JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 November 2011

ISU UMUM : PTPTN PATUT STRUKTUR SEMULA BEBAN HUTANG


AURORA BOREALIS, ICELAND

Cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pemberian pinjaman kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) mulai 2013, tentunya menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa, khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah. Hakikatnya, ramai daripada golongan ini tidak mampu membayar yuran pengajian, apatah lagi dibebani pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini. Justeru, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin bahawa kerajaan akan memastikan PTPTN terus memberi pinjaman berkenaan, pastinya melegakan mereka. Pendirian itu tentunya amat dialu-alukan dan membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi ibu bapa dan pelajar.

Kerajaan tidak sewenang-wenangnya akan mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan setiap pelajar yang layak, terutama yang kurang kemampuan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi. Sikap ini sudah tentu timbul daripada kesedaran bahawa pembangunan modal insan adalah sesuatu yang tidak boleh dikorbankan, walaupun di atas alasan kesempitan wang. Berikutan itu, PTPTN tidak mempunyai pilihan selain meneruskan tanggungjawabnya untuk membiayai pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke IPT.  Berdasarkan laporan media, kita memahami bahawa perbadanan itu berdepan dengan masalah tanggungannya yang semakin meningkat. Namun sebagai sebuah organisasi berwibawa sudah tentu ia mempunyai kepakaran menstruktur semula beban hutangnya itu. Misalnya, jika hutang ditanggung perbadanan itu bersifat jangka pendek, ia harus mencari jalan untuk memanjangkan tempohnya. 


Kita yakin dengan bantuan kerajaan, PTPTN mampu mengatasi sebarang masalah beban hutang yang ditanggung bagi membolehkannya meneruskan pemberian pinjaman kepada pelajar pada kadar munasabah. Pada masa sama, pelajar yang mendapat kemudahan PTPTN pula harus bersikap lebih bertanggungjawab dengan membayar balik pinjaman apabila tamat pengajian. Menurut perangkaan PTPTN, perbadanan itu menghadapi masalah mengutip tunggakan pinjaman daripada 246,000 peminjam berjumlah RM1.3 bilion. Jumlah tertunggak yang besar ini bukan saja membebankan PTPTN, malah menafikan hak beribu-ribu pelajar lain untuk mendapat pinjaman. Sikap liat membayar balik pinjaman tidak sepatutnya berlaku dan membuktikan mereka hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, kita menyokong tindakan PTPTN menyenarai hitam 132,801 peminjam berikutan kegagalan membayar balik pinjaman. Kita yakin masyarakat amnya akan menyokong jika PTPTN mengenakan tindakan lebih keras terhadap peminjam liat ini untuk mendapatkan semula wangnya.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
7 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: