JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Ogos 2011

ISU SUKAN : PEMBANGUNAN BOLA SEPAK DI MALAYSIA : PERJALANAN YANG MASIH JAUH

Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
Pensyarah Sains Politik,
Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa,
Sekolah Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.


Malaysia  tewas kepada Singapura dengan kiraan agregat enam gol berbalas empat. Inilah keputusan terakhir perlawanan bola sepak pra-Piala Dunia baru-baru ini. Pelbagai komen dibuat mengenai perlawanan itu, antaranya, pemain Singapura yang sengaja 'mencederakan diri sendiri' sepanjang perlawanan berlangsung. Walau apapun, Singapura sebagai pasukan yang bertandang ke Malaysia datang dengan penuh kelebihan berbekalkan dua gol lebih ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Pasukan Malaysia yang dikenali sebagai 'Harimau Malaya' juga tidak kurang hebatnya. Mereka menghasilkan tiga gol dalam perlawanan peringkat pertama di Singapura tempoh hari. Pun begitu, semua ini masih tidak cukup menyelamatkan Malaysia dari terkeluar daripada persaingan menuju ke peringkat seterusnya dalam siri kelayakan pra-Piala Dunia. Jelas sekali, walau apa pun komen yang diberikan sepanjang perlawanan antara Malaysia dan Singapura ini, hari ini kita mesti menerima hakikat bahawa dalam konteks pembangunan bola sepak di Malaysia, ternyata perjalanannya masih 'jauh'. Perspektif kita mengenai bola sepak mesti berubah sejajar dengan perkembangannya antarabangsa.

Hari ini, bola sepak menjadi satu industri, kerjaya, alat diplomasi dan elemen nasionalisme. Di negara-negara yang terkenal dengan bola sepak seperti Brazil, Argentina, England, Jerman dan Perancis, bola sepak ialah segala-galanya. Di negara-negara 'baru' dalam dunia bola sepak seperti Korea Selatan, Jepun, serta beberapa negara Afrika, sukan bola sepak sentiasa berada di hati rakyatnya. Pemain-pemain bola sepak di negara-negara ini tidak takut mencuba nasib bermain di negara Barat dan Amerika Selatan untuk mencari skil, pengalaman dan ketahanan diri serta mental. Akhirnya, mereka berjaya mengukir nama sebagai seorang pemain bola sepak dunia. Jelas sekali, sokongan kerajaan dan swasta semata-mata tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu sebagai pemain bola sepak yang baik. Pemain bola sepak sendiri mesti ada kemahuan untuk berjaya dan berani mencuba nasib di luar negara. Di Malaysia, kita akui bahawa terdapat banyak usaha dilakukan kerajaan, seperti Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), persatuan bola sepak negeri serta kelab untuk menjayakan matlamat bagi meningkat mutu bolasepak negara.

Malah, sejarah bola sepak negara juga membuktikan bagaimana Malaysia penah memberikan saingan hebat kepada pasukan terkuat dunia sama ada dalam perlawanan rasmi mahupun persahabatan. Malaysia juga pernah melahirkan ramai pemain bola sepak yang terkenal dan digeruni lawan seperti Abdul Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan, dan yang terbaru, Safee Sali. Liga bola sepak Malaysia juga pernah menyaksikan kelibat pemain import untuk beberapa tahun sementara tarafnya juga dinaikkan daripada 'liga semi-profesional' kepada 'liga profesional' sebagaimana yang ada pada hari ini. Setakat setahun dua ini, Liga Malaysia (M-League) boleh dikatakan agak setanding dengan liga bola sepak di negara lain di sekitar rantau Asia Tenggara. Ia banyak melahirkan pemain-pemain baru yang boleh dipanggil untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa. Antara sedikit bukti kejayaan Liga Malaysia ialah pembentukan pasukan bola sepak kebangsaan dan olimpik yang ada pada hari ini. Pasukan kebangsaan di bawah pimpinan Datuk K. Rajagobal berjaya menjuarai Piala AFC-Suzuki baru-baru ini menewaskan Indonesia.

Pun begitu, semua ini masih tidak cukup untuk membantu negara menewaskan Singapura dalam perlawanan pra-kelayakan Piala Dunia, apatah lagi untuk mengangkat martabat sukan bola sepak di Malaysia. Persoalannya di sini, apakah masih ada 'sinar' kepada pasukan bola sepak Malaysia ? Jawapannya ialah masih ada 'sinar' menanti pasukan bolasepak negara. Dan 'sinar' yang dimaksudkan ialah 'keinginan' yang tinggi, sama ada bagi pihak yang berkenaan mengurus bola sepak negara, iaitu FAM, persatuan bola sepak negeri dan kelab, jurulatih, serta pemain bola sepak itu sendiri. Saya merasakan bahawa sokongan dan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk pembangunan bola sepak sangatlah banyak tetapi kurang dimanfaatkan. Persatuan bola sepak negeri yang dikatakan mempunyai program pembangunan bola sepak mereka sendiri sebenarnya 'gagal' dalam usaha untuk melahirkan ramai pemain muda yang berkaliber. Konflik sering berlaku antara FAM dan persatuan bola sepak negeri mengenai pelepasan pemainnya untuk beraksi mewakili pasukan kebangsaan.

Manakala ramai pemain yang cemerlang ketika beraksi dengan pasukan negeri sebaliknya menjadi 'primadona' di padang ketika mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa. Pemain bola sepak negeri semacam tidak begitu bangga untuk bermain dengan pasukan kebangsaan, dan ramai daripada mereka hanyalah 'jaguh kampung' semata-mata. Apalah agaknya yang terlintas di fikiran pemain muda negara yang diberi tanggungjawab untuk mengawal penyerang hebat Chelsea seperti Didier Drogba ataupun Dirk Kuyt dari Liverpool. Adakah masih terpesona kerana kelibat pemain hebat ini sedang berada di depan mata? Kalau diteliti mengenai perkembangan pasukan bola sepak Malaysia sejak akhir-akhir ini, ternyata pasukan negara memerlukan pemain bertaraf jenderal di bahagian gol, pertahanan, tengah, dan serangan. Sekarang ini kita hanya ada Khairul Fahmi di pintu gol, Safiq Rahim di bahagian tengah dan Safee Sali di bahagian serangan. Sekiranya semua pemain ini tidak dapat diturunkan, pastinya pasukan negara akan menerima 'musibah'.

Kepada semua pemain bola sepak di Malaysia, sama ada yang sedang mewakili pasukan kebangsaan, olimpik, ataupun pasukan negeri dan kelab, anda mesti mempunyai 'keinginan' yang tinggi dan 'berani' sekiranya ingin berjaya. Kejayaan mewakili pasukan kebangsaan ataupun olimpik, ataupun pernah dipanggil untuk menjalani latihan dengan kelab ternama di Barat ataupun namanya pernah disebut oleh jurulatih bola sepak Barat tidak seharusnya dijadikan sumber inspirasi yang tinggi ataupun satu pencapaian yang terhebat. Sebaliknya, sumbangan kita sebagai seorang pemain bola sepak ialah membawa pasukan bola sepak kebangsaan berjaya dalam peringkat yang paling tinggi dan 'elit'. Apa yang boleh dilakukan oleh FAM ialah mengenalpasti pemain-pemain bola sepak yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka ini boleh dihantar untuk berlatih dan mewakili kelab-kelab di luar negara. Tidak semestinya kelab di Eropah. FAM juga boleh mencuba menghantar pemain ke kelab-kelab di Jepun, Korea Selatan, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan yang 'kosnya' agak lebih murah.

Usaha untuk menghantar pemain hanya sekadar berlatih dengan kelab-kelab di EPL akan merugikan FAM. Terdapat banyak kes yang pemain Malaysia gagal bersaing dan menempatkan diri dalam kelab itu walaupun pasukan simpanan. Dalam hal ini, FAM dan persatuan bola sepak negeri serta kelab tempatan boleh mewujudkan satu 'perkongsian pintar' membekalkan pemain bola sepak berkualiti dan berkaliber ke luar negara. Akhir sekali, 'politik' dalaman persatuan bola sepak negeri serta dalam FAM sendiri perlu dikurangkan. Apa yang penting bukannya kejayaan individu yang memimpin persatuan tetapi kejayaan sukan bola sepak negara. Selaku peminat bola sepak dan pasukan 'Harimau Malaya' saya sangat menyanjung tinggi sikap penyerang kebangsaan Safee Sali yang sanggup berkelana ke Indonesia bermain dengan kelab Pelita Jaya FC yang mungkin namanya tidaklah sehebat kelab-kelab di EPL dan Eropah. Tetapi impak yang kita dapat lihat kepada beliau ialah sebagaimana yang dipamerkan dalam perlawanan antara Malaysia dengan Singapura, tiga gol dalam dua perlawanan. Sungguh hebat.

Malaysia juga boleh 'belajar' daripada bekas pemain bola sepak Malaysia yang telah berjaya sebagai jurulatih di luar negara seperti Lim Teong Kim yang kini melatih pasukan remaja Bayern Munich di Jerman. Untuk berjaya dalam sukan bola sepak, semua pihak di Malaysia termasuk pemain mesti mengubah sikap dan mentaliti mereka. Tidak guna berangan untuk bermain dengan pasukan hebat di Eropah kalau standard pasukan dan diri sendiri sebenarnya 'jaguh kampung' sahaja. Akhir sekali, ada satu ungkapan kata-kata yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh pemain bola sepak negara untuk masa depan iaitu, "attack every problem with enthusiasm, as if your survival depended on it". Cuba fikirkan sejenak kerana untuk melihat kecemerlangan bola sepak Malaysia masih belum terlewat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 OGOS 2011

Tiada ulasan: