JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Oktober 2010

KEPENTINGAN MASYARAKAT PENYAYANG


“Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan. Memandangkan dunia sekarang yang semakin penuh pancaroba dan aral melintang, maka masyarakat penyayang inilah yang menjadi tulang belakang negara ke arah merealisasikan visi kudsi yang semakin mendatang kira-kira 11 tahun lagi dari sekarang iaitu wawasan 2020. Lantaran itu, kerajaan telah menggariskan salah satu matlamat dan cabaran wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat penyayang bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari pelbagai aspek. Persoalannya, apakah kepentingan masyarakat penyayang kepada masyarakat kita dari dahulu, kini dan selamanya? Persoalan inilah yang perlu dirungkai supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara kita.

Pembentukan masyarakat yang penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum, masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri dan sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana rakyat masing-masing memupuk nilai penyayang. Begitu juga halnya ketika rakan-rakan atau saudara-mara yang mendapat musibah, kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

Selain itu, masyarakat penyayang mampu merobah paradigma masyarakat yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita lihat pada masa ini, kebanyakan warga kita sibuk mengejar kemewahan duniawi kerana bagi mereka hidup yang singkat ini perlu diisi dengan kemewahan. Mereka bekerja siang malam tanpa memikirkan peri pentingnya masyarakat penyayang kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Golongan inilah yang akan membantutkan usaha murni kerajaan ke arah mewujudkan masyakat penyayang secara bersepadu dan menyeluruh. Sebenarnya, melalui masyarakat penyayang kita akan lebih bersikap prihatin dan rasional tentang apa-apa yang berlaku dalam negara mahupun di luar negara. Sebagai tamsilnya, bencana alam yang dahsyat yang berlaku di beberapa buah tempat baru-baru ini seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, tsunami di Samoa, dan ribut taufan di Filipina memerlukan belas kasihan daripada rakyat negara kita untuk membantu kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Secara implisit, masyarakat penyayang akan mengamalkan sikap saling menolong kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Di samping itu, masyarakat penyayang mampu membawa perubahan ekonomi negara dan melonjakkan nama Malaysia di persada dunia. Sebenarnya, masyarakat sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita yang akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada nusa yang tercinta ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya diseru agar bersama-sama menunjukkan nilai kasih sayang supaya pelancong berduyun-duyun datang ke negara kita. Segala perkara negatif seperti keganasan, penderaan, dan sikap hidung tinggi perlulah dibuang jauh-jauh. Hakikatnya pelancong-pelancong dari negara atas angin dan bawah angin akan datang ke negara kita untuk melihat panorama indah yang unik di samping melihat rakyatnya yang penyayang. Misalnya, kedatangan pelancong perlu diraikan dengan nilai kasih sayang daripada setiap ahli masyarakat terutamanya pekerja yang terlibat secara langsung menguruskan hal ehwal mereka. Dengan ini, masyarakat penyayang telah membawa Malaysia ke landasan yang betul dengan memberi keuntungan kepada negara dan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara membangun malah negara maju yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan masyarakat penyayang akan mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni seperti yang diidam-idamkan oleh setiap keluarga. Ikatan silaturahim bertambah erat apabila ahli keluarga memainkan peranan terutamanya ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Lagipun ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak sejak kecil ibarat melentur buluh biarlah ketika rebung supaya anak-anak akan mengamalkan nilai kasih sayang kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Contohnya, amalan gotong-royong dalam sesebuah keluarga, ibu bapa meluangkan masa untuk menemani anak-anak mengulang kaji pelajaran, bermain bersama-sama anak-anak dan sebagainya dapat mempererat hubungan mesra antara ibu bapa dengan anak-anak. Situasi ini mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai, porak-peranda, bergaduh kerana semua ahli keluarga mengamalkan sikap penyayang. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang membawa perubahan yang drastik terhadap keluarga kerana keluarga bahagia, negara sejahtera.

Kesimpulannya, masyarakat penyayang banyak memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Usaha mewujudkan masyarakat penyayang dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai ras, budaya, dan agama ini memerlukan kerjasama yang jitu daripada semua pihak kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pembentukan masyarakat penyayang perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Usaha ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat kerana kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Dengan ini, saya mencadangkan supaya kita perlu menggembleng tenaga untuk meningkatkan usaha ke arah masyarakat penyayang bagi mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.



12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih, say mohon copy ya. Assalamualaikum. :)

Unknown berkata...

Tq..

Unknown berkata...

Thanks..

Tanpa Nama berkata...

terima kasih :), karangan ini telah bantu saya dengan banyak.

Syahmi Sarahan berkata...

thank you very much...this text give me an idea .... :)

Tanpa Nama berkata...

Thanks

Tanpa Nama berkata...

Thanks

Unknown berkata...

Tq.

Unknown berkata...

Saya suka kasan masyarakat

Tanpa Nama berkata...

That's a good idea
-university of Cambridge

Unknown berkata...

thankyou

Unknown berkata...

Faedah bagu usung rumah