Kita tertarik dengan laporan akhbar di Indonesia berhubung keputusan syarikat pengeluar telefon bimbit pintar Blackberry untuk membina pusat pengeluaran di Malaysia berbanding Indonesia. Keputusan itu mencetuskan isu di Indonesia dan pihak berkuasa negara berkenaan memberikan reaksi terkejut dan ada yang mencadangkan supaya diambil tindakan balas ke atas Research In Motion (RIM) iaitu pengeluar Blackberry yang berpangkalan di Canada. Akhbar Jakarta Globe terbitan Khamis lalu menyiarkan di muka depan dengan tajuk Govt Upset as RIM Choose Malaysia for Base diikuti laporan utama di seksyen bisnes keesokkannya. Ketua Badan Penyelarasan Penanaman Modal (BKPM) Indonesia, Gita Wirjawan berkata, pihaknya kesal dengan keputusan RIM antaranya kerana penjualan Blackberry di negara terbesar di Asia Tenggara itu adalah jauh lebih besar iaitu empat juta unit setahun berbanding 400,000 unit setahun di Malaysia. Jumlah pasaran di Indonesia juga lebih besar dengan penduduk berjumlah 240 juta manakala Malaysia tidak sampai 30 juta orang.
Turut disentuh dalam laporan tersebut ialah langkah sebuah lagi syarikat dari terkemuka dari Jerman, Bosch untuk membina kilang solar panel di Malaysia walaupun sasaran utama pasaran adalah di Indonesia. Keputusan kedua-dua syarikat antarabangsa itu mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pihak di Indonesia. Dalam pada itu, ada penganalisis di sana mengkritik kerajaan Indonesia kerana kelemahan tertentu dalam menarik keyakinan RIM dan Bosch. Ini meliputi soal perundangan dan persekitaran lebih kondusif untuk pelabur besar. Indonesia sedang berusaha untuk meminta RIM mengkaji semula keputusan tersebut. Kita boleh faham reaksi pihak Indonesia dalam isu tersebut. Itu lumrah dalam dunia persaingan. Tujuan Awang paparkan hal ini bukan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap reaksi Indonesia. Tetapi yang lebih penting perkembangan tersebut mempunyai makna besar buat rakyat Malaysia. Keputusan RIM dan Bosch menjadikan Malaysia destinasi pelaburan mencerminkan keyakinan terhadap negara kita. Pada Awang, ini semua bukan berlaku secara kebetulan. Ia disumbangkan hasil dasar kerajaan yang jelas dan konsisten, strategi ekonomi yang lebih menarik selain kestabilan negara.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
11 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan