Sejak dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas. Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.
Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa. Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak. Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi. Menurut mereka peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di tempat awam.
Menurut Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu. Jenayah ragut kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita. Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di tempat awam. Wanita perlu peka dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.
Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan sesuatu apabila diserang. Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu. Sebagai contohnya, apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu.
Wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang. Sehubungan itu, wanita harus mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka. Wanita seharusnya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat.
Sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka. Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis. Seperkara lagi, masyarakat juga harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di dalam situasi seperti itu. Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati. Selanjutnya, undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya.
Peragut adalah mereka yang yang suka mencuri. Mereka hanya inginkan barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa. Seperkara yang perlu diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri. Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang dipandu. Dalam apa juga keadaan, langkah terbaik adalah sentiasa berhati-hati. Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.
4 ulasan:
karangan yang cantik
karangan yang hebat ....
^_^
sipa yang tulis karangan ini?
Best
Catat Ulasan