhi oleh segala yang ideal dan janji-janji manis
yang hanya bermain dengan perasaan dan darah muda yang sentiasa inginkan
perubahan dan sesuatu yang baru dan segar.
Misalnya, apabila
terdapat gesaan mewujudkan proses demokrasi yang lebih bebas atau sistem yang
dilakukan lebih "bersih", ia harus dilihat dengan berhati-hati.
Kebebasan keterlaluan tidak akan menguntungkan sesiapa. Tiada kebebasan hakiki
dalam apa jua yang dilakukan, sebaliknya ia harus terkawal dan tidak
mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Malah, hakikat sebenar dalam
mana-mana sistem pun, terdapat kelemahan dan kekurangan yang tidak mungkin
bersih sepenuhnya, namun kitalah yang akan menentukan apa yang dianggap bersih
atau tidak. Biar secantik mana pun sesuatu sistem, jika manusia yang
melaksanakannya tidak mempunyai integriti tinggi dan akauntabiliti, maka ia
sukar dilaksanakan.
Proses penambahbaikan
dalam apa jua pun yang mempunyai kepentingan masyarakat dan negara boleh
dilakukan tetapi bukan berasaskan ketaksuban kepada pegangan politik atau untuk
pemimpin tertentu tetapi mestilah berteraskan kepada kebaikan bersama dan kepentingan
masyarakat, orang ramai dan negara. Seorang pemimpin dihormati kerana
kepimpinannya yang terbukti jelas dan berupaya membawa masyarakat dan negara ke
hadapan menghadapi segala cabaran, bukannya mereka yang hanya bijak
berkata-kata, berani menabur janji dan bercakap berkobar-kobar membakar semangat
dengan segala retorik, tetapi tidak berteraskan kepada realiti, tidak realistik
dan hanya kata-kata manis yang payah diterjemahkan dalam tindakan.
Kerana itu, demi
memastikan kelangsungan masa depan rakyat dan negara, adalah wajar kita
memerdekakan diri dari segala ketaksuban, hingga menjadikan kita buta walaupun
mampu melihat, pekak walaupun mampu mendengar kerana pada akhirnya sesebuah
negara hanya berupaya mengekalkan kemerdekaannya dengan keupayaan menghadapi
segala cabaran jika mempunyai jati diri, bersatu padu dan rakyat yang berilmu
pengetahuan, bijaksana dalam pertimbangan dan tidak mudah kalah dengan segala
hasutan.
Bahan ini diperoleh
daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
01 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan