Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my
PEMANDANGAN
LUNAR DI SELATAN ALTIPLANO
DAN LAGUN YANG BERWARNA-WARNI
DI CALORADA DAN VERDE, BOLIVIA
Permintaannya yang terakhir ialah apabila waktunya sudah sampai kelak, biarlah ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir dia berada dalam keadaan tenang. Sambil dia terlantar di katil nafas yang dihela semakin pendek, tangannya terus menggenggam selimut seolah-olah dia cuba menyembunyikan kesakitan yang dirasa. Sudah sekian lama dia berada dalam keadaan antara sedar dan tidak. Sejak mengetahui diagnosis mengenai penyakitnya yang membawa maut itu enam bulan lalu, dia tidak pernah berasa tenang dan tenteram kerana menanggung kesakitan yang tidak terhingga. Rasanya hanya maut saja yang dapat menghapuskan penderitaannya. Bagaimanapun, pesakit yang menghidap penyakit membawa maut (biasanya seperti kanser dan penyakit berkaitan AIDS) tidak perlu hidup menderita sehingga akhir hayat. Penjagaan paliatif bagi pesakit di ambang maut ini boleh meredakan simptom fizikal, menawarkan keselesaan dan memberi peluang kepada pesakit berkenaan untuk menghabiskan sisa-sisa hidup dengan lebih bererti dikelilingi orang tersayang. Namun, kebanyakan pesakit dan keluarga mereka mendapati sukar untuk menerima idea penjagaan paliatif. Sungguhpun doktor sudah perjelaskan, mereka masih menaruh harapan agar penyakit itu akan sembuh. Mereka berasakan jika harapan tipis itu dilepaskan, ibaratnya mereka hanya menunggu kedatangan maut atau membiarkan pesakit terlantar tanpa berusaha.
Saya faham sepenuhnya betapa rumit keadaan ini kerana saya sendiri pernah melihat saudara mara dan sahabat handai yang pernah melalui keadaan ini. Penjagaan paliatif sebenarnya bukan mempercepatkan kematian atau pun memanjangkan umur seseorang pesakit – ia sekadar memastikan pesakit terbabit dijaga dengan sempurna sehingga akhir hayat. Pesakit itu masih hidup, dengan itu dia wajar diberi penjagaan dan ditemani, seperti juga kita yang sihat. Satu-satunya perbezaan ialah mereka akan lebih bersedia bila tiba waktunya untuk mengucapkan selamat tinggal. Bagi ahli keluarga, doktor dan jururawat, penjagaan pesakit di ambang maut tidak bermakna mereka memainkan peranan pasif. Sebaliknya, penjagaan paliatif adalah amalan perubatan yang baik dan penjagaan ini berbeza mengikut keperluan individu, terutama memandangkan keadaan setiap individu itu unik. Dalam banyak situasi, pesakit itu mungkin boleh terus tinggal di rumah dikelilingi orang tersayang, dan petugas penjaga paliatif itu datang berkunjung ke rumah untuk memberikan terapi. Malah, beberapa pertubuhan menyediakan perkhidmatan harian, di mana pesakit hanya datang bersama kawan ke pusat penjagaan itu, manakala petugas itu berehat. Ingat, pesakit ini tidak harus dikurung di rumah sepanjang masa – mereka juga perlukan rekreasi, hiburan dan pergaulan sosial.
Pada 8 Oktober (Sabtu ini), kita akan menyambut Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia, dan berusaha meningkatkan kesedaran mengenai keperluan pesakit di ambang maut dan keluarga mereka. Tema hari berkenaan pada tahun ini ialah ‘Banyak penyakit, banyak kehidupan, ramai suara – penjagaan paliatif untuk penyakit tidak berjangkit’. Tema ini amat sesuai kerana banyak negara, termasuk Malaysia, menghadapi peningkatan penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan kencing manis. Penyakit ini mengakibatkan 60 peratus kematian di seluruh dunia, dan majoriti terbesar antaranya berlaku di negara seperti Malaysia, di mana penjagaan untuk pesakit di ambang maut ini amat diperlukan bagi memberi sokongan kepada pesakit berkenaan dan keluarga mereka. Ia satu peringatan yang keras bahawa kita perlu memperbaiki perkhidmatan hospis dan penjagaan paliatif, kerana beban penyakit ini dijangka akan meningkat dengan mendadak dalam masa dua atau tiga dekad akan datang. Pihak berkuasa penjagaan kesihatan di merata tempat mendengar dan cuba bertindak balas terhadap mesej yang sama: Penjagaan paliatif perlu digabungkan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan arus perdana dan dilengkapkan dengan sumber yang lebih baik (kewangan, prasarana dan sumber manusia).
Kita juga mendengar seruan sama di Malaysia. Negara kita telah mencapai kemajuan dalam menyediakan penjagaan dan perkhidmatan paliatif sejak awal 1990-an, hasil usaha perintis bekas pesakit kanser yang terselamat, John Cardosa dan ramai yang lain selepas itu. Bermula dengan sebilangan kecil NGO yang menyediakan penjagaan hospis pada ketika itu, kini ada sekurang-kurangnya 90 pertubuhan yang memberikan penjagaan paliatif, termasuk NGO dan hospital kerajaan. Saya bangga melihat kemajuan ini yang sebahagiannya berpunca daripada keprihatinan kerajaan untuk menubuhkan unit-unit penjagaan paliatif di hospital awam pada 1990-an dan mengiktiraf perubatan paliatif sebagai suatu pengkhususan pada 2006. Kerajaan juga menyediakan sokongan dan pembiayaan kepada NGO supaya mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada derma dan pekerja sukarelawan. Kebanyakan NGO ini dianggotai oleh mereka yang benar-benar yakin bahawa mereka boleh memberikan kehidupan berkualiti kepada pesakit terbabit dan pertubuhan sedemikian wajar diiktiraf dan diberikan lebih banyak sokongan.
Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia.
(www.liowtionglai.com/blog, atau Twitter (@liowtionglai)
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan