JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Ogos 2011

ISU POLITIK : PERMAINAN POLITIK NEUROTIK

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za'ba,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Negara  Malaysia memang tidak terkecuali telah menjadi anggota masyarakat global. Malaysia sudah merangkaikan dirinya dengan segenap pelosok dunia dan boleh berkomunikasi dengan manusia dari mana juga pelosok dengan pantas. Teknologi komunikasi dan pengangkutan moden telah memungkinkan rangkaian pantas terjadi. Rangkaian itu membawa bersamanya rahmat dan bencana. Pengembaraan warga Malaysia secara maya atau secara realiti (fizikal) membolehkan mereka melihat, mendengar dan merasai pelbagai penglihatan, pendengaran dan cita rasa baru dalam kehidupan mereka. Rahmat ia kepada Malaysia jika yang baru itu membawa kesejahteraan dan kasih sayang sesama warga tetapi ia bertukar menjadi bencana jika yang baru itu menimbulkan rasa kritikan diri yang melampau sehingga sampai ke tahap neurotik yang mengacau. Masyarakat neurotik akan lahir jika ahli-ahlinya kehilangan keyakinan diri untuk menghadapi cabaran luaran lalu memindahkan fokus ke dalam dengan mencungkil dan mengeksploitasi setiap perkara yang diterima oleh logik biasa sebagai kekurangan atau kelemahan.

Padahal pemindahan fokus itu adalah merupakan suatu pelarian atau penolakan terhadap ketakutannya menghadapi cabaran di luar. Walaupun pada mulanya pelaku itu menyedari sepenuhnya akan perbuatan pelarian bagi melindungi ketakutannya itu namun lambat laun apabila dia sudah terbiasa dengan cara itu, dia akan mula merasainya sebagai suatu realiti sebenar. Kesudahannya cara itu akan menjadi sebahagian daripada personaliti individu atau sekumpulan ahli dalam masyarakat itu. Tidak mengapalah jika masalah pelarian hanya berlaku sebagai kesan sampingan kepada proses globalisasi dan melibatkan sekumpulan orang yang perlu diurus oleh perkhidmatan-perkhidmatan tertentu di dalam masyarakat. Tetapi, jika ia juga menjadi sebahagian daripada personaliti orang yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat itu, seperti pemimpin perniagaan, pemimpin agama, pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin politik, maka warga Malaysia mempunyai alasan kuat untuk merasa bimbang akan masa depan negara. Masyarakat yang mewakili kumpulan majoriti yang lebih besar dalam masyarakat hendaklah tidak lagi kekal berkecuali tetapi mesti bangun serentak memperbetulkan keadaan.

Warga besar negara Malaysia hendaklah tidak membiarkan negara dicorak, dipandu dan apalagi dipimpin oleh sekumpulan minoriti yang neurotik. Membenarkan Malaysia dicorakkan oleh mereka yang sangat 'self-critical' terhadap negaranya sendiri akan menjadikan perspektif katak di bawah tempurung. Mereka akan menjadikan budaya elusi mendapat tempat penting. Mereka tidak mendapat kepuasan daripada kejadian-kejadian dalam alam realiti kerana takut dengannya. Mereka tidak berminat dengan kaedah saintifik dalam mencari kebenaran, mereka tidak berminat dengan data-data kemajuan betapa terang pun data itu dibentangkan, dan mereka akan membutakan mata terhadap apa jua kebaikan yang dilihat dengan mata kepala. Kepada mereka kebenaran memang bukan realiti tetapi hanya suatu permainan emosi. Saat kebenaran atau 'moment of truth' kepada mereka ialah apabila dunia emosi mereka mengesahkannya. Siapakah mereka? Jejaki denai kehidupan pemimpin-pemimpin seperti ini baik yang muda mahu pun yang telah tua, yang sudah lama memimpin atau yang baru muncul, pasti akan menemui sejarah kegagalan hidup yang cuba ditutup dalam bentuk pelarian atau penafian (escapism atau denial).

Mungkin ada di kalangan mereka yang cemerlang dalam akademik tetapi gagal dalam alam yang lain, mungkin mereka gagal dalam kerjaya, mungkin mereka gagal dalam kehidupan keluarga, mungkin mereka gagal dalam perlumbaan tertentu dengan rakan sebaya, mungkin mereka pernah merasa kepahitan ditolak dalam alam percintaan dan macam-macam kemungkinan yang akan ditemui. Oleh sebab orang seperti itu mempunyai kelebihan tertentu dia pandai menyembunyikan kekecewaannya dengan memilih medium yang kelihatan mulia seperti menjadi jaguh perjuangan tertentu dalam masyarakatnya. Dengan cara begitu, malang baginya kerana kesakitan psikologi itu tidak pernah dirawat secara yang sewajarnya, sebaliknya dia merawat dirinya dalam alam ilusi. Masyarakat lambat mengesan untuk memberi bantuan kepadanya dan dengan senang hati pula menerima orang sedemikian pada sifat luaran yang dipamerkan. Jika mereka yang digambarkan itu pula adalah pemimpin politik mereka akan memindahkan kritik diri melampau itu kepada orang lain yang paling dekat dengannya kerana dengan cara itu dia mendapat kepuasan ilusi yang paling cepat.

Tidak hairan orang seperti ini akan hanya mempunyai keberanian menyakiti komrad politik dalam negaranya sendiri tetapi akan menikus dalam arena antarabangsa yang lebih ganas. Di pentas antarabangsa dia akan sanggup menjadi abdi suruhan imperialis untuk kelihatan penting kerana orang neurotik sememangnya sentiasa dahagakan pengiktirafan. Dia akan selalu mengharapkan tepukan di belakang oleh orang luar itu dan mendapat kepuasan ilusi apabila disahkan 'brother, you are doing fine'. Dia akan sanggup bertungkus-lumus seumur hidupnya hanya untuk mendapat pengesahan itu. Itulah 'self-healing' kepada sejarah luka yang cuba diubatinya sendiri. Demikian panjang lebar usaha saya mencari jawapan kepada persoalan mengapa di Malaysia kelihatan seperti muncul gerakan politik yang sentiasa mencari kesalahan dari sekecil-kecil perkara. Kepada kumpulan ini seperti mereka tidak pernah menerima walau sesudu pun kebaikan daripada pemerintah mereka. Setiap perkara disoal di dalam pelbagai media. Apa sahaja yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah semuanya salah.

Mereka tidak mahu langsung menghalakan muncung senapang mereka kepada pelbagai cabaran realiti di dunia yang lebih besar seperti kuasa NGO dunia yang diperalatkan oleh imperialis yang tidak kelihatan, rejim kewangan yang dipaksakan dengan sokongan senjata dan ketenteraan, revolusi yang diorkestrakan, penajaan pemimpin dan organisasi haram dan banyak lagi yang semuanya akan sampai ke pintu rumah setiap warga jika tidak ada benteng yang kuat untuk memeranginya. Semasa pemimpin negara bertungkus-lumus mencari jalan menghadapi pelbagai cabaran itu kumpulan ini berperangai seperti penyakit gigi yang mengganggu tumpuan. Gangguan itu bukan calang-calang kerana denyutan sakit itu memporak-perandakan otak daripada dapat berfungsi dengan waras. Dia benar-benar penyakit yang sangat mengganggu. Hasil kerja pemimpin tidak akan sempurna seperti yang dikehendaki selagi penyakit ada di situ. Adakah pemimpin akan membelai penyakit itu dengan menggosok-gosok pipinya setiap kali giginya berdenyut? 


Atau, dia bingkas bangun dan dengan berani berhenti sebentar daripada kerjanya lalu menemui doktor gigi untuk mencabut atau membedah punca sakit itu sekali dan selama-lamanya. Dibiarkan sakit itu begitu akan menyebabkan pemimpin kehilangan perspektif gambar besar misi negara. Sambil menunggu untuk menyaksikan perlawanan penting bola sepak Malaysia menentang Singapura, saya terfikir bolehkah pasukan Malaysia menang jika pemain-pemain asyik menegur kapten dengan teguran seperti ' hei Kapt, seluar engkau terlondeh atau stoking engkau tinggi sebelah' dari wisel pemula perlawanan ditiup sehingga wisel penamat dibunyikan. Adakah slogan 'Malaysia Boleh!' akan terus berkumandang?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 OGOS 2011

Tiada ulasan: