Bagi kali pertama dalam sejarah moden dan mengejutkan ialah permulaan perbicaraan Hosni Mubarak yang menjadi Presiden Mesir selama 30 tahun. Kerana ia terbaring atas katil hospital dan dalam kandang besi mahkamah manakala mengucap “tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang diajukan”. Beliau telah dibawa dengan ambulans udara dari Hospital Sharm al-Sheikh setelah menyerah diri kira-kira enam bulan lalu. Tuduhan-tuduhan terhadapnya ialah bersabit pembunuhan 850 orang penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis semasa rapat-rapat umum bantahan selama 18 hari. Di samping itu dua orang anaknya, Gamal dan Alaa menafikan tuduhan-tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-duanya berpakaian penjara warna putih dan berdiri di hadapan katil ayah supaya terlindung dari kamera juru-juru gambar yang sibuk mengambil gambar selama empat jam perbicaraan. Juga dibicarakan ialah Habib al-Adly, bekas Menteri Dalam Negeri dan enam pegawai kanan polis. Perbicaraan berlangsung dalam sebuah dewan akademi polis di pinggir Kota Kaherah dan kira-kira 3,000 askar berkawal menjaga keselamatan.
Tiada kelihatan orang ramai hadir dalam mahkamah. Meramaikan ruang dewan ialah para peguam yang mewakili keluarga-keluarga yang mati dalam demonstrasi demi demonstrasi. Mendapat perhatian kemudiannya ialah laporan dan komentar sesetengah akhbar Barat mengenai perbicaraan yang dianggap bersejarah bagi rakyat Mesir. Lalu dicatat betapa dalam masa pemerintahan Mubarak dulu pelbagai tindakan undang-undang darurat rejimnya menyebabkan lain-lain pembunuhan dan penindasan. Berjuta-juta rakyat dikatakan menjadi miskin akibat tindakan-tindakan ekonomi. Juga disiarkan ialah komentar yang menyentuh beberapa pemimpin negara-negara lain: “Bahawa Firaun yang tewas kini terpaksa menghadapi perbicaraan adalah berupa mesej yang jelas - bukan saja kepada yang masih menyabung nyawa untuk menikmati kebebasan, tetapi juga kepada lain-lain autokrat Arab yang masih menentang rakyat mereka. Negara-negara Barat yang selama 30 tahun dulu memejam mata kepada tindak-tanduk Mubarak mungkin merasa tidak senang bila bekas rakan mereka dibicarakan. Pun ada ulasan yang mengingatkan supaya perbicaraan Mubarak tidak melindungi kesalahan lain-lain pegawai masa lampau dan masih bebas. Juga disiarkan ialah hal-hal yang berlaku sejak Mubarak berkuasa hingga selanjutnya seperti berikut:
14 Oktober 1981: ketika itu Naib Presiden menjadi Presiden selepas pembunuhan Anwar Sadat.
22 Januari 2011: Para penunjuk perasaan mendesak Mubarak meletak jawatan selepas Presiden Tunisia, Zainal Abidin bin Ali digulingkan. (Telah pun dibicarakan tanpa kehadirannya dan dihukum penjara).
29 Januari: Mubarak membubarkan Kabinetnya, tetapi enggan meletak jawatan. Bantahan demi bantahan merebak di Medan Tahrir, Kaherah.
1 Februari: Mubarak mengumumkan ia tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
2 Februari: Pasukan-pasukan penyokong Mubarak menyerang para pembantah di Medan Tahir. Peristiwa berlarutan hingga 20 jam lamanya. Presiden kehilangan simpati rakyat.
10 Februari: Mubarak mengumumkan ia tidak akan melayan campur tangan pihak-pihak asing.
11 Februari: Mubarak mengumumkan pengundurannya dan meninggalkan tempat tinggalnya menuju ke Sharm al-Sheikh.
12 April: Media Mesir menyiarkan berita Mubarak diserang sakit jantung semasa disoal oleh para pegawai undang-undang.
13 April: Pegawai pendakwa negeri mengeluarkan perintah supaya Mubarak dan kedua-dua anaknya ditahan untuk disoal mengenai aduan-aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
24 Mei: Mubarak, 83, didakwa dan para peguamnya memberitahu bahawa beliau tidak begitu sihat untuk dibicarakan.
1 Jun: Pegawai-pegawai Mesir mengumumkan beliau dan kedua-dua anaknya akan dibicarakan mulai 3 Ogos. Demikian laporan Financial Times, London.
Sementara itu pihak Wikipedia melaporkan kenyataan peguam Farid al-Deeb bahawa Mubarak mengidap “sakit kanser perut yang masih merebak”. Beliau telah menjalani pembedahan di Jerman pada tahun lalu dan masih menghadapi sakit jantung.
Tan Sri Mazlan Nordin
Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
14 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan