Oleh FAUZIAH AROF
Sudah sahih, akhirnya skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengundang pelbagai kontroversi ekoran rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan awam terutamanya di peringkat kumpulan sokongan tidak akan dilaksanakan. Sebaliknya, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikekalkan dan diberi penambahbaikan. SBPA, yang disifatkan berat sebelah kerana hanya menguntungkan kumpulan yang bergaji lebih tinggi sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu. Dan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa skim tersebut dibatalkan terus. Keputusan itu sudah pasti memberikan kelegaan dan sedikit sinar kepada hampir separuh daripada 1.4 juta kakitangan awam di negara ini. Turut diumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).
Najib juga mengumumkan jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang diubah suai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80 hingga RM320 bagi Gred 1 hingga 54 manakala gred bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) kekal mengikut kenaikan tahunan SSM. Isu penting dalam SBPA adalah soal ketidakadilan yang begitu jelas ketara dari segi kenaikan gaji. Skim ini dikatakan seolah-olah dicipta untuk menguntungkan satu kumpulan tertentu sahaja. Kumpulan JUSA dikatakan mendapat kenaikan yang paling tinggi. Contohnya, kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus. Ia adalah nampak amat ketara kenaikannya berbanding kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200, dan ada yang lebih rendah dengan peratus kenaikan hanya di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus.
Justeru, skim ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kumpulan penjawat awam kumpulan sokongan. Mereka tertanya- tanya, adakah hanya kumpulan gred 27 ke atas dan JUSA yang mengalami keperitan hidup akibat kos sara hidup yang meningkat? Sedangkan kos sara hidup yang kian tinggi akibat kemuraman ekonomi dunia ini dialami oleh semua kumpulan dalam sektor berkenaan. Mereka juga mahu kerajaan membuat pertimbangan sendiri dengan memberi keadilan kepada semua pihak. Mereka berpendapat susunan gaji dalam SSM sudah betul dan munasabah. Sehubungan itu, Perdana Menteri pada 12 Januari lalu telah meminta agar SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya. Sudah tentu soal gaji atau pendapatan bulanan menjadi isu yang sangat besar kepada semua pihak bukan sahaja bagi kakitangan awam. Ia mempengaruhi dan memberi kesan kepada survival penduduk di negara ini.
Dengan kos sara hidup yang kian meningkat akibat kenaikan harga barang-barang keperluan dan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu, bagaimanakah kakitangan awam yang duduk dalam kategori bergaji sederhana dan rendah mahu melaluinya dengan mudah. Sedangkan, kakitangan awam ialah golongan yang memberi kelancaran kepada jentera sektor awam di negara ini. Mereka yang menjadi tulang belakang dan memberi kekuatan kepada kerajaan. Maka ketidakpuasan hati akan menjejaskan produktiviti mereka. Sudah menjadi lumrah di mana-mana sektor pun, ketidakpuasan hati mengenai gaji boleh mempengaruhi produktiviti seorang pekerja - mereka akan memilih untuk bekerja secara ala kadar atau terus menjadi malas Menurut Pensyarah Kolej Perniagaan Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Helmi Hidthiir, skim gaji dalam mana-mana sektor awam termasuk di kebanyakan negara lain perlu jelas dan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan.
''Ini kerana skim gaji yang tidak difahami dan cenderung kepada mana-mana kumpulan akan mempengaruhi produktiviti pekerja-pekerja dalam sektor itu. ''Kadar upah yang tidak setimpal dan tidak sesuai dengan keadaan semasa akan menjejaskan produktiviti pekerja ,'' katanya. Kata beliau, isu upah adalah penting dalam setiap negara di dunia kerana ia mempengaruhi penggunaan penuh dan penjanaan ekonomi negara. Dalam pada itu, kata beliau untuk mencapai sasaran menjadi negara yang berpendapatan tinggi, skim gaji kakitangan awam yang ada sekarang perlu disemak. ''Ia bergantung kepada kepada jangkamasa sasaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi itu. ''Beberapa semakan perlu dilakukan supaya pendapatan yang dicapai oleh kakitangan awam negara ini benar-benar menunjukkan telah mencapai ke tahap berkenaan,'' katanya.
Justeru katanya, pengumuman Najib mengenai sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan untuk penjawat awam pada masa depan adalah langkah-langkah yang menuju ke arah itu. Menurut beliau, beberapa negara maju dan membangun seperti Singapura memiliki skim gaji kakitangan awam yang lebih tinggi atau mungkin menyamai sektor swastanya. Kata Mohamad Helmi, ia bertujuan mewujudkan pendapatan yang kompetitif berbanding dengan sektor swasta di negara berkenaan. ''Selain itu, ia juga memastikan kakitangan awam bekerja dengan lebih efisien,'' katanya. Justeru, mewujudkan sistem gaji kakitangan awam yang munasabah adalah perlu bukan sahaja untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup kakitangan terbabit, tetapi kesannya terhadap produktiviti dan ekonomi negara.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
9 Mac 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan