JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : INSENTIF BAI'AH GALAK GURU BESAR LONJAK KECEMERLANGAN ILMU


Wang ringgit bukan ukuran untuk menilai sumbangan dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa. Bagaimanapun, apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan ganjaran RM7,500 seorang kepada 924 guru besar kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Bai’ah) kelmarin, ia adalah pengiktirafan besar kerajaan terhadap perkhidmatan guru. Ini bermakna sejumlah RM6.9 juta diperuntukkan untuk menyempurnakan insentif itu dan mereka bakal menerima ganjaran itu pada pertengahan tahun ini atau selewat-lewatnya selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Penilaian terhadap guru cemerlang dibuat Jemaah Nazir berdasarkan prestasi mereka memimpin sekolah, khususnya dalam Gred Purata Sekolah (GPS) bagi mengukur pencapaian peperiksaan dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) adalah instrumen penarafan yang mengukur visi dan misi, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan dan pencapaian murid.

Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran menggariskan enam lagi pendekatan pengurusan pencapaian baru bagi pengetua dan guru besar mulai 2010. Ternyata, inisiatif Tawaran Baru mampu meningkatkan prestasi guru besar ke arah kecemerlangan pelajar apabila 12.1 peratus (112 guru) daripada 924 guru besar terbabit melepasi sasaran prestasi ditetapkan. Pencapaian itu melonjak 600 peratus berbanding dua peratus sasaran bagi 2010. Tawaran Baru adalah antara NKRA yang perlu dilaksanakan Kementerian Pelajaran seperti terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak, awal tahun lalu.  Kita percaya Tawaran Baru adalah antara pelaburan besar yang diperlukan ke atas pengetua dan guru besar yang berperanan sebagai ejen perubahan yang memberi kesan kepada taraf sosioekonomi.

Kenyataan Muhyiddin kelmarin turut membuktikan kebenaran hakikat ini kerana peningkatan pencapaian pemimpin sekolah (guru besar) membawa kesan positif dan signifikan ke atas pencapaian pelajar. Guru besar atau pengetua memainkan peranan penting dalam merancang, mentadbir, menyelaras dan memantau pembelajaran di sekolah. Mereka turut bertanggungjawab mewujudkan suasana kondusif untuk pembelajaran, sekali gus mengurangkan tekanan kepada pelajar, guru dan seluruh warga sekolah. Bagi guru besar yang belum tersenarai sebagai penerima ganjaran Tawaran Baru, kita berharap langkah kerajaan itu mampu meningkatkan semangat serta motivasi mereka. Kementerian juga perlu memastikan guru besar atau pengetua yang tidak mencapai sasaran dibimbing secara adil dengan mengikuti program latihan bagi meningkatkan pencapaian. Andainya prestasi sekolah mereka tidak begitu baik, guru besar terbabit jangan disisihkan, sebaliknya diberi bimbingan, dorongan dan dipantau secara berterusan.

Apabila kementerian meletakkan cadangan persaraan pilihan kepada guru besar yang mencatat prestasi bawah target (BT) bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut, ia seharusnya dibuat dari perspektif betul demi memastikan hak pelajar mendapat pendidikan terbaik tidak terabai. Kita tidak mahu kegagalan kepemimpinan di sekolah merencatkan usaha melahirkan pelajar berketerampilan yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga dan negara. Seharusnya, Tawaran Baru yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran dapat mewujudkan persaingan sihat di kalangan guru besar dan pengetua untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar dan sekolah masing-masing.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
12 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: