JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Januari 2012

ISU DUNIA : PENGAJARAN DARIPADA POLITIK AFRIKA SELATAN



Jason, salah seorang pemandu MPV yang membawa sekumpulan wartawan Malaysia memperlahankan kenderaannya di sebatang lebuh raya lurus, kira-kira 200 kilometer lagi sebelum kami tiba di Bloemfontein. Ingatkan apa sebabnya, memandangkan MPV yang dinaiki kami kelajuannya sampai mencecah 180 kilometer sejam dan kalau tidak pun 160 km sejam. Rupa-rupanya, tidak jauh dari situ kelihatan dua anggota polis Afrika Selatan sedang mengacu-acukan teropong had lajunya. “Di sini, denda yang dikenakan cukup tinggi kira-kira R6,000 (bersamaan RM3,000). Kalau anda didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, ia boleh mencapai R12,000,” kata Jason sambil menunjukkan panorama padang ragut saujana mata memandang di sebalik cuaca nyaman yang berkabus. Afrika Selatan hakikatnya masih baru sebagai sebuah negara ‘merdeka’. Kalau dikatakan mengecap kemerdekaan, ulang tahunnya pun baru mencapai 19 tahun sejak pilihan raya pertama selepas era aparteid pada 1994. Golongan kaum kulit hitamnya pula masih tercangak-cangak meniti kehidupan bebas dalam erti kata sebenar, mengecap nikmat makanan Barat, bekerja di pejabat berhawa dingin dan bertebaran di pusat-pusat membeli-belah seperti Sandton City berdekatan Nelson Mandela Square.

Situasi itu sungguh mustahil untuk dinikmati sebelum 1990-an. Di sebalik penguasaan kulit hitam dan etnik-etnik pribumi lain, ada pula cakap-cakap golongan kulit putih pula kini merasai bahang ‘apartheid’ yang mereka perkenalkan sebelum itu. Simon Le Rich, 32, ketika ditemui berdekatan Hotel Michelangelo, tempat penginapan penulis memberitahu, dia merupakan seorang banker pada 1994. Tetapi sebaik sahaja peralihan kuasa dengan Nelson Mandela diangkat Presiden, African National Congress (ANC) mula menempatkan orang-orangnya di sektor-sektor terpenting negara. Antaranya sektor perbankan tidak lagi menyaksikan dominasi kulit putih di bahagian pentadbiran tertinggi dan pertengahan. Setelah dua bulan berusaha ‘merebut’ kembali jawatannya, Simon mengalah. Dia berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan kafetarianya sendiri. Sama ada Simon bercakap benar tetapi itulah reaksinya sama dengan beberapa rakannya sambil merenung pancuran air di depan patung Nelson Mandela, setinggi 20 kaki di situ. Itulah antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Afrika Selatan. Di Stadium Ragbi Mangaung, dekat Bloemfontein kelmarin, Presiden Jacob Zuma berucap lebih sejam pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 ANC.

Antaranya, beliau menarik perhatian bahawa ANC bukannya parti untuk segelintir pihak tetapi ia parti yang menjadi teras untuk semua bangsa di Afrika Selatan. Kaum terbesar di Afrika Selatan kini adalah kaum pribumi berkulit hitam iaitu 77 peratus yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan etnik berdasarkan kepada bahasa masing-masing. Kumpulan terbesar iaitu 50 peratus penduduk Afrika yang berbahasa Nguni termasuk bangsa Ndebele, Swazi, Xhosa dan Zulu. Kumpulan kedua terbesar adalah yang berbahasa Sotho-Tswana, termasuklah beberapa bangsa Sotho, Pedi dan Tswana dan merupakan majoriti di kebanyakan kawasan Highveld. Dua kumpulan yang terakhir adalah Tsonga atau Shangaan yang tertumpu di Utara dan Wilayah Mpumalanga dan Venda, yang juga tertumpu di wilayah utara Afrika Selatan. Kaum kulit putih terdiri daripada 11 peratus penduduk yang berbangsa Belanda, Perancis, Inggeris dan Jerman. Kebanyakan orang Eropah di negara itu adalah keturunan peneroka-peneroka awal di koloni Cape. Terdapat juga kumpulan minoriti Portugis iaitu kumpulan pertama daripada keturunan peneroka Eropah yang terawal, manakala kumpulan kedua keturunan hamba abdi Belanda yang datang dari Indonesia.

Sembilan peratus penduduk Afrika Selatan pula terdiri daripada bangsa berwarna (coloured) termasuklah kumpulan peranakan dan juga pendatang Asia, termasuk orang Melayu dan Indonesia (dipanggil Cape Malays) yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai kuli di Natal. Tiga peratus lagi adalah berbangsa India yang merupakan pedagang-pedagang India. Semasa pilihan raya demokrasi yang pertama pada April 1994, dua parti Islam muncul iaitu Parti Muslim Afrika (AMP) dan Parti Islam. Pada pilihan raya tersebut, AMP memperoleh 47,690 undi, kurang daripada satu peratus daripada jumlah undi keseluruhan. Orang Islam memilih untuk mengundi Parti Nasionalis dan ANC. Pada pilihan raya 2004, AMP mencuba nasib sekali lagi tetapi hanya mampu meraih 34,446 undi iaitu lebih kurang 0.2 peratus daripada jumlah undi keseluruhannya. Parti Islam pula dibubarkan dan ada sebahagian ahlinya menganggotai Parti Keamanan dan Keadilan (Peace and Justice Party) yang juga gagal meraih kemenangan pada pilihan raya tersebut. Kegagalan mereka berpunca daripada ahli teologi Muslim yang juga ahli Jamiat ul-Ulama (Persatuan Ahli Teologi Muslim) dan Majlis Kehakiman Muslim menyokong idea agar penduduk Islam mengundi Kongres Nasional Afrika.

Ekoran keputusan pilihan raya 2004, terdapat empat menteri Islam dilantik menganggotai Kabinet Afrika Selatan iaitu Naledi Pandor dan Enver Surty manakala Dr. Essop Pahad dan Abangnya, Aziz Pahad dilantik mengetuai kementerian luar. Cape Utara adalah satu-satunya wilayah yang mempunyai ahli Parlimen beragama Islam iaitu Ebrahim Rasool. Mandela diangkat sebagai Presiden Afrika Selatan pada 1994 beliau melantik Dullah Omar mengetuai Kementerian Keadilan dan kemudiannya sebagai Menteri Pengangkutan semasa pemerintahan Presiden Thabo Mbeki. Di Stadium Mangaung semalam, nada ucapan Zuma banyak berbaur kempen pilihan raya. Sama seperti Malaysia, Afrika Selatan juga akan menghadapi pilihan raya umum, selewat-lewatnya 2013. Meskipun dikatakan banyak janji masih belum tertunai termasuk ada cakap-cakap ‘era pentadbiran kulit putih lebih baik dalam aspek mengotakan janji di sebalik aparteid yang kejam’, itulah senario mencabar yang dihadapi Afrika Selatan. Banyak pengajaran berguna yang boleh ditimba oleh orang kita di Malaysia dalam meniti sejarah Afrika Selatan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 Januari 2012

Tiada ulasan: