PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam (IKIM)
Ajaran dalam agama Islam mewajibkan setiap umatnya mempercayai perkara-perkara berkaitan Sam'iyyat, iaitu alam ghaib, seperti kehidupan alam roh, kewujudan jin dan syaitan, kewujudan syurga dan neraka, serta sebagainya. Mempercayai kewujudan unsur-unsur ghaib seperti ini sebenarnya merupakan asas kepada rukun Iman. Antara lain, tujuannya memberi panduan dan pedoman kepada umat Islam agar dapat terus menuju ke jalan yang lurus dalam kehidupan dan bukannya ke jalan menyesatkan. Ia sewajarnya dapat membentuk aktiviti dan tingkahlaku dalam menjalani kehidupan secara lebih baik dan dipenuhi dengan limpahan kebaikan dan rahmat, berpandukan kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan mempelajari ilmu duniawi, atau ilmu yang tidak secara khusus berkait dengan ilmu al-Quran. Contohnya seperti ilmu statistik dan matematik, atau perubatan, farmasi, kemasyarakatan seperti sosiologi dan komunikasi.
Dalam sejarah dan tamadun Islam juga terdapat beberapa tokoh ulama dan ilmuan tersohor Islam yang merupakan pengasas kepada ilmu moden seperti Ibnu khaldun di bidang sosiologi, Ibnu Sina dalam sains perubatan dan kesihatan mental, Al Khawarizmi yang pakar dalam astronomi, pakar matematik Al Razi dan lain-lain. Hakikat ini menggambarkan kepada kita bahawa mempelajari dan menguasai ilmu moden yang bersifat saintifik dan empirikal adalah satu ajaran Islam dan tidak salah jika mempelajarinya serta bukannya menyeleweng dari ajaran Islam atau membawa kepada kesesatan. Namun secara umumnya, pemikiran saintifik dan empirik seperti ini dilihat semakin jauh dari kehidupan umat Islam pada masa kini. Mempelajari sains dan memiliki cara berfikir yang saintifik dan empirik dalam kehidupan adalah dua perkara berlainan. Seseorang yang mempelajari sains mungkin ada kecenderungan menilai dan memerhati kehidupan berdasarkan kepada fakta dan hujah kukuh, merangkumi dan menjangkaui kaedah berfikir dalam konteks sebab dan akibat.
Namun keadaan ini tidak semestinya berlaku. Ini bergantung kepada sejauh mana matlamat matapelajaran sains itu dihayati dan bagaimana ia diatur dan disampaikan yang akhirnya menentukan kegagalan atau kejayaan dalam membentuk individu atau masyarakat yang berfikiran saintifik. Begitu juga pemikiran saintifik dan empirik akan terbentuk jika mereka dididik sejak awal lagi dengan kaedah pemikiran seperti itu dan dijadikan cara menilai kehidupan dan berfikir tentang kejadian alam di sekitar mereka. Kesan langsung dari pemikiran saintifik dan empirik ini akhirnya melahirkan individu atau masyarakat yang mampu berfikir secara rasional dan objektif. Pemikiran secara rasional pula merupakan persepsi dan pemikiran seseorang individu yang menilai dan melihat kehidupan dari sudut yang mempunyai asas dan fakta yang kukuh dan logik serta boleh diterima oleh akal yang waras dan sihat. Dalam Islam, pemikiran rasional pula wajar untuk tidak melangkaui batasan syariat.
Pemikiran seperti ini menerima sesuatu perkara itu sebagai fakta jika ada hujah atau bukti di belakangnya yang boleh ditentukan tahap kesahihannya. Pemikiran rasional akhirnya membawa kepada cara berfikir yang positif dan realistik dalam diri seseorang. Sebaliknya, pemikiran yang tidak rasional terhasil apabila individu itu menilai peristiwa yang berlaku dalam kehidupannya bukan berdasarkan kepada fakta dan bukti kukuh. Mungkin ia disandarkan hanya kepada cakap kosong di belakang, atau kerana hasutan, gosip dan terpengaruh kepada fitnah, yang sememangnya tiada asas dan bukti yang kukuh. Bahkan, mereka ini tidak pun berusaha menyelidiki kebenaran dan kesahihan bukti yang wujud di sebalik sesuatu maklumat. Akhirnya, ia membawa kepada kecelaruan dan kekacauan pemikiran yang menjejaskan pemikiran rasional sehingga mewujudkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik. Amalan ini akhirnya membawa padah yang amat buruk dalam hidup mereka. Maka itu Islam menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang berita yang kita terima dari sesiapapun dan pastikan kesahihannya dahulu sebelum mempercayainya.
Kita sering terdengar ungkapan bahawa diri kita ini adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikirkan kegembiraan, maka kita akan berasa gembira. Dan jika kita fikirkan kesedihan, maka kita akan menjadi sedih, serta mungkin akan terus menangis. Menangis adalah hasil pemikiran kita kerana kita berasa sedih, dan ia adalah satu reaksi yang normal dan mudah, bukan sesuatu yang misteri. Mungkin ada individu yang mudah menangis walaupun tidak berasa sedih, atau ada mereka yang menangis tidak tentu masa, malah ada yang menangis sepanjang masa. Ini juga dapat dirungkaikan secara saintifik, dan ditangani secara mudah secara saintifik juga. Masalah akan timbul jika melihat reaksi menangis tanpa kawalan diri itu sebagai satu misteri, dan akan terus menjadi misteri kerana penjelasan reaksi menangis itu juga berunsur misteri. Begitu juga, jika kita menilai diri sendiri sebagai seorang yang sakit, negatif dan lemah, maka kita tidak akan dapat merasai nikmat kesihatan sepenuhnya. Bahkan, jika kita sering berfikir secara tidak rasional, maka kehidupan tidak dilihat sebagai realistik dan logik. Segala yang berlaku adalah misteri, dan tiada hujah atau fakta yang dilihat boleh berdiri kukuh sebagai bukti di sebaliknya.
Pemikiran yang dilingkungi misteri sering menjadikan kepercayaan berunsur tahyul dan khurafat, bahkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik sebagai sumber dalam kehidupan, sama ada sebagai sumber rezeki atau pun sumber hiburan. Pemikiran seperti ini percaya bahawa perjalanan dan segala aktiviti dalam kehidupan ditentukan dan dipengaruhi oleh aspek-aspek tersebut dan ia seperti sesuatu yang lama wujud dan menjadi sebati. Kepercayaan bahawa perjalanan hidup ditentukan oleh pantang-larang dan tahyul serta khurafat secara jelas amat bertentangan dengan ajaran Islam dan ia boleh membawa kepada amalan syirik. Malah, ia juga tidak membantu memiliki tahap kesihatan mental yang baik. Begitu juga, pemikiran negatif dan tidak realistik turut menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan mental seperti penyakit kebimbangan, kemurungan, ketagihan, penyalahgunaan bahan, konflik dan perseteruan. Bagaimana pemikiran yang negatif dan tidak realistik mendatangkan masalah kesihatan mental dan apakah jaminan bahawa orang yang berfikiran positif dan realistik itu mempunyai tahap kesihatan mental yang baik? Ini memang tidak dapat dinafikan lagi dan sudah terbukti sebagai satu prinsip atau hukum alam, malah pemikiran logik pun akan mengiakannya kerana kita ialah apa yang kita fikirkan dan kita akan melakukan apa yang kita fikirkan itu.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan