04 Februari 2012

ISU UMUM : TAIKUM PEMOTORAN DUNIA

Oleh NIZAM YATIM
s2@utusan.com.my


Apabila kita menulis mengenai taikun pemotoran dunia, satu sifat yang paling menonjol di kalangan mereka ialah tidak berputus asa walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam merealisasikan impian. Mereka tidak pernah menjadikan ejekan, pelbagai masalah dan bencana alam sebagai halangan. Bagi mereka setelah sesuatu keputusan dibuat, tumpuan utama adalah bergerak dengan pantas dan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Mereka juga bersikap fleksibel dan bersedia mengubah strategi perniagaan atau memperbaiki produk yang dihasilkan sesuai dengan kehendak pengguna. Ekoran sikap itu, mereka telah berjaya memajukan syarikat sehingga menghasilkan pulangan kewangan yang lumayan. Wang yang diperoleh itu kemudiannya disalurkan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan dan bagi menikmati kehidupan ini.

KIICHIRO TOYODA

BELIAU ialah pengasas syarikat pengeluar kereta terbesar dunia, Toyota Motor Corporation pada 1937. Usahawan Jepun yang dilahirkan pada 1894 ialah anak kepada Sakichi Toyoda, pemilik syarikat Toyoda Automatic Loom Works yang terbabit menghasilkan mesin tenun automatik. Kiichiro telah membuat keputusan untuk mengubah syarikat itu menjadi pengeluar kenderaan dengan kereta pertama yang dihasilkan adalah Toyoda Standard Sedan AA. Bagaimanapun, selepas mengeluarkan kereta itu, nama Toyoda yang bermaksud sawah padi yang subur tidak lagi digunakan kerana tidak mahu dikaitkan dengan aktiviti pertanian cara lama. Sebaliknya, Kiichiro memilih nama Toyota yang dipilih setelah syarikat itu menganjurkan satu pertandingan bagi mencari nama baru. Nama Toyota yang disifatkan lebih sedap untuk disebut turut dikaitkan dengan maksud membawa kekayaan dan tuah.

Pada 1947, di bawah kepimpinan beliau, Toyota telah mengeluarkan kereta dan trak bersaiz kecil iaitu Toyopet SA, Toyopet SB, Toyopet Stout dan Toyopet Crown. Kiichiro meletak jawatan pada 1950 dan meninggal dunia pada 1952 ketika berusia 57 tahun. Setelah kematiannya, segala pengurusan syarikat diambil alih oleh Taizo Ishida dari 1950 hingga 1961 dan Fukio Nakagawa dari 1961 hingga 1967. Ketika pengurusan mereka, kenderaan keluaran Toyota telah memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS). Pada 1967, pengurusan syarikat diambil alih oleh sepupu Kiichiro, Eiji Toyoda. Beliau memegang jawatan Presiden dari 1967 hingga 1981 dan Pengerusi dari 1981 hingga 1994. Eiji yang merupakan seorang jurutera telah melakukan rombakan secara menyeluruh dengan meniru kaedah pengeluaran kereta secara besar-besaran yang dipelopori syarikat Ford di AS. Antara model kereta yang dikeluarkan pada zamannya ialah Toyota Corolla dan Lexus.

KARL FRIEDRICH BENZ

BELIAU ialah pengasas sebuah lagi syarikat pengeluar kereta di Jerman, Mercedes-Benz pada 1886. Syarikat itu terlibat menghasilkan kereta, bas dan trak. Beliau yang dilahirkan pada 1844 adalah jurutera yang berkemahiran dalam mereka bentuk enjin kenderaan. Tokoh ini juga diiktiraf sebagai orang pertama di dunia yang mencipta enjin yang digerakkan dengan menggunakan bahan api petrol. Ketika berusaha menghasilkan kenderaannya yang pertama, beliau sering diejek oleh orang ramai kerana dianggap gila untuk menghasilkan kereta yang ‘tidak ditarik oleh kuda’. Kenderaan pertama yang dikeluarkan syarikat itu adalah Benz Motorwagen yang mempunyai tiga tayar dan digerakkan menggunakan enjin petrol. Kenderaan itu telah diedarkan oleh sebuah syarikat lain iaitu Daimler Motoren Gesellschaft. Beliau bersara pada 1906 dan meninggal dunia pada 1929 ketika berusia 84 tahun. Pada 2011, sebuah drama mengenai kisah hidup beliau dan isteri, Bertha Benz turut ditayangkan di Jerman.

FRANZ JOSEF POPP

JURUTERA ini ialah pengasas syarikat pengeluar kenderaan Jerman, Bayerische Motoren Werke (BMW) AG pada 1917. Nama asal syarikat itu adalah Rapp-Motorenwerke yang terlibat menghasilkan enjin kapal terbang ketika Perang Dunia Pertama. Beliau yang dilahirkan pada 1886 di Vienna, Austria telah menjadi Pengarah Besar syarikat itu sehingga 1942. Di bawah terajunya, BMW terlibat menghasilkan enjin yang dipasang pada bot dan kenderaan pertanian termasuk trak dan traktor. Langkah itu terpaksa dilakukan kerana selepas Perang Dunia Pertama, syarikat-syarikat negara itu tidak lagi dibenarkan mengeluarkan enjin kapal terbang. Kereta pertama yang dihasilkan BMW adalah Dixi 3/15 pada 1928 hasil daripada kerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar kereta lain. Ia kemudiannya diikuti dengan 3/20PS pada 1932. Pada 1933, BMW juga mengeluarkan kereta dengan nama 327, 328 dan 335 yang diiktiraf paling moden pada zaman itu.

SOICHIRO HONDA

BELIAU yang dilahirkan di Hamamatsu, Jepun pada 1906 ialah pengasas Honda Motor Company Limited. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanak dengan membantu bapanya yang membuka bengkel membaiki basikal. Pada usia 15 tahun tanpa sebarang pendidikan formal beliau berhijrah ke Tokyo untuk belajar sambil bekerja selama enam tahun sebagai mekanik kereta sebelum kembali ke kampung halaman untuk membuka perniagaan membaiki kereta sendiri pada usia 22 tahun. Pada umur 31 tahun, beliau mula mereka bentuk gelang omboh untuk digunakan di dalam enjin kecil dengan niat untuk menjualnya kepada syarikat Toyota. Reka bentuk itu kemudiannya ditolak oleh Toyota sehingga menyebabkan beliau terpaksa menghasilkan reka bentuk baru. Beliau mengikuti kelas kejuruteraan secara sambilan bagi mendapat idea-idea baru untuk menghasilkan gelang omboh itu. Dana yang digunakan bagi membiayai pengajiannya dan membuat reka bentuk baru adalah hasil daripada wang gadaian barangan kemas milik isterinya, Sachi Honda. Setelah berusaha selama dua tahun, beliau akhirnya memenangi kontrak untuk menghasilkan gelang omboh untuk Toyota.

Bagaimanapun syarikat pengeluar gelang omboh itu musnah dalam satu kejadian gempa bumi. Berikutan kekurangan dana, syarikat itu terpaksa dijual kepada Toyota.  Beliau kemudiannya bangkit kembali dengan menubuhkan Institut Penyelidikan Teknikal Honda yang berperanan mereka bentuk enjin motosikal. Pada 1948, ketika berusia 42 tahun, beliau secara rasmi menubuhkan Honda Motor Company Limited dengan memegang jawatan Presiden. Produk pertama yang dihasilkan adalah motosikal Honda Cub. Sejak itu, perniagaan syarikat itu berkembang pesat dengan pendapatan berbilion dolar. Pada 1964, syarikat itu menjadi pengeluar terbesar motosikal dunia mengatasi syarikat Triumph dan Harley-Davidson. Pada 1963, syarikat itu telah mengeluarkan trak kecil T360 dan kereta sport S500. Soichiro bersara pada 1973 ketika berusia 67 tahun. Bagaimanapun, sehingga akhir hayat, nasihat beliau sentiasa diberi perhatian oleh pihak pengurusan syarikat. Selepas bersara, beliau memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan menerusi Yayasan Honda. Beliau dan isteri, Sachi turut menghabiskan masa lapang dengan memandu kapal terbang, bermain ski dan mengembara dengan belon udara panas. Beliau yang diiktiraf sebagai ‘Henry Ford Jepun’ meninggal dunia pada 1991 ketika berusia 84 tahun.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 FEBRUARI 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...