Oleh NAZIRUDDIN ABDULLAH
Penulis ialah Profesor Ekonomi di Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Subsidi, jika dilihat dalam konteks pencapaian objektif ekonomi pasaran bebas dianggap tidak efisien serta mendatangkan masalah. Ini berdasarkan kepada faktor-faktor berikut. Pertama, subsidi mengganggu keberkesanan penggunaan dan pengagihan sumber-sumber yang terbatas. Ini berlaku apabila barangan dan perkhidmatan yang termasuk dalam kategori subsidi mempunyai dua tanda harga; harga pasaran/benar dan harga kawalan/subsidi atau harga di bawah harga pasaran. Walhal kos pengeluarannya adalah sama. Kedua, pengagihan barangan dan perkhidmatan mengikut mekanisme subsidi berbanding pasaran melibatkan kos yang besar serta kadang kala agak kompleks dan memerlukan penubuhan agensi-agensi khusus mengikut tabii golongan sasaran yang dikehendaki. Ketiga, sukar untuk mensasarkan penerima subsidi.
Acap kali, golongan yang berhak menerima subsidi hanyalah minoriti kecil di mana pengagihan lebih efisien dan saksama melalui pemindahan pendapatan. Keempat, subsidi secara langsung atau tidak langsung menggalakkan aktiviti tidak bermoral seperti rasuah, penyeludupan dan penjualan barangan dan perkhidmatan yang disubsidikan. Bagaimanapun, apa yang diperkatakan di atas tidak sama sekali bermaksud subsidi tidak diperlukan dalam menentukan agihan pendapatan dan kekayaan yang adil dalam sesebuah negara. Di Malaysia, setiap langkah kerajaan samada dalam bentuk mengawal harga barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan lain-lain, atau pemberian subsidi secara langsung seperti buku teks dan susu untuk sekolah, baja dan racun serta benih kepada petani adalah amat praktikal.
Sekali gus, inisiatif tersebut banyak membantu golongan termiskin meningkatkan secara tidak langsung pendapatan benar mereka. Dianggarkan pada 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion untuk tujuan subsidi bagi menstabilkan harga barangan. Pada 2009 pula, 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah untuk subsidi. Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya. Namun, kekhilafan kerajaan ialah nikmat pemberian subsidi dikecapi oleh hampir semua strata masyarakat tanpa mengira status pendapatan individu atau isi rumah. Dengan kata lain, subsidi dinikmati oleh semua golongan; golongan kaya dan mewah, golongan berpendapatan sederhana dan golongan miskin. Begitu juga dengan tarif elektrik, air, petrol, LPG, diesel, buku teks dan susu percuma sekolah.
Ringkasnya, kerajaan tidak sama sekali meletakkan golongan sasaran yang wajar diberikan subsidi. Implikasinya, kerajaan berbelanja lebih RM10 bilion setahun untuk tujuan pemberian subsidi. Ini merupakan satu beban kewangan kepada kerajaan terutama jika harga semua komoditi yang dinyatakan di atas mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa. Justeru, sudah sampai masa pembuat dasar dan pemerintah memikirkan jalan keluar kepada isu dan dilema ini. Jalan terbaik mengatasi isu ini ialah dengan mengambil kira persoalan-persoalan berikut: Pertama, apakah kerajaan mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai subsidi? Kedua, apakah subsidi masih kekal relevan dalam usaha untuk merealisasikan visi 2020 dan negara berpendapatan tinggi? Ketiga, sekiranya subsidi perlu diteruskan siapakah golongan sasaran yang berhak untuk menerimanya?
Keempat, di manakah ataupun adakah titik noktah kepada isu pemberian dan penerimaan subsidi? Kelima, apakah dengan menyegerakan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membantu menyelesaikan sebahagian daripada kemelut yang menyelubungi subsidi? Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai nilai subsidi yang di tanggung oleh kerajaan dipaparkan di sini dua senario. Pertama, senario subsidi minyak dari 1999 hingga 2007. Sepanjang tempoh tersebut kerajaan membiayai RM58.32 bilion. Semakin tinggi harga minyak di pasaran antarabangsa, semakin besar nilai subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Dengan harga minyak kini telah mencecah AS$100 setong, nilai subsidi barang kali boleh mencecah RM13 bilion. Inilah jumlah wang pembayar cukai dan hasil kerajaan yang bakal digunakan oleh kerajaan untuk membiayai subsidi. Kedua, senario subsidi lapan jenis barangan keperluan asas sepanjang 2010 di mana kerajaan membelanjakan RM10.921.
