JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 April 2011

ISU UMUM : SENSASI PERKAHWINAN DI RAJA

Oleh Hafizahril Hamid


Sejak kecil hinggalah kematian ibunya, Puteri Diana, pewaris takhta England, Putera William telah berhadapan dengan pelbagai dugaan dan kontroversi. Namun semua itu dilihat akan berakhir apabila beliau bakal melangsungkan perkahwinan dengan wanita idamannya Catherine “Kate” Elizabeth Middleton pada 29 April depan. Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang serba sederhana, namun hakikatnya dirinya sering saja menarik perhatian sang gadis yang jatuh cinta sama ada terhadap ketampanan wajahnya mahupun kekayaan yang bakal diwarisinya. Malah ketika remajanya, penyanyi terkenal seperti Britney Spears dan selebriti Paris Hilton pernah menyatakan minat yang mendalam terhadap Putera William. Namun beliau membuktikan walaupun masih muda namun berpoya-poya bukanlah sesuatu yang tercalit dalam hidupnya. Tidak ada skandal, bersih dari penyalahgunaan dadah apatah lagi terjebak dalam kehidupan malam yang menyesakkan, Putera William kekal dengan imej bersih sekaligus melayakkan dirinya sebagai pewaris takhta paling diyakini rakyat jelata.

Yang pasti, dirinya kekal setia kepada kekasihnya sejak sekian lama Middleton yang bakal diangkat sebagai permaisuri England jika segalanya berjalan lancar. Menyedari pelbagai kontroversi yang menyelinap setiap penjuru keluarga diraja itu bermula dengan perceraian ibu bapanya, skandal bapanya Putera Charles dengan kekasih lama yang kini menjadi isterinya, apatah lagi kekasih ibunya yang begitu dahagakan cinta mungkin mematangkan Putera William betapa penting imejnya sebagai pewaris diraja dipertahankan. Malah beliau pernah meluangkan masa selama semalaman untuk tidur di jalanan dengan cuaca yang sangat sejuk di bandar raya London bagi menyelami keperitan yang dialami golongan yang tidak mempunyai rumah. Putera William yang merupakan pewaris kedua takhta selepas ayahnya, Putera Charles hanya tidur beralas kotak di lorong berhampiran River Thames pada suhu negatif empat darjah Celsius pada Disember lepas. “Beliau melakukannya tanpa sebarang perlindungan daripada kesejukan, golongan penagih dadah, bapa-bapa ayam dan samseng jalanan,” kata ketua eksekutif rumah kebajikan Centrepoint, Seyi Obakin yang menemani William.

Kini setelah lapan tahun bercinta akhirnya pasangan ideal ini membuat keputusan untuk ke jinjang perkahwinan. Putera William, 28 dan Middleton, 29, bertemu ketika masing-masing menuntut di Universiti St. Andrews, Scotland pada 2001 dan dilihat sering keluar bersama sejak dari itu. Pasangan ini akhirnya mengikat pertunangan pada 17 November lepas dilihat begitu ceria namun Kate mendedahkan beliau agak gementar tetapi gembira untuk berkahwin selepas dilamar dengan cincin mendiang Puteri Diana. Middleton pada sidang akhbar tersebut turut mengesahkan Putera William melamarnya semasa satu percutian di Kenya pertengahan Oktober lepas. Putera William dalam pada itu mengakui, beliau terpaksa menyimpan cincin tersebut di dalam beg galasnya dan membawanya ke mana-mana dalam tempoh tiga minggu sebelum melamar Middleton kerana bimbang ia hilang. Mereka akan disatukan dalam satu majlis perkahwinan diraja terbesar Britain sejak Putera Charles dan Puteri Diana berkahwin di Gereja St. Paul pada Julai 1981 iaitu 30 tahun lalu. Putera William pula berkata, cincin bertatahkan batu nilam dan berlian yang diberikan bapanya, Putera Charles kepada Puteri Diana sangat istimewa buat dirinya.

“Saya melamar Middleton dengan cincin ini bagi memastikan mendiang ibu saya tidak terlepas hari istimewa kami dan berkongsi kegembiraan yang kami bakal disatukan selama-lamanya,” kata Putera William pada satu sidang akhbar di Istana St. James. Khabar gembira mengenai perkahwinan itu turut mendapat perhatian akhbar-akhbar di sana. Akhbar The Times dalam laporannya menyatakan pasangan tersebut sebagai ‘pasangan baru romantik’ sementara The Sun dalam edisi khasnya melaporkan, pasangan itu merupakan ‘pasangan diraja paling sesuai pada kurun ke-21'. Akhbar The Telegraph pula berterima kasih kepada pasangan diraja itu kerana memberikan detik paling gembira kepada rakyat Britain dengan berkata ‘penyatuan tersebut bakal mendatangkan hasil dan membawa kebahagiaan’ serta sekali lagi akan ‘menaikkan semangat negara dari kemurungan’. Namun percintaan mereka juga pernah mengalami pasang surut apabila pernah terputus selama beberapa bulan pada 2007.

Menurut laporan akhbar The Sun, pasangan tersebut mencapai “persetujuan secara persahabatan untuk berpisah” akibat tekanan yang dialami oleh pasangan tersebut terutama ketika William sibuk dengan tugas tentera yang mengakibatkan mereka jarang berjumpa. “Apa yang membimbangkan Middleton ialah William tidak memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Dia ‘terikat’ di London manakala putera itu pula tinggal di rumah pegawai di Dorset dan menyebabkan Middleton benar-benar kecewa,” lapor akhbar The Sun. Namun spekulasi mendedahkan bahawa kesilapan yang dilakukan oleh emak Middleton dalam pergaulan sosialnya tidak disenangi oleh rakan-rakan dan keluarga William. Menurut satu laporan, ibu bapanya, Carole dan Michael Francis Middleton gagal memberi gambaran positif kepada keluarga William, sehingga membuatkan mereka beranggapan tidak cukup anggun untuk bergaul dengan golongan atasan. Carole dan suaminya, pernah bekerja sebagai pramugari dan pegawai penerbangan dan berjaya menjadi jutawan hasil daripada perniagaan peralatan dan barangan untuk majlis keraian kanak-kanak, Party Princess selain membuat pelaburan dalam sukan lumba kuda.

Namun kedua mereka terpaksa mengakui cinta antara mereka begitu mendalam setelah bertemu semula selang dua bulan kemudian. Akhbar The Mail melaporkan, pertemuan semula berlaku dalam satu parti yang diadakan di berek tentera tempat William dilatih sebagai pegawai tentera yang menyaksikan beliau dan Middleton berciuman ketika menari bersama sebelum kembali ke biliknya. Kini saat bahagia bakal menjelma bagi kedua mereka malah dijangkakan belanja majlis perkahwinan mereka dianggarkan mencecah AS$20 juta (RM62 juta) wang pembayar cukai. Majlis ini akan menjadikan ia lebih besar daripada majlis perkahwinan ibunya, Puteri Diana sebelum ini. Persoalan siapa bakal menjadi ratu di hati Putera William sudah terjawab. Namun timbul pula persoalan siapa yang bakal menjadi pewaris takhta England jika Ratu Elizabeth II meninggal dunia satu hari nanti. Ini kerana berdasarkan tinjauan pendapat majoriti rakyat Britain mahu Putera William dan tunangnya menjadi raja dan permaisuri akan datang, bukan pewaris takhta sekarang, Putera Charles dan isterinya, Camilla. Akhbar News of the World menyiarkan hasil tinjauan mendapati 55 peratus rakyat mahu Putera William, memintas bapanya, Putera Charles, 62, untuk terus menaiki takhta.

Sebanyak 56 peratus responden menganggap Putera William akan menjadi raja yang lebih baik berbanding Charles yang hanya mendapat sokongan 15 peratus responden. Keadaan ini dilihat bertentangan dengan kenyataan Putera Charles sebelum ini bahawa Camilla yang dikahwininya pada 2005, boleh menjadi permaisuri suatu hari nanti. Melihat kepada apa yang berlaku pastinya berita gembira ini memang dinantikan oleh rakyat England yang tetap setia kepada keluarga diraja walaupun bermacam konflik dan musibah telah berlaku. Namun yang pasti soal siapa pengganti takhta bukan perkara pokok, yang penting kehadiran Middleton dilihat sebagai sinar kepada kehilangan Puteri Diana yang berjaya menimbulkan auranya yang tersendiri.

MINGGUAN MALAYSIA, 17 APRIL 2011

Tiada ulasan: