JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 September 2011

ISU EKONOMI : ISU CUKAI 6% KAD PRABAYAR , MESEJ KITA AMAT JELAS


Utusan Malaysia terbitan kelmarin menyiarkan bantahan banyak pihak terhadap pengumuman langkah syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pembelian tambah nilai prabayar, pek atau kad sim prabayar berkuatkuasa 15 September ini. Ini bermakna pelanggan yang membeli kad prabayar bernilai RM10 perlu membayar RM10.60. Lebih 26.2 juta pengguna pelan prabayar bakal dikenakan cukai perkhidmatan itu. Keputusan tersebut dilihat oleh banyak pihak sebagai tidak relevan dengan situasi ekonomi semasa. Ada beberapa persatuan pengguna mengancam untuk mengadakan kempen boikot. Pelaksanaan cukai itu dibuat ketika rakyat berdepan dengan kos kehidupan yang meningkat. Untuk apa menambahkan lagi beban orang ramai? Apatah lagi kad prabayar banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah dan orang muda termasuk pelajar. Syarikat-syarikat telekomunikasi yang banyak mengaut keuntungan, sepatutnya prihatin dengan keresahan rakyat. Setahu kita, kesemua syarikat berkenaan di negara ini mencatatkan keuntungan sehingga berbilion ringgit dan meningkat saban tahun. Kita turut tertanya-tanya tidakkah syarikat-syarikat telekomunikasi sensitif bahawa langkah seperti itu boleh menjejaskan imej kerajaan yang gigih berusaha menangani soal kos kehidupan.

Lebih-lebih lagi, sekarang bukan masa yang sesuai. Menurut penjelasan yang diberikan, berdasarkan undang-undang, cukai berkaitan levi perkhidmatan dikenakan untuk semua sektor dan caj yang dikenakan selama ini ditanggung oleh syarikat telekomunikasi. Jika itu menjadi asas perkiraan, tentu ada formula penyelesaian yang lain. Salah satu jalan keluar sekiranya cukai perkhidmatan enam peratus tetap mahu dikenakan, dicadangkan agar harga jualan kad prabayar diturunkan sekurang-kurangnya pada paras yang sama supaya tiada kenaikan kos kepada pengguna. Kerajaan juga sewajarnya membenarkan kewujudan lebih banyak syarikat telekomunikasi bagi mewujudkan persaingan lebih sihat dengan kos lebih rendah kepada pengguna. Apa pun, kita lega dengan kenyataan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak yang meminta syarikat telekomunikasi mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna. Menurut Najib, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan cukai perkhidmatan itu sebaliknya ia dibuat sendiri oleh syarikat telekomunikasi. Malah beliau menekankan bahawa fokus utama sepatutnya mengurangkan beban rakyat dan bukannya menambahkan beban itu. Sudah berkali-kali, sebenarnya, Perdana Menteri menyatakan perkara tersebut. Harap kali ini, tiada pihak yang cuba bertindak sebaliknya.

Mesej sangat jelas - 
janganlah menyusahkan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 SEPTEMBER 2011


Tiada ulasan: