JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : AS BAKAR MAYAT OSAMA, SENGAJA HINA ISLAM

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Jika ditakdirkan Osama bin Laden masih hidup sehingga semalam, beliau sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-55 kerana 10 Mac 1957 ialah tarikh beliau dilahirkan di Arab Saudi. Secara kebetulan pula, tahun kelahirannya bersamaan dengan tahun Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada Britain. Osama dilaporkan mati ditembak pada 2 Mei 2011 dalam satu operasi komando Amerika Syarikat (AS) dekat bandar Abbottabad, sebuah bandar yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Islamabad, ibu negara Pakistan. Seperti biasa, laporan kematian Osama itu dianggap sekadar satu lagi teori konspirasi AS. Berita mengenai kejayaan operasi itu dan kematian Osama disambut gembira sebahagian masyarakat dunia khasnya rakyat AS, namun bilangan yang tidak memper-cayai berita kematian Osama itu juga bukan sedikit.  Malah ramai orang menganggap pembunuhan Osama yang disaksikan sendiri Presiden AS, Barack Obama secara langsung menerusi kaca televisyen dari Rumah Putih di Washington sebagai pembohongan semata-mata.

Bagi meyakinkan lagi kematian Osama dalam operasi itu, pentadbiran Obama mengeluarkan kenyataan yang jenazah pemimpin al-Qaeda itu dibuang ke laut dari kapal USS Carl Vinson mengikut kaedah Islam. Sejauh mana kebenaran tindakan kejam Kerajaan AS terhadap seorang Muslim itu, ia menimbulkan perdebatan dan turut dikaitkan sebagai satu konspirasi.  Bagaimanapun, 10 bulan kemudian atau lebih tepat lagi pada Khamis lalu, dunia dikejutkan pula dengan pendedahan kumpulan penggodam dikenali sebagai Anony-mous yang berjaya menggodam e-mel dari syarikat perisikan Strat-for, sebuah organisasi terbabit analisis perisikan dan geopolitik. Kandungan e-mel itu menyatakan bahawa jenazah Osama sebenarnya tidak dibuang ke laut seperti didakwa pentadbiran Obama sebelum ini, sebaliknya dihantar ke AS untuk dibakar. Berbalik kepada laporan menyatakan jenazah Osama tidak dibuang ke laut, sebaliknya dibakar di AS, perbuatan itu secara terang-terangan menghina jenazah, agama Islam dan seluruh umatnya.

Jika benar Osama mati dalam serangan itu, Rumah Putih sepatutnya menghormati jenazah Osama mengikut ajaran Islam dan tidak menghina jenazahnya sebegitu rupa.  Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya menjelaskan haram membakar mayat orang Islam dan jika ada pihak yang melakukannya, ia satu tindakan yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam.  “Walau apa pun status orang itu ketika hayatnya sama ada dia penjahat, penjenayah atau pengganas, apabila dia meninggal dunia, mayatnya tetap perlu dihormati dan disempurnakan mengikut ajaran Islam,” katanya. Dalam hal ini, Islam mengajar umatnya beberapa panduan menguruskan jenazah bermula selepas kematiannya sehingga ke proses dikebumikan. Antara perkara wajib yang perlu dilaksanakan kepada mayat ialah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan.

Tatacara ini dijelaskan al-Quran dan Sunnah dengan menepati kehendak kehidupan manusia. Islam memuliakan kedudukan manusia selaku khalifah di muka bumi termasuk dalam keadaan mereka walaupun sudah meninggal dunia. Ulama bersepakat bahawa perbuatan membakar mayat adalah haram kerana perbuatan itu satu bentuk seksaan terhadap mereka yang mati. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan mencederakan mayat sama ada duduk atas kuburnya atau menyeksa mayat.  Aishah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mematahkan tulang seseorang yang meninggal dunia sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud). Jika perbuatan mematahkan tulang mayat pun tidak dibenarkan dalam Islam, apatah lagi tindakan membakar mayat yang terang-terangan menyeksa mayat walaupun ada yang berkata, mayat tidak boleh berasa panas.

Jika dilihat sejarah hidup Osama, terlalu banyak konspirasi mengenai dirinya yang wujud. Ada laporan mendakwa Osama selaku pemimpin al-Qaeda tidak wujud, sebaliknya yang wujud hanya individu bernama Osama tetapi tidak ada kaitan langsung dengan al-Qaeda atau gerakan jihad.  Versi lain pula menyatakan, Osama hanya satu watak dicipta Agensi Risikan Pusat (CIA) AS bagi menghalalkan usaha menentang keganasan global (Islam?) selepas tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.  Bagaimanapun, ada bukti jelas menyatakan memang wujud insan bergelar Osama, terbabit dalam beberapa siri peperangan Afghanistan-Russia sekitar 1980-an menerusi buku yang diterbitkan pada 1999, iaitu dua tahun sebelum serangan 11 September.  Biodata Osama, merangkumi maklumat diri, keluarga, tarikh kelahiran, kelulusan, bila beliau bergiat aktif dalam gerakan jihad dan mempertahankan Islam ada termuat di dalam buku bertajuk bin Laden – The Man Who Declared War on America yang diterbitkan Prima Publishing pada 1999.

Serangan WTC dikatakan satu konspirasi AS dan Osama diangkat sebagai dalang utama perancang serangan itu kerana pemimpin al-Qaeda itu dikatakan mengetahui perancangan CIA dan Israel untuk membendung pengaruh Islam berkembang ke seluruh dunia khasnya Eropah dan AS.  Bagi membendung pengaruh perkembangan Islam, CIA merancang serangan WTC, mengaitkan serangan itu dilakukan al-Qaeda pimpinan Osama dan mengaitkan Islam dengan keganasan sekali gus menimbulkan satu persepsi bahawa Islam itu agama mempromosi keganasan. Konspirasi ini dilihat berjaya sehingga menimbulkan ketakutan terhadap Islam atau Islamofobia di Eropah dan AS selepas serangan itu.  Namun begitu, di sebalik sindrom ketakutan terhadap Islam, jumlah masyarakat Eropah dan AS yang memeluk Islam dikatakan bertambah selepas serangan WTC kerana penduduk benua itu tergerak hati untuk mengkaji ajaran Islam adakah ajarannya menyuruh penganutnya melakukan keganasan terhadap orang lain.

Sebaliknya, penduduk Eropah yang mengkaji Islam ini akhirnya menemui kebenaran cahaya Islam lalu tidak ragu-ragu memeluk Islam.  Tidak hairanlah, seorang sarjana falsafah dan pengajian Islam di Switzerland, Tariq Ramadan dalam tulisan beliau berpendapat Islam kini menjadi sebahagian daripada budaya dunia Eropah dan masyarakat Islam di Eropah bukan lagi pendatang yang kemudian kembali ke negara asal tetapi menjadi warga Eropah beragama Islam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Minggu
11 Mac 2012

Tiada ulasan: