JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Februari 2012

ISU PENDIDIKAN : CALON SPM DAN STPM PERLU AKTIF KOKURIKULUM UNTUK LAYAK MASUK KE UNIVERSITI


Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diingatkan supaya aktif dalam kegiatan kokurikulum sebagai syarat tambahan bagi melanjutkan pelajaran ke universiti di negara ini. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ini kerana terdapat di mana pelajar tidak dapat menyambung pelajaran dalam kursus yang dipohon berikutan tidak mengambil bidang kokurikulum ketika persekolahan.Katanya, untuk memasuki universiti bukan sesuatu yang sukar, sebaliknya seseorang pelajar memerlukan dua persediaan awal iaitu kelulusan akademik yang cemerlang dan 10 peratus pencapaian dalam kokurikulum.

SUMBER : BERNAMA
Tarikh : 5 Februari 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Pada persepsi saya, pandangan yang dikemukakan ini amat wajar. Kokurikulum merupakan aktiviti yang sangat bermanfaat untuk membentuk sahsiah dan perwatakan pelajar. Walau bagaimanapun, saya kasihan melihat pelajar-pelajar dan guru-guru di sekolah yang terkejar-kejar waktu 7 hari seminggu untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum dan pada masa yang sama tidak boleh mengabaikan kurikulum. Dengan sukatan pelajaran yang terlalu banyak untuk dihabiskan selama 2 tahun untuk pelajar SPM, dan 1 tahun 5 bulan untuk pelajar STPM, sudah pasti masa untuk pelajar amatlah terhad. Situasi ini menjadi lebih genting bagi pelajar-pelajar di bandar yang perlu menghadiri kelas tuisyen berbayar yang yang dikehendaki oleh ibu bapa mereka. Akibatnya, dalam usia yang masih muda, pelajar-pelajar ini sentiasa terkejar-kejar ke sana dan kemari, mencari ruang waktu untuk melakukan aktiviti kokurikulum yang bukan satu tetapi tiga iaitu Persatuan, Permainan, dan Unit Pakaian Seragam. 

Ada sesetengah pelajar yang hanya mendaftar tetapi terpaksa melupakan niat untuk terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan kerana perlu menghadiri kelas tambahan yang dikelolakan oleh guru-guru. Bagi pelajar STPM, mereka hanya perlu aktif dalam tempoh 1 tahun kerana pada 5 bulan terakhir (tak cukup pun 5 bulan) mereka kena fokus kepada akademik bagi menghadapi STPM. Kebanyakan mereka ini juga telah dilantik menjadi pengawas, perpustakawan, ketua kelas dan sebagainya. Pada masa yang sama perlu melaksanakan penyelidikan dan kolokium sekali seminggu. Tekanan yang terlalu tinggi menyebabkan pelajar terlalu letih dan pedih untuk memilih kerana ditelen mati emak, diluah mati bapa. 

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia harus memandang masalah ini dengan lebih serius. Dengan peruntukan masa yang amat terhad, di mana setiap dua minggu dalam satu-satu semester diperuntukkan untuk peperiksaan di peringkat sekolah (4 kali setahun), masa pelaksanaan aktiviti kokurikulum amatlah terhad. Bayangkanlah, dari pukul 6 pagi hingga pukul 6 petang barulah dapat balik ke rumah. Pada sebelah malam pula, mereka perlu menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Kalau 1 subjek tidaklah menjadi masalah, kalau ada 5 subjek, alamatnya kenalah berjaga hingga pukul 11.00 malam. Keesokkan harinya kena pula bersedia menghadapi rutin itu lagi. 

Tiada ulasan: