JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 April 2011

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : APABILA SUDAH TERPILIH

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Tahniah dan syabas diucapkan kepada Barisan Nasional (BN) yang berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti yang besar dalam Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 pada 16 April 2011. Semoga dengan kemenangan ini, BN akan terus konsisten membangunkan negeri Sarawak dari segenap aspek seperti yang dijanjikan sewaktu kempen pilihan raya rancak berlangsung. Yang berhormat (YB) yang terpilih haruslah prihatin dengan kehendak dan masalah penduduk dari kawasan yang diwakili. Cikgu Zul sendiri merupakan anak jati dari Daerah Song, Bahagian Kapit yang jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan kawasan lain di Sarawak, apatah lagi jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan di Semenanjung Malaysia. Jalan raya dari bandar Sibu ke Kapit, sampai ke detik ini masih lagi menjadi mimpi yang entah bila akan menjadi realiti. Perdana Menteri yang dikasihi telah pun melaungkan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk menyiapkan projek tersebut. Oleh itu, pihak yang diamanahkan hendaklah menggunakan wang tersebut untuk menjadikan mimpi penduduk Bahagian Kapit menjadi realiti. Janganlah hampakan kami! Kami pilih BN kerana kami yakin BN mampu membawa pembangunan bukannya kerana kami tidak tahu memilih calon untuk mewakili kami.

Apabila sudah terpilih, kita hendaklah ada matlamat untuk memberikan yang terbaik kepada orang yang memilih kita kerana dalam jutaan penduduk di kawasan tersebut kitalah calon yang menjadi ayam tambatan untuk membawa kecemerlangan dan kegemilangan. Kita tidak boleh lupa akan asal usul dan rupa sebenar diri kita. Kita jangan menggunakan peluang untuk meraih untung untuk diri sendiri sehingga kita hanyut dengan kesenangan dan kemewahan yang dinikmati. Jika inilah yang berlaku bermakna kita telah menganiayai orang lain yang bergantung harap dan bersandar hajat kepada kita. Kita tidak boleh menggunakan peluang itu hanya untuk berucap berapi-api di majlis-majlis rasmi, selepas tamat majlis itu kawasan yang diwakili pi mai pi mai tang tu juga jadinya. Pembangunan tak bangun-bangun. Pemodenan tak moden-moden. Puncanya, bukan kerana penduduk setempat berat tulang, atau tidak berpendidikan tetapi kerana kita gagal membuka peluang dan menyediakan ruang untuk mereka bernafas atau menunjukkan bakat serta potensi diri.

Apabila sudah terpilih, kita hendaklah menjadi orang yang mudah didekati dan didampingi. Masalah orang menjadi masalah kita. Kesusahan orang, kesusahan kita jua. Kita tidak boleh merampas hak yang selayaknya mereka miliki. Kita tidak boleh menutup peluang yang sepatutnya kita nikmati. Kita haruslah menjauhi kroni dan korupsi. Apabila berjanji hendaklah ditepati. Jika yang memilih kita sebanyak 14 000 orang maka kesemuanya hendaklah ditolong dan dibantu. Jika dibantu seguni beras, biarpun setiap orang mendapat segenggam, pembahagiannya hendaklah sama rata, tanpa memilih warna. Itulah yang dikehendaki. Jangan sampai kita dituduh lupa daratan, menjadi insan yang disukai akhirnya menjadi yang dibenci, dimaki, dan dicaci. Semuanya kerana kita gagal menunai janji. Orang sandarkan harapan kita pula tidak tahan membawa beban kerana niat kita hanya untuk kepentingan diri dan kepuasan peribadi. 

Apabila sudah terpilih, kita harus ingat, hidup ini umpama roda, seketika kita di atas, pada ketika lain pula kita akan di bawah. Hari ini kita mampu riang dan tersenyum bangga dengan kejayaan kita, esok atau lusa belum tentu kita mampu senyum dan seriang itu lagi apabila semuanya ditarik bagi oleh mereka yang berhak. Hidup dalam dunia yang berpayungkan demokrasi memerlukan kita sentiasa berhati-hati kerana tiada yang kekal selama-lamanya di puncak kegemilangan. 

Ingatlah, pada mereka yang memilih dan jangan pula memilih-milih setelah dipilih nanti lain kali tidak terpilih.

Daripada
Cikgu Zul
17 April 2011

Tiada ulasan: