JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Oktober 2009

SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG BUAT RENUNGAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera sebagai pembuka bicara.


Manusia dan bahasa ibarat lagu dan irama yang saling melengkapi antara satu sama lain. Jadi, kewujudan bahasa memang seiring dengan kewujudan manusia di dunia pinjaman yang fana ini. Tanpa bahasa manusia umpama melukut ditepian gantang kerana kehadirannya tiada membawa apa-apa makna sebab tidak diketahui susur galur keturunannya. Sesungguhnya, manusia dikenali dari bahasa bukannya nama, pangkat, kedudukan serta kemewahan yang ditonjolkannya di muka bumi ini. Andai lenyap bahasa maka lenyaplah keturunan dan terkuburlah sejarah peradabab penuturnya. Itulah lambang kepentingan bahasa. Biar kita lihat, jika Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara Malaysia diperlekeh dan dipandang rendah oleh orang Malaysia sendiri, nescaya masa depan Bahasa Melayu akan terus dipersoalkan dan menimbulkan pelbagai polimek dalam kalangan pejuang-pejuang bahasa Melayu. Oleh itu, kita mesti melihat perkara ini dengan mata hati dan bukannya kepala lutut kerana perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukannya tugas segelintir rakyat Malaysia tetapi tanggungjawab kesemua 25 juta penduduk Malaysia. Ingatlah, jika kita berbangsa Iban, bukan maknanya kita dinafikan hak untuk mendaulatkan Bahasa Iban tetapi Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita yang harus diangkat sehingga ke persada dunia. Kita tidak perlu malu bertutur dalam Bahasa Melayu kerana itulah bahasa yang mendewasakan dan mematangkan kita. Bahasa yang mempunyai penutur yang ketiga terbanyak di dunia. Mengapa kita harus berasa rendah diri apabila bertutur dalam bahasa yang melambangkan identiti kita sendiri. Oleh itu, Cikgu Zul mengajak semua pembaca blog ini supaya insaf sejenak dan berfikir sekejap apa yang telah kita lakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu? Apakah dengan mengadakan demonstrasi untuk menuntuk pemansuhan PPSMI itu dikatakan perjuangan untuk menaikan martabat Bahasa Melayu? Apa yang pasti, kita tidak harus berjuang bersendirian kerana Bahasa Melayu itu kepunyaan semua rakyat Malaysia. Bahasa Melayu bukan milik Amerika kerana mereka ada bahasa mereka sendiri. Siapa lagi yang kita harus harapkan untuk memperjuangkan bahasa Melayu kalau bukan kita. Ingatlah, "Bahasa Jiwa Bangsa".

Tiada ulasan: