Kalau dilihat dari segi raut wajah orang Asia Tenggara tidak banyak bezanya. Orang Malaysia hampir serupa dengan orang Indonesia, Brunei, Filipina atau Thailand dan Kemboja. Yang membezakan rakyat Malaysia dengan negara anggota ASEAN yang lain ialah dari segi bahasa dan agama. Dari segi budaya, boleh dikatakan warga Asia Tenggara ini memiliki adat dan tata susila yang hampir sama sebagai orang Timur. Keunikan dan keistimewaan yang ada pada lebih 500 juta penduduk ASEAN ini memberi kekuatan jika semua negara berpegang pada semangat 1ASEAN. Penerimaan rakyat berbilang kaum di Malaysia kini mendorong Datuk Seri Najib Razak menyuntik idea tersebut untuk mewujudkan 1ASEAN sebagai gagasan bagi mengukuhkan jati diri penduduk rantau ini. Ketika berucap pada Forum Kepimpinan ASEAN Ke-8 di Jakarta, Perdana Menteri percaya jika inisiatif 1Malaysia untuk menyatukan rakyat di bawah satu gagasan mampu dilaksanakan, maka tiada sebab usaha yang sama tidak boleh dilaksanakan di peringkat ASEAN bagi menyatukan semangat negara-negara anggota.
1ASEAN boleh melahirkan semangat kesedaran yang lebih tinggi di kalangan penduduknya, dan mampu menyerlah di pentas antarabangsa. Sejak negara-negara Asia Tenggara merdeka selepas Perang Dunia Kedua (kecuali Thailand), rakyat masing-masing hanya memperkenalkan diri sebagai warga Malaysia, Indonesia atau Filipina misalnya apabila berada di Eropah atau benua lain. Sedangkan rakyat dari benua Eropah dengan bangga memperkenalkan diri mereka sebagai warga Kesatuan Eropah. Oleh itu, cukup cantik dan kena pada masanya penduduk Asia Tenggara berbangga sebagai rakyat ASEAN. Bagaimanapun seperti ditegaskan oleh Najib, pelaksanaan konsep 1ASEAN perlu digerakkan secara kolektif oleh negara-negara serantau. Anggota ASEAN mesti secara berterusan meningkatkan kemajuan sosial dengan memastikan rakyat masing-masing menerima perubahan dan dapat merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada perubahan itu.
Dalam konteks 1ASEAN, semangat ini telah wujud dalam kalangan negara anggota. Misalnya kerjasama yang wujud dalam menangani cabaran seperti kesan krisis ekonomi global dan keganasan yang menjejaskan keamanan sejagat. Malah negara anggota saling bekerjasama bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan serta membantu apabila negara jiran menghadapi musibah bencana alam. Malaysia sendiri telah menunjukkan semangat 1ASEAN apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu membawa pulang 10 rakyat Singapura dari Libya yang sedang bergolak akibat tunjuk perasaan menentang Presiden Muammar Gaddafi pada Mac lalu. Usaha ini dilakukan atas sikap tanggungjawab dan tolong menolong sesama anggota ASEAN. Cetusan gagasan 1ASEAN ini baru diperdengarkan kepada seluruh penduduk Asia Tenggara. Ia mungkin akan mengambil masa untuk diterima oleh semua anggota ASEAN. Tetapi kita percaya, idea yang baik tidak semestinya dibiar berlalu begitu sahaja.
UTUSAN MALAYSIA
10 MEI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan