25 November 2011

ISU IPT : MEMBENTUK JATI DIRI MAHASISWA

Oleh Ruhaiza Rusmin


Segelintir mahasiswa apabila tidak berjaya memperoleh tempat di kolej kediaman, pasti merasa gundah dan bimbang serta dihantui pelbagai persoalan sama ada mampu atau tidak hidup berdikari. Selepas selesa tinggal di kolej dengan segala kemudahan, kemudian terpaksa pula keluar, tentunya banyak cabaran menanti, sekali gus menguji kekuatan emosi dan fizikal berdepan kerenah persekitaran baru. Bagaimanapun, ada yang melihat peralihan ini sebagai cabaran dan lumrah bagi mahasiswa selain menganggapnya sebagai langkah pertama berdepan realiti dunia kehidupan. Malah, ada gembira dengan alasan tiada kongkongan, dapat menyelia kehidupan mengikut acuan sendiri dan merasai kehidupan berdikari dengan rakan sebaya. Persoalannya, benarkah tinggal di luar lebih selesa dan sering menjadi pilihan mahasiswa? Atau mereka terpaksa melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain? Mahasiswa Fiqh dan Fatwa, Fakulti Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Wan Haizum Wan Hamzah, berkata dia lebih selesa tinggal di luar kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain bebas mengurus kehendak peribadi tanpa menyalahi undang-undang kolej.

Menurutnya, tinggal di luar bukan saja membantunya berdikari, malah memperoleh pelbagai pengalaman baru yang silih berganti hasil pergaulan dengan masyarakat sekitar. “Pilihan ini memang tepat dengan kehendak hati saya kerana berasakan lebih mudah membuat keputusan sendiri tanpa mengganggu rakan atau peraturan kolej.  Bagaimanapun, bukan bermakna saya boleh bebas semahunya kerana yang penting masih ada ruang peribadi. “Keseronokannya juga berlainan kerana ada perbezaan hidup bersama rakan sebaya dengan masyarakat pelbagai latar belakang. Di luar, kami perlu lebih toleransi, menjaga tatasusila selain nama institusi diwakili. “Dengan kata lain, meskipun ada kebebasan, ia perlu dibayar dengan harga lain, jadi terpulanglah untuk memilih sama ada hidup di kolej atau di luar kerana kehendak sendiri pasti berbeza,” katanya. Bagi mahasiswa, bukan sesuatu yang janggal apabila terpaksa menyewa di luar kampus apatah lagi bukan semua institusi mampu menyediakan kolej kediaman sepanjang tempoh pengajian.

Hanya mereka yang memenuhi kriteria kelayakan saja memperoleh keistimewaan itu menyebabkan sebahagian besar terpaksa mencari rumah sewa. Berkongsi pengalaman awalnya, dia berkata terpaksa berhempas pulas mencari rumah sewa yang mampu dibayar selain mengeluarkan lebih belanja untuk membeli peralatan rumah. “Tinggal di kolej semuanya tersedia tapi di luar, semuanya sendiri. Bagi yang bernasib baik, mendapat rumah sudah ada kelengkapan, namun sewanya pula mahal. “Memang janggal apabila terpaksa menguruskannya sendiri apatah lagi dengan rakan yang juga tidak mempunyai pengalaman. Bagaimanapun, ia tetap menyeronokkan kerana kami berkongsi pendapat dan pandangan selain rasa teruja menjalani kehidupan bujang,” katanya mengakui keseronokan tambah berganda apabila memperoleh rakan baru yang tinggal berdekatan. “Jika di kolej, kebanyakannya jarang bertegur sapa dan kurang mengenali satu sama lain kerana terlalu ramai, sebaliknya tinggal di luar pula kerap bertemu.  Secara tidak langsung menjadi rakan merangkap jiran.

“Perhubungan juga lebih mesra kerana boleh berkongsi suka duka dengan rakan ‘sekepala.’ Selalunya, kebanyakan rakan penyewa adalah mereka yang sudah lama dikenali, jadi kurang masalah,” katanya. Bagaimanapun, dia mengakui ada juga kekurangan tinggal di luar terutama dari segi keselamatan dan peningkatan perbelanjaan bulanan atau harian. Menurutnya, tinggal di kolej kediaman, keselamatan terjamin kerana ada yang memantau tapi di luar, semuanya bergantung pada diri sendiri selain terpaksa menanggung kos luaran yang meningkat. “Sewa perlu dibayar setiap bulan selain tambahan pelbagai kos sampingan. Bagi kami yang masih tidak mempunyai pendapatan tetap, ia menyeksakan selain menyusahkan ibu bapa. “Soal keselamatan juga sangat minimum, masing-masing perlu menjaga diri sendiri terutama perempuan. Inilah antara cabaran getir terpaksa dihadapi apabila tinggal di luar walaupun tetap ada keseronokannya. Mahasiswa Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Rohaida Abdul Manaf, turut berpendapat hidup di luar lebih membentuk kekuatan diri selain menjadikan mahasiswa berdisiplin.

“Bayangkan, segala kesusahan perlu ditanggung sendiri, tiada yang mengambil berat. Bukankah itu satu pelajaran baik untuk membentuk jati diri? “Kami juga perlu bijak membahagikan masa kerana kebanyakan rumah jauh dari kampus, justeru sesiapa yang beringat pasti berjaya, namun jika sebaliknya berlaku,” katanya. Persoalan golongan mahasiswa yang tinggal di luar kolej mudah terbabit dengan gejala sosial bagi Rohaida semuanya atas kehendak dan kawalan diri masing-masing. Pengaruh itu, katanya boleh menular di kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang, pangkat, status atau usia. “Jadi terpulanglah pada individu untuk mencegah diri sendiri daripada menjadi mangsa. Tidak bermakna apabila tinggal di luar, mudah terbabit dengan gejala itu biarpun tidak menafikan ia masih berlaku. “Paling penting, bagaimana cara mengelaknya seperti pemilihan rakan serumah dan pemantauan jiran atau keluarga. Tinggal di luar bukan bermakna bebas sepenuhnya. “Bagi saya, sama ada tinggal di luar atau kolej, ada kekurangan dan kelebihannya. Perjuangan paling utama adalah menamatkan pengajian, sekali gus memulakan kehidupan sebenar selepas itu,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
14 NOVEMBER 2011

ISU IPT : BENARKAN MAHASISWA BERPOLITIK

Oleh Ruhaiza Rusmin


Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kembali menjadi perbualan hangat serta menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat, baru-baru ini. Semuanya gara-gara keputusan mahkamah rayuan menolak keputusan bersalah empat mahasiswa kerana terbabit dalam perhimpunan politik sekali gus menjadikan AUKU subjek perbincangan mahupun perdebatan. Biarpun AUKU merangkumi aspek luas, namun hanya seksyen 15 (5) menjadi tumpuan utama kerana termaktub larangan membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik. Seiring kontroversi, ada menganggap AUKU sudah tidak relevan dalam dunia mahasiswa alaf baru tetapi ada pihak lain berpendapat masih perlu bagi tujuan memastikan mahasiswa tidak tergelincir daripada landasan pengajian sebenar. Persoalannya, benarkah AUKU masih relevan untuk diguna pakai pada masa kini atau sudah menjadi lapuk kerana mentaliti mahasiswa kian jauh berubah? Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Idzuafi Hadi Kamilan berkata, menyekat mahasiswa daripada terbabit dengan politik hanya menimbulkan masalah atau konflik tidak berkesudahan.

Menurutnya, walaupun masih belajar, tidak bermakna tahap pemikiran atau pengetahuan mereka hanya berlegar di persekitaran kampus sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk melontarkan pendapat. “Ini bagi membuktikan mereka adalah golongan intelek, jika dihalang samalah seperti mempertikai atau memperkotak-katikkan keupayaan mereka sebagai kelompok terpelajar. “Dengan kata lain, mengunci mulut daripada memperkatakan mengenai sesuatu isu yang mungkin boleh membangkitkan satu masalah lain pula. “Pendapat saya, tidak usah disekat keterlaluan keinginan mereka bersuara kerana politik juga antara cara untuk menimba ilmu dan pengalaman. Cara ini lebih baik daripada mahasiswa berkenaan menjadi golongan buta ilmu atau pasif di menara gading,” katanya. Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membuatkan AUKU diperkenalkan pada 1971. Pada 1975, ia digubal dengan peruntukan lebih ketat menyaksikan mahasiswa tidak boleh lagi terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan politik yang menunjukkan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti.

Pada 2009, AUKU sekali lagi dipinda dengan kelonggaran boleh terbabit dalam badan bukan kerajaan yang berdaftar di negara ini sementara parti politik masih tidak dibenarkan. Menurutnya, sangat tidak relevan mahasiswa alaf baru disekat daripada bersuara hanya kerana segelintir pihak takut pada bayang-bayang sendiri. “Mengapa perlu disekat padahal hak bersuara adalah milik semua? Asalkan tidak mengganggu sensitiviti yang boleh menggugat keselamatan awam, tiada salahnya. “Golongan ini hanya ingin melontarkan pendapat mengenai perjalanan arus politik negara berdasarkan kedudukan mereka sebagai pemerhati luar dan berkecuali.  Mereka berhak menyuarakan pendapat. “Cuma jangan biarkan mereka memegang sebarang jawatan dalam politik. Itu penting untuk menyelamatkan mereka daripada dipergunakan orang lain demi kepentingan peribadi,” katanya. Mengulas rasionalnya berbuat demikian adalah untuk mengelakkan golongan ini dijadikan ‘topeng’ yang berperanan sebagai pelajar ataupun mewakili parti politik tertentu.

“Takut mereka keliru mengenai peranan dan tanggungjawab sebenar selain mempengaruhi orang lain dengan kedudukan dipegang. Ini boleh menggugat ketenteraman warga kampus. “Jika sekadar melontarkan pendapat atau jadi pemerhati, bukanlah masalah besar malah ia boleh dijadikan pengalaman berguna atau memperkukuhkan kemahiran individu melalui proses pembelajaran praktikal,” katanya. Mengapa AUKU sering menimbulkan polemik tersendiri, dia berkata ketidakfahaman menyebabkan akta berkenaan dimanipulasikan pihak tertentu. “AUKU merangkumi aspek luas termasuk pentadbiran universiti. Paling menonjol apabila pemahaman masyarakat hanya mengaitkannya dengan larangan berpolitik. “Pemahaman salah menyebabkan akta ini dipandang serong dan pemahaman betul pula boleh menyelamatkan keadaan,” katanya berpendapat sudah tidak relevan menghalang mahasiswa daripada berpolitik kerana mereka mempunyai banyak saluran memperoleh kebenaran.

Menurutnya, dulu mungkin relevan disebabkan hanya mendapat maklumat melalui sumber terhad, namun dengan perkembangan dan kecanggihan dunia teknologi hari ini, semua yang cuba disorokkan akan tersingkap. “Masyarakat dan institusi perlu memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk mengemudi hala tuju mereka mengenai politik. Tidak perlu lagi memegang prinsip ‘in loco parentis’ (kerajaan atau institusi mengambil alih tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak belajar). “Bukankah mereka sudah besar, tahu berfikir serta pandai membuat keputusan. “Menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi bermakna sudah matang dan tahu setiap risiko, hanya berikan saja pedoman yang baik dan berguna sebagai panduan,” katanya. Menyekat atau menghalang juga, katanya, bukan saja menyebabkan golongan itu ‘memberontak’ malah boleh menimbulkan masalah lain seperti diperguna atau dimanipulasi pihak yang menangguk di air keruh. “Mereka hanya mahukan pengiktirafan positif daripada masyarakat dan aspek kepercayaan adalah asas penting yang boleh mewujudkan suasana harmoni.

Masalahnya, masih ada menganggap mereka ‘seperti budak kecil’. “Sudahlah dikongkong, dilayan pula seperti budak-budak, apakah kesannya untuk jangka panjang? Padahal mereka juga yang bakal meneruskan legasi kepemimpinan negara pada masa depan. “Tidak perlu melakukan sekatan keterlaluan kerana semakin disekat atau dihalang, mereka berusaha mencari alternatif lain untuk mencari jawapan. Ini lebih berbahaya,” katanya. Pelajar yang berminat dengan politik hanya segelintir, jadi mengapa mesti menjadikannya isu besar seolah-olah golongan ini mampu menimbulkan kekacauan atau menjatuhkan negara? “Barisan mahasiswa kita cukup cemerlang akademik, sahsiah dan peribadi bukan seperti di negara lain yang bakal bangkit secara semberono.  “Mereka hanya akan berdebat mengenai sesuatu isu jika pihak tertentu tidak memberi justifikasi yang baik. Meskipun ada pihak berpendapat kuasa mahasiswa boleh menjatuhkan, di negara ini mereka bukanlah ancaman,” katanya.

INFO BERGUNA :

AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971, diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 29 April 1971.

Kebangkitan mahasiswa pada 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan AUKU. Pindaan itu dikuatkuasakan pada 12 Mei 1975.

AUKU diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969.

SUMBER
HARIAN METRO
21 NOVEMBER 2011

24 November 2011

ISU UMUM : MALAYSIA TIDAK PERLU SERTAI INISIATIF KESELAMATAN PENULARAN SENJATA

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


SEPILOK ORANGUTAN SANCTUARY

Sememangnya usaha Washington untuk memujuk Kuala Lumpur menyertai Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata (PSI) tidak pernah padam kerana berbagai usaha telah dilakukan dengan harapan Malaysia walaupun negara kuasa kecil dan tidak mempunyai kemampuan senjata nuklear menyertai gagasan yang diasaskan oleh Amerika Syarikat (AS) itu. Setiap pemimpin tertinggi AS yang melawat Malaysia sudah pasti tidak akan melepaskan peluang berbincang serta memujuk supaya Kuala Lumpur mengubah fikiran. Ketika Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton melawat Malaysia pada November tahun lepas, sudah pasti isu PSI mungkin merupakan agenda perbincangan. Begitu juga Robert Gates pada ketika itu adalah Setiausaha Pertahanan AS yang membuat lawatan selepas Hillary sudah pasti menggunakan peluang untuk menimbulkan isu yang serupa. Tetapi apa yang pasti adalah apabila Penasihat Khas AS Mengenai Penularan Senjata Nuklear Robert Einhorn yang melakukan lawatan ke Malaysia pada Februari lepas, isu PSI adalah antara agenda utama beliau.

Paling terkini usaha memujuk dilakukan sendiri oleh Presiden Barack Obama ketika mesyuarat dua hala Malaysia-AS sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang diadakan di Nusa Dua, Bali beberapa hari lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada PSI tetapi sama sekali tidak akan membenarkan pihak lain menjadikan Malaysia sebagai pusat transit barangan terlarang senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Tambah Najib, Malaysia mempunyai perundangan yang agak mantap untuk menangani isu penularan WMD terutama sekali yang melibatkan isu dwi-penggunaan, iaitu teknologinya boleh digunakan sama ada untuk membangunkan WMD atau tujuan komersial. Undang-undang Perdagangan Strategik yang diluluskan oleh Parlimen pada April 2010 adalah bukti jelas hasrat Kuala Lumpur selari dengan matlamat PSI. Tetapi amat menarik apabila Najib berkata: "Obama meminta kemungkinan Malaysia menyertai Proliferation Security Initiative (PSI) dan Malaysia menegaskan sedang mengkaji implikasinya".

Hal ini menarik perhatian kerana ada sebabnya mengapa Kuala Lumpur sehingga hari ini masih tidak menyertai PSI setelah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada tahun 2003. Pada ketika ia mula diperkenalkan hanya 11 negara menyertai PSI yang kesemuanya adalah sekutu kuat AS. Tetapi hari ini terdapat 97 negara menyertai gagasan ini kerana pada asasnya hasrat menyekat penularan WMD yang menjadi matlamat PSI sepatutnya disokong. Negara ASEAN seperti Singapura, Brunei dan Filipina menyertai PSI tetapi Thailand dan Indonesia adalah bersama-sama dengan Malaysia berada di luar gagasan tersebut. Isu utama mengapa Kuala Lumpur berat hati adalah kerana PSI tidak berada dalam naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun prinsip asas PSI menekankan bahawa aktiviti hanya dilaksanakan jika ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara masing-masing, tetapi wujud beberapa perkara yang bertentangan dengan peruntukan sedia ada PBB.

Contoh paling ketara adalah aktiviti utama PSI iaitu memberi mandat kepada negara ahli untuk menahan kapal yang disyaki membawa bahan WMD di perairan antarabangsa adalah bertentangan dengan Konvensyen PBB Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) yang memberi jaminan laluan selamat dan bebas kepada semua pihak. Masalah mengenai penahanan kapal yang disyaki timbul kerana maklumat perisikan lazimnya disalurkan oleh AS dan timbul tuduhan bahawa Washington mengambil pendekatan berat sebelah dengan hanya menyasarkan negara tertentu sahaja. Jika diteliti sejarah penahanan kapal oleh negara PSI tuduhan berat sebelah tidak jauh lari daripada kebenarannya. Begitu juga dengan isu dwi-penggunaan akan timbul kerana sukar untuk membuktikan peralatan atau bahan yang dibawa akan digunakan untuk membangunkan WMD. Ini adalah kerana peralatan atau bahan untuk membuat WMD banyak digunakan oleh industri minyak dan gas. Penahanan oleh negara ahli PSI sudah pasti akan menimbulkan masalah kerana melanggar kehendak UNCLOS.

Malaysia adalah sebahagian dan penyokong kuat konvensyen PBB tersebut manakala AS menolak kewujudan UNCLOS. Agak aneh juga apabila Washington memberi jaminan bahawa Laut China Selatan akan dijadikan laluan selamat dan bebas sebagai amaran tersirat kepada pengaruh China tetapi tidak pula menyertai UNCLOS. Begitu jelas sekali tindakan Najib mengenai PSI adalah manifestasi kepada pendirian Kuala Lumpur yang tidak akan menggadaikan prinsip serta pendirian yang dipegang selama ini meskipun terdapat usaha untuk meningkatkan hubungan yang lebih rapat dengan AS di era pentadbiran beliau. Jika diungkit kembali, pendirian Kuala Lumpur yang berani menongkah kehendak Washington telah banyak kali berlaku demi peruntukan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara. Pada 2004 umpamanya AS mahu memperkenalkan Inisiatif Serantau Keselamatan Maritim (RMSI) yang antara lain membenarkan penggunaan tentera Marin AS sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan lanun di Selat Melaka. Inisiatif tersebut gagal dilaksanakan ekoran bantahan dari negara pesisir iaitu Malaysia dan Indonesia walaupun disokong kuat oleh Singapura. 


Begitu jelas pendirian Kuala Lumpur bahawa perkara yang melibatkan kedaulatan negara sama sekali tidak akan dikompromi. Maka tuduhan bahawa Malaysia sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk berbaik dengan AS adalah tidak benar sama sekali dan isu PSI adalah manifestasi terkini. Tetapi Kuala Lumpur akur hubungan baik ini boleh digunakan untuk mempengaruhi Washington supaya lebih bersikap adil dan telus lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan dunia Islam.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 NOVEMBER 2011



ISU PENDIDIKAN : 1MURID 1SUKAN BUKAN ALASAN LEMAH UPSR

Oleh Fadzlena Jafar
bhnews@bharian.com.my


TAMAN NEGARA ENDAU ROMPIN

Keputusan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, Khamis lalu secara keseluruhan mencatatkan pencapaian memberangsangkan, dengan menyaksikan Terengganu terus unggul melakar sejarah sebagai negeri terbaik. Pencapaian 497,691 calon di seluruh negara yang mengambil ujian itu meningkat mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu 2.30 berbanding 2.31 pada 2010. Pencapaian GPN dinilai berdasarkan pengiraan purata gred murid dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik. Keputusan itu dikatakan pencapaian terbaik sejak 2008 jika mengikut GPN, namun berdasarkan jumlah calon memperoleh semua Gred A, berlaku penurunan 0.534 peratus (2,315 calon) apabila 46,012 calon atau 9.48 peratus mendapat 5A berbanding tahun lalu 48,327 (10.02 peratus) dan 48,171 (9.51 peratus) pada 2009. Beberapa pihak menganggap penurunan peratusan jumlah pelajar yang mendapat 5A berpunca daripada tumpuan khusus kepada kegiatan kokurikulum seperti dasar 1Murid 1Sukan yang kini menjadi antara agenda utama sekolah dan juga ibu bapa.

Apatah lagi pembabitan aktif pelajar dalam kegiatan itu turut diambil kira dalam pengambilan ke sekolah berasrama penuh. Apapun pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum tidak sepatutnya dijadikan alasan penurunan pelajar cemerlang kerana setiap sekolah sepatutnya mempunyai jadual yang sistematik supaya proses pembelajaran tidak terganggu dengan kegiatan kokurikulum, termasuk kegiatan sukan 1Murid 1Sukan.  Seperti dikatakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, pembabitan murid dalam kegiatan kokurikulum dalam menggalakkan murid menjadi lebih kreatif dan inovatif.  “Saya tidak berpendapat sebegitu. Pembabitan murid dalam pelbagai kegiatan dapat menggalakkan murid untuk menjadi lebih kreatif dalam pemikiran dan ini selaras dengan Dasar Transformasi Negara yang memberi keutamaan kepada kreativiti serta inovasi di kalangan pelajar bagi membantu meningkatkan pembangunan negara,” katanya pada majlis penutupan program Berita Harian-Dutch Lady @ Sekolah 2011 baru-baru ini, menafikan faktor berkenaan.

Beliau berkata, masyarakat khususnya ibu bapa perlu melihat keputusan UPSR 2011 dari sudut positif apabila jumlah calon mendapat pencapaian terbaik iaitu minimum Gred C (tidak termasuk semua A) meningkat 55.45 peratus berbanding 54.38 peratus tahun lalu dan 53.52 peratus pada 2009. Prestasi pencapaian murid dalam mata pelajaran pula khususnya Bahasa Melayu, mencatatkan peningkatan pada Gred A bagi Bahasa Melayu – Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.9 peratus, manakala peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred ABC) juga meningkat 1.1 peratus.  Meskipun prestasi Bahasa Melayu – Penulisan di SK bagi Gred A menurun 0.6 peratus, tetapi bagi Gred ABC meningkat 2.9 peratus dan pencapaian itu boleh disimpulkan bertambah baik berdasarkan prestasi calon yang menguasai tahap minimum. Prestasi gred purata Bahasa Inggeris di SK pula dilihat stabil dengan GPMP kekal 2.74 pada 2010 dan 2011, namun peratusan calon mendapat Gred A menurun 0.5 peratus.

Begitu pun, peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.4 peratus. Penurunan prestasi calon mendapat A turut dicatatkan bagi subjek Matematik yang turun 0.3 peratus daripada tahun sebelum, namun peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat 0.9 peratus.  Bagi mata pelajaran Sains, prestasi keseluruhan menurun dengan nilai GPMP sebanyak 0.03 peratus berbanding 2010 calon yang mendapat Gred A turun dua peratus dan Gred ABC sebanyak 0.8 peratus.  Kita yakin jika semua sekolah memberi tumpuan sama rata kepada setiap mata pelajaran, pencapaian akan menjadi lebih memuaskan. Begitu juga perhatian sepatutnya diberikan kepada calon yang sederhana pencapaiannya tetapi berpotensi mencapai keputusan cemerlang, bukan hanya kepada calon cemerlang. Langkah itu mungkin dapat meningkatkan murid cemerlang yang memperoleh semua A. Terengganu yang kekal terbaik berdasarkan pencapaian jumlah calon mendapat 5A mampu berbangga apabila 3,548 atau 15.6 peratus daripada 22,801 calon memperoleh 5A tahun ini berbanding hanya 15.4 peratus daripada 23,147 calon pada 2010. Begitu pun, Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud yang gembira dengan pencapaian itu mengakui masih ada ruang memperbaiki pencapaian, lebih-lebih lagi apabila Kelantan yang dianggap pesaing terdekat dengan pelajar yang mendapat 5A, 15.4 peratus turut mencatatkan keputusan GPN lebih baik dengan 2.09 berbanding Terengganu 2.14 pada tahun ini.

SUMBER
BERITA HARIAN
24 NOVEMBER 2011


23 November 2011

ISU SUKAN : MEMPERKASA PROFESIONALISME SUKAN NEGARA

Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
PENULIS ialah pemerhati sosial.


KUARTET 4 X 400 METER
 S. Kannathasan, P. Yuvaraaj, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasaleh

Sukan SEA akan melabuhkan tirai di Palembang-Jakarta pada hari ini, 22 November 2011. Sesetengah atlet yang sudah menamatkan acara masing-masing, sudah pun kembali ke tanah air. Apa yang berlaku kepada kuartet 4 X 400m negara sememangnya satu 'tragedi kecil' dalam usaha kita meletakkan martabat sukan di tahapnya yang tertinggi. Ketidakhadiran keempat-empat wira negara tersebut untuk menerima kilauan emas, membayangkan kelemahan pengurusan yang sangat nyata. Benar, mereka mungkin tidak menganggap insiden tersebut sebagai sesuatu yang besar, namun apakah kita mahu kelemahan- kelemahan pengurusan sukan seperti ini terus berlaku dalam senario sukan negara. Demikianlah juga rintihan Noraseela Khalid (pemenang 4 kali acara 400m berpagar) Sukan SEA dengan kelemahan badan sukan berkenaan dalam mengurus kebajikan para atlet. Apa yang disampaikan oleh Noraseela tidak boleh dipandang sepi - apatah lagi dianggap sebagai 'kurang ajar' dan tidak patuh kepada arahan persatuan sukan.

Noraseela harus percaya bahawa majoriti rakyat juga semakin muak dan mual dengan sikap sesetengah pimpinan badan sukan yang menganggap jawatan sebagai 'platform' mereka mendapat pengaruh dan kepercayaan. 'Jiwa sukan' mereka sangat-sangat diragui. Malahan, ramai juga yang menganggap mereka ini hanya menggunakan badan sukan untuk mencapai kepuasan peribadi. Kelompok politikus khususnya yang menggunakan badan sukan sebagai magnet pengaruh dan tempat melampias dahaga liputan media sudah tidak patut ada lagi dalam rentak 'transformasi' yang sering diungkap oleh pimpinan negara. Mungkin ada benarnya, pengaruh dan kedudukan ini penting dalam memastikan tajaan yang tidak pernah surut kepada badan-badan sukan tertentu. Namun, tajaan tidak semestinya menjanjikan pengurusan sukan yang tinggi tahap profesionalisme dan tata kelolanya. Malahan, nama-nama yang rosak dengan isu-isu rasuah dan sebagainya, akan hanya merosakkan 'imej' sukan yang sewajarnya bersih dan bebas daripada bayang gelap rasuah dan sebagainya.

'Jiwa dan semangat kesukanan' ini bukannya boleh dijual beli. Ia mestilah dizahirkan dengan kesungguhan, komitmen, iltizam dan jiwa besar untuk melihat sukan tersebut mencapai tahap yang tertinggi. Ini tidak, sesetengah wajah pemimpin badan sukan hanya akan muncul ketika pasukan/individu tertentu mencapai kemenangan. Rakyat amat mengharapkan, pasca Sukan SEA nanti akan menyaksikan kesungguhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menilai kembali bukan sahaja prestasi atlet, namun juga meliputi kesungguhan kepimpinan badan sukan. Badan-badan sukan, khususnya di peringkat negeri dan kebangsaan sewajarnyalah diinduki oleh mereka yang benar-benar komited dengan sukan yang berkenaan. Bukannya mereka yang hanya menggunakan badan sukan untuk tujuan yang lain. Profesionalisme pengurusan sukan perlulah menjadi sebahagian daripada budaya 'kesukanan' masyarakat Malaysia. Sudah sampai masanya, badan-badan sukan menjadi lebih selektif dan tidak melantik kepimpinan badan sukan atas dasar 'persahabatan' dan 'komitmen kewangan' yang dijanjikan semata-mata.

Apatah lagi, jika setelah beberapa tahun menjawat jawatan yang berkenaan, kita gagal melihat sebarang usaha 'pembangunan' dilakukan di peringkat yang lebih muda. Satu contoh klasik adalah sebuah skuad yang bukan sahaja gagal menepati sasaran, malahan tewas lebih awal kepada pasukan yang tidak pun terkenal dengan sukan terbabit - mudah menyalahkan penonton dan penganjuran tuan rumah. Apakah sukan tersebut sahaja yang diejek-ejek oleh penonton tuan rumah? Apakah mereka lupa bahawa skuad bola sepak kita pernah berjaya; walaupun berdepan dengan intimidasi dan provokasi yang maha hebat oleh penyokong tuan rumah? Alasan-alasan yang murah seperti ini hanya menunjukkan semangat melawan yang lemah, bukan sahaja di kalangan pemain, malahan pimpinan dan pengurusan badan sukan. Peranan pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dirasakan perlu diberikan perluasan amanah, agar tidak semata-mata mengendalikan soal pendaftaran badan sukan; malahan diberikan autoriti untuk menilai kepimpinan badan sukan secara menyeluruh.

Ini termasuk soal pemerolehan penajaan, pembangunan sukan di peringkat umur tertentu, tata kelola kewangan yang telus, imej badan sukan dan pencapaian yang diperolehi oleh badan-badan sukan tertentu. Amat malang sekali, sekiranya badan sukan tertentu hanya wujud pada nama, tetapi tidak pada program pembangunan di peringkat akar umbi. Dalam memastikan tahap profesionalisme badan sukan berada di tahapnya yang tertinggi, kita tidak boleh sama sekali berkompromi dalam soal-soal melibatkan tata kelola dan tadbir urus yang cemerlang. Setakat tahun 2011 sahaja, hampir 25 badan sukan pelbagai peringkat (daerah, negeri dan kebangsaan) diberikan arahan pembatalan oleh Pesuruhjaya Sukan. Langkah ini bolehlah disifatkan sebagai baik dan wajar. Dalam pada kita menuju tahap profesionalisme sukan yang tinggi; kalangan yang mengamalkan tadbir urus yang sub-standard wajar diberikan hukuman. Statistik pembatalan badan sukan sepanjang tiga tahun yang lalu menunjukkan trend yang semakin menurun.

Ini sekali gus memberi makna, bahawa tindakan yang diambil oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan ini sedikit sebanyak mendatangkan kesan yang baik. Bersesuaian dengan semangat pelaksanaan Akta Pembangunan Sukan 1997, kita mahu melihat peranan Pesuruhjaya Sukan yang lebih proaktif dalam memastikan 'sukan' tidak lagi menjadi tempat berlonggoknya kepimpinan yang tidak mempunyai jiwa dan semangat kesukanan yang sebenar. Jika perlu diwujudkan kaedah 'audit yang menyeluruh', ia wajar diberikan pertimbangan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Hati dan perasaan rakyat berasa amat bangga dengan 'wajah-wajah generasi baru' sukan yang mempunyai semangat melawan dan kesungguhan luar biasa. Kemenangan pasukan hoki remaja sewaktu merebut Piala Sultan Johor baru-baru ini boleh dijadikan contoh. Peminat akan dengan sendirinya hadir di gelanggang jika semangat kesukanan yang ditunjukkan adalah tinggi dan tidak mudah mengalah. Kalah menang adat bertanding; namun biarlah ia dilakukan dengan bermaruah dan bersemangat waja.

Cerita-cerita ketidakpuasan hati, kelemahan-kelemahan yang ada sepanjang Sukan SEA perlu dijadikan asas untuk KBS menyusun pelan tindakan susulan yang lebih berkesan. Strategi paling baik adalah mewujudkan kerjasama jangka panjang antara KBS-Kementerian Pelajaran; KBS-Kementerian Pengajian Tinggi; dalam memastikan sukan akan menjadi suatu budaya yang berpanjangan. Pelan khas 'Transformasi Kepimpinan Sukan' wajarlah dijadikan modul yang khusus selepas ini. Mereka yang sudah jelas tidak inovatif dan selesa dengan budaya kerja lama; perlu memberi ruang kepada mereka yang lebih wibawa dan komited dengan sukan yang terbabit. Mereka yang punya pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, pernah mewakili negara juga wajar diberikan 'ruang' untuk mengetengahkan cadangan dan pelan bertindak yang lebih konsisten.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 NOVEMBER 2011


ISU SUKAN : MELETAK KEYAKINAN TINGGI BOLA SEPAK MALAYSIA

Azman Anuar



Barisan Harimau Muda yang merentap keegoan pasukan 
bola sepak Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, 
Jakarta, 21 November 2011

“Mereka tidak menghormati kamu, mereka tak hormat bendera kita, mereka tak hormat Raja kita dan mereka tak hormat ibu bapa kita. Kalau kamu benarkan ini terjadi, maka kamu adalah pengecut. Kamu sebagai rakyat Malaysia mesti ajar mereka. “Kita berjaya tewaskan mereka bukan sekali tapi dua kali di hadapan penyokong fanatik mereka. Kita tunjukkan pada mereka macam mana nak lakukannya.” Itulah ungkapan kata-kata pembakar semangat Ong Kim Swee kepada skuad Harimau Muda kita untuk berdepan dengan pemain Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dalam final bola sepak Sukan SEA Ke-26 kelmarin. Pemain muda kita diasak begitu hebat oleh 100,000 penyokong Indonesia. Sebelum perlawanan lagi, mental pemain Harimau Muda kita didera teruk oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Negaraku dimainkan. Dalam mengharungi suasana tegang begitu, kata-kata pembimbing skuad bawah 23 tahun kita itulah menjadi api yang sentiasa membakar semangat untuk pemain bermain bermati-matian hingga ke babak masa tambahan dan penentuan tendangan penalti.

Syukur alhamdulillah, akhirnya Harimau Muda Malaysia berjaya menewaskan Garuda Muda Indonesia 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1. Kata-kata Kim Swee itu telah mengiringi api perjuangan dan semangat kental anak muda kita melawan pemain Indonesia dan lautan gema suara penyokongnya. Mungkin penyokong fanatik di sana masih tidak dapat melupakan apabila di Stadium Gelora Bung Karno jugalah tempat pasukan Indonesia ditewaskan oleh skuad Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, Disember tahun lepas. Ketika itu anak-anak didik K. Rajagobal berjaya menundukkan ‘sang garuda’ di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia apabila Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan Piala Suzuki edisi kelapan melalui kemenangan agregat 4-2. Kini giliran Kim Swee pula memaksa penyokong Indonesia menelan kepahitan apabila ditewaskan lagi di stadium keramat mereka sendiri. Barisan Harimau Muda telah beraksi cemerlang bagi menghalang hajat Indonesia untuk merangkul pingat emas bola sepak yang dianggap ‘ibu segala pingat emas’ Sukan SEA.

Tiada emas bola sepak, kurang bermakna walau dinobat menjadi juara keseluruhan Sukan SEA Ke-26. Rakyat Malaysia pasti berasa puas dan bangga. Kejayaan merangkul emas bola sepak Sukan SEA sekurang-kurangnya dapat menutup mulut media dan peminat Indonesia yang rakus melancarkan provokasi ke atas skuad kita. Apa pun, pencapaian pasukan Harimau kita wajar dibanggakan. Dalam tempoh tiga tahun kita sudah pegang tiga kejuaraan – juara bola sepak Sukan SEA Laos 2009, juara Piala Suzuki AFF 2010, dan terbaru juara bola sepak Sukan SEA Jakarta 2011. Kita telah membuktikan kejayaan besar dicapai dalam bola sepak Asia Tenggara ini bukanlah kerana nasib semata-mata. Ini adalah kemenangan mutlak. Semua ini adalah hasil perancangan sistematik dan gigih di kalangan pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ia tidak datang dengan sendiri. Setelah mengharungi tahun-tahun malap, dikutuk dan dikritik pelbagai penjuru, tibalah masa untuk Harimau menunjukkan taringnya di pentas antarabangsa yang lain. Mulai hari ini juga kita tak usah lagi malu-malu untuk katakan Malaysia adalah ‘Raja Bola Sepak ASEAN.’

Kalau tiap-tiap tahun skuad Harimau Muda atau Harimau Malaya dapat menjuarai sesuatu kejohanan, alangkah bagus. Kalau boleh, biarlah kejayaan Malaysia berterusan hingga muncul semula menjadi kuasa bola sepak di rantau Asia dan antarabangsa. Cabaran dan tumpuan kita selepas ini ialah membentuk sebuah pasukan yang ‘serba menjadi’ sepanjang 2012 untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 dan persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 bermula awal 2013. Semua orang tahu, bola sepak ialah sukan nombor satu Malaysia dan rakyat amat menanti-nantikan sebarang perkembangan mengenai sukan ini. Rakyat kita tidak boleh menerima alasan jika skuad Harimau negara tidak mampu menewaskan negara kerdil bola sepak sedangkan kita mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan terbaik di rantau ini. Apatah lagi mengalah tanpa melawan. Harapan peminat bola sepak Malaysia cukup tinggi. Rakyat menaruh keyakinan pada skuad Harimau untuk memulih maruah sukan nombor satu negara. Sebab itu dapat dilihat semakin ramai anak muda berasa bangga memakai jersey Malaysia yang berwana ’kuning hitam’ atau ‘merah biru dan putih’.

Sekali lagi, syabas Harimau Muda!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 NOVEMBER 2011

21 November 2011

ISU PENDIDIKAN : JANGAN PINGGIRKAN PELAJAR YANG TIDAK CEMERLANG UPSR

PENULIS adalah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Semua orang merasa teruja apabila melihat gelagat murid-murid melalui media massa yang melonjak kegembiraan apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Ada juga di antara mereka yang kelihatan terharu dan menangis kegembiraan kerana mendapat keputusan yang baik walaupun ia tidak diduga. Kegembiraan tidak sahaja kelihatan pada wajah murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang tetapi turut dikongsi bersama oleh ibu bapa, guru besar dan guru-guru di sekolah berkenaan. Walau apa pun ucapan tahniah dan syabas kepada 46,021 orang murid yang telah mendapat A dalam semua mata pelajaran. Sementara itu di satu pihak lain yang tidak mendapat keputusan cemerlang atau yang hanya mencapai keputusan Baik (Minimum C) berjumlah seramai 269,021 orang murid daripada hampir setengah juta calon yang menduduki peperiksaan mungkin hanya dapat tersenyum sinis melihat slip keputusan UPSR mereka.

Lebih malang lagi murid yang hanya mendapat D atau E dalam semua mata pelajaran akan merasa hampa, kecewa, putus asa dan jika tidak dibantu akan diselubungi rasa rendah diri yang berpanjangan. Apa tidaknya rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang akan dijulang serta mendapat sanjungan dan pujian ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan. Tetapi bagi kumpulan yang tidak menyerlah itu seolah-olah tidak diberi perhatian atau dianggap sebagai murid yang tidak ada harapan. Lebih menyedihkan lagi apabila balik ke rumah ibu bapa tidak habis-habis berleter atau memarahi mereka dan sengaja menyindir serta membandingkan dengan anak-anak jiran yang lebih cemerlang. Kadang-kadang jika difikirkan dengan mendalam matlamat diadakan peperiksaan UPSR atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah tersasar daripada tujuan asal. Sebenarnya peperiksaan UPSR diadakan bertujuan untuk menilai sejauh mana penguasaan pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran berasaskan lingkungan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan.

Jika murid mendapat keputusan A, B atau C bermakna mereka telah menguasai pengetahuan yang telah diajar kepada mereka. Tetapi jika mendapat keputusan D atau E bermakna murid berkenaan tidak dapat menguasai kandungan silibus atau tidak memahami maklumat dan pengetahuan yang telah mereka pelajari. Di sinilah sepatutnya peranan guru dan ibu bapa untuk membantu anak-anak ini sekiranya didapati mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang telah diajar kepada mereka. Pada dasarnya pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu bukan bermakna mereka akan menghadapi kegagalan sepanjang masa. Masih banyak lagi ujian dan peperiksaan yang akan dilalui sebelum mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan untuk melihat mengapa murid tidak mendapat keputusan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan. Di antaranya ialah faktor lewat berkembang atau late development di mana ada di kalangan murid yang mempunyai kecerdasan yang baik tetapi agak lambat pacuannya.

Ada kalanya murid sebegini akan memperolehi pencapaian cemerlang apabila mereka sampai ke peringkat lebih tinggi mungkin semasa berada di sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi. Di samping itu terdapat juga murid yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak serius seperti rabun jauh atau kurang pendengaran. Kadang-kadang mereka tidak memaklumkan masalah ini kepada guru atau ibu bapa. Faktor latar belakang keluarga juga turut memberi kesan kepada pencapaian pendidikan murid. Mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak dapat menyediakan kemudahan yang banyak di rumah seperti tempat belajar yang selesa, gangguan kebisingan, kurang kemudahan peralatan tambahan pembelajaran atau peluang menghadiri kelas tuisyen berbayar. Selain dari itu ada juga pengkaji yang mendapati bahawa di kalangan murid yang pintar atau gifted tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian atau peperiksaan kerana mereka merasai kebosanan akibat terlalu lama berada di sekolah rendah.

Murid pintar ini kadang kala merasa pengajaran guru adalah terlalu mudah, kurang cabaran dan mengetahui lebih banyak maklumat jika dibandingkan dengan apa yang dipelajari di sekolah. Akhirnya mereka tidak memberi perhatian yang serius terhadap pengajaran guru dan kurang membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan. Tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kadang kala disebabkan juga faktor kesihatan pada hari peperiksaan dijalankan seperti mengalami deman, sakit perut atau pening kepala. Akibatnya keputusan peperiksaan mereka tidak menyerlah seperti yang sepatutnya. Persoalannya adakah matlamat pendidikan hanya bertujuan untuk memastikan murid mencapai pencapaian cemerlang dalam peperiksaan? Sesungguhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mempunyai sifat kreatif dan inovatif yang akhirnya mereka akan menjadi warga negara yang berguna untuk membangunkan negara.

Oleh itu pendidikan kita mestilah juga berupaya untuk melahirkan manusia yang mempunyai sikap berani mencuba, jujur, akhlak yang tinggi, jati diri yang kental, sentiasa cergas dan sihat, tidak takut gagal, rajin, melakukan sesuatu secara bersungguh-sungguh dan tidak ada istilah berputus asa. Untuk melahirkan murid yang sedemikian maka sudah tentu kita tidak berupaya untuk menilai perkara-perkara dinyatakan itu hanya melalui keputusan peperiksaan UPSR. Namun demikian inilah sebenarnya perkara yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid sekiranya kita benar-benar ingin menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan yang demikian kepada murid yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR perlulah memuhasabah diri untuk menilai kembali di manakah kelemahan diri dan mula berusaha supaya kelemahan itu dapat diatasi terutama bagi persediaan untuk memasuki sekolah menengah pada awal tahun hadapan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 NOVEMBER 2011