Sekian lama berdebat dan menyalahkan antara satu sama lain, akhirnya keputusan kajian dilakukan University Virginia, Amerika Syarikat diharap mampu menutup mulut pihak bertelagah supaya berhenti bercakaran dan mengaku kesilapan diri. Berdasarkan kajian, didapati ibu bapa dan gurulah yang sangat berkuasa dalam menentukan tahap pencapaian pelajar, sekali gus memainkan peranan paling penting terhadap pembinaan masa depan mereka. Ia sekali gus bagaikan penyelamat kepada pelajar yang selama ini sering menjadi tohmahan masyarakat yang menganggap sengaja mencipta masalah untuk menarik golongan dewasa. Kajian ini diharap berjaya membuka mata dan menutup tuduhan pihak yang suka bertelagah agar berhenti menyalahkan antara satu sama lain. Dalam konteks memberi pendidikan dan memikul tanggungjawab, tiada benar atau bersalah. Sudah terbukti ibu bapa dan guru adalah golongan penting yang memegang kuasa utama dan sebenar yang berupaya mencorakkan segalanya diperlukan pelajar.
Pengaruh itu pula sangat besar yang menjadi asas kepada segala tindakan dan penilaian. Jadi, hentikanlah sikap saling menuding jari, ego serta penuh keraguan kerana ia merugikan. Apa salahnya berdamai untuk memperlihatkan betapa teguhnya mereka di belakang pelajar. Sudah tentu pelajar akan lebih menghargai, menghormati dan bersemangat meneruskan kehidupan seraya mengubat kelukaan mereka kerana asyik dihentam masyarakat atas kesalahan yang mungkin kecil, tapi sengaja diperbesarkan, kata koordinator kajian berkenaan, Prof Madya Timothy Konold. Hakikatnya, di sebalik setiap kesalahan pelajar, ibu bapa dan guru sering kali menjadi barisan paling hadapan dikritik atau dipersalahkan, malah pelajar dilabel sengaja mengambil kesempatan. Sebarang masalah yang terpalit pula sengaja diperbesar-besarkan bagi menunjukkan kelemahan pihak berlawanan juga mendapat sokongan daripada masyarakat.
Keadaan bertambah parah apabila masing-masing tidak mahu mengakui kesalahan, sebaliknya lebih tegar menghukum orang lain dengan hujah tersendiri sebagai jalan melepaskan diri daripada memikul tanggungjawab. Sambil menyelar tindakan itu sebagai ‘pengecut’, Konold berkata, keadaan itu bukan saja akan menyebabkan kedua-dua golongan itu bertelagah, malah menjadikan pelajar mangsa yang serba salah membuat keputusan. Persoalannya, ketika sedang bertelagah itu, adakah mengambil kira perasaan pelajar yang menjadi penonton? Adakah sedar bahawa mereka sedang diperhatikan untuk dijadikan contoh? Sangat menyedihkan apabila pelajar yang hanya mempunyai masalah kecil akhirnya tidak mampu menahan diri daripada terus mencetuskan masalah lebih kerana melihat contoh tidak baik ditunjukkan ibu bapa dan guru. Pelajar tersepit dan kebingungan memilih siapakah pihak yang benar serta mampu membantu keluar daripada kemelut permasalahan. Apa yang pasti, mereka akan memilih pihak lebih mendominasi biarpun salah, katanya.
Konold berkata, guru lebih baik berbanding ibu bapa dalam proses pemantauan, pemerhatian dan penilaian di sekolah manakala ibu bapa adalah kelompok paling sesuai menyelidik keperluan emosi yang terbentuk di luar lingkaran institusi. Katanya, kedua-dua kelompok itu perlu sedar peranan serta dominasi yang dipamerkan mampu menjadi ikutan kerana pelajar akan melakarkan imej paling dominan sebagai idola. Pelajar hanya akan memilih contoh paling ketara untuk dijadikan model, justeru, tidak hairan apabila mereka menganggap ibu bapa atau guru yang gagal tidak boleh memberi contoh yang baik. Jurang konflik juga akan terbina dan pelajar mungkin memanipulasikannya untuk menyampaikan maksud tertentu. Bagi ibu bapa dan guru pula menganggap ia titik mula pelajar bermasalah. Sebenarnya, pelajar bukan mahu melihat siapa benar atau salah, sebaliknya mahukan jawapan selain bimbingan bagi menunjukkan kebenaran bukan melihat pertelingkahan ‘orang dewasa’, katanya mengakui formula terbaik bagi melahirkan kejayaan ialah kerjasama antara ibu bapa dan guru.
Inilah asas paling teguh untuk mencapai maksud itu, malangnya ia sering dilupakan kerana masing-masing ‘besar diri’ kerana menganggap sudah berjaya memainkan peranan. Pelajar pula terkial-kial membuat keputusan. Guru atau ibu bapa, peranan mereka sangat diperlukan sebagai pembimbing bukan pemberi tekanan. Kedua-duanya perlu bekerjasama demi kebaikan masa depan pelajar, katanya. Kajian berkenaan bukan saja membabitkan ibu bapa dan guru, malah 562 institusi pendidikan seluruh negara. Ia turut dibentangkan kepada Pertubuhan Penyelidikan Pendidikan Amerika Syarikat (AERA) selain sokongan Profesor Robert Pianta, pakar pendidikan yang menjalankan kajian mengenai sistem sosial dan pendidikan selama 15 tahun. Pianta mengakui ibu bapa mempunyai kekuatan dan lebih kemahiran dalam pembinaan aspek emosi dan fizikal sama ada berbentuk nyata atau imaginasi.
Guru pula lebih bijak menangani aspek agresif, bakat dan potensi kerana pelajar selalunya ingin memotretkan diri sebagai yang terbaik di kalangan rakan sebaya. Diri pelajar adalah gabungan unik kerana mereka memperoleh pelbagai pendedahan dalam suasana berbeza sama ada di rumah yang dikelilingi keluarga atau sekolah bersama rakan. Justeru, perlunya satu mekanisme hebat untuk mencungkil ‘rahsia’ itu. Pelajar boleh menjadi ‘pengikut’ yang baik atau ‘pemberontak’ hebat berdasarkan situasi semasa. Ibu bapa dan guru pula adalah mentor yang boleh menjadi contoh atau musuh, maka pilihan yang tepat perlu dilakukan kerana ia penentu masa depan pelajar, katanya. Sikap pelajar juga, akui Pianta, adalah acuan sebenar sikap ibu bapa yang boleh memberi gambaran kepada guru untuk menilai kewibawaan mereka di rumah. Manakala profesionalisme guru pula dinilai berdasarkan kredibiliti dan kemampuan mereka menterjemahkan proses pendidikan sama ada peka kepada keperluan semasa. Tidak perlu pelbagai alasan, fokus sebenar adalah kejayaan melahirkan pelajar cemerlang sama ada akademik, diri dan sebagainya. Itu sudah pasti dapat menutup mulut atau pandangan yang selama ini cuba disensasikan. Untuk itu, bersatulah demi kebaikan bersama, bantulah mereka yang sedang berhempas pulas cuba meneruskan perjuangan hidup lebih baik, katanya.
INFO
Mengapa berlaku konflik antara ibu bapa dan guru?
Tekanan guru sewaktu mengajar selain dihantui kepenatan melampau kerana terpaksa menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah berbanding keluarga. Dikritik kerana kegagalan membantu pelajar atau institusi memperoleh keputusan diharapkan. Standard terlalu tinggi diletakkan kepada guru dan sekolah. Faktor ekonomi dan gaya hidup ibu bapa yang terlalu fokus pada kerjaya hingga melepaskan tanggungjawab kepada guru. Ego.
SUMBER
HARIAN METRO
8 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan