JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Jun 2011

ISU KENEGARAAN : KEBEBASAN BERHIMPUN ADA BATASAN

Oleh Shamrahayu A Aziz

Ekoran isu semasa mengenai perhimpunan atau demonstrasi, mungkin ramai pembaca yang sudah merujuk dan menghayati peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan asasi. Peruntukan yang paling berkaitan ialah Perkara 10(1)(b) yang menyatakan, ‘Tertakluk kepada Fasal (2), 3 dan (4), semua warga negara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata’. Fasal 2(b) menjelaskan mengenai kuasa Parlimen untuk ‘…mengenakan ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam’. Kebebasan untuk berhimpun begitu penting di dalam amalan demokrasi. Atas dasar itulah ia dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, seperti kita lihat peruntukan di atas, kita tidak harus lupa bahawa peruntukan yang sama mengiktiraf kuasa Parlimen untuk mengenakan sekatan kepada kebebasan ini sekiranya difikirkan ‘perlu atau suai manfaat’ kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Saya amat yakin mereka yang terdidik di dalam bidang undang-undang, terutama peguam memahami peruntukan ini – sama ada mengenai hak untuk berhimpun dan kuasa Parlimen untuk membuat sekatan yang ‘perlu dan suai manfaat’ kepada kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Tetapi menerusi perbincangan dan pembacaan, saya agak sangsi sama ada mereka yang menyokong perhimpunan sebegini menghargai kuasa Parlimen dan juga maksud frasa ‘keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya’ dan ‘ketenteraman awam’. Mungkin pada mereka, kebebasan untuk menyuarakan pendapat melalui perhimpunan tidak akan mengganggu keselamatan negara atau ketenteraman awam kerana mereka berjanji akan sentiasa patuh kepada undang-undang negara. Alangkah baiknya sekiranya ini benar.  Namun begitu, adakah janji seperti ini akan dapat meyakinkan pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara? Ia agak mustahil. Pihak keselamatan tidak mungkin yakin dengan janji sebegini kerana perhimpunan sebegitu besar semestinya payah untuk dikawal.

Cuba kita bayangkan sekiranya peserta perhimpunan ini yang mengawal keselamatan dan ketenteraman awam. Tidakkah mereka juga bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku?  Dari kacamata siapakah kepentingan keselamatan negara dan ketenteraman awam perlu ditentukan? Siapakah sebaik-baik pihak yang patut menentukan sama ada kebebasan berkumpul ini akan mengancam keselamatan atau ketenteraman awam ataupun tidak? Sejauh mana orang awam mengetahui mengenai tahap ancaman dan juga tahap keselamatan negara. Mungkin benar orang awam boleh mengagak dan membuat andaian, tetapi mungkin tidak begitu tepat seperti mereka yang ahli. Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal kerana perasaan fanatik peserta perhimpunan, saya percaya mereka akan menuding jari kepada pihak keselamatan negara. Sekiranya ini berlaku mungkin orang lain, terutama pihak keselamatan pula akan disalahkan.  

Mungkin perlu juga kita ketahui maksud dua frasa penting yang berkaitan. Apa maksud ‘keselamatan Persekutuan’ dan ‘ketenteraman awam’? Ini penting untuk difahami. Ia membolehkan kita membuat analisis mengenai maksud yang ingin dicapai oleh undang-undang ketika meletakkan sekatan ke atas kebebasan berhimpun. Secara umumnya kedua-dua frasa ini amat berkait rapat walaupun kita dapati tiada tafsiran undang-undang yang khusus mengenainya. Frasa ‘keselamatan negara’ menunjukkan keperluan untuk menjaga negara daripada ancaman aktiviti subversif (Black’s Law Dictionary, 1999, hlm. 821). Ketenteraman awam pula merujuk kepada keteraturan sistem kehidupan di kalangan khalayak awam untuk kebaikan mereka (reP.P Long@Jimmy & Ors[1976] 2MLJ 133, hlm. 136). Ia mempunyai maksud yang sama dengan keselamatan awam (re Tan Boon Liat [1976] 2 MLJ 82, hlm.86). Kekacauan kepada ketenteraman awam adalah berbeza daripada perbuatan melanggar undang-undang. Perbuatan melanggar undang-undang hanya membabitkan individu atau beberapa individu saja. Sekiranya perhimpunan dilakukan tanpa permit, ia adalah melanggar undang-undang.

Akan tetapi, ia berbeza dengan perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam yang bermaksud perbuatan yang menjadikan persekitaran atau patologi tidak selamat di kalangan orang awam. Ujian perundangan untuk menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu hanya perlakuan melanggar undang-undang atau ia menjejaskan ketenteraman awam ialah, adakah perlakuan itu menyebabkan rasa tidak selamat orang awam atau kumpulan masyarakat yang berada di suatu tempat; atau adakah ia hanya membabitkan individu tertentu saja tanpa menjejaskan kestabilan atau ketenteraman awam. Sekiranya perlakuan itu hanya mengganggu seorang atau beberapa individu saja, ia hanyalah perbuatan melanggar undang-undang. Sekiranya ahli masyarakat tidak dapat menjalankan aktiviti atau rutin harian, maka perbuatan itu adalah gangguan kepada ketenteraman awam. Oleh itu maksud keadaan yang menjejaskan ketenteraman awam ialah ia mengganggu aktiviti atau rutin harian ahli masyarakat. Berdasarkan tafsiran undang-undang itu, bukankah perhimpunan seperti dirancang itu adalah ancaman kepada keselamatan negara dan keselamatan awam? Adakah mereka yang menyertai perhimpunan mementingkan diri tanpa menghiraukan hak orang lain dalam sistem demokrasi? Bukankah mencegah itu lebih baik?

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

SUMBER
BERITA HARIAN
28 JUN 2011

Tiada ulasan: