JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 September 2010

KARANGAN STPM: TANAH RUNTUH



TAJUK KARANGAN
Masalah tanah runtuh kerap berlaku di negara ini. Kejadian tersebut bukan sahaja boleh merosakkan harta benda malah boleh meragut nyawa. Jelaskan punca yang menyebabkannya dan langkah yang perlu diambil untuk mengelakkannya.

Masalah tanah runtuh merupakan salah satu bencana alam yang biasa kita alami di Malaysia. Walaupun negara ini terselamat daripada bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami namun kita masih tidak mampu mengelak dari kejadian tanah runtuh. Hal ini membawa rasa bimbang kepada rakyat dan pihak pemaju kerana tidak ingin menanggung kos kerugian kesan daripada bencana tersebut. Oleh itu sebagai rakyat yang berpendidikan kita harus tahu bagaimana untuk mengenal pasti punsa berlakunya tanah runtuh. Pengetahuan ini penting agar kita dapat memikirkan langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah tanah runtuh.

Dalam kebanyakan kes, faktor semula jadi yang paling besar menyumbang kepada kejadian tanah runtuh ialah faktor hujan. Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang menerima iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Cuaca ini menyebabkan Malaysia menerima hujan pada kadar 2600mm setahun . Air hujan yang turun menyerap ke dalam tanah dan menyebabkan perubahan kepada kestabilan tanah di samping melemahkan butiran tanah, kesannya tanah runtuh mudah berlaku. Sebagai contohnya kes tanah runtuh di KM 38 Lebuh Raya Karak- Genting Highland dan tanah runtuh akibat ribut tropika Greg di Keningau, Sabah yang berpunca daripada faktor hujan.

Faktor kedua menjadi penyebab kepada tanah runtuh ialah perubahan gradien sesebuah cerun. Perubahan gradien ini biasanya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia di lereng bukit. Aktiviti manusia di lereng bukit akan mengakibatkan tanah menerima bebanan dan pemecahan butiran tanah dilakukan. Sebagai contohanya aktiviti pertanian dan perladangan teh di Cameron Highland menyebabkan kawasan Cameron Highland kerap mengalami kejadian tanah runtuh. Hal ini disebabkan aktiviti di lereng bukit telah memberi tekanan dan menguraikan ikatan butiran tanah dan akhirnya menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya runtuh.

Aktiviti pembangunan yang tidak terancang turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Kekurangan kawasan untuk membina petempatan menyebabkan kawasan bukit menjadi pilihan terakhir untuk dibangunkan sebagai kawasan petempatan. Hal ini berlaku terutamanya di kawasan bandar yang pesat seperti di kawasan bandar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya. Hakisan air hujan yang berterusan menyebabkan tanah di kawasan bukit dihakis. Hakisan yang berterusan menyebabkan sebahagian tanah lembut di cerun dihanyuti air. Keadaan ini menyebabkan tanah menjadi poros dan tidak mampu menampung beban di atas tanah. Sebagai contohnya, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang disebabkan pembangunan lereng bukit yang tidak terancang.

Langkah utama yang wajar diambil untuk mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui pelaksanaan laporan penilaian kesan alam sekeliling (EIA). Setiap pemaju telah diwajibkan untuk menyediakan satu laporan EIA sebelum, semasa dan selepas aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi dijalankan. Laporan ini penting untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dilakukan adalah menepati syarat-syarat penjagaan alam sekitar dari segi kecerunan, kawasan tadahan hujan serta pengekalan kawasan hijau. Langkah ini wajib bagi memastikan risiko berlakunya tanah runtuh dapat diminimakan bagi menjamin keselamatan penghuni bangunan dan rumah.

Langkah kedua yang boleh diambil bagi mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui kaedah penanaman tanaman tutup bumi. Sistem akar tumbuhan yang kompleks akan mencengkam dan mengikat butiran tanah di sesebuah cerun daripada dihakis-angkut dan diruntuhkan. Melalui kaedah ini kestabilan tanah bukan sahaja dipertingkatkan malahan lapisan daun-daun tumbuhan akan mengurangkan impak tenaga kinetik titisan air hujan yang turun dari mengenai terus ke lapisan permukaan tanah dan menghakis permukaan tanah. Langkah ini akan mengurangkan hakisan tanah terutamanya di cerun bukit.

Langkah yang terakhir yang boleh dijalankan ialah memperbaiki dan membina sistem saliran serta laluan air di permukaan cerun. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan air daripada mengalir dan menghakis permukaan tanah secara meluas dan terus-menerus. Pembinaan saliran dan laluan air ini penting agar air dapat disalurkan terus ke dalam longkang atau sungai. Dengan ini hakisan air permukaan dapat dikurangkan ke tahap yang minimum dan menjamin kestabilan cerun. Tambahan lagi, benteng juga boleh dibina di kaki cerun yang dikenal pasti sebagai tidak stabil dan berisiko untuk runtuh. Dengan ini kaki cerun tersebut perlu distabilkan dan diperkuat dengan sokongan buatan manusia untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh daripada berlaku.

Kesimpulannya kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak pemaju. Pihak pemaju harus bersikap jujur dan amanah kerana sebarang kesilapan dalam pembinaan akan membawa bahaya kepada penghuni kawasan tanah tinggi. Pihak yang bertanggungjawab tidak harus hanya memikirkan keuntungan yang diperolehi daripada sesuatu projek pembinaan sebaliknya memikirkan keselamatan penduduk dan tidak harus bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas. Hal ini penting agar sebarang kemalangan jiwa yang disebabkan kejadian tanah runtuh dapat dielakkan pada masa hadapan.

Hasil Kerja Pelajar
Nama : Razeela Arvina

Tingkatan : U6A1
Tahun : 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih