08 Mei 2011

ISU BAHASA : GALAK RAKYAT GUNA BAHASA KEBANGSAAN


Kempen menggunakan bahasa kebangsaan bukan sahaja harus diteruskan, malah diperhebatkan melalui semua saluran yang ada di negara ini. Baik saluran media cetak mahupun media elektronik ataupun pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kesemuanya perlu duduk semeja bagi membincangkan kaedah pantas yang dapat menyedarkan orang ramai pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Melalui penguatkuasaan peraturan dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sesuatu boleh dilakukan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan rakyat negara ini. Jika perlu memaksa, maka lakukan dari sekarang kerana kita lihat bahasa kebangsaan hari ini bukan sahaja tidak digunakan dengan meluas terutama dalam kalangan kaum bukan Melayu, malah tidak dihormati dan tidak dimartabatkan dengan sewajarnya.

Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan hendaklah diberi perhatian serius termasuk mewajibkan majlis-majlis di peringkat nasional menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan. Bak kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, terdapat penganjur yang sengaja menggunakan bahasa Inggeris walaupun tetamu yang hadir hanya dua atau tiga orang bangsa asing. Pihak penganjur yang 'berlagak' dan sombong seperti itu sewajarnya dikenakan tindakan tegas kerana memperlekehkan bahasa kebangsaan. Begitu juga sidang media yang diadakan oleh penganjur majlis diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Jika gagal berbuat demikian, maka denda boleh dikenakan. Kadangkala, tindakan 'keras' seperti denda dan tidak memperbaharui lesen perniagaan bagi pengusaha yang ingkar menggunakan bahasa kebangsaan pada papan iklan di premis masing-masing perlu dilakukan demi maruah bahasa kebangsaan.

Alasan kurang fasih berbahasa kebangsaan tidak lagi boleh diterima memandangkan negara telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun pada 31 Ogos ini. Mustahil dalam tempoh itu, rakyat gagal belajar menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Sebagai warganegara Malaysia yang merdeka, setiap rakyat sepatutnya mampu bercakap dalam bahasa kebangsaan dengan baik tanpa pelat pembawaan bahasa ibunda. Namun, amat malang sekali kerana tidak hanya kaum bukan Melayu yang malu dan gagap bercakap dalam bahasa kebangsaan, malah ada orang Melayu sendiri bersikap sedemikian. Bagi Melayu lupa diri itu, tidak glamor jika bercakap Melayu (bahasa kebangsaan) dan kerana itu, mereka lebih selesa bercakap dalam bahasa penjajah. Tak payahlah kita mengambil contoh rakyat di negara Jepun dan Korea yang begitu menyanjung tinggi bahasa mereka. 

Lihat saja contoh terdekat di negara jiran, Indonesia yang berjaya mendidik setiap rakyatnya termasuk daripada bangsa Cina supaya menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya dalam semua urusan harian. Justeru, tidak hairanlah apabila penduduk Cina di Indonesia begitu fasih bertutur di dalam bahasa nasional mereka berbanding dengan bahasa ibunda mereka. Tindakan tegas pemerintah Indonesia mendisiplinkan rakyatnya agar menggunakan bahasa Indonesia dalam segala urusan wajar dicontohi kerajaan Malaysia. Sebagai langkah permulaan, pihak kerajaan melalui PBT perlu mengetatkan peraturan dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pengusaha perniagaan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan di papan iklan ataupun premis mereka. Pastikan juga setiap majlis menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Mulakan dari sekarang!

UTUSAN MALAYSIA
27 APRIL 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...