Namun, jika ditolak subsidi diesel dan petrol RON95 jumlah subsidi ialah RM3.311 bilion. Persoalannya, mampukah kerajaan secara berterusan membiayai subsidi dan memadaikah sumber kerajaan untuk membiayai subsidi tersebut. Jika nilai subsidi dibandingkan dengan pendapatan kerajaan kita yakin bahawa kerajaan mampu dan mempunyai sumber yang cukup untuk membiayai subsidi tersebut. Cuma yang menjadi tanda tanya berbaloikah wang sebanyak itu dibelanjakan sedangkan jumlah pengguna yang benar-benar memerlukan subsidi tersebut adalah secara relatifnya kecil. Juga, dengan jumlah wang sebanyak itu adalah lebih efisien digunakan untuk membina infrastruktur di luar bandar supaya taraf hidup masyarakatnya setanding dengan masyarakat bandar. Berdasarkan pengalaman negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat (USA), Jepun, United Kingdom (UK) dan Kanada, isu subsidi ini tidak pernah terpisah dari agenda politik dan sosio-ekonomi mereka.
Malahan, semakin maju sesebuah negara semakin relevan isu subsidi khususnya dalam konteks untuk melindungi pengeluar, petani dan pengguna daripada ancaman limpahan kemasukan komoditi pertanian dari negara-negara membangun. Berdasarkan pengalaman di negara-negara tersebut tidak syak lagi subsidi adalah isu yang masih relevan dan perlu diteruskan di Malaysia. Namun, kerangka pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan perkembangan sosio-ekonomi semasa, khususnya dalam menentukan golongan manakah yang paling wajar dan layak menerima subsidi. Premis kepada isu ini ialah pemberian subsidi perlu diteruskan dengan beberapa ubah suai mengikut tuntutan semasa. Golongan yang paling terkesan akibat sebarang kenaikan barangan keperluan asas ialah golongan berpendapatan rendah.
Ini bermakna satu mekanisme perlu dirangka supaya hanya mereka yang termasuk dalam kedua-dua kategori ini menerima nikmat secara langsung pemberian subsidi kerajaan yang datang dalam bentuk harga barangan keperluan asas, petrol, gas dan lain-lain. Mekanisme yang paling efisien dengan kos pentadbiran yang murah ialah melalui pemindahan pendapatan iaitu sama seperti COLA (kos elaun saraan hidup). Namun, ia perlu dipanjangkan liputannya kepada pesara awam dan swasta, pekerja sektor swasta dan golongan pekerja persendirian di bandar dan luar bandar. Mekanisme kedua iaitu dalam bentuk barangan seperti buku teks sekolah, institusi pengajian tinggi, komputer dan lain-lain barangan keperluan yang dianggap perlu bagi meningkatkan mutu hidup golongan sasar perlu diagihkan mengikut jenis pekerjaan serta pendapatan ketua isi rumah. Mengambil kira isu-isu yang dibincangkan, subsidi tidak wajar dinokhtahkan.
Ini perlu diteruskan dengan beberapa pembaikan. Perlu ditentukan sistem penyampaiannya (delivery system), golongan sasar, jenis barangan atau perkhidmatan, institusi yang diamanahkan memikul tanggungjawab tersebut dan agensi penguat kuasa pemantau. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu disegerakan kerana ia mempunyai pelbagai faedah. Pertama, ia menjadi sumber pendapatan tetap kerajaan. Kedua, sukar berlaku sebarang penipuan dan salah guna GST. Ketiga, had penggunaan barangan dan cukai yang perlu dibayar bergantung keperluan dan kuatiti barangan yang dibeli oleh pengguna. Keempat, ia tidak memerlukan kos pentadbiran yang besar untuk memantau perjalanan sistem ini. Kelima, ini lebih mendekatkan Malaysia dengan negara-negara lain khususnya ASEAN yang telah lama melaksanakan sistem percukaian ini. Berdasarkan perbincangan di atas tidak syak lagi isu subsidi perlu disantuni dengan kaedah yang lebih berhemah, mempunyai nilai sosial dan menepati ciri-ciri kontemporari.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